Utusan Malaysia, 24 november 2006
Bersama: MOHD. FARID RAVI ABDULLAH SOALAN 1 Sahkah wuduk dan sembahyang jika kita memakai kanta lekap? JAWAPAN:Wuduk dan sembahyang orang yang memakai kanta lekap adalah sah. Ini kerana kanta lekap itu di letakkan di dalam mata, sedangkan ruang dalam mata tidak termasuk kawasan wuduk. Allah s.w.t. berfirman di dalam menetapkan anggota wuduk dalam firman yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, Maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai dengan siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki. (al-Maidah: 6). Mungkin kekeliruan timbul apabila muka termasuk dalam anggota wuduk sedangkan mata tempatnya di muka. Walaupun mata tempatnya di muka, ini tidaklah bermaksud kawasan dalam mata itu termasuk anggota wuduk. Air hanya perlu sampai ke kawasan kelopak mata bukannya ke dalam mata. SOALAN 2 Kerap kali bila saya solat, saya terbatuk hingga terkeluar air kencing. Ketika sujud, saya terasa air kencing terkeluar sedikit. Adakah solat saya batal? Adakah saya perlu wuduk dan solat semula kerana ia berlaku secara tidak sengaja? JAWAPAN:Maksud hadis Rasulullah s.a.w: Ada yang mengadu kepada Rasulullah bahawa dia merasa ada sesuatu yang keluar dari saluran qubul dan dubur dalam solat, lalu baginda bersabda, jangan kamu tinggalkan solat selagi mana kamu tidak mendengar bunyi atau menghidu bau. (Riwayat Muslim, jld:1, hlm: 276.). Dalam hadis yang lain apabila ada sahabat yang mengadu keluar air mazi dari kemaluannya, maka baginda bersabda: “Maka hendaklah dia membasuh kemaluannya dan berwuduk.” Dalam matan Abi Syuja’ yang bermazhab al-Syafie telah menyatakan: “Setiap air yang keluar dari dua saluran qubul dan dubur adalah najis kecuali air mani. Membasuh semua jenis kencing adalah wajib kecuali kencing anak lelaki yang belum memakan makanan selain susu ibunya. (Mukhtasar Abi Syuja’, hlm:15 ). Mengikut pandangan al-Khatib asl-Syarbayni menyebut, “dikira membatalkan wuduk apa-apa sahaja yang keluar dari qubul atau dubur sama ada angin atau apa yang boleh dilihat dengan mata kasar (termasuklah air kencing)”. Berdasarkan nas-nas di atas berserta dengan pandangan ulama al-Syafieyah dapatlah difahami bahawa setiap sesuatu yang keluar daripada dua saluran samaada qubul dan dubur maka hendaklah dibasuh dan berwuduk. Jika sebelum itu dia berwuduk maka batallah wuduknya. Dalam persoalan yang ditanya oleh saudara jelas bahawa wuduk saudara terbatal, ini kerana saudara dapat merasakan sesuatu keluar dari kemaluan. Dalam keadaan ini saudara hendaklah membasuh kemaluan serta pakaian yang terkena kencing tadi dengan air yang bersih kemudian mengulangi solat yang terbatal tadi. Sekiranya saudara memang mempunyai penyakit batuk dan setiap kali saudara batuk terkeluar air kencing dari kemaluan, maka dalam keadaan ini ulama memberi satu penyelesaian, iaitu saudara bolehlah merenjiskan sedikit air pada kain atau seluar saudara ketika beristinjak, sebelum berwuduk kemudian solat seperti biasa. Sekiranya saudara batuk dan terasa sesuatu keluar dari kemaluan yakinlah yang terasa basah itu adalah air yang direnjiskan sebelum berwuduk. Keadaan ini hanya diharuskan bagi mereka yang mempunyai penyakit seperti kencing tidak lawas. Kaedah ini juga boleh dikiaskan kepada masalah saudara. SOALAN 3 Apakah status perkahwinan seorang isteri yang ditinggalkan suami selepas 10 tahun tanpa nafkah untuk dirinya dan anak-anak? Perlukah mereka rujuk kerana pernah duduk serumah tanpa merujuk kembali setelah 10 tahun ditinggalkan? JAWAPAN: Menjadi tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isterinya. Adalah wajib ke atas suami memastikan isterinya mendapat nafkah zahir dan batin. Nafkah ini disediakan oleh suami mengikut kemampuannya. Ini jelas dalam al-Quran, firman Allah yang bermaksud: Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang makruf atau menceraikan dengan cara yang baik… (al-Baqarah: 229). Dalam ayat yang lain Allah berfirman yang bermaksud: Maka rujuklah mereka dengan cara yang makruf, atau ceraikanlah mereka dengan cara yang makruf… (al-Baqarah:231). Berdasarkan ayat di atas, Allah memberi pilihan kepada para suami dua perkara iaitu yang pertama menjaganya dengan baik (makruf) atau melepaskannya dengan baik. Dikira tidak baik (ihsan) meninggalkan isteri dalam keadaan tergantung. Maka yang demikian itu akan memudaratkan isteri serta mendedahkannya kepada fitnah, sedangkan Allah menegah menahan seseorang isteri dengan tujuan memudaratkan. Adapun apa yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab, beliau berkata : “Mana-mana wanita yang kehilangan suaminya sedang dia (si isteri) tidak mengetahui ke mana perginya suami tadi maka hendaklah dia (si isteri) menanti selama empat tahun, kemudian beridah (menambah tempoh) selama empat bulan sepuluh hari kemudian dia adalah halal (boleh dinikahi).” (al-Zarqaniy, jld:3, hlm:199). Berpandukan pandangan Umar, jelas isteri itu boleh kahwin lain kerana mengikut cerita, emak saudara kamu ditinggalkan lebih 10 tahun. Tetapi di negara kita seorang isteri hendaklah melaporkan ke Mahkamah Syariah bahawa suaminya tinggalkan dia selama 10 tahun tanpa nafkah zahir. Sebab itu dalam borang akad nikah adanya lafaz ta’lik, apabila suami meninggalkan isteri selama tiga bulan qamariah tanpa sebarang nafkah daripada si suami, wakilnya atau saudara-maranya sedang si isteri itu taat kepadanya, maka si isteri bolehlah mengadu kepada mahkamah dan membayar RM1 maka jatuhlah talak satu. Dalam kes begini, kadi atau hakim berkuasa menfasakhkan perhubungan mereka sebagai suami isteri. Semua ini diperuntukan bagi isteri yang dianiaya suami. Status sebagai isteri tidak gugur selagi tidak mengadu kepada mahkamah atau kadi mengenai keadaannya yang ditinggalkan suami. Walaupun si suami tidak meninggalkan nafkah. Sekarang ini si isteri berhak untuk meminta suami mengqadakan tanggungjawabnya yang diabai selama 10 tahun. Perbuatannya meninggalkan isteri tanpa nafkah adalah berdosa. Jika si suami hari ini senang (berharta) maka bolehlah meminta dia membayar balik kos yang ditanggung oleh isteri. Sekiranya isteri dan anak-anak boleh memaafkan dia dengan melihat kepada keadaannya yang susah itu terpulang kepada si isteri dan anak-anak. Sekiranya si isteri tidak menuntut fasakh atau menuntut khulu’ maka mereka masih suami isteri yang sah sah walaupun emak saudara kamu ditinggalkan selama 10 tahun. Labels: Soal Jawab |