Blog ini mengandungi koleksi artikel yang berguna sebagai infomasi dan rujukan untuk diriku dan orang lain dari harakahdaily, utusan Malaysia, berita harian, Tranungkite Online dan dari beberapa website lain. Terdapat juga sedikit tulisanku di dalam blog ini.
Dakwah cyber mestilah diterokai oleh pendakwah muslim walau pun bidang ini masih baru. Sebagai OKU inilah kesempatan bagiku untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah. "Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Semesta Alam": Weblog Master 28 Ogos 2006
Fatwa Pengharaman Anti-hadith
Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini:
Ajaran Golongan Anti Hadith
ISI AJARAN
1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.
2. Menolak dua kalimah Syahadah.
3. Menolak Qada' dan Qadar
4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12
Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada
wahyu.
5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca
kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam
6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.
TARIKH MUNCUL
1985
TEMPAT BERKEMBANG
Seluruh Malaysia
TINDAKAN/HUKUMAN
Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:
1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996
2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46
3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78
4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3
(Sumber: )
Penutup
Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari
golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai
sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah
difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal
'iya zubillahi min zalik.
Fatwa Mufti Perak
Kategori : Akidah
Tajuk :
Gerakan Anti-hadis
Isu :
"A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK –
(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;
(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di dalam
al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;
(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;
(d) "The Computer Speaks – God's Message To The World" yang ditulis
oleh Dr. Rashad Khalifa,
adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang
bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta
mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran
dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku
tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith
yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai
sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan
Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan
mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian
sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.Adalah mengandungi
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan
aqidah dan syariah Islamiah serta menglirukan dan boleh
menyesatkan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan.
B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang
kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung
dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu
kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah,
syariah dan akhlak Islamiah.
Fatwa :
Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh Seksyen 34 (2) Enakmen
Pentadbiran Agama Islam 1992, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul
Ridzuan membuat fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa
"Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak" Darul Ridzuan pada 2
Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995, dan atas titah perintah
Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa tersebut seperti
berikut
C. OLEH YANG DEMIKIAN –
(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik ", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu –
Hadith di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer
Speaks: God's Message To The World"; adalah murtad;
(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang -
(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan
berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-
ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World";
(b) mencetak, menerbitkan, memiliki,
menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan
buku "Hadis Satu Penilaian Semula," "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World"; atau mana-mana bahagiannya, termasuk –
(i) apa-apa bentuk, versi atau
variasinya;
(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa
bahasa;
(iii) apa-apa bahan publisiti yang
bertujuan memberikan publisiti
kepada mana-mana buku itu,pada atau
atas apa-apa bahan, sama ada bahan
cetak atau elektronik atau
selainnya atau melalui apa-apa
media; atau
(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana
Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan
atau mengembangkan kumpulan sedemikian."
SOALAN: Apa hukum seseorang yang sembahyang sedangkan dia terlupa qunut atau tasyahud lalu dia turun sujud dan meletak segala anggota sujudnya atau bangun terus berdiri. Adakah dia diwajibkan kembali mendapatkan sunat yang terlupa tadi atau bagaimana?
– Othman bin Sulaiman,
Kg Laut Tumpat, Kelantan.
JAWAPANNYA:
Seseorang yang terlupa melakukan amalan sunat ab‘ad seperti qunut atau tasyahud awal itu, maka sekiranya dia telah melakukan rukun yang lain tidak wajib lagi baginya kembali mengerjakannya (sunat ab‘ad) tersebut, sama ada dia solat berjemaah atau seorang diri. Ini kerana mereka yang telah melakukan perkara wajib (rukun) dalam solatnya seperti sujud atau kiam tidak harus lagi baginya meninggalkan rukun tersebut untuk mengerjakan perkara sunat lagi. Kalau dia kembali juga dengan sengaja dan tahu haram hukumnya maka batallah solatnya sedangkan makmum di belakangnya tidak perlu mengucapkan tasbih malah wajib diikuti imamnya yang terlupa tadi dan mereka semua disunatkan sujud sahwi.
Sekiranya dia kembali naik untuk melakukan qunut atau turun untuk bertasyahud juga dengan sengaja serta tahu hukumnya maka batallah solatnya kerana menambah perbuatan berdiri atau duduk bukan pada tempatnya. Berlainan hukumnya kalau seseorang itu solat berjemaah dan mengikut imam, sedang dia terlupa atau tidak diketahuinya imam masih sujud lalu dia bangun dan melihat imamnya sedang sujud maka hukumnya wajib dia sujud lagi kerana mengikut imamnya. Tidak dikira berbilang sujudnya yang mana perbuatan itu dikira boleh membatalkan solat mereka yang munparid atau solat seorang diri. Ini kerana wajib bagi makmum yang terlupa itu mengikut imamnya kecuali kalau dia sengaja maka hukumnya adalah sunat sahaja. Malah kata ulama mengikut imam itu adalah wajib dan lebih utama dari meneruskan rukun atau fardu tersebut.
Kata mereka lagi, perbezaan antara keduanya (terlupa dan sengaja) ialah kerana yang sengaja tadi memang bertujuan baik dan ingin mendapatkan amalan solatnya yang tertinggal sedangkan yang terlupa tadi perbuatannya adalah tidak ada tujuan dan berlaku tanpa kasad dan tujuan, kerana amat keji perbuatan menyalahi imam tersebut. Sabda Nabi bermaksud: Hanya dijadikan imam itu untuk diikutinya (bukan untuk di salahi). Tetapi kalau imam itu kembali duduk pula untuk bertasyahud selepas berdiri kiam, maka tidak harus lagi makmum di belakangnya mengikutnya lagi, kerana kalau perbuatan imamnya sengaja maka batallah solatnya. Kalau terlupa, maka tidak harus juga makmum tadi mengikutnya malah hendaklah makmum itu bangun dan terus berdiri menunggu imamnya di sana dengan harapan dia (imamnya) terlupa, akan segera kembali berdiri lagi. Tetapi kalau imam meninggalkan qunut, maka makmum tersebut boleh melakukannya dengan terus berdiri dan meringkaskan bacaan qunutnya dan mendapatkan imamnya dalam sujud pertama.
Ini kerana dia (makmum) tidak mengerjakan apa-apa perbuatan yang tidak dikerjakan imamnya , tetapi dalam masalah tasyahud awal tadi lain pula hukumnya iaitu tidak diharuskan mengerjakannya, kerana kalau dikerjakan juga maka dia (makmum) melakukan perbuatan (duduk untuk bertasyahud) yang tidak dilakukan imamnya – (lihat I’anah attalibin jilid pertama muka 200). Wallahualam.
Murtad tidak boleh mempusakai harta SOALAN: Apakah mereka yang berlainan agama itu boleh mempusakai harta antara satu sama lain? Bagaimana kalau seorang anak yang jatuh murtad? Adakah dapat dia mempusakai harta ayahnya yang masih beragama Islam?
– Nurhidayah Sadun,
Bentong, Pahang.
JAWAPAN:
Dalam masalah memperoleh pesaka ini, ada tiga sebab yang menghalangi seseorang dari dapat mempusakai harta si mati iaitu pembunuhan, contohnya, cucu membunuh datuknya untuk cepat mendapat pusaka seperti yang diceritakan dalam surah al-Baqarah (ayat 67-73), berlainan anutan agama seperti contoh yang anda berikan (murtad) dan kehambaan.
Ulama ada membahagi empat kumpulan manusia dalam bahagian pusaka ini.
Pertama: Iaitu yang dapat mempusakai dan dipusakai seperti saudara dan bapa dengan anak.
Kedua, iaitu yang dapat mempusakai dan tidak dipusakai seperti para Nabi, mereka dapat mempusakai tetapi tidak dipusakai sebagaimana sabdanya bermaksud: Kami kumpulan Nabi hanya dapat memerima pusaka tetapi tidak boleh dipusakai kerana barang peninggalan kami itu adalah sedekah.
Ketiga iaitu hamba yang dimiliki separuh sahaja kerana mereka tidak dapat mempusakai tetapi segala hartanya yang dimiliki oleh kemerdekaan yang separuh lagi itu akan dipusakai.
Keempat iaitu hamba dan murtad, mereka tidak boleh mempusakai dan dipusakai.
Begitu juga tiga sebab atau faktor yang membolehkan seseorang itu mendapat pusaka. Pertama ialah pernikahan iaitu kontrak ikatan suami isteri.
Kedua wala’ iaitu pertalian nikmat tuan kepada hambanya.
Ketiga, hubungan keturunan seperti saudara-mara bapa dan anaknya dan lain-lain. Wallahualam.
- SEBARANG kemusykilan bolehlah dialamatkan kepada Kemusykilan Anda Dijawab, Yadim, Jalan Perdana 50480 Kuala Lumpur atau e-mel mingguan@utusan .com.my. Pembaca hendaklah menyatakan nama penuh dan nama samaran untuk siaran.
Nama mohd jamli. E-Mail ? mohdjamli@tv3.com.my. Anda ingin komen tentang apa? Hal Ehwal Islam Aduan Assalamualaikum
Saya ingin bertanya berkenaan trend skim cepat kaya internet seperti em-pay, swiss cash dan lain-lain. Apakah hukumnya dari segi syariah?
Kenapa tidak diwar-warkan di media massa oleh pihak JAKIM sekiranya perkara itu adalah haram bagi umat islam menyertainya.
Terima kasih. Jawapan
Secara umum Multi Level Marketing adalah suatu cara perniagaan alternatif yang berkaitan dengan pemasaran yang dilakukan melalui banyak level (tingkatan), yang biasa dikenal dengan istilah Upline (tingkat atas) dan downline (tingkat bawah), orang akan disebut Upline jika mempunyai Downline.
Pokok utama dari perniagaan MLM ini digerakkan dengan jaringan ini, sama ada yang bersifat vertikal atas bawah mahupun horizontal kiri kanan ataupun gabungan antara keduanya.
Kesatuan Fiqh Sedunia (Majma' Fiqh Islami) pernah mengeluarkan fatwa ke atas satu bentuk perniagaan MLM jenama PT Biznas yang disifatkan sebagai haram kerana ia adalah salah satu bentuk perjudian.
Selain itu, keputusan itu juga menafikan bahawa komisyen yang digunakan adalah komisyen atau upah brokerage sebagaimana didakwa.
Selain itu, Syeikh Salim Al-Hilali pernah mengeluarkan fatwa pengharaman dengan katanya : "Banyak pertanyaan berkenaan perniagaan yang diminati ramai.
Yang secara umum gambarannya adalah mengikuti kaedah piramid dalam sistem pemasarannya, dengan cara setiap anggota harus mencari ahli-ahli baru dan demikian selanjutnya.
Setiap anggota membayar yuran pada syarikat dengan jumlah tertentu dengan angan-angan mendapat bonus, semakin banyak anggota dan memasarkan produknya maka akan semakin banyak bonus yang dijanjikan.
Sebenarnya kebanyakan anggota MLM yang menyertai cara ini adalah hasil motivasi bonus yang dijanjikan tersebut dengan harapan agar cepat kaya dalam waktu yang sesingkat mungkin, padahal ia langsung tidak menginginkan produknya. Perniagaan jenis ini adalah perjudian murni, kerana beberapa sebab berikut, iaitu:
1. Sebenarnya anggota MLM ini tidak mahukan produknya, akan tetapi tujuan utama mereka adalah menyertai rangkaian piramid bagi mendapatkan kekayaan cepat apabila setiap ahli baru membayar yuran.
2. Harga produk yang dibeli sebenarnya tidak sampai 30% dari wang yang dibayarkan pada syarikat MLM.
3. Tujuan perusahaan adalah membangun jaringan individu secara berkesinambungan. Yang mana ini akan menguntungkan anggota yang berada pada level atas (Upline) sedangkan level bawah (downline) selalu memberikan nilai point pada yang berada dilevel atas mereka.. Status Selesai. Nombor Rujukan 1/3/2007 Tarikh
Nota: 1. Aduan Awam ini akan diteliti dan dijawab oleh Pegawai Perhubungan Awam, JAKIM. 2. Setiap borang yang dihantar hendaklah mengandungi hanya satu aduan sahaja. 3. Jawapan yang diberikan adalah secara rasmi oleh pihak JAKIM kecuali dinyatakan sebaliknya. 4. Borang ini mestilah menggunakan Browser Internet Explorer..
Hukum menanam gigi, gigi palsu sehingga ke akhir hayat. Bolehkah daging korban diagihkan kepada musafir, penduduk tetap yang sudah bermastautin sehingga menjadi ahli kariah? Adakah lebih afdal jika yang berkorban mensedekahkan daging korban mereka?
Ali
Kuala Lumpur
Diriwayatkan seorang sahabat kehilangan batang hidungnya ketika peperangan pada zaman Rasulullah SAW dan menggantikannya dengan hidung palsu diperbuat daripada besi. Malangnya beliau tidak selesa dengan hidung barunya kerana selalu mengeluarkan bau tidak menyenangkan. Beliau memohon perkenan Rasulullah untuk menggunakan emas sebagai ganti hidung besinya. Rasulullah memberi kebenaran berbuat demikian.
Ia salah satu dalil diharuskan menanam gigi palsu bahkan dengan emas sekalipun kerana ia dapat menolong orang kehilangan gigi dalam menjalankan aktiviti harian mulutnya. Jika menanam gigi palsu tidak dibenarkan ia akan membawa kepada kesulitan dan kesusahan bagi manusia yang kehilangan gigi sedangkan Islam datang untuk mengangkat kesulitan atau kesusahan manusia.
Penanaman gigi palsu sama ada sementara mahupun kekal boleh dilakukan demi kemaslahatan penanam. Apabila meninggal dunia, jika gigi palsu itu sementara maka ia perlu dicabut sebelum memandikan mayatnya. Tapi jika gigi palsu kekal, tidak perlu dicabut kerana akan menyusahkan si mati.
Sementara itu, mengenai pengagihan daging korban, ada disyariatkan dalam al-Quran bermaksud: “Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang korban itu dan berilah makan kepada orang susah, fakir miskin.” (Surah al-Hajj: 28)
Berdasarkan ayat ini, ada ulama berpendapat daging korban dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu untuk dimakan, disedekah dan dihadiahkan. Berikutan itu, daging korban boleh diberikan kepada sesiapa saja yang berhak menerimanya sama ada sebagai jamuan, sedekah atau hadiah tidak kira siapa orangnya.
Kini daging korban diagih melintasi negara dengan projek korban antarabangsa bukan lagi satu kariah. Korban adalah syiar Islam sejagat. Ia lambang perpaduan umat yang sesama mereka wujud satu jalinan perhubungan persaudaraan dalam pengagihan daging korban itu. Bagi orang melakukan korban, ada hikmahnya dan penerima korban juga ada hikmahnya.
Lebih afdal jika semua daging korban disedekahkan kerana ia lebih dekat kepada takwa dan boleh membersihkan hati dan jiwa daripada sifat tamak dan kikir.
Dengan mensedekahkan semua daging korban, orang yang melakukan ibadat itu merelakan sebahagian hartanya diberikan kepada orang berhak menerimanya. Kerelaan hati itu adalah pengajaran berharga dalam membersihkan hati dan jiwa. Wallahuallam.
Islam benarkan Sohibul Jabirah jika wujud halangan dari segi perubatan
SOLAT adalah Rukun Islam terpenting, kerana itu Allah menjemput Rasulullah SAW datang sendiri menerima perintah mendirikan solat daripada Allah dalam peristiwa Israk dan Mikraj.
Solat juga adalah ibadah pertama dihisab di hari kiamat. Rasulullah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Tabarani yang mafhumnya: “Amal seorang hamba paling awal dihitung pada hari kiamat ialah solat. Jika solatnya baik maka baiklah seluruh amalnya, sebaliknya jika rosak solatnya maka rosaklah seluruh amalnya".
Rasulullah berpesan pada saat akhir sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, sebelum meninggalkan dunia yang fana ini dan menuju alam baka untuk bertemu dengan Allah supaya sentiasa menjaga solat. Bahkan dalam mafhum hadis yang lain Rasulullah menegaskan tanda yang dapat membezakan seseorang dengan kekufuran ialah meninggalkan solat.
Sebagai tanda begitu pentingnya ibadat solat ini, maka ia tidak akan berjaya melaksanakannya tanpa memperhatikan kesucian dan kebersihan. Maka, syarat yang pertama perlu diperhatikan ialah bersuci terutama sekali wuduk. Kesempurnaan wuduk akan menentukan kesempurnaan solat.
Oleh itu, hendaklah mengetahui perkara rukun, sunat dan perkara yang membatalkan dalam berwuduk. Wuduk bermaksud membasuh dan menyapu anggota tertentu dengan air dan dilaksanakan mengikut cara yang tertentu dengan niat berwuduk.
Rukun Wuduk
1. Niat ketika mula membasuh muka. 2. Membasuh muka. 3. Membasuh dua tangan hingga ke siku. 4. Menyapu kepala dengan air, sekurang-kurangnya tiga helai rambut pada had kepala. 5. Membasuh dua kaki hingga ke dua buku lali. 6. Tertib.
Amalan Sunat Wuduk
1. Membaca Bismillah. 2. Membasuh dua tangan hingga ke pergelangan tangan. 3. Berkumur. 4. Menyedut air ke dalam hidung. 5. Melebihkan kawasan basuhan tangan hingga ke atas siku. 6. Menyapu air seluruh kepala bagi lelaki dan separuh kepala bagi wanita. 7. Menyapu air seluruh telinga luar dan dalam, sebaik-baiknya ketika menyapu kepala hendaklah disertakan menyapu telinga. 8. Menyelati janggut yang tebal. 9. Menyelati jari tangan dan kaki. 10. Melebihkan kawasan basuh kaki hingga ke atas buku lali. 11. Mendahului anggota kanan dari anggota kiri. 12. Membasuh dan menyapu sebanyak tiga kali. 13. Muwalat (berturutan).
Perkara yang membatalkan wuduk:
1. Keluar sesuatu dari qubul atau dubur. 2. Tidur tanpa menetapkan kedudukan punggungnya. 3. Hilang akal. 4. Menyentuh zakar, faraj atau dubur manusia dengan tapak tangan atau perut jari tangan. 5. Bersentuhan kulit di antara lelaki dan perempuan yang harus berkahwin. Menurut satu pandangan dalam Mazhab al-Shafie, hanya batal wuduk jika bersentuh dengan syahwat.
Pendapat yang kedua ini yang kita pakai ketika berada di Tanah Suci Makkah semasa melaksanakan ibadat haji kerana keadaan yang terlalu sesak yang menyebabkan sukar untuk mengelak daripada bersentuhan antara lelaki dan perempuan.
Bagi mereka yang berhalangan untuk berwuduk, terutama kerana ketiadaan air, sakit atau sebagainya, maka hendaklah bertayamum. Tayamum adalah menyapu debu tanah yang suci ke muka dan ke tangan hingga ke siku dengan niat dan syarat tertentu.
Tayammum digunakan sebagai gantian kepada wuduk dan mandi wajib disebabkan keuzuran, berhalangan menggunakan air atau tidak terdapat air.
Rukun dan cara tayamum
1. Niat.
'Sahaja aku bertayamum untuk mengharuskan kefarduan solat kerana Allah'
2. Menepuk dua tapak tangan dengan keadaan jari terbuka ke debu tanah. Menipiskan debu dengan mengetuknya dan seterusnya menyapukan ke muka serta berniat.
3. Menepuk dua tapak tangan dengan keadaan jari terbuka ke debu tanah dan menipiskan debu dengan mengetuknya dan seterusnya menyapukan ke dua tangan hingga ke siku.
4. Tertib.
Perhatian:
1. Cara bertayamum untuk hadas kecil dan hadas besar adalah sama.
2. Satu tayamum hanya untuk satu perkara wajib dan beberapa sunat.
3. Solat dengan tayamum kerana ketiadaan air tidak perlu diulangi selepas diperolehi air walaupun waktu solat itu masih ada.
Satu perkara yang perlu diketahui mengenai bersuci ini ialah apabila seseorang luka atau patah yang terpaksa dibalut, dibelat atau seumpamanya seperti simen dan lain-lain. Maka cara berwuduk ini dikenali sebagai wuduk Sohibul Jabirah.
Sohibul Jabirah ialah orang yang ada balutan atau tempelan yang diletakkan kerana keperluan perubatan. Balutan atau tempelan itu menghalang air sampai ke kulit.
Jika balutan dan tempelan itu pada anggota wuduk, dia hendaklah berwuduk seperti biasa, menyapu air ke atas balutan dan bertayamum bagi menggantikan bahagian yang tidak dapat sampai air itu.
Contoh: Jika balutannya pada jari, dia hendaklah berwuduk seperti biasa dan ketika membasuh tangan dia hendaklah membasuh bahagian tangan yang boleh menerima air dulu, menyapu air ke atas balutan tersebut dan jari yang berbalut itu boleh diganti dengan tayamum kemudian barulah dia menyapu kepalanya. Begitulah yang dia perlu lakukan pada balutan membabitkan anggota wuduk yang lain.
Dia wajib mengqadakkan semula solatnya jika:
a. Balutan itu di atas anggota tayamum.
b. Ketika balutan diletakkan dia tidak di dalam keadaan suci.
c. Balutan itu melebihi had yang sepatutnya.
Berdasarkan pandangan kedua Imam Syafie, Sohibul Jabirah hendaklah berwuduk seperti biasa dan hanya menyapu air pada balutan tersebut. Dia digalakkan mengqadakan solatnya selepas dia sembuh.
Tayamum dan Wuduk Sohibul Jabariah serta pemasalahan:
Berdasarkan pendapat Muqabil al-Azhar dalam Mazhab al-Syafie pendapat al-Hanafiyyah dan al- Malikiyah, Sohibul Jabirah hanya perlu membasuh anggota wuduknya yang sihat dan menyapu pada Jabirahnya (balutan). Adalah digalakkan untuk melakukan i'adah (mengulangi) solat yang dilakukan dengan wuduk Sohibul Jabirah.
FAKTA Keuzuran izinkan tayamum
Ketiadaan air.
Ada air tetapi tidak dapat digunakan kerana sukar mengambilnya atau untuk kegunaan makan dan minum atau harganya mahal.
Sakit yang mudarat jika digunakan air.
Syarat sah tayamum
Masuk waktu solat.
Menggunakan debu tanah yang suci dan tidak mustakmal (telah digunakan).
Sudah berusaha untuk mendapatkan air selepas masuk waktu solat.
Bersama: MOHD. FARID RAVI ABDULLAH SOALAN 1 Sahkah wuduk dan sembahyang jika kita memakai kanta lekap?
JAWAPAN:Wuduk dan sembahyang orang yang memakai kanta lekap adalah sah. Ini kerana kanta lekap itu di letakkan di dalam mata, sedangkan ruang dalam mata tidak termasuk kawasan wuduk. Allah s.w.t. berfirman di dalam menetapkan anggota wuduk dalam firman yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, Maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai dengan siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki. (al-Maidah: 6).
Mungkin kekeliruan timbul apabila muka termasuk dalam anggota wuduk sedangkan mata tempatnya di muka. Walaupun mata tempatnya di muka, ini tidaklah bermaksud kawasan dalam mata itu termasuk anggota wuduk. Air hanya perlu sampai ke kawasan kelopak mata bukannya ke dalam mata.
SOALAN 2 Kerap kali bila saya solat, saya terbatuk hingga terkeluar air kencing. Ketika sujud, saya terasa air kencing terkeluar sedikit. Adakah solat saya batal? Adakah saya perlu wuduk dan solat semula kerana ia berlaku secara tidak sengaja?
JAWAPAN:Maksud hadis Rasulullah s.a.w: Ada yang mengadu kepada Rasulullah bahawa dia merasa ada sesuatu yang keluar dari saluran qubul dan dubur dalam solat, lalu baginda bersabda, jangan kamu tinggalkan solat selagi mana kamu tidak mendengar bunyi atau menghidu bau. (Riwayat Muslim, jld:1, hlm: 276.).
Dalam hadis yang lain apabila ada sahabat yang mengadu keluar air mazi dari kemaluannya, maka baginda bersabda: “Maka hendaklah dia membasuh kemaluannya dan berwuduk.”
Dalam matan Abi Syuja’ yang bermazhab al-Syafie telah menyatakan: “Setiap air yang keluar dari dua saluran qubul dan dubur adalah najis kecuali air mani. Membasuh semua jenis kencing adalah wajib kecuali kencing anak lelaki yang belum memakan makanan selain susu ibunya. (Mukhtasar Abi Syuja’, hlm:15 ).
Mengikut pandangan al-Khatib asl-Syarbayni menyebut, “dikira membatalkan wuduk apa-apa sahaja yang keluar dari qubul atau dubur sama ada angin atau apa yang boleh dilihat dengan mata kasar (termasuklah air kencing)”.
Berdasarkan nas-nas di atas berserta dengan pandangan ulama al-Syafieyah dapatlah difahami bahawa setiap sesuatu yang keluar daripada dua saluran samaada qubul dan dubur maka hendaklah dibasuh dan berwuduk.
Jika sebelum itu dia berwuduk maka batallah wuduknya. Dalam persoalan yang ditanya oleh saudara jelas bahawa wuduk saudara terbatal, ini kerana saudara dapat merasakan sesuatu keluar dari kemaluan. Dalam keadaan ini saudara hendaklah membasuh kemaluan serta pakaian yang terkena kencing tadi dengan air yang bersih kemudian mengulangi solat yang terbatal tadi.
Sekiranya saudara memang mempunyai penyakit batuk dan setiap kali saudara batuk terkeluar air kencing dari kemaluan, maka dalam keadaan ini ulama memberi satu penyelesaian, iaitu saudara bolehlah merenjiskan sedikit air pada kain atau seluar saudara ketika beristinjak, sebelum berwuduk kemudian solat seperti biasa.
Sekiranya saudara batuk dan terasa sesuatu keluar dari kemaluan yakinlah yang terasa basah itu adalah air yang direnjiskan sebelum berwuduk. Keadaan ini hanya diharuskan bagi mereka yang mempunyai penyakit seperti kencing tidak lawas. Kaedah ini juga boleh dikiaskan kepada masalah saudara.
SOALAN 3 Apakah status perkahwinan seorang isteri yang ditinggalkan suami selepas 10 tahun tanpa nafkah untuk dirinya dan anak-anak? Perlukah mereka rujuk kerana pernah duduk serumah tanpa merujuk kembali setelah 10 tahun ditinggalkan?
JAWAPAN: Menjadi tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isterinya. Adalah wajib ke atas suami memastikan isterinya mendapat nafkah zahir dan batin. Nafkah ini disediakan oleh suami mengikut kemampuannya. Ini jelas dalam al-Quran, firman Allah yang bermaksud: Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang makruf atau menceraikan dengan cara yang baik… (al-Baqarah: 229). Dalam ayat yang lain Allah berfirman yang bermaksud: Maka rujuklah mereka dengan cara yang makruf, atau ceraikanlah mereka dengan cara yang makruf… (al-Baqarah:231). Berdasarkan ayat di atas, Allah memberi pilihan kepada para suami dua perkara iaitu yang pertama menjaganya dengan baik (makruf) atau melepaskannya dengan baik. Dikira tidak baik (ihsan) meninggalkan isteri dalam keadaan tergantung. Maka yang demikian itu akan memudaratkan isteri serta mendedahkannya kepada fitnah, sedangkan Allah menegah menahan seseorang isteri dengan tujuan memudaratkan. Adapun apa yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab, beliau berkata : “Mana-mana wanita yang kehilangan suaminya sedang dia (si isteri) tidak mengetahui ke mana perginya suami tadi maka hendaklah dia (si isteri) menanti selama empat tahun, kemudian beridah (menambah tempoh) selama empat bulan sepuluh hari kemudian dia adalah halal (boleh dinikahi).” (al-Zarqaniy, jld:3, hlm:199).
Berpandukan pandangan Umar, jelas isteri itu boleh kahwin lain kerana mengikut cerita, emak saudara kamu ditinggalkan lebih 10 tahun. Tetapi di negara kita seorang isteri hendaklah melaporkan ke Mahkamah Syariah bahawa suaminya tinggalkan dia selama 10 tahun tanpa nafkah zahir. Sebab itu dalam borang akad nikah adanya lafaz ta’lik, apabila suami meninggalkan isteri selama tiga bulan qamariah tanpa sebarang nafkah daripada si suami, wakilnya atau saudara-maranya sedang si isteri itu taat kepadanya, maka si isteri bolehlah mengadu kepada mahkamah dan membayar RM1 maka jatuhlah talak satu. Dalam kes begini, kadi atau hakim berkuasa menfasakhkan perhubungan mereka sebagai suami isteri. Semua ini diperuntukan bagi isteri yang dianiaya suami.
Status sebagai isteri tidak gugur selagi tidak mengadu kepada mahkamah atau kadi mengenai keadaannya yang ditinggalkan suami. Walaupun si suami tidak meninggalkan nafkah. Sekarang ini si isteri berhak untuk meminta suami mengqadakan tanggungjawabnya yang diabai selama 10 tahun. Perbuatannya meninggalkan isteri tanpa nafkah adalah berdosa. Jika si suami hari ini senang (berharta) maka bolehlah meminta dia membayar balik kos yang ditanggung oleh isteri. Sekiranya isteri dan anak-anak boleh memaafkan dia dengan melihat kepada keadaannya yang susah itu terpulang kepada si isteri dan anak-anak. Sekiranya si isteri tidak menuntut fasakh atau menuntut khulu’ maka mereka masih suami isteri yang sah sah walaupun emak saudara kamu ditinggalkan selama 10 tahun.
SOALAN Hukum mengenai qada sembahyang dan bayar fidyah puasa bagi si mati.
JAWAPAN
Tidak diqadakan dan juga tidak dikeluarkan fidyah bagi sembahyang si mati. Manakala hukum fidyah puasa, sekiranya orang yang mati sedang menanggung puasa fardu dan berkesempatan untuk menqadakannya tetapi ia tidak berbuat demikian maka dikenakan fidyah bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan sebanyak 15 tahil beras. Jika puasa itu tidak diqadakan lewat bertahun maka fidyah akan berganda mengikut bilangan tahun.
Keterangan lanjut:
Terdapat tiga pendapat mengenai hukum fidyah sembahyang di dalam mazhab Shafie, antaranya;
i) Tidak diqadakan dan juga tidak dikeluarkan fidyah bagi sembahyang si mati.
ii) Diqadakan sembahyang si mati oleh waris atau kerabatnya, boleh dikeluarkan harta peninggalan si mati bagi tujuan tersebut tetapi tiada dibayar fidyah.
iii) Boleh dibuat fidyah ke atas setiap waktu yang ditinggalkan oleh si mati dengan kadar 15 tahil beras setiap sembahyang. Yang muktamad adalah pendapat pertama.
Sumber: Dr. Yusuf al-Qardawi, Fatwa Masa kini (Terjemahan 1 & 2), Pustaka Salam Sdn. Bhd..
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Sekretariat Sudut Hukum IKIM di talian 03-6204 6219 dan 03-6204 6253 atau layari laman web www.ikim.gov.my/sud uthukum.
SOALAN 1 Saya mempunyai masalah gusi berdarah. Semasa bulan puasa saya selalu meludah dan berkumur untuk mengurangkan penghidratan (kekurangan air). Bolehkah saya berpuasa cara begini?
JAWAPAN: Perbuatan berkumur di bulan Ramadan tidak membatalkan puasa. Ini kerana di dalam bab wuduk, jumhur ulama mengharuskan berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung. Yang demikian itu hanya sunat. Dalam keadaan saudara sudah semestinya lebih memerlukan kerana beberapa sebab jika tidak berkumur mulut menjadi kering dan menyebabkan pendarahan gusi, yang keduanya mulut akan mengeluarkan bau yang tidak baik dan menyebabkan pergaulan terhad risau orang lain juga tidak senang bau tersebut, walaupun bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih harum daripada haruman misk (jasmine ).
Mencari jalan untuk menghalang atau mengurangkan adalah lebih baik.
Pandangan ini dipersetujui oleh mazhab al-Syafie dalam salah satu pendapatnya, Ahmad bin Hanbal, Ishaq, al-Auzaie. (al-Mufassal, Dr. Abdul Karim Zaidan, jld:2, hlm:52).
Kesimpulannya puasa saudara sah. Berkumurlah jika keadaan benar-benar memerlukan, kerana sesuatu darurat itu diberi kelonggaran mengikut kadarnya.
SOALAN 2 Bagaimanakah niat solat sunat taubat dan cara-cara mengerjakannya. Selalunya saya mengerjakan solat sunat hajat, tetapi tidak mencukupi buat diri saya. Harap dapat penjelasan secara terperinci.
JAWAPAN: Syabas dan tahniah ustaz ucapkan kepada saudari yang berusaha untuk menjadi seorang muslimah solehah. Pertamanya saudari kena banyak bersyukur kepada Allah s.w.t. di atas petunjuk dan hidayah-Nya yang mengembalikan saudari kepada jalan yang diredai-Nya. Mudah-mudahan usaha murni saudari sentiasa dipandu oleh Allah s.w.t.
Solat sunat taubat boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja asalkan bukan dua waktu berikut iaitu selepas solat subuh dan selepas solat asar. Niatnya pula, “Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah s.w.t.” Cara pelaksanaannya ialah pada rakaat pertama baca surah al-Fatihah kemudian bacalah surah al-Kafirun (sekali). Pada rakaat kedua pula mulakan dengan surah al-Fatihah kemudian bacalah surah al-Ikhlas (sekali) atau apa-apa surah yang saudari hafal.
Adapun taubat merupakan perintah Allah s.w.t. di dalam al-Quran secara jelas. Firman Allah yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuha (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. (al-Tahrim:8 ).
Melalui ayat ini dan beberapa ayat yang lain ulama berpendapat bahawa segera kepada taubat adalah wajib. Tidak ada seorang pun di kalangan kita yang tidak berdosa. Adapun dalam taubat ulama telah meletakkan beberapa syarat seperti berikut;
a) Mengqadakan amalan-amalan fardu yang tertinggal, b) Menyesal terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan pada masa lalu, c) Mengembalikan hak orang yang dizalimi, d) Meminta dihalalkan sekiranya terambil atau termakan hak orang lain, e) Berazam tidak akan kembali kepada dosa dan maksiat, f) Didiklah diri kamu di dalam mentaati Allah s.w.t. seperti mana kamu pernah mendidiknya di dalam melakukan maksiat kepada Allah s.w.t..
Tangisilah atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan, berazamlah dengan janji kepada diri sendiri bahawa tidak akan mengulanginya dan ingatlah bahawa keampunan Allah s.w.t..
Mudah-mudahan pada bulan yang penuh keberkatan ini, Allah s.w.t. memudahkan serta menetapkan hati saudari kembali kepada keluasan keampunan-Nya.
- Sebarang soalan untuk ruangan Kemusykilan Agama boleh dihantar melalui e-mel ke agama@utusan.com.my atau ke Ruangan Agama, Utusan Malaysia, 46M, Jalan Lima, Off Jalan Chan Sow Lin,55200 Kuala Lumpur. Faksimile: 03-9222 4967.
Bolehkah seseorang yang sakit mengambil suntikan pada bulan puasa serta sahkah puasa orang sakit yang memasukkan ubat ke dalam telinganya?
Bagaimana pula seorang perempuan bercelak pada waktu pagi di dalam bulan Ramadan, adakah ini dibolehkan?
JAWAPAN
Berkenaan dengan suntikan pada bulan Ramadan, ada beberapa jenis suntikan. Sebahagiannya bertujuan untuk perubatan dan rawatan, sama ada pada urat leher atau anggota di kulit. Tidak ada sebarang perselisihan di dalam masalah ini. Ia tidak sampai ke dalam perut dan tidak mengenyangkan. Oleh itu, orang yang disuntik itu tidak perlu berbuka.
Terdapat satu jenis lagi ubat suntikan yang boleh mengenyangkan dan menyegarkan tubuh badan seperti glukos. Ia boleh mengenyangkan kerana bersambung dengan darah secara langsung.
Ulama salaf tidak mengetahui jenis-jenis rawatan dan ubat-ubat ini, begitu juga sahabat dan tabiin. Perkara seumpama ini adalah ciptaan moden. Sebab itulah ulama sekarang tidak bersependapat dalam masalah ini.
Sebahagiannya berpendapat ia membatalkan puasa kerana makanan sampai secara langsung melalui darah ke dalam tubuh. Lagipun ia mengenyangkan. Makanan itu sampai ke tempat yang paling akhir dalam pemakanan iaitu darah. Sebahagiannya pula berkata ia tidak membatalkan puasa, walaupun ia sampai ke dalam darah. Yang dimaksudkan dengan berbuka itu ialah makanan yang sampai ke dalam perut dan menyebabkan rasa kenyang.
Apa yang dituntut dalam ibadat puasa itu ialah menahan diri daripada makan dan syahwat faraj. Ertinya manusia merasa lapar dan dahaga. Oleh itu suntikan makanan jenis ini tidak membatalkan puasa, mengikut pendapat ulama ini.
Saya cenderung kepada pendapat yang akhir ini. Walaupun begitu, saya berpendapat setiap orang Islam mesti berhati-hati pada siang hari pada bulan Ramadan agar tidak mengambil suntikan ini. Dia boleh mengambilnya selepas berbuka. Jika dia sakit, dia diharuskan berbuka.
Sebabnya, suntikan ini, walaupun tidak mengenyangkan dengan cara makan dan minum secara perbuatan, tetapi sekurang-kurangnya membuatkan seseorang itu merasa cergas dan dapat menghilangkan keletihan. Apa yang dikehendaki Allah daripada puasa ialah rasa lapar dan dahaga. Ia bertujuan untuk menilai nikmat Allah ke atas manusia, juga untuk menghayati penderitaan orang-orang yang berada dalam kesusahan.
Jika kita memberi kelonggaran di dalam masalah ini, nescaya orang kaya akan mengambil peluang dengan menggunakan cara ini untuk mendapatkan kecergasan tanpa merasa lapar dan penderitaan berpuasa. Adalah lebih baik bagi orang yang berpuasa menangguhkan suntikan sehingga selepas berbuka puasa. Ini adalah jawapan bagi masalah pertama.
Bagi soalan yang kedua dan ketiga, iaitu memasukkan ubat ke dalam telinga dan bercelak pada siang hari di dalam bulan Ramadan, hukumnya sama juga dengan hukum suntikan. Walaupun sampai ke dalam perut, tetapi tidak mengenyangkan seperti kebiasaan makan dan minum. Ia juga tidak dapat menghilangkan keletihan atau seumpamanya. Ulama dahulu dan sekarang tidak bersependapat di dalam masalah ini, sama ada hendak memperkuat hukum atau melonggarkannya.
Sebahagian ulama berpendapat ia membatalkan puasa. Sebahagiannya pula berpendapat ia tidak membatalkan puasa kerana ia tidak mengenyangkan seperti kebiasaannya. Saya menyokong pendapat ini. Maksud saya, penggunaan celak, dan yang seumpamanya yang dititiskan ke dalam mata, menitiskan ubat ke dalam telinga, memasukkan ubat ke dalam dubur bagi pesakit buasir atau seumpamanya, termasuklah menyuntik di saluran dubur, semuanya ini digunakan oleh orang yang mengadu sakit untuk berbuka. Saya berpendapat semuanya ini tidak membatalkan puasa.
Pendapat ini juga telah dipilih oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiah dalam fatwanya, yang mana beliau menyebut tentang percanggahan pendapat ulama di dalam hal ini. Beliau mengatakan: “Yang jelasnya, semua ini tidak membatalkan puasa. Puasa menurut Islam perlu kepada pengertiannya secara khusus dan umum. Jika hal ini diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya ketika berpuasa, dan ia membatalkan puasa, nescaya Rasulullah akan menerangkannya; begitu juga para sahabat akan menyampaikannya kepada orang ramai, sebagaimana disampaikan semua syariat Islam kepada umat Islam. Para ulama juga tidak meriwayatkan mana-mana hadis sama ada hadis sahih, daif, musnad atau mursal, yang menyebut masalah.
Beliau berkata lagi bahawa hadis yang menyebut tentang bercelak adalah daif. Dan Yahya bin Muin berkata: Ia adalah hadis yang ditolak.
Fatwa Ibnu Taimiah ini meliputi dua perkara: Pertama: Hukum-hukum yang meliputi mukalaf dan perlu diketahui oleh semua orang wajib disampaikan dan diterangkan kepada umatnya. Rasulullah diutuskan kepada manusia untuk memberi penjelasan terhadap apa yang diturunkan kepada mereka.
Firman Allah: Dan kami turunkan kepadamu al-Quran, agar kamu menerangkan kepada manusia apa yang Lelah diturunkan kepada mereka. (An-Nahl: 44)
Kedua: Bercelak, menitiskan ubat ke dalam telinga dan seumpamanya adalah amalan yang selalu digunakan oleh manusia sejak dahulu lagi. Ia meliputi semua mukalaf. Keadaannya sama dengan keadaan mandi, menggosok minyak, mengewap, memakai minyak wangi dan seumpamanya. Jika semua ini membatalkan puasa, nescaya Rasulullah telah menerangkannya sebagaimana baginda menerangkan hal-hal yang membatalkan puasa.
Ibnu Taimiah berkata: “Wap itu masuk ke dalam hidung, terus ke otak dan bercampur di dalam badan.” Begitu juga di dalam masalah memakai wangian, Rasulullah tidak mencegah semua ini. Ini bermakna harus menggunakannya... Bercelak tidak mengenyangkan kerana ia tidak sampai ke dalam perut. Begitu juga, suntikan (di saluran dubur) tidak mengenyangkan bahkan akan mengosongkan perut, sama seperti mencium ubat pencuci perut atau terkejut yang sampai mengecutkan perutnya... Ia tidak sampai ke tempat penghadaman.”
Pendapat inilah yang lebih baik dengan kefahaman sebagaimana yang tersebut dalam Fiqh Islam. Kami berpegang pada pendapat ini.
Sumber: Dr. Yusuf al-Qardawi, Fatwa Masa kini (Terjemahan 1 & 2), Pustaka Salam Sdn. Bhd. (03-6186 9469)
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Sekretariat Sudut Hukum IKIM di talian 03-6204 6219 dan 03-6204 6253 atau layari laman web www.ikim.gov.my/suduthukum
SOALAN: Berapakah jarak yang diharuskan berbuka bagi orang yang bermusafir? Benarkah jaraknya 81 kilometer?.
Bolehkah dia membuka puasanya sedangkan dia tidak menghadapi sebarang kesulitan dan kerumitan semasa perjalanan?
JAWAPAN
Orang yang bermusafir diharuskan berbuka sebagaimana firman Allah: Dan barang siapa sakit dalam perjalanan, lalu dia berbuka, maka wajiblah baginya berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain. (al-Baqarah: 184)
Para fuqaha tidak bersependapat dalam masalah menentukan kadar jarak perjalanan. Ramai ulama bersetuju bahawa kadarnya lebih daripada 81 kilometer. Jarak ini adalah jarak yang diharuskan sembahyang qasar. Untuk mengharuskan berbuka, mengikut kebanyakan mazhab, jaraknya lebih kurang 84 kilometer. Tidak ada hadis yang menerangkan kadar jarak ini, juga tiada pendapat sahabat tentangnya. Tidak ada sukatan meter dan kilometer. Kedua-dua sukatan ini adalah sukatan yang tepat.
Sesetengah ulama tidak mensyaratkan jarak yang diharuskan berbuka. Mereka berpendapat bagi perjalanan yang dianggap musafir, jaraknya dikira jarak musafir yang mengharuskan berbuka dan sembahyang qasar. Inilah yang terdapat dalam al-Quran dan hadis. Dia diberi pilihan sama ada meneruskan puasanya atau berbuka.
Sahabat Rasulullah yang bermusafir bersama-sama baginda telah berkata: “Sebahagian daripada kami berpuasa dan yang lainnya berbuka. Orang yang tidak berpuasa tidak mempelawa air kepada orang yang berpuasa dan begitulah sebaliknya.”
Akan tetapi musafir yang menghadapi kesusahan dan penderitaan dalam perjalanannya makruh berpuasa, dan ada kalanya boleh menjadi haram hukumnya.
Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w. tentang lelaki yang berpuasa sedangkan perjalanannya sentiasa dibayangi oleh kesusahan dan penderitaan yang teruk. Nabi bertanya sahabat tentang lelaki itu, mereka menjawab: “Dia berpuasa.” Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Tiada kebajikan berpuasa dalam musafir. (Bukhari)
Pengecualian ini diberi kepada orang yang sangat susah dan menempuh penderitaan ketika berpuasa. Sesiapa yang tidak ada masalah untuk berpuasa, iaitu tidak ada perkara yang menyusahkannya, dia diberi pilihan sama ada untuk berpuasa atau tidak. Akan tetapi yang manakah lebih baik antara kedua-duanya?
Ulama tidak bersependapat dalam masalah ini. Sesetengahnya mengatakan berpuasa lebih baik dan sesetengahnya pula berpendapat berbuka lebih baik. Umar bin Abdul Aziz berkata: “Yang lebih mudah adalah yang lebih baik.”
Sesetengah orang berpendapat berpuasa lebih mudah kerana dapat berpuasa bersama-sama orang yang berpuasa agar tidak perlu menggantikan puasa ketika mana orang lain tidak berpuasa. Dengan ini kami katakan: Berpuasalah.
Ada juga yang berpendapat bahawa berbuka lebih mudah pada bulan Ramadan. Musafir akan dapat melakukan beberapa perkara, menunaikan hajatnya dan dapat bergerak dengan mudah untuk menunaikan apa yang disyarakkan dan diharuskan Allah kepadanya. Oleh itu kami katakan: Berbukalah dan gantilah puasa pada hari yang lain. Mana yang lebih menyenangkannya adalah lebih baik.
Diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Hamzah Ibnu Amir Al-Aslami yang mengatakan, Aku berkata kepada Rasulullah: Saya mempunyai binatang tunggangan dan saya selalu menggunakannya untuk bermusafir. Saya sering juga bermusafir dalam bulan Ramadan tetapi saya mampu berpuasa. Saya seorang pemuda. Saya lebih mudah berpuasa daripada berbuka, dan kalau saya berbuka, itu akan menjadi hutang bagi saya. Bolehkah saya berpuasa ya Rasulullah? Atau saya berbuka? Yang mana lebih besar pahalanya?” Rasulullah menjawab: “Pilihlah yang mana satu engkau suka wahai Hamzah.” Maksudnya, pilihlah mana yang lebih memudahkan.
Hadis lain diriwayatkan oleh An-Nasai, katanya: “Saya mampu berpuasa, adakah dikira berdosa?” Jawab Rasulullah: Berbuka adalah untuk kemudahan engkau. Sesiapa yang berbuka, itu adalah baik baginya. Sesiapa yang hendak terus berpuasa, tidak berdosa baginya.
Inilah yang disyarakkan Allah kepada orang musafir. Tidak ada syarat yang berbuka ketika bermusafir. Tidak kira sama ada menghadapi kesulitan atau tidak kerana hukum musafir itu sahaja membolehkan berbuka.
Allah tidak mensyaratkan kesulitan yang dihadapi pada musafir itu. Jika Allah mengenakan syarat kesulitan itu, nescaya ramai orang yang akan berbalah dalam masalah ini. Bagi sesiapa yang hendak berpuasa, dia boleh meneruskan puasanya walaupun itu akan menyusahkan dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah tidak mahu memberatkan hamba-Nya.
Oleh itu, Allah mengenakan syarat hukum berbuka ketika musafir itu sendiri, walaupun musafirnya itu dengan menaiki kapal terbang, kereta api atau kereta.
Yang menjadi permasalahannya ialah dia dikira berhutang iaitu wajib menggantikan puasanya pada hari-hari yang lain. Maksudnya, hari yang ditinggalkannya itu menjadi hutang bertangguh yang wajib dibayar pada masa yang lain. Sebab itu dia diberi pilihan sama ada meneruskan puasanya atau berbuka walaupun tidak menghadapi sebarang kesusahan ketika bermusafir.
Mengikut pengalaman orang yang bermusafir, mereka akan menempuh kesusahan sama ada musafir itu menaiki kapal terbang atau menunggang binatang.
Ini kerana musafirnya itu bermaksud perjalanan yang jauh dari tempat tinggal dan keluarga. Mengalami rasa bersendirian, tidak tenang dan tidak tetap tempat tinggal. Allah berfirman: Allah menghendaki bagimu kemudahan dan Allah tidak menghendaki bagimu kesusahan. (al-Baqarah: 185)
*Sumber: Dr. Yusuf al-Qardawi, Fatwa Masa kini (Terjemahan 1 & 2), Pustaka Salam Sdn. Bhd..
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Sekretariat Sudut Hukum IKIM di talian 03-6204 6219 dan 03-6204 6253 atau layari laman web www.ikim.gov.my/suduthukum.
Soalan: Dalam Islam, adakah terdapat waktu-waktu tertentu melarang mengebumikan mayat. Kalau mayat banyak yang hendak dikebumikan dalam satu kubur, adakah terdapat keutamaan mayat macam mana hendak dimasukkan dalam kubur terlebih dahulu?
Adakah mayat itu boleh dimasukkan dalam kubur dari mana-mana bahagian yang disukai, kepala dahulu, kaki atau masuk serentak perlahan-lahan? Seperti yang dilakukan sekarang adakah meletakkan bola tanah di sisi mayat itu mempunyai alasan atau hanya adat kebiasaan semata-mata? Dan yang paling penting, setakat mana penglibatan seseorang itu dalam urusan mayat dapat memberi keinsafan diri? Terima kasih.
– Kak Hasnah, BBB.
JAWAPAN: Jumhurul ulama berpendapat bahawa mengebumikan mayat pada waktu malam itu sama sahaja keadaan dengan menguburkan mayat pada waktu siang.
Rasulullah s.a.w pernah menguburkan seorang lelaki yang selalu berzikir dengannya pada waktu malam. Syaidina Ali juga menguburkan Syaidatina Fatimah pada malam hari. Saidina Abu Bakar, Usman, Saidatina Aishah dan Ibn Masud juga dikebumikan pada waktu malam.
Walaupun demikian menguburkan mayat pada waktu malam itu dibolehkan sekiranya hak-hak yang berkaitan dengan mayat itu telah sempurna dilakukan. Sekiranya hal seperti ini tidak dipenuhi maka perbuatan itu adalah ditegah.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim menyatakan bahawa nabi pada satu hari telah memberi penerangan kepada orang ramai dan menyebut tentang seorang lelaki sahabatnya yang meninggal lalu dikafankan dengan kain kafan yang tidak mencukupi dan dikebumikan pada waktu malam.
Nabi telah mencela amalan menguburkan mayat pada waktu malam kecuali seseorang itu terpaksa melakukannya. Begitu juga keterangan daripada sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh ibnu Majah daripada Jabir.
Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan as-sahibus Sunan daripada Uqbah katanya, ada tiga waktu di mana nabi menegah kami menyembahyangkan atau menguburkana mayat, iaitu ketika tepat waktu terbitnya matahari sehingga ia naik, ketika tepat tengah hari sehingga matahari tergelincir dan ketika hampir terbenam matahari sehinggalah ia terbenam.
Biarpun tegahan itu jelas, tetapi sekiranya keadaan memaksa, seperti dikhuatiri mayat menjadi busuk, maka mengebumikan mayat pada waktu itu boleh dilakukan dengan sengaja tanpa sebab darurat seperti yang dijelaskan, maka hukumnya adalah makruh.
Perlu dijelaskan bahawa dalam mengendalikan pengebumian ini, setiap seorang perlu memastikan bahawa mayat yang ditanam itu selamat dan tidak dapat digali oleh binatang buas.
Kerana itu kubur perlu digali dalam sekira-kira bau mayat itu tidak dapat dicium oleh manusia juga binatang termasuk burung-burung.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Nasai daripada Hisyam bin Amir, juga oleh Turmizi katanya: Kami telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w ketika perang Uhud. “Ya Rasulullah, adalah sukar bagi kami untuk menggali kubur untuk setiap mayat.’’
Mendengar kata itu, Rasulullah bersabda: Galilah kamu semua, dalamkan dan perelokkan, tanamlah dua atau tiga mayat dalam satu kubur.
Mereka bertanya: Siapakah yang kami hendak dahulukan ya Rasulullah? Baginda menjawab: Dulukan yang banyak hafal al-Quran. Bapaku adalah termasuk dalam salah seorang yang ditanamkan dalam sebuah kubur yang memuat tiga jenazah.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dan Ibnu Munzir daripada Umar bahawa ia berpesan menyatakan: Galilah kubur itu setinggi tegak dan selebar badan.
Satu perkara lain yang perlu juga kita fahami ialah tentang bentuk lubang kubur itu sendiri. Ada kubur yang digali yang diberi liang di sisi kubur pada arah kiblat.
Di atasnya diletakkan papan-papan menjadikan bentuknya seakan-akan rumah yang beratap. Satu bentuk lain dinamakan syaq, iaitu liang yang dibuat di tengah-tengah kubur.
Penutup
Di kelilingnya diletakkan penutup. Kedua-dua bentuk yang dijelaskan ini adalah diharuskan tetapi lubang lahad adalah lebih utama, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah daripada Anas katanya: Ketika Rasulullah s.a.w. wafat, ada seorang lelaki yang membuat lahad juga seorang lelaki lain yang biasa membuat syaq. Para sahabat berkata:
“Kita minta mereka datang sambil kita beristikharah, minta dipilihkan Allah. Mana-mana di antara mereka berdua yang datang lebih cepat maka itulah yang kita gunakan. Lalu mereka memanggil mereka berdua datang dan yang tiba lebih awal ialah tukang lahad. Maka mereka membuat makam nabi.’’
Mengenai cara memasukkan mayat dalam kubur, hendaklah dilakukan daripada bahagian belakangnya, iaitu sekiranya ia tidak mengalami masalah. Sekiranya menghadapi masalah untuk berbuat demikian, maka ia boleh dimasukkan daripada mana-mana bahagian pun.
Diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Abi Syaibah dan Bayhaqi daripada keterangan Abdullah bin Aid, bahawa ia memasukkan mayat dalam kubur daripada arah kedua-dua kakinya, katanya: Ini adalah sunnah.
Menurut Ibnu Hazim, memasukkan mayat dalam kubur itu boleh dilakukan daripada mana-mana bahagaian, sama ada daripada bahagian kiblat atau sebaliknya atau daripada arah kepala, ataupun daripada arah kaki, kerana tidak ada satu keterangan yang tegas mengenainya.
Menurut sunnah, mayat hendaklah dibaringkan dalam kuburnya pada sisinya yang kanan dengan mukanya ke arah kiblat. Orang yang berbuat demikian hendaklah membaca Bismillah wa’ala millati rasulillah (dengan nama Allah dan menurut agama (sunnah) Rasulullah. Tali yang mengikat mayat hendaklah diuraikan.
Menurut sebuah hadis yang diterima daripada Ibnu Umar ia berkata: Bahawa nabi apabila meletakkan mayat dalam kubur, baginda mengucapkan: Bismillah wa’ala millati rasulullah atau wa’ala sunnati rasulillah.
Jumhurul fukaha menganggap makruh meletakkan kain, selimut dan sebagainya untuk mayat dalam kubur. Manurut Ibnu Hazim tidak salah meletakkan kain hamparan di bawah mayat, berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, daripada Ibnu Abbas, katanya: Pada makam Rasulullah telah dihamparkan permaidani merah. Ia berkata: Dan Allah telah membiarkan perbuatan ini dalam upacara pengebumian Rasulullah seorang manusia yang maksum dan tidak mencegahnya. Dilakukan oleh manusia pilihan di muka bumi secara ijmak, tanpa seorang pun yang menentangnya.
Ada ulama menganggap sunat meletakkan kepala mayat di atas bantal yang diperbuat daripada tanah liat, batu atau tanah biasa dalam keadaan pipi kanannya dicecahkan pada bantal tanah dan sebagainya setelah kain kapan dibuka daripada pipinya. Syaidina Omar pernah berkata: Andainya kamu menurunkan mayatku ke liang lahad nanti, cecahkan pipiku ke tanah.
Wasiat
Dhahak pula memberi wasiat agar tali yang mengikat matanya diuraikan manakala kain kafan dibuka daripada pipinya. Mereka juga menganggap sunat meletakkan gumpalan tanah liat atau di belakang mayat sebagai penahan agar mayat tidak menelentang.
Akhir sekali, memohon keampunan bagi mayat itu adalah sunat hukumnya, iaitu setelah sempurna dimakamkan, kerana ia akan disoal oleh malaikat. Dalam sebuah hadis yang diterima daripada Othman, katanya: Nabi apabila telah selesai menguburkan mayat, dia berdiri di depannya dan bersabda: Mohonkan ampun bagi saudaramu dan mintalah dikuatkan hatinya kerana dia ini sedang ditanya.
Dalam sebuah hadis riwayat oleh Razin daripada Ali, bahawa setelah selesai menguburkan mayat ia biasanya berdoa yang bermaksud: Ya Allah, ini adalah hamba-Mu yang datang berdiam kepada-Mu dan Engkau adalah sebaik-baik tempat tinggal, maka ampunilah akan dia dan lapangkanlah tempatnya.
Dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa Rasulullah menyuruh agar menziarahi kubur-kubur dan memandikan mayat, kerana perbuatan mengendalikan mayat yang kaku dan sejuk itu satu peringatan yang paling memberi kesan. Sesungguhnya orang yang ada rasa insaf dan sedih itu sentiasa di bawah naungan Allah.
Dalam hadis ini dijelaskan bahawa menziarahi orang sakit, menziarahi kubur juga mengendalikan mayat itu memberi kesan dalam usaha melahirkan keinsafan diri. Kalaulah seseorang itu berupaya berfikir, ia akan dapat menyedari dan menginsafi bahawa setiap orang akan menemui mati pada satu ketika kelak, sama ada kematian itu cepat atau lambat, ketika muda atau setelah tua. Dalam keadaan apa sekalipun ia pasti datang.
Terlalu banyak keinsafan akan lahir daripada peristiwa kematian. Jasad yang terkubur kaku, keras dan sejuk itu membuktikan bahawa kematian itu sebenarnya sesuatu yang hakiki, yang sedang berada di hadapan mata, yang berlaku kepada seorang teman, seorang ayah yang dikasihi atau seorang yang menjadi musuh.
Betapa gah seseorang itu ketika hidup. Betapa cantik dan menawan atau suara semerdu buluh perindu semuanya akan pupus diganti jasad yang kaku. Biar betapa kuat hentakan kaki menggegar bumi, sekental otot-otot di lengan atau di hadapan dada yang mengepak meninggi, segala-galanya akan musnah.
Segala kemegahan dan nada-nada berkilauan yang diagung-agungkan dan dipuja oleh jutaan peminat akan lesap, yang akhirnya musnah dimakan bumi. Segalanya akan diganti oleh kehidupan yang kekal, iaitu di alam akhirat.
Memang benarlah bahawa amalan mengendalikan mayat itu akan memberi keinsafan, iaitu bagi mereka yang dapat mengambil ikhtibarnya.
PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:
Dr. Amran Kasimin,
Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab Luar, 43000 Kajang, Selangor.
SOALAN: ADAKAH harus melaungkan azan satu jam atau setengah jam sebelum fajar sadik dan haruskah juga tukang azan menyebut: “Sembahyang itu lebih baik daripada tidur?”
Adakah diberi pahala kepada sembahyang sunat fajar pada waktu itu dan pahala juga untuk sembahyang subuh yang fardu itu?
JAWAPAN
Sebenarnya azan berfungsi sebagai alat pemberitahuan masuknya waktu sembahyang. Sudah semestinya masuk waktu dahulu sebelum tukang azan melaungkan azan. Oleh itu melaungkan azan sebelum waktunya tidak dikira kerana ia tidak memenuhi tujuan azan itu, kecuali ketika sembahyang Subuh. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Bilal akan melaungkan azan di sebelah malam, maka makanlah dan minumlah hingga Ibnu Ummi Maktum pula yang azan.
lni bererti ketika Bilal melaungkan azan, harus bagi orang Islam bersahur, makan dan minum sehinggalah lbnu Ummi Maktum melaungkan azan menandakan masuk waktu sembahyang. Hadis ini disepakati oleh para ulama kerana waktu fajar sebenarnya adalah waktu tidur dan semua manusia pada masa itu sedang nyenyak tidur. Mereka perlu diberitahu terlebih dahulu sebelum masuk waktu supaya mereka akan tersedar dan bersedia. Orang yang berpuasa boleh bersahur pada waktu itu dan mengejutkan orang yang sedang tidur seperti yang dilakukan oleh Bilal dan Ibnu Ummi Maktum.
Apabila orang ramai mendengar Bilal melaungkan azan, tahulah mereka bahawa dia azan sebelum masuk waktu untuk menyedarkan orang yang tidur dan memberi peluang bersahur kepada orang yang berpuasa.
Apabila mereka mendengar Ibnu Ummi Maktum pula melaungkan azan, maka tahulah mereka yang waktu Subuh telah masuk dan bolehlah bersembahyang sunat, sebelum menunaikan fardu Subuh.
Dalam azan yang pertama disunatkan agar tidak menyebut “sembahyang itu lebih baik daripada tidur.”
Ini adalah satu perbezaan yang penting yang dapat membezakan di antara azan yang pertama dan azan yang kedua. Azan dalam bentuk ini disyarakkan pada waktu fajar dan orang ramai akan kenal suara azan pertama dan suara yang lain pada azan kedua.
Oleh itu, para ulama mengharuskan azan yang pertama sebelum masuk waktu fajar.
Sumber: Dr. Yusuf al-Qardawi, Fatwa Masa kini (Terjemahan 1 & 2)
Pustaka Salam Sdn. Bhd (03-6186 9469)
Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Sekretariat Sudut Hukum IKIM di talian 03-62046219/ 62046253 atau layari laman web www.ikim.gov.my/suduthukum.
SOALAN: Adakah bersahur merupakan salah satu daripada syarat-syarat sah puasa?
JAWAPAN
Hukum bersahur itu adalah sunat sahaja dan ia bukannya syarat sah puasa. Ia merupakan amalan Nabi s.a.w.. Oleh itu kita digalakkan mengerjakannya. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan. (Mutafaq alaih)
Kita disunatkan bersahur dan melewatkan waktunya. Bersahur juga dapat menguatkan tubuh badan, meringankan kepayahan berpuasa kerana kurangnya masa menahan lapar dan dahaga. Agama Islam sentiasa memberi kemudahan dan galakan agar manusia suka melakukan amal ibadat kepada Allah. Sunat menyegerakan waktu berbuka dan melewat-lewatkan waktu bersahur.
Umat Islam digalakkan bersahur walaupun sedikit. Memadailah dengan sebiji kurma atau seteguk air. Amalan ini adalah amalan Rasulullah. Di samping itu ia juga dapat mendidik jiwa. Jika kita bangun bersahur kita akan beringat-ingat dan berjaga-jaga sebelum fajar. Waktu itu jugalah Allah akan membesar-besarkan hamba-Nya, menerima permintaan hamba-Nya, bersedia mengampuni dosa hamba-Nya dan menerima amalan yang soleh.
Bayangkanlah betapa besarnya faedah yang akan diperoleh berbanding dengan orang yang hanya tidur dan tidak bersahur pada waktu itu.
Sumber: Dr. Yusuf al-Qardawi, Fatwa Masa kini (Terjemahan 1 & 2), Pustaka Salam Sdn. Bhd..
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Sekretariat Sudut Hukum IKIM di talian 03-6204 6219 dan 03-6204 6253 atau layari laman web www.ikim.gov.my/suduthukum.
1- Adakah boleh seorang wanita yang belum berkahwin mengambil pil hormon bagi tujuan menyusukan anak angkat supaya menjadi mahram kepadanya?
JAWAPAN: Dari pandangan syarak harus, tidak salah seorang perempuan yang belum berkahwin menyusukan bayi, perkara ini pernah menjadi amalan orang Arab. Malahan mengambil upah menyusukan bayi menjadi sumber pendapatan pada zaman sebelum dan selepas kedatangan Islam.
Namun perkara ini kebiasaannya dilakukan oleh perempuan yang sudah berumah tangga. Adapun matlamat saudari menyusukan anak angkat adalah untuk mengelakkan daripada batasan mahram. Dengan tujuan ini harus mengambil pil hormon bagi menghasilkan susu. Maka demikian anak itu akan menjadi anak susuan. Anak susuan dengan ibu susuan menjadi mahram (batasannya seperti anak kandung) dan begitu juga dengan anak-anak kandung ibu susuan akan menjadi mahram (haram dinikahi atau mengahwininya).
Hanya dua perkara yang tidak boleh dilakukan ke atas anak susuan iaitu mem`bin’kannya dengan bapa susuan serta tidak boleh mewarisi harta pusaka. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu; anak-anakmu yang perempuan; saudara-saudaramu yang perempuan, Saudara-saudara bapamu yang perempuan; Saudara-saudara ibumu yang perempuan; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang laki-laki; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang perempuan; ibu-ibumu yang menyusui kamu; saudara perempuan sepersusuan….(an-Nisa: 23).
Berdasarkan ayat di atas jelas Allah mengharamkan perkahwinan dengan anak susuan. Pengharaman ini adalah ke atas ibu yang menyusukan anak tersebut dan adik-beradik susuan serta suami kepada ibu susuan.
Ayat di atas juga menjelaskan bahawa Allah mengharamkan anak susuan itu dikahwini, begitu juga adik-beradik susuan itu tidak boleh dikahwini. Keharusan menyusukan bayi juga jelas dalam ayat di atas, malahan ayat di atas tidak mengehadkan status ibu susuan sama ada yang berkahwin atau yang belum berkahwin.
2. Apa yang harus dilakukan jika kita pernah makan nasi ayam di kedai Cina yang mempunyai pekerja muslim. Saya berasa was-was tentang status halal makanan yang dijual.
JAWAPAN: Sebenarnya apa yang saudari lakukan ialah sesuatu yang tidak sengaja. Janganlah saudara berasa salah sehingga tertekan perasaan yang dikhuatiri akan mengganggu kerja harian saudari. Ramai yang tertipu dengan tanda halal dan begitu juga orang-orang sering tertipu di restoran-restoran apabila pengusaha restoran itu menempatkan orang-orang Islam sebagi satu gimik bagi menarik pengunjung muslim.
Dari satu sudut mungkin juga pengusaha restoran itu mengusahakan makanan dengan membeli ayam daripada orang Islam. Mungkin juga masakan itu dimasak oleh orang muslim. Namun jika perasaan kita ragu-ragu adalah lebih baik kita makan di kedai, gerai atau restoran milik orang Islam. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. pernah mengingatkan kita dengan sabda Baginda dalam sepotong hadis sahih yang bermaksud:
Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas namun di antara kedua-dua itu masih ada perkara yang kebanyakan orang tiada mengetahui. Orang-orang yang memelihara diri daripada perkara-perkara yang meragukan itu, samalah seperti orang yang telah melindungi agamanya dan kehormatannya. Orang yang tergelincir ke dalam perkara-perkara meragukan akan tergelincir pula ke dalam perkara haram, seperti seorang pengembala yang sedang mengembala di sekitar tempat larangan, akhirnya ia lalai, lalu memasuki tempat larangan itu.
Berdasarkan hadis ini, jelas kepada kita bagaimana Rasulullah mengingatkan kita supaya sentiasa berjaga-jaga dalam perkara yang berkaitan dengan syubhat, kerana ada kalanya syubhat ini boleh membawa kepada haram tanpa kita sedari.
Rasulullah turut mengingatkan orang-orang Islam supaya mencari makan yang halal malahan ia merupakan suatu yang fardu (wajib), seperti mana sabda Baginda yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud, bermaksud: Mencari yang halal itu adalah wajib bagi setiap muslim.
Adapun keadaan saudari ialah makan di restoran yang diragui pengusahanya orang Islam ataupun orang bukan Islam. Dalam Islam sesuatu yang dilakukan tanpa sengaja adalah dimaafkan daripadanya. Yang penting saudari dan kawan-kawan saudari hendaklah berwaspada dan jangan mudah terpedaya dengan gimik meletakkan beberapa orang pelayan muslim (kadang-kadang pekerja muslim dari Indonesia ) sebagai langkah mencari pelanggan muslim. Ingatlah bahawa makanan-makanan yang ada unsur-unsur syubhat akan mengelapkan hati kita dan menyebabkan kita semakin liat di dalam melaksanakan perintah Allah s.w.t. Justeru, setiap orang Islam bertanggungjawab mencari yang halal demi memelihara hati dan amal ibadat.
- Sebarang soalan untuk ruangan Kemusykilan Agama boleh dihantar melalui
e-mel ke agama@utusan.com.my atau ke Ruangan Agama,
Utusan Malaysia, 46M,
Jalan Lima, Off Jalan Chan Sow Lin,55200 Kuala Lumpur.
SUAMI meninggal sebulan lalu. Kami tidak pernah bergaduh atau berselisih faham. Rumah tangga kami aman bahagia dan dikurniakan empat anak berusia antara dua hingga 10 tahun. Saya mempunyai seorang pembantu rumah. Saya amat sedih dengan kematian suami. Namun, akur itu ketentuan Ilahi. Sebagai seorang Islam saya mesti menerima hakikat ini.
Saya diberitahu oleh saudara sebelah suami bahawa jika saya masih sayangkan suami, saya tidak boleh keluar dari rumah selama empat bulan. Ia menimbulkan tanda tanya kerana saya seorang wanita bekerja. Jika saya tidak boleh keluar dari rumah bererti saya perlu berhenti kerja sedangkan suami sudah tiada lagi bagi menanggung keluarga. Saya amat menyayangi suami tetapi saya perlu menanggung keluarga. Benarkah haram bagi saya keluar dari rumah?
Nik Zamira
Kulai, Johor
SAYA mengucapkan takziah kepada puan sekeluarga kerana kematian suami. Saya mendoakan agar rohnya ditempatkan di sisi roh orang mukmin dan anbiya'. Bersabarlah menghadapi ujian ini kerana setiap ujian yang Allah tentukan itu pasti mempunyai hikmat tersendiri. Tabah mengharungi dugaan juga perlu menjadi benteng ketahanan diri dan ketahuilah Allah tidak akan menguji sekiranya puan tidak mampu menghadapi ujian itu.
Berbalik kepada persoalan puan, sebenarnya tempoh empat bulan dinyatakan saudara suami itu adalah apa dinamakan sebagai tempoh edah. Sekiranya seorang wanita itu kematian suami atau diceraikan suaminya, maka wanita hendaklah berada dalam tempoh edah dan mematuhi beberapa syarat dalam tempoh itu.
Tempoh edah bagi wanita kematian suami ialah empat bulan 10 hari daripada tarikh kematian suaminya dan sekiranya wanita itu mengandung, maka tempoh edahnya adalah sehingga wanita itu melahirkan anak yang mana lebih lewat.
Dalam tempoh edah ada beberapa perkara tidak boleh dilakukan wanita, antaranya ialah berkahwin semula dengan orang lain, keluar dari rumah tanpa keperluan dan bersolek dan memakai wangian. Tujuan syarat ini dikenakan ialah bagi menzahirkan rasa dukacita si isteri terhadap kematian suaminya. Ia juga bagi memastikan tiada zuriat lain yang dilahirkan bagi tujuan menjaga nasab si mati.
Dalam tempoh edah itu isteri dilarang berkahwin dengan lelaki lain kerana ditakuti anak bakal dilahirkan itu, tidak pasti dinasabkan kepada siapa. Selepas dipastikan wanita itu tidak mengandung anak si mati, barulah wanita itu boleh memulakan hidup baru dengan lelaki lain selepas tamat tempoh edah.
Bersolek dan memakai wangian juga dilarang dalam tempoh edah kerana ia tidak melambangkan kedukacitaan isteri kematian suaminya. Pada umumnya isteri kematian suami dilarang keluar dari rumah kelaminnya ketika dalam tempoh edah. Ia bagi mengelak tohmahan terhadap isteri. Namun, jika ada keperluan mendesak isteri boleh keluar dari rumah itu. Berdasarkan soalan puan kemukakan, jelas puan terpaksa keluar dari rumah untuk bekerja dan menjalankan urusan harian.
Oleh itu, puan tidaklah perlu berhenti bekerja kerana puan perlu menanggung keluarga. Sekiranya puan berhenti bekerja dalam tempoh edah, ia dikhuatiri puan tidak akan dapat menanggung keluarga puan dan anak akan menderita. Namun, puan perlu segera pulang ke rumah sekiranya keadaan tidak memerlukan puan berada di luar rumah. Puan juga dinasihatkan tidak keluar rumah pada waktu malam kerana dikhuatiri menimbulkan fitnah.
Persoalan puan, sayangkan suami atau sebaliknya adalah persoalan yang hanya puan mengetahuinya dan ia tidak boleh diukur daripada perbuatan puan keluar atau tidak dari rumah. Apa lebih penting ialah puan mendoakan roh suami puan ditempatkan bersama orang salih dan anbiya'. Puan juga berperanan mendidik anak menjadi anak yang salih dan mendoakan kedua orang tuanya. Doa anak yang salih amat baik bagi kedua orang tuanya kerana ada jaminan daripada Rasulullah SAW, bahawa doa anak salih tidak putus kepada si mati.
Bagi menjaga hubungan puan dengan keluarga suami, jelaskan kepada mereka puan perlu bekerja bagi menanggung keluarga puan dan langsung tidak menghakis kasih sayang puan terdapat suami.
Berbincanglah dengan mereka dengan penuh hikmah dalam suasana yang harmoni dan mintalah mereka faham akan keadaan yang puan hadapi sekarang. Sekali lagi saya harapkan puan dapat bersabar atas dugaan melanda, perbanyakkan berzikir dan mengingati Allah. Berdoalah agar Allah memberi yang terbaik kepada puan sekeluarga.
1. DR, adakah saya perlu menterjemahkan maksud ayat al-Quran ke dalam bahasa Melayu ketika menunaikan solat?
Jawapan:
Dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda maksudnya: “Lakukanlah sembahyang seperti kamu memerhatikan sembahyangku.” Hadis ini jelas memerintahkan kita untuk melakukan sembahyang seperti diajarkan baginda. Antara perbuatan baginda ketika bersembahyang ialah dengan rahsia Allah, semua bacaan menggunakan bahasa Arab. Ada bacaan pendek seperti Allahuakhbar dan ada pula bacaan yang panjang seperti surah al-Fatihah. Bagi orang yang memahami bahasa Arab sama ada orang Arab mahupun bukan, bacaan berkenaan pasti tidak ada masalah untuk difahami. Pemahaman mereka terhadap bacaan itu tidak menjamin mereka boleh khusyuk dalam menunaikan sembahyang kerana kekhusyukan boleh dicapai dengan kehadiran seluruh jiwa dan raga kita dalam sembahyang itu sendiri walaupun kita tidak bertutur dalam bahasa Arab.
Khusyuk dalam menunaikan fardu sembahyang adalah salah satu tanda keberuntungan seorang mukmin. Allah berfirman maksudnya: "Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, orang yang khusyuk dalam sembahyangnya." (Surah al-Mukminun: 1-2). Ketika mengucapkan takbiratul ihram ketika menunaikan sembahyang, kita sudah berhubung dengan Allah. Oleh itu semua perkara yang tidak berkaitan dengan hubungan itu seperti dalam istilah teknologi maklumat tidak akan memasuki kawasan kekhusyukkan sembahyang kita. Semua perkara terputus seketika dalam masa itu kecuali hubungan kita dengan al-Khaliq. Di sinilah diperlukan kehadiran jiwa dan raga kita dalam mengikuti ajaran Islam ketika menunaikan sembahyang menggunakan bahasa Arab seperti diajar Rasulullah. Di samping bahasa perpaduan umat dalam berkomunikasi dengan Allah, bacaan bahasa Arab dalam sembahyang juga tanda bukti ketaatan kita kepada Nabi junjungan.
Oleh itu, kita tidak perlu menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu kerana bacaan sembahyang diucapkan berulang kali setiap hari maka setiap muslim daripada setiap bangsa yang mempunyai pelbagai bahasa mudah mengingatinya. Mengingati bacaan sembahyang dalam bahasa Arab satu kewajipan seperti kita membaca al-Quran. Walaupun pengertian bahasa Arab dalam bahasa lain dalam sembahyang boleh membantu pemahaman, ia bukan satu keperluan. Yang diperlukan dalam ialah khusyuk. Wallahu a’lam.
1. Semasa tuan guru menyampaikan ceramah di masjid tempat saya tinggal, kami berkumpul di hadapan guru berjarak antara 3 hingga 10 meter kaki. Terdapat beberapa jemaah yang duduk pada jarak yang agak jauh sambil bertasbih dan berbual-bual. Apakah mereka ini tergolong di kalangan orang yang menghadiri majlis ilmu?
JAWAPAN: Mereka dikira hadir ke majlis ilmu tetapi mereka tidak memanfaatkan majlis tersebut. Adalah menjadi tidak beradab berbual-bual atau bertasbih sekalipun membaca al-Quran adalah dilarang ketika majlis ilmu sedang berlangsung.
Jika ada hal yang sangat penting untuk diperkatakan maka hendaklah mereka keluar masjid. Majlis itu perlu dihormati walaupun perkara yang pengajian yang disampaikan itu sesuatu yang dimaklumi atau diketahui sebelum ini. Majlis ilmu seperti yang disabdakan oleh baginda Rasulullah s.a.w. daripada Abu Hurairah r.a bermaksud: Tidak ada sekumpulan pun daripada manusia yang duduk dalam mana-mana masjid sedang mereka membaca kitab Allah serta mengkajinya dan berbincang di antara mereka, melainkan Allah menurunkan ketenangan ke atas mereka dan dilimpahkan rahmat ke atas mereka dan para malaikat menghamparkan sayapnya, manakala Allah menyebut-nyebut nama mereka pada malaikat yang berada di samping-Nya. (riwayat Ibn Hibban, jld:3, hlm:45, no Hadis:1607). Berdasarkan hadis ini jelas bahawa Rasulullah menggambarkan akan kedudukan majlis ilmu, malahan kedudukannya di sisi Allah s.w.t.
Apa yang jelas ialah Allah pasti menyebut-nyebut nama hamba-hambanya yang hadir ke majlis ilmu. Jika hadir sahaja tetapi tidak memberi tumpuan maka hilanglah fadilat dan kelebihan yang disebut oleh Rasulullah. Para ulama ada menyatakan bahawa apabila berlangsungnya sesuatu majlis ilmu yang bersifat `jamaei’ maka amalan yang berbentuk keperibadian (infiradi) haruslah ditinggalkan. Keutamaan harus diberikan kepada majlis ilmu. Seperkara lagi yang perlu diingat ialah tanpa ilmu amalan kita akan ditolak oleh Allah s.w.t.
Oleh itu, tuntutlah ilmu dan hendaklah mengamalkan ilmu tersebut. Menuntut ilmu itu lebih utama berbanding dengan zikir semata-mata. Ada juga yang memberi alasan walaupun mulut kami atau hati kami berzikir namun telinga tetap mendengar pengajian. Alasan ini tidak tepat, ini kerana Allah s.w.t telah menjelaskan dalam firmannya yang bermaksud : Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang lelaki itu dua hati dalam rongga dadanya (al-Ahzab: 4).
2. Apakah hukum yang lebih afdal apabila sesuatu majlis ilmu yang diadakan selepas solat Maghrib dan menantikan waktu Isyak. Setibanya waktu Isyak, tuan guru meneruskan ceramahnya dan tidak memberi ruang kepada bilal melaungkan azan atau perlukah ia memberhentikan seketika ceramahnya dan meminta bilal melaungkan azan bagi merebut waktu awal solat.
JAWAPAN: Menuntut ilmu itu wajib lagi fardu dalam Islam. Namun Islam mempunyai syiarnya yang tersendiri yang perlu dipelihara ini termasuklah azan setiap kali masuk waktu solat. Pandangan saya ialah lebih baik memberhentikan kuliah untuk seketika untuk memberi laluan kepada muazin melaungkan azan. Azan merupakan syiar orang Islam yang agung dengan azan ini dapat mengingatkan orang Islam akan waktu solat isyak, dalam masa yang sama dapat mengingatkan orang kepada kebesaran Allah s.w.t. Ini dapat dilihat melalui makna azan itu sendiri.
Azan juga bersifat mengajak orang untuk meninggalkan seketika urusan dunia menuju kepada kepada rahmat dan kasih sayang Allah. Dalam masalah ini, suka saya ingatkan para muazin supaya tidak memanjangkan azan seperti biasa, cukup sekadar azan yang ringkas. Azan bukan sahaja syiar malahan ia boleh menyebabkan seseorang itu terdiam seketika demi menghormatinya, serta boleh menyentap fitrah seseorang yang leka dan lalai daripada mengingati Allah s.w.t.
3. Apakah adab dalam mengadakan walimatul urus di masjid?
JAWAPAN: Adab-adab yang perlu dipelihara sepanjang majlis walimatul urus di masjid ialah memelihara kesucian masjid dan memelihara kehormatannya. Di antaranya tidak bercakap perkara-perkara maksiat, tidak membuat bising yang boleh mengganggu orang lain yang beribadat. Tidak mengotorkan dengan membuang sampah sarap merata-rata. Mendirikan solat sunat tahyatul masjid dua rakaat.
Tidak merosakkan harta masjid. Ketika berada dalam atau kawasan masjid pastikan aurat ditutup. Niatkan iktikaf sepanjang berada dalam masjid mudah-mudahan dirahmati Allah s.w.t.
Masjid adalah tempat untuk orang awam beribadat sama ada ibadat khusus ataupun ibadat umum, maka adalah tidak wajar dengan memonopolinya untuk majlis akad nikah dan menghalang orang lain daripada masuk ke dalamnya.
Seperkara lagi yang ingin saya ingatkan di sini ialah jangan jadikan masjid seperti dewan serbaguna hanya datang untuk mengadakan majlis walimatul urus sahaja, selepas walimatul urus bayang pun tidak kelihatan. Mudah-mudahan setiap perkahwinan yang diadakan di masjid dirahmati Allah s.w.t. Ini tidaklah bermaksud walimatul urus di rumah tidak dirahmati Allah. Rahmat dan kasih sayang Allah tidak bergantung di mana majlis itu diadakan tetapi ia bergantung bagaimana ia diadakan.
APAKAH hukumnya saya meletakkan patung itik dan topeng wajah manusia di dalam dan di luar rumah. Pada dasarnya saya lakukannya kerana minat, selain untuk menghias taman. Tidak niat untuk memuja.
Bagaimana pula hukumnya terhadap permainan patung kanak-kanak kerana ada yang menyatakan ia haram kerana menyerupai makhluk ciptaan Allah manakala pendapat lain mengatakan dibolehkan.
HAMBA ALLAH Taiping, Perak.
PATUNG dalam bahasa al-Quran ialah �al-tamatsil� (kata tunggal �timtsal�) dan ada disebut dalam dua ayat iaitu surah al-Anbiya' ayat 52 dan surah Saba� ayat 13. Dalam kedua-dua ayat ini patung mempunyai dua hukum iaitu halal dan haram.
Hukum haram patung disebut dalam surah al-Anbiya maksudnya ialah: "Ketika dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?"
Adapun sebab diharamkan kerana patung itu adalah berhala yang mereka sembah.
Hukum halal patung disebut dalam surah Saba maksudnya: "Mereka bekerja untuk Nabi Sulaiman, apa yang dia kehendaki dari bangunan yang tinggi, dan patung, dan pinggan yang besar seperti kolam, serta periuk yang tetap di atas tungkunya. Beramallah kamu wahai keluarga Daud dengan bersyukur kepada Allah! Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-Ku yang bersyukur."
Mengapa patung dalam ayat ini halal? Ia kerana ayat ini dan beberapa ayat sebelumnya menceritakan mengenai nikmat dan anugerah Allah kepada Nabi Sulaiman dan patung pada zaman Sulaiman bukan berhala yang disembah tetapi adalah seni dan keindahan. Ia menunjukkan besarnya kekuasaan Allah di muka bumi ini.
Dalam sejarah Islam, sahabat dan orang yang terkemudian ketika menakluki satu-satu kawasan menghancurkan patung berhala yang diketahui mereka disembah tetapi patung hiasan, tidak.
Seorang ulama ilmu usul fiqh terbilang, al-Qarafi dalam kitabnya Sharh al-Mahsur menghalalkan memiliki patung untuk hiasan bahkan beliau membuatkan patung untuk Raja al-Kamil seperti tercatat dalam tulisan Dr �Ammarah.
Berkaitan dengan patung anak- anak, hukumnya adalah harus.
Berdasarkan kepada hadis Aisyah r.a. apabila beliau menamakan patung kudanya dengan 'Kuda Sulaiman'. Ahmad, Muslim dan at-Tabarani meriwayatkan hadis maksudnya: Berkata Aisyah: "Sesungguhnya aku biasa bermain dengan anak patung aku di sisi Rasulullah. Apabila rakan aku datang (untuk bermain sama) mereka beralih pulang kerana takut kepada Rasulullah. �Lalu Rasulullah memanggil mereka kembali (untuk bermain-main) dengan aku." Waalahu a'lam.