Utusan Malaysia, 5 oktober 2006
SOALAN: Berapakah jarak yang diharuskan berbuka bagi orang yang bermusafir? Benarkah jaraknya 81 kilometer?. Bolehkah dia membuka puasanya sedangkan dia tidak menghadapi sebarang kesulitan dan kerumitan semasa perjalanan? JAWAPAN Orang yang bermusafir diharuskan berbuka sebagaimana firman Allah: Dan barang siapa sakit dalam perjalanan, lalu dia berbuka, maka wajiblah baginya berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain. (al-Baqarah: 184) Para fuqaha tidak bersependapat dalam masalah menentukan kadar jarak perjalanan. Ramai ulama bersetuju bahawa kadarnya lebih daripada 81 kilometer. Jarak ini adalah jarak yang diharuskan sembahyang qasar. Untuk mengharuskan berbuka, mengikut kebanyakan mazhab, jaraknya lebih kurang 84 kilometer. Tidak ada hadis yang menerangkan kadar jarak ini, juga tiada pendapat sahabat tentangnya. Tidak ada sukatan meter dan kilometer. Kedua-dua sukatan ini adalah sukatan yang tepat. Sesetengah ulama tidak mensyaratkan jarak yang diharuskan berbuka. Mereka berpendapat bagi perjalanan yang dianggap musafir, jaraknya dikira jarak musafir yang mengharuskan berbuka dan sembahyang qasar. Inilah yang terdapat dalam al-Quran dan hadis. Dia diberi pilihan sama ada meneruskan puasanya atau berbuka. Sahabat Rasulullah yang bermusafir bersama-sama baginda telah berkata: “Sebahagian daripada kami berpuasa dan yang lainnya berbuka. Orang yang tidak berpuasa tidak mempelawa air kepada orang yang berpuasa dan begitulah sebaliknya.” Akan tetapi musafir yang menghadapi kesusahan dan penderitaan dalam perjalanannya makruh berpuasa, dan ada kalanya boleh menjadi haram hukumnya. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w. tentang lelaki yang berpuasa sedangkan perjalanannya sentiasa dibayangi oleh kesusahan dan penderitaan yang teruk. Nabi bertanya sahabat tentang lelaki itu, mereka menjawab: “Dia berpuasa.” Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Tiada kebajikan berpuasa dalam musafir. (Bukhari) Pengecualian ini diberi kepada orang yang sangat susah dan menempuh penderitaan ketika berpuasa. Sesiapa yang tidak ada masalah untuk berpuasa, iaitu tidak ada perkara yang menyusahkannya, dia diberi pilihan sama ada untuk berpuasa atau tidak. Akan tetapi yang manakah lebih baik antara kedua-duanya? Ulama tidak bersependapat dalam masalah ini. Sesetengahnya mengatakan berpuasa lebih baik dan sesetengahnya pula berpendapat berbuka lebih baik. Umar bin Abdul Aziz berkata: “Yang lebih mudah adalah yang lebih baik.” Sesetengah orang berpendapat berpuasa lebih mudah kerana dapat berpuasa bersama-sama orang yang berpuasa agar tidak perlu menggantikan puasa ketika mana orang lain tidak berpuasa. Dengan ini kami katakan: Berpuasalah. Ada juga yang berpendapat bahawa berbuka lebih mudah pada bulan Ramadan. Musafir akan dapat melakukan beberapa perkara, menunaikan hajatnya dan dapat bergerak dengan mudah untuk menunaikan apa yang disyarakkan dan diharuskan Allah kepadanya. Oleh itu kami katakan: Berbukalah dan gantilah puasa pada hari yang lain. Mana yang lebih menyenangkannya adalah lebih baik. Diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Hamzah Ibnu Amir Al-Aslami yang mengatakan, Aku berkata kepada Rasulullah: Saya mempunyai binatang tunggangan dan saya selalu menggunakannya untuk bermusafir. Saya sering juga bermusafir dalam bulan Ramadan tetapi saya mampu berpuasa. Saya seorang pemuda. Saya lebih mudah berpuasa daripada berbuka, dan kalau saya berbuka, itu akan menjadi hutang bagi saya. Bolehkah saya berpuasa ya Rasulullah? Atau saya berbuka? Yang mana lebih besar pahalanya?” Rasulullah menjawab: “Pilihlah yang mana satu engkau suka wahai Hamzah.” Maksudnya, pilihlah mana yang lebih memudahkan. Hadis lain diriwayatkan oleh An-Nasai, katanya: “Saya mampu berpuasa, adakah dikira berdosa?” Jawab Rasulullah: Berbuka adalah untuk kemudahan engkau. Sesiapa yang berbuka, itu adalah baik baginya. Sesiapa yang hendak terus berpuasa, tidak berdosa baginya. Inilah yang disyarakkan Allah kepada orang musafir. Tidak ada syarat yang berbuka ketika bermusafir. Tidak kira sama ada menghadapi kesulitan atau tidak kerana hukum musafir itu sahaja membolehkan berbuka. Allah tidak mensyaratkan kesulitan yang dihadapi pada musafir itu. Jika Allah mengenakan syarat kesulitan itu, nescaya ramai orang yang akan berbalah dalam masalah ini. Bagi sesiapa yang hendak berpuasa, dia boleh meneruskan puasanya walaupun itu akan menyusahkan dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah tidak mahu memberatkan hamba-Nya. Oleh itu, Allah mengenakan syarat hukum berbuka ketika musafir itu sendiri, walaupun musafirnya itu dengan menaiki kapal terbang, kereta api atau kereta. Yang menjadi permasalahannya ialah dia dikira berhutang iaitu wajib menggantikan puasanya pada hari-hari yang lain. Maksudnya, hari yang ditinggalkannya itu menjadi hutang bertangguh yang wajib dibayar pada masa yang lain. Sebab itu dia diberi pilihan sama ada meneruskan puasanya atau berbuka walaupun tidak menghadapi sebarang kesusahan ketika bermusafir. Mengikut pengalaman orang yang bermusafir, mereka akan menempuh kesusahan sama ada musafir itu menaiki kapal terbang atau menunggang binatang. Ini kerana musafirnya itu bermaksud perjalanan yang jauh dari tempat tinggal dan keluarga. Mengalami rasa bersendirian, tidak tenang dan tidak tetap tempat tinggal. Allah berfirman: Allah menghendaki bagimu kemudahan dan Allah tidak menghendaki bagimu kesusahan. (al-Baqarah: 185) *Sumber: Dr. Yusuf al-Qardawi, Fatwa Masa kini (Terjemahan 1 & 2), Pustaka Salam Sdn. Bhd.. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Sekretariat Sudut Hukum IKIM di talian 03-6204 6219 dan 03-6204 6253 atau layari laman web www.ikim.gov.my/suduthukum. Labels: Soal Jawab |
Assalamualaikum warahmatullah...
Hari saya nak balik ke darat tuari, ramai yang terkejut tengok saya bersahur. Yelah... katanya orang musafir. Ada kemudahan.
Tapi bagi saya, lebih baik saya berpuasa. Sebab perjalanan saya lebih banyak dalam bas. Tidur je. Kalau tak puasa pun bukan boleh makan/minum.
Lainlah kalau masa musafir tu saya kena jalan kaki... Tentu dahaga... tentu lapar. Tapi saya tetap buat jamak qasar sebab bas berhenti sekejap sangat...
Ini pendapat saya la...
Wassalamualaikum warahmatullah...