Login Weblog

Koleksi Artikel 2

Blog ini mengandungi koleksi artikel yang berguna sebagai infomasi dan rujukan untuk diriku dan orang lain dari harakahdaily, utusan Malaysia, berita harian, Tranungkite Online dan dari beberapa website lain. Terdapat juga sedikit tulisanku di dalam blog ini.

Dakwah cyber mestilah diterokai oleh pendakwah muslim walau pun bidang ini masih baru. Sebagai OKU inilah kesempatan bagiku untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah. "Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Semesta Alam": Weblog Master 28 Ogos 2006

 

Menu
|Koleksi Artikel 1| |Koleksi Artikel 2| |Weblog OKU 2| |Weblog OKU 1| le-Bookl
Waktu Malaysia
Iklan





Waktu Solat
Alumni Maahad Hamidiah Kajang

Subscribe to Maahad Hamidiah
Powered by groups.yahoo.com

Fatwa Pengharaman Anti Hadith

Fatwa Pengharaman Anti-hadith

Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini: Ajaran Golongan Anti Hadith

ISI AJARAN

1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.

2. Menolak dua kalimah Syahadah.

3. Menolak Qada' dan Qadar

4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12 Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada wahyu.

5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam

6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.

TARIKH MUNCUL

1985

TEMPAT BERKEMBANG Seluruh Malaysia

TINDAKAN/HUKUMAN

Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:

1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996

2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46

3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78

4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3 (Sumber: )

Penutup

Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal 'iya zubillahi min zalik.

Fatwa Mufti Perak

Kategori : Akidah

Tajuk : Gerakan Anti-hadis

Isu : "A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK –

(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;

(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di dalam al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;

(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;

(d) "The Computer Speaks – God's Message To The World" yang ditulis oleh Dr. Rashad Khalifa,

adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.Adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah dan syariah Islamiah serta menglirukan dan boleh menyesatkan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan.

B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah.

Fatwa :

Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh Seksyen 34 (2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1992, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan membuat fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa "Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak" Darul Ridzuan pada 2 Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995, dan atas titah perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa tersebut seperti berikut

C. OLEH YANG DEMIKIAN –

(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik ", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World"; adalah murtad;

(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang -

(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan berpegang kepada atau menyebarkan ajaran- ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World";

(b) mencetak, menerbitkan, memiliki, menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan buku "Hadis Satu Penilaian Semula," "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World"; atau mana-mana bahagiannya, termasuk –

(i) apa-apa bentuk, versi atau variasinya;

(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa;

(iii) apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana-mana buku itu,pada atau atas apa-apa bahan, sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media; atau

(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan sedemikian."

Rujukan Pewartaan : No:139 Jil.49

Tarikh Pewartaan :

15 Feb 1996

Borak
Name :
Web URL :
Message :
:) :( :D :p :(( :)) :x

Zainal Abidin tak kedekut kongsi ilmu
Thursday, August 31, 2006
Berita Harian, 31 ogos 2006


MINAT menyertai pertandingan perbahasan dan tilawah al-Quran sejak usia sembilan tahun memberikan pengalaman berguna bagi mematangkan minda demi membina jati diri Muslim sejati.

Mendalami ilmu keagamaan yang kukuh secara berterusan adalah penyumbang bakat anugerah Allah kepada Penolong Setiausaha Biro Agama Islam Umno , Datuk Zainal Abidin Sakom dalam menyampaikan dakwahnya.

Sejak memulakan kerjaya sebagai guru Pendidikan Islam pada 1970 , beliau sering mendekati pelajar dan masyarakat Islam untuk berkongsi ilmu akhirat yang menjadi santapan minda semua golongan.

Tidak hanya menyebar ilmu secara formal, malah peranannya sebagai pendakwah, imam dan bilal di masjid dan surau di Hulu Selangor melonjak namanya begitu cepat dan dikenali.

“Saya gemar menyertai kumpulan marhaban, membaca al-Quran, menyampai ceramah agama di segenap kampung dan taman perumahan. Ilmu agama ini dimanfaatkan bersama setiap masa.

“Berpesan ke jalan kebenaran dan bersama mencegah kemungkaran dibenci Allah sentiasa menjadi amalan diri ketika bersama mendidik masyarakat setiap lapisan umur. Hadis nabi ada mengatakan ’Tuntutlah ilmu bermula dalam buaian hingga liang lahad’ dipegang dalam diri,” katanya.

Zainal Abidin juga dipilih menjadi pendakwah tetap menyampaikan mesej negara merealisasikan tuntutan Islam Hadhari ke seluruh negara dalam siri ceramah mingguan dan forum ehwal Islam.

Katanya, beliau bersama Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaei Ahmad sentiasa berganding bahu menjelajah negara untuk menyampaikan pengertian dan pengisian Islam Hadhari.

Masyarakat Islam perlu memahami kandungan sebenar tuntutan program Islam Hadhari untuk dijelaskan kepada rakan daripada penganut agama lainnya. Ia sentiasa dibawakan Zainal Abidin tanpa rasa penat dan jemu.

Katanya, beliau menimba ilmu berguna dan kerap membuat pembacaan yang baik untuk menambah pengetahuan bagi dikongsi bersama.

Memiliki suara merdu dan memukau pendengar, membuatkan masyarakat Islam meminati setiap alunan bacaan al-Quran dan kalimah berzanji yang dialunkan beliau pada majlis rasmi dan kuliah bulanan di masjid.

Beliau berkata, ilmu dan kelebihan dimiliki ini tidak boleh disimpan sebaliknya perlu dikongsi bersama.

Katanya, kehendak semua pihak tidak disia-siakan kerana dalam menyampaikan dakwah, apa juga landasan boleh digunakan termasuk menjadi penceramah undangan stesen Radio Selangor. fm.

“Pesan ibu bapa supaya saya berbuat kebaikan dan jadi guru berguna kepada masyarakat menjadi ingatan dan pegangan sepanjang masa. Di mana saja diletakkan saya tetap mengotakan hasrat murni ini.

“Didikan dalam keluarga sentiasa dibawa kepada masyarakat kerana mereka sebahagian anak didik yang menjadi aset berharga,” katanya.

Tidak hanya menuntut ilmu secara formal dalam negara, malah Zainal Abidin mengambil jalan terbaik melanjutkan pelajaran jarak jauh (PJJ) dalam Sarjana Muda Sains Politik dari Universiti Islam Sumatera Utara, Indonesia pada 1989 untuk menambahkan pengetahuan terkini.

Katanya, usaha menimba pengetahuan tidak terbatas dan tidak mengenal usia seseorang dan prinsip ini menjadi sandaran baginya mempelajari pelbagai bidang terbaru untuk keperluan diri.

Labels:


Baca Lagi...
posted by Weblog Master @ 9:04 AM   0 comments
Keperibadian Zaid pikat kepercayaan Rasulullah
Berita Harian, 31 ogos 2006

Zaid bin Thabit ialah seorang Ansar dari Madinah yang mengikut keluarganya memeluk Islam pada umur 11 tahun ketika Rasulullah SAW datang berhijrah ke Madinah dan beliau mendapat berkat kerana didoakan oleh Rasulullah SAW

Beliau juga dibawa orang tuanya berangkat ke perang Badar tetapi Rasulullah menolak kerana umur dan tubuhnya yang masih kecil.

Bagaimanapun, pada peperangan Uhud, permintaan beliau dan rakannya diperkenan Rasulullah SAW, itu pun selepas puas dipujuk.

Keperibadiannya selaku seorang Muslim yang beriman terus tumbuh dengan cepat dan menakjubkan.

Beliau bukan hanya tampil sebagai pejuang, tapi sebagai ilmuwan dengan pelbagai bakat dan kelebihan, sentiasa menghafal al-Quran, menulis wahyu untuk Rasulnya, dan meningkatkan diri dalam mencari ilmu.

Ketika Rasul mula menyampaikan dakwahnya ke luar negeri secara merata dan mengirimkan surat kepada raja serta kaisar dunia, Zaid diperintahkan mempelajari sebahagian bahasa asing yang berhasil dilaksanakannya dalam masa singkat.

Demikianlah keperibadian Zaid yang berjaya menempatkan diri dalam lingkungan pergaulan baru pada kedudukan tinggi hingga menjadi tumpuan penghormatan dan penghargaan masyarakat Islam.

Dalam pertempuran Yamamah, ramai golongan tahfiz al-Quran yang syahid dan ia membuatkan Umar al-Khatab menjadi cemas lalu menghadap Khalifah Abu Bakar as-Siddiq memohon beliau segera memerintahkan menghimpun al-Quran.

Khalifah menunaikan solat istikharah dan berunding dengan sahabat yang kemudian memanggil Zaid sambil berkata kepadanya: “Kamu adalah seorang anak muda yang cerdas, kami tidak meragukan kamu!”

Lalu diperintahkan untuk segera memulakan untuk menghimpun al-Quran dengan meminta bantuan mereka yang berpengalaman dalam soal itu.

Maka Zaid melakukan amal bakti yang kepadanya tergantung masa depan Islam seluruhnya sebagai satu agama hingga akhirnya dapat dihimpun al-Quran yang tersusun dan teratur rapi.

Ketika menggambarkan pengalaman menghimpunkan al-Quran Zaid berkata, “Demi Allah, seandainya mereka memintaku untuk memindahkan gunung dari tempatnya, akan lebih mudah kurasa daripada diperintah mereka menghimpun Al-Quran.”

Pada masa Khalifah Uthman, timbulnya perbezaan bacaan al-Quran, hingga timbul desakan untuk menyatukan mashaf dan bagi menyelesaikan masalah itu, sekali lagi sahabat meminta bantuan Zaid.

Zaid lalu mengumpulkan sahabat dan orang yang dapat membantunya mengambil beberapa mashaf dari rumah Hafshah puteri Umar yang selama ini dipelihara dengan baik dan mula menggarap pekerjaan itu.

Sekarang, kita mampu membaca al-Quran dengan mudah hasil usaha Zaid dan sahabat yang membantu beliau.

Labels:


Baca Lagi...
posted by Weblog Master @ 9:03 AM   0 comments
Nur Alyssa Coraline bersyukur kerana keluarga reda
Utusan Malaysia, 31 ogos 2006

Oleh ZUARIDA MOHYIN


Nur Alyssa Coraline Yussin.

USIKAN teman-teman sekuliah Coraline Louisa Wilfred Yussin yang mengatakan dia cocok bergelar muslim hanya dipandang remeh oleh gadis berketurunan Bisaya dari Sarawak ini.

Malah untuk bergelar muslim tidak pernah terlintas dalam benak beliau. Agama Kristian yang diwarisi daripada keluarga baginya sudah memadai.

Semuanya berpunca daripada sikapnya yang mudah mesra serta keterbiasaan beliau dengan cara hidup serta tanggungjawab seorang Islam seperti berpuasa. Wanita yang mesra dipanggil Leez ini tidak langsung menampakkan kejanggalan apabila berhadapan dengan situasi sedemikian.

“Agama Islam bukanlah terlalu asing buat saya. Malah saya senang dan selesa apabila berada dalam kelompok teman-teman yang beragama Islam. Ini saya alami sejak di Sarawak lagi. Hinggakan apabila saya menyambung pengajian di peringkat universiti pada 1998, pergaulan saya dengan mereka yang beragama Islam masih diteruskan.

“Kenangan yang paling tidak dapat saya lupakan adalah sewaktu bulan Ramadan di mana umat Islam berpuasa selama sebulan. Memandangkan majoriti teman-teman berpuasa, saya juga teringin mencuba mengalami keadaan tidak makan dan minum seharian.

Ditambah pula pada bulan itu, selalunya sukar hendak mendapatkan makanan kerana kedai-kedai banyak dibuka pada sebelah petang. Malah menerusi pembacaan, saya dapati berpuasa itu baik untuk kesihatan,” jelasnya.

Suasana cukup berbeza pada bulan mulia itu. Kemeriahan terasa sewaktu berbuka puasa dengan pelbagai juadah dan solat terawih yang dilakukan secara berjemaah.

“Layanan mereka terhadap saya biarpun di luar bulan puasa sama sahaja... mereka tidak membezakan saya sungguhpun kami berlainan agama pada masa itu,” cerita lulusan jurusan Perniagaan Antarabangsa ini yang berkongsi kisah awal yang membawa kepada pengislamannya pada September 2004.

Coraline yang kini menggunakan nama Islamnya iaitu Nur Alyssa Coraline Yussin, 30, turut mengakui pendedahan tentang Islam bukan sahaja diperoleh menerusi pergaulan tetapi hakikatnya ada beberapa saudara-mara beliau yang terlebih dahulu memeluk Islam.

Sungguhpun berlainan agama, kata Nur Alyssa atau lebih mesra dengan panggilan Leez, hubungan kekeluargaan mereka tetap rapat malah mereka sentiasa bersikap terbuka serta saling menghormati. Ia menjadi asas yang menjamin keharmonian dalam pertalian kekeluargaan.

Akui Leez, hatinya sering tertanya-tanya mengapa mereka memilih Islam setiap kali mendapat tahu tentang pengislaman beberapa pak cik dan mak ciknya. Pada

saat itu barulah Leez sedar dan memahami bahawa ada banyak cara orang menerima hidayah Ilahi dan beliau mula mengambil tahu tentang Islam menerusi pembacaan.

“Ia menjadi serius apabila saya mula berkenalan dengan Raswanizam Mat Rashid yang kini merupakan suami saya. Kami berkenalan sewaktu saya menjalani latihan praktikal di syarikat tempat beliau bekerja di Petaling Jaya, Selangor.

“Pada awalnya kami sekadar teman biasa sahaja seperti pergi berbuka puasa beramai-ramai tetapi lama-kelamaan sikapnya yang tidak terlalu memaksa dan pada masa yang sama berjaya menerangkan beberapa persoalan yang merapatkan hubungan kami. Apa yang

saya berani katakan ialah suami saya banyak membantu saya,” jelas Leez yang berumah tangga pada Mac 2005 serentak dengan adik iparnya, Raswan Edelin dengan pasangannya, Olyza

Ichsan.

Menurut anak ketiga daripada lima adik-beradik ini, pada peringkat awal, keluarganya menentang hasratnya memeluk Islam apatah lagi bila mengetahui yang beliau sudah mempunyai teman lelaki berbangsa Melayu dan merancang untuk berkahwin. Namun, hati kecilnya tidak menyalahkan mereka terutama ibu bapa sebab kerana merekalah beliau lahir ke dunia dan mendapat pendidikan sehingga berjaya. Apatah lagi, mahu bergelar anak derhaka tidak sekali-kali dipinta.

“Saya tahu mereka bimbangkan tentang masa depan dan nasib saya terutamanya selepas bergelar muslim dan berkahwin. Namun, saya bertuah kerana ada dalam kalangan ahli keluarga terdekat seperti ayah dan abang yang menerima keputusan saya dan mahu saya teruskan jalan kehidupan yang dipilih dengan harapan saya tidak melupakan asal usul dan keluarga. Malah kehadiran ibu bapa pada majlis persandingan kami adalah saat yang saya dan suami paling hargai.

“Saya juga berterima kasih kepada keluarga suami kerana menerima saya seadanya. Kepada suami yang sanggup berkunjung ke Sarawak sebanyak dua kali bertemu ahli keluarga saya yang lain, pengorbanan dan sokongannya

tidak ternilai. Ini meyakinkan ahli keluarga tentang keikhlasan dan kesungguhannya hendak memperisterikan

saya,” kata Leez yang kini berbadan dua dan bakal menyambut kelahiran bayi kembar.

Ketika ditanya tentang pengalamannya berhadapan dengan keluarga isteri, Raswanizam berkata, perasaan gementar tetap wujud tetapi keikhlasan dan kesungguhan Leez memberi kekuatan kepadanya.

Raswanizam memahami kerisauan ibu bapa Leez apabila terpaksa melepaskan anak gadis ke tangan orang yang tidak dikenali. Walau bagaimanapun, anak sulung daripada dua adik-beradik ini gembira apabila dapat meyakinkan ibu bapa mertua dalam hal-hal yang sering disalah tafsir oleh mereka yang bukan beragama Islam. Contohnya, poligami, hubungan kekeluargaan, tanggungjawab anak dan sebagainya.

Celah Leez, berkat kata-kata seorang yang berpangkat datuk dalam keluarganya berjaya mengurangkan ketegangan pada pertemuan hari itu. Keluarga akhirnya menerima apa yang berlaku sebagai satu takdir Ilahi.

Meneruskan perbualan kami pada malam Sabtu itu di rumah ibu bapa Raswanizam di Bandar Tasek Selatan, kata Leez, ketenangan hati serta perasaan tenteram yang dialami sejurus selesai mengucap dua kalimah syahadah sukar diluahkan dengan kata-kata.

“Selesai bacaan doa selepas pengislaman, perasaan saya terasa begitu aman. Solat saya selepas benar-benar bergelar muslim amat menyentuh hati. Entahlah mungkin keikhlasan kepada Allah begitulah nikmat kepuasan yang Allah kurniakan. Saya bersyukur ini semua berlaku secara aman tanpa paksaan.

“Malahan peluang mengikuti kelas-kelas agama di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Jalan Ipoh banyak menjelaskan kekaburan dan kemusykilan saya selama ini. Ia tambah bermakna apabila ia turut disertai oleh suami. Tunjuk ajar Ustaz Amran Abdullah ketika di kelas banyak membantu saya pada masa itu,” katanya yang memilih ibu pejabat Perkim sebagai tempat mengucap syahadah.

Jelas Leez lagi, jika sebelum ini beliau tidak berpeluang mengikuti kelas Iqra dan fardu ain tetapi sejak kebelakangan ini apabila aktiviti kerja semakin sibuk, beliau terpaksa menimba ilmu agama menerusi Internet, pembacaan dan tunjuk ajar suami.

“Saya berazam mahu menguasai bacaan al-Quran,” jelasnya

Labels:


Baca Lagi...
posted by Weblog Master @ 8:34 AM   0 comments
Kisah Sahabat: Umar tetap syarat ketat pilih gabenor
Wednesday, August 30, 2006
Berita Harian, 30 ogos 2006

Sambungan semalam

AMIRUL Mukminin Umar selalu berhati-hati memilih gabenornya, seolah-olah beliau memilih orang yang sama mutunya dengan dirinya. Saidina Umar selalu memilih orang yang zuhud dan soleh serta boleh dipercayai dan jujur. Dia juga orang yang tidak mengejar pangkat atau kedudukan, bahkan tidak mahu menerima jawatan itu kecuali kerana dipaksa Amirul Mukminin menerimanya.

Sekalipun pandangan tajam dan pengalamannya luas, namun dalam memilih gabenor dan pembantu utamanya, beliau selalu menimbangnya dalam waktu yang panjang dan mengamatinya dengan teliti. Beliau selalu mengulang pesan atau fatwanya yang mengesankan itu sebagai berikut:

“Aku menginginkan seorang lelaki apabila ia berada dalam suatu kaum, padahal ia rakyat biasa, tetapi menonjol seolah-olah dialah pemimpinnya. Dan apabila dia berada antara mereka sebagai pemimpinnya, dia menampakkan diri sebagai rakyat biasa. Aku menghendaki seorang gabenor yang tidak membezakan dirinya daripada manusia kebanyakan dalam soal pakaian, makanan dan tempat tinggal. Ditegakkannya solat di tengah-tengah mereka. Berbahagi rata dengan mereka berdasarkan yang hak dan tidak pernah dia menutup pintunya untuk menolak pengaduan mereka.”

Maka berdasarkan norma dan peraturan keras inilah, Umar memilih Umeir bin Saad untuk menjadi gabenor di Homs. Umeir berusaha untuk menolak dan melepaskan diri daripada jawatan itu tetapi sia-sia kerana Amirul Mukminin tetap mengharuskan dan memaksanya untuk menerimanya.

Umeir memohon kepada Allah memberi petunjuk dengan solat istikharah dan kemudian melaksanakan kewajipannya.

Pada waktu dia diharuskan melaksanakan pemerintahan dan pemimpin, maka kedudukannya yang tinggi itu hanya semakin menambah sifat waraknya untuk menjadi lebih cemerlang.

Ketika menjadi gabenor di Homs itu, Umier menggariskan tugas kewajipan seorang ketua pemerintahan Islam. Katanya: “Ketahuilah, bahawa sesungguhnya Islam mempunyai dinding teguh dan pintu yang kukuh. Dinding Islam itu ialah keadilan.”

Apabila dinding itu dirobohkan dan pintunya dirobek, Islam akan dapat dikalahkan. Islam akan sentiasa kuat selama pemerintahannya kuat.

Kekuatan pemerintah tidak terletak dalam angkatan perang, tetapi pada pelaksananya yang melaksanakan segala ketentuan dengan jujur dan disertai menegakkan keadilan.


Labels:


Baca Lagi...
posted by Weblog Master @ 9:22 AM   0 comments
Yayasan Al Jenderami suburkan institusi pondok

Utusan Malaysia, 30 ogos 2006

Oleh SITI AINIZA KAMSARI


MENGKAJI sejarah zaman purba atau prasejarah di Tanah Melayu tidak akan lengkap tanpa kita merujuk kepada sebuah kawasan yang dikenali sebagai Jenderam yang terletak di Sepang, Selangor.

Jenderam ialah sebuah daripada 70 penempatan awal Zaman Neolitik di Malaysia. Selain Jenderam, penempatan lain zaman itu ialah Guar Kepah di Kedah; Kota Tongkat, Kota Gelanggi, Gua Kecil dan Bukit Cintamanis di Pahang, dan beberapa lokasi lain di Semenanjung Malaysia.

Pada tahun 1940 sebuah pendayung purba yang dikenali sebagai Bot Jenderam dijumpai. Selain itu serpihan tembikar turut dijumpai di situ yang terletak kira-kira 30 kilometer (km) dari Kuala Sungai Langat yang menjadi laluan utama pedagang-pedagang dan penghijrah (imigran) terutama dari Sumatera, Jawa dan China. Pada beberapa serpihan tembikar itu terdapat hiasan dengan kesan-kesan pemukul kayu berukir (carved paddle-impressed).

Namun, Jenderam kini terkenal dalam kalangan masyarakat Islam Malaysia berikutan wujudnya perkampungan berorientasikan kesyumulan Islam iaitu Kampung Baru Jenderam Hilir yang ditadbir oleh Yayasan Al Jenderami.

Dalam kawasan seluas hampir 20 hektar itu, penduduknya yang mempunyai pelbagai latar belakang asal usul dan kerjaya menyandarkan kehidupan mereka sepenuhnya kepada Islam.

Ketua Pengawai Eksekutif Yayasan Al Jenderami, Kamarulzaman Omar berkata, perkampungan itu sebenarnya ialah sebuah pusat pengajian Islam bagi mengembalikan semula kegemilangan institusi mengaji pondok.

“Institusi pondok pada suatu masa dahulu berjaya melahirkan begitu ramai tokoh dan cendekiawan Islam dan kita sangat perlu berterima kasih kepada mereka.

“Tanpa mereka, tidak mungkin kita dapat mengecap sebarang kemanisan kemerdekaan daripada segala bentuk penjajahan baik secara fizikal mahupun mental,” katanya.

Namun, yang uniknya Yayasan Al Jenderami bertanggungjawab menyediakan pelbagai prasarana moden dan terkini di sebalik fungsinya sebagai pusat pengajian pondok.

“Jadi tempat ini tidak memberi gambaran suasana yang tradisional malah kami ingin membangun dan memajukan pelbagai lagi kemudahan di sini,” jelasnya.

Kamarulzaman berkata, pengasas awal perkampungan ini ialah sekumpulan kakitangan Urban Development Authority (UDA) seramai 20 orang yang diketuai oleh Ustaz Mohd. Hafidz Selamat pada 1985.

Mohd. Hafidz tidak akan mempunyai kekuatan yang tinggi jika tidak dipengaruhi oleh gurunya sendiri. Gurunya itu merupakan seorang ulama terkenal di Selangor iaitu Tuan Guru Muhammad Zain Tama yang berasal dari Kampar, Sumatera Indonesia.

Ketika usianya 18 tahun iaitu pada tahun 1927, tokoh ini mendalami ilmu di Mekah selama tiga tahun.

Sekembali ke tanah air, beliau menyambung pengajiannya di Madrasah At Taufiqiyyah Kajang (nama asal SMKA Maahad Hamidiah Kajang sekarang) selama 10 tahun dan kemudian menjadi pendakwah dan guru agama di merata tempat di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

“Pembukaan madrasah ini berjaya menarik minat begitu ramai para pelajar untuk belajar pelbagai ilmu agama daripada tokoh ini.

Pesat berkembang

“Sekolah pondok itu begitu pesat berkembang sehingga wujudnya satu perkampungan kecil di situ,” katanya.

Pada tahun 2003 Yayasan Al Jenderami ditubuhkan bagi mentadbir pusat pengajian itu yang ahli lembaga pengarahnya terdiri daripada pelbagai latar belakang profesional dalam kerajaan dan tokoh korporat.

Sejak itu, pelbagai perkembangan berlaku yang membolehkan perkampungan itu muncul sebagai kompleks yang lengkap dengan pelbagai infrastruktur.

“Dalam kawasan seluas 20 hektar sekarang ini, kompleks yayasan dilengkapi dengan sebuah masjid, tadika, kelas agama dan fardu ain (KAFA), kelas-kelas pengajian, pejabat pentadbiran, asrama anak yatim dan warga emas, klinik, kedai koperasi, bistro dan hotel bertaraf tiga bintang,” jelasnya.

Menurut Kamarulzaman, selain sebagai pusat pengajian Islam, yayasan itu semakin terkenal kerana aktiviti-aktiviti yang bersifat dakwah, kebajikan, sosial dan ekonomi.

“Selain bakal menempatkan anak yatim, yayasan memberikan peluang kepada warga emas menghabiskan usia mereka untuk beribadat dan mendalami ilmu di sini.

“Mereka bukan seperti penghuni rumah warga emas atau perlindungan orang tua, tetapi mereka berada di sini dengan pilihan sendiri mereka kerana mahukan kehidupan yang mempunyai suasana seperti melakukan ibadat umrah atau haji di Mekah,” katanya.

Perkampungan itu mendapat perhatian dan sentiasa dikunjungi umat Islam. Setiap sebulan sekali mereka mengadakan sambutan Memperingati Rasulullah yang sering disebut sebagai Maulidur Rasul.

Sambutan itu lazimnya diadakan pada tarikh 12 Rabiulawal setiap tahun.

“Setiap kali mengadakan sambutan itu, ia mendapat sambutan dan begitu meriah. Ini kerana dalam majlis memperingati Rasulullah itu pelbagai acara lain juga diadakan.

“Ini termasuk menghidupkan semula amalan-amalan Rasulullah termasuk majlis akikah, potong jambul bayi, berhadrah, berqasidah, bernasyid dan menjamu anak yatim dan orang ramai.

“Acara ini bukan sahaja bagi melahir dan menguatkan kecintaan kepada Rasulullah tetapi merapatkan hubungan silaturahim sesama umat Islam tanpa mengira latar belakang,” kata Kamarulzaman.

Mereka yang ingin mempelajari dan mendalami kitab-kitab lama, maka di situlah tempatnya.

Kitab-kitab karangan ulama seperti Syed Daud Fatani, Sheikh Abdul Samad Al Palembangi, Syeikh Arshad Al Banjari, Tok Kenali dan ramai lagi menjadi rujukan utama di yayasan itu.

“Kitab-kitab yang terkenal ialah seperti Hidayatul Subyan, Bahrul Mazzi (karangan Idris Marbawi), Minhajul Abidin, Sairus Salikin dan banyak lagi,” katanya.

Tahun lalu, Yayasan Al Jenderami mengambil inisiatif mengadakan Majlis Ijtima Ulama Pondok Senusantara.

Mereka tidak sahaja berjaya mengadakan pelbagai program dan aktiviti berkaitan tetapi yang menariknya mereka berjaya mengumpulkan ramai ulama dari seluruh Nusantara dari Indonesia, Singapura, Pattani, Narathiwat, Songkla dan dari Malaysia sendiri.

Lebih menarik apabila mereka dapat bertemu dengan nasab atau keturunan ke-18 Sultanul Aulia, Sheikh Abdul Qader Al Jailani, iaitu Syed Afeefuddin Al Syed Abdul Qadir Mansuruddin Al Qaylani, yang dijadikan tetamu kehormat.

“Begitupun dari masa ke masa kami sering menjemput ramai ulama dari negara-negara Asia Barat terutama Mesir, Arab, Jordan sehinggalah ulama dari negara Barat terutama dari Perancis, Jerman dan United Kingdom,” katanya.

Agensi pelancongan

Selain itu, yayasan itu juga mempunyai agensi pelancongan sendiri untuk membawa umat Islam melakukan pelbagai ziarah terutama mengunjungi institusi Islam bertaraf moden atau pondok di seluruh Nusantara.

“Ini termasuk melawat tempat-tempat bersejarah seperti Wali Songo. Malah jika kita mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah atas dasar hubungan baik kita selama ini, kita akan dibawa ke tempat-tempat bersejarah yang masih banyak di sana dan tidak pernah di bawa oleh mana-mana agensi lain sebelum ini,” katanya.

Mereka turut mengeluarkan pelbagai produk terutama makanan ringan, jahitan dan sebagainya yang diusahakan oleh para pelajar dan penduduk di situ.

Selama tiga hari bermula Jumaat minggu hadapan, misalnya, yayasan akan mengadakan Majlis Memperingati Ummul Mukminin, Saidatina Siti Khadijah Al Kubra di mana terdapat pelbagai aktiviti menarik dijalankan.

Institusi Pondok pada era zaman yang moden ini, kata Kamarulzaman, masih relevan dan patut disokong.

“Kami mendapat kelulusan pihak berkenaan di mana di sini juga kami akan mengadakan Pusat Pemulihan dan Rawatan terhadap penagih-penagih dadah menggunakan pendekatan holistik.

“Kami akan menggunakan pendekatan agama bagi mengembalikan semula nilai kemanusiaan yang hilang pada penagih tersebut,” katanya.

Menurut beliau, kawasan seluas lima hektar berhampiran Kampung Baru itu dikenal pasti untuk membangunkan pusat itu.

Yayasan Al Jenderami, kata Kamarulzaman, adalah badan yang bebas daripada mana-mana pengaruh politik dan agama yang ekstrem.

“Kami berada di tengah-tengah. Kami cukup sederhana bagi memperlihatkan Islam itu adalah indah, mudah dan begitu praktikal,” katanya.


Labels:


Baca Lagi...
posted by Weblog Master @ 9:04 AM   0 comments
Zaid gugur syuhada sebagai panglima
Monday, August 28, 2006
Berita Harian, 28 ogos 2006


JAAFAR bin Abi Thalib adalah orang paling rapat dengan Rasulullah SAW dari segi hubungan keluarga, sebagai anak saudaranya sendiri.

Keberanian dan ketangkasannya tidak diragukan lagi. Kebangsawanan dan kehebatannya begitu juga, namun dia hanya sebagai orang kedua selepas Zaid iaitu sebagai panglima pengganti, sedangkan Zaid diangkat sebagai panglima pertama pasukan.

Begitulah contoh dan teladan diperlihatkan Rasulullah SAW dalam mengukuhkan sesuatu prinsip.

Islam sebagai agama baru mengikis habis segala hubungan lapuk yang didasarkan pada darah dan keturunan atau yang ditegakkan atas batil, menggantikannya dengan hubungan baru dipimpin hidayah Ilahi yang berpokok pada hakikat kemanusiaan.

Dalam pada itu, Rasulullah SAW seolah-olah mengetahui secara ghaib berhubung pertempuran yang akan berlaku.

Baginda mengatur dan menetapkan susunan panglimanya dengan tertib berturutan: Zaid, lalu Jaafar, kemudiannya Abi Rawahah.

Ternyata ketiga-tiga mereka menemui Tuhannya sebagai syuhada sesuai dengan urutan itu pula.

Apabila kaum Muslimin melihat tentera Romawi yang jumlahnya menurut taksiran tidak kurang daripada 200,000 orang, suatu jumlah yang tidak mereka duga sama sekali, mereka terkejut.

Namun, benarkah pertempuran didasari iman perlu mempertimbangkan jumlah itu?

Ketika itulah, mereka maju tanpa gentar, tidak mempedulikan dan menghiraukan ramainya musuh.

Di hadapan sekali kelihatan dengan tangkasnya memacu kuda, panglima mereka Zaid, sambil memegang teguh panji Rasulullah SAW, dia maju menyerbu seperti taufan, di celah desingan anak panah, hujung tombak dan pedang musuh.

Mereka bukan hanya mencari kemenangan, tetapi lebih daripada itu mencari apa yang dijanjikan Allah iaitu tempat pembaringan di sisi Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah membeli jiwa dan harta orang Mukmin dengan syurga sebagai imbalannya." (Surah at-Taubah, ayat 111)

Zaid tidak sempat melihat pasir Balqa', malah tidak pula keadaan bala tentera Romawi, tetapi dia langsung melihat keindahan taman syurga dengan dedaunannya yang hijau berombak laksana kibaran bendera, yang memberitakan kepadanya, bahawa itulah hari istirahat dan kemenangannya.

Dia terjun ke medan perang dengan menerjah, menghayun, membunuh atau dibunuh. Tetapi, dia tidak memisahkan kepala musuhnya, dia hanya membuka pintu dan menembus dinding yang menghalanginya ke kampung kedamaian, syurga yang kekal di sisi Allah.

Dia menemui tempat berehat yang akhir.

Rohnya yang melayang dalam perjalanannya ke syurga tersenyum bangga melihat jasadnya yang tidak berbungkus sutera dewangga hanya berbalut darah suci yang mengalir ke jalan Allah.

Senyumannya semakin melebar dan tenang penuh nikmat, kerana melihat panglima yang kedua Jaafar memecut laju ke hadapan laksana anak panah yang terlepas dari busurnya menyambar panji yang dibawanya sebelum jatuh ke tanah.

Labels:


Baca Lagi...
posted by Weblog Master @ 8:46 AM   0 comments
Ulama Saudi larang nada dering azan, ayat al-Quran
RIYADH: Ulama Arab Saudi melarang laungan azan dan bacaan ayat suci al-Quran dijadikan sebagai nada dering telefon bimbit kerana ia dianggap menjejaskan kesucian Islam.

Sheikh Saleh Al-Shamrani berkata, perbuatan itu bersifat makruh apalagi jika deringan itu berlaku ketika pemiliknya berada dalam tandas atau pada premis hiburan seperti disko.

“Ayat suci al-Quran amat tinggi nilainya dan tidak tepat direndahkan tahapnya sebagai nada dering telefon bimbit. Paling rendah hukumnya adalah makruh,” katanya kepada akhbar Arab Al-Sharqul Awsat, kelmarin.

Beliau yang juga pensyarah Akademi Ilmiah Universiti Islam Raja Mohamed Saud, membuat ulasan itu berikutan semakin ramai umat Islam menjadikan laungan azan dan bacaan ayat suci al-Quran menggantikan irama muzik moden sebagai nada dering.

Sheikh Saleh berkata, larangan menggunakan ayat suci al-Quran dan azan dibuat atas ilat atau alasan ia sememangnya tidak boleh digunakan berdasarkan banyak sebab, termasuk tempat.

“Ia seperti deringan ketika pemilik berada di tempat kotor seperti tandas atau tempat tidak sesuai seperti disko atau majlis apabila ketika itu orang ramai sedang ketawa,” tegasnya.

Seorang lagi ulama, Suad Afif mahu satu garis panduan diwujudkan khusus mengenai penggunaan ayat suci al-Quran dan azan.

“Kita tidak mahu di tengah kegilaan ramai mendapatkan nada dering diminati, aspek kemurnian agama Islam itu pula tercemar. Kita juga tidak mahu keindahan dan kemurnian ayat suci dan azan itu diperlekeh baik secara sengaja atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata nada dering ayat suci al-Quran dan laungan azan, dari satu aspek mengingatkan umat Islam mengenai ibadat, seperti kewajipan menunaikan solat.

“Memanglah ia baik untuk umat Islam tetapi dari satu segi, jika nada dering itu didengar dalam tandas, tidak baik. Walaupun kita tidak nampak tulisan ayat al-Quran, ia tidak baik untuk didengar dalam tandas.

“Ayat suci al-Quran tidak boleh dibawa ke tempat kotor dan najis. Walaupun nada dering, ia kalau didengar di tempat seperti itu merendahkan kesucian al-Quran,” katanya.

Beliau menasihatkan umat Islam supaya berhati-hati dalam memilih nada dering telefon bimbit bagi mengelakkan melakukan dosa.

Labels:


Baca Lagi...
posted by Weblog Master @ 8:25 AM   0 comments
Keinsafan bertapak di Qawwam Desa

Utusan Malaysia, 28 ogos 2006

MANUSIA yang beruntung adalah manusia yang meniti di atas cinta, memperoleh cinta untuk menyedari kedudukannya sebagai insan kerdil di bawah kebesaran Ilahi.

Cinta sejati ini bukan sahaja melahirkan bibit-bibit cinta antara manusia tetapi yang paling penting diri kita sendiri mampu mengecapinya agar kita sayang pada diri sendiri.

Apabila bahagia itu datang, pastinya diri mampu menghalang segala kerosakan yang ingin menghancurkan diri.

Kebahagiaan itu akan didapati apabila mendapat keberkatan hidup yang memberi manfaat kepada jasmani, masyarakat dan hidup diredhai Allah.

Begitulah luahan hati dan perasaan yang tersirat di sebalik ketenangan wajah bekas-bekas penagih dadah yang berusaha mengubah kehidupan melalui perniagaan yang diceburi.

Pada pagi yang cerah itu, wartawan RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH dan jurugambar HUSSIN IBRAHIM mengungkap kisah mereka yang kini memulakan penghidupan baru dengan membuka gerai makan Qawwam Desa, Jalan Bukit Cerakah, Selangor.

Pertemuan diaturkan dengan kerjasama penaung Persatuan sahabat Prihatin Kuala Lumpur dan Selangor (SAHABAT), Mior Yazid Abdul Manaf yang turut berkongsi cerita suka dan duka beliau dalam membantu remaja-remaja yang terjebak dengan masalah sosial.

Qawwam Desa merupakan usaha bekas-bekas penagih yang berazam mengubah diri menjadi insan yang berguna di samping berusaha menjauhikan diri daripada dadah.

Bermula dengan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual air, gerai ini akhirnya mampu menjadi sebuah gerai makanan yang sederhana.

Atas usaha yang tidak pernah mengenal erti putus asa, gerai ini memberi jalan kepada mereka untuk pulih dan memupuk semangat kerjasama serta setiakawan yang erat.

Ini kerana bukan mudah untuk seseorang itu berubah apatah lagi ia menjadi rutin harian yang telah dialakukan bertahun-tahun lamanya.

Mohd. Mardi Mahmood, 34, yang bergelumang dengan dadah selama sepuluh tahun melahirkan kesyukuran kerana diberi peluang untuk menginsafi dirinya tatkala tabiat buruk itu terlalu sukar untuk ditinggalkan.

“Saya pernah dimasukkan ke pusat serenti tetapi ternyata hati saya masih belum terbuka untuk berubah.

“Empat tahun lepas, lahir keinsafan dalam diri kerana saya sedar andai saya teruskan juga tabiat saya, masa depan saya akan hancur.

“Atas desakan kuat dalam diri dan keluarga, melalui program SAHABAT saya lebih tenang dan berjaya melawan hawa nafsu saya sendiri,” kata pemuda ini yang berasal dari Pulau Pinang.

Mohd. Mardi menceritakan, keikhlasan dalam diri untuk berubah amat penting agar matlamat tersebut dapat dicapai.

Rakan Mohd. Mardi, Mohd. Zuki Abdul Khalid, 31, kelihatan amat sukar untuk memulakan bicara.

Mungkin pemuda ini menyimpan seribu pengalaman pahit sepanjang dia bergelar penagih dadah.

“Ingin hidup lebih sempurna dan mempunyai masa depan yang lebih baik, membuatkan saya memilih untuk bertaubat.

“Saya sedar kerana sifat ingin tahu dan salah memilih kawan, membuatkan diri terjerumus dengan gejala dadah,’’ ujarnya dalam nada yang sayu.

Nasihat Mohd. Zuki kepada remaja yang berada di luar sana agar tidak perlu mencuba sesuatu yang membawa keburukan walaupun hanya sebatang rokok.

Walaupun pahit, Norman Mohd. Nor, 35, terpaksa menelan jua segala tohmahan masyarakat yang diterima sebelum ini.

Mengakui selama dia terlibat dengan penagihan dadah, pelbagai kejahatan termasuk mencuri telah dilakukan semata-mata ingin mendapatkan bekalan dadah.

Tetapi jauh di sudut hati, Norman ingin berubah melalui sahabat-sahabat yang ditemuinya sekarang.

“Semangat berpasukan yang dibina melalui terapi yang dibuat oleh SAHABAT menjadikan saya lebih kuat dan dapat memperbaiki diri.

“Saya harap diri saya akan kekal seperti sekarang dan saya tidak mampu melakukannya berseorangan tanpa bantuan sahabat yang lain,’’ jelas pemuda yang berasal dari Terengganu ini.

Ketiga-tiga pemuda ini bertemu jodoh ketika melalui pemulihan yang dijalankan oleh SAHABAT dan diselia sendiri oleh Mior Yazid.

Mereka ini diberi peluang bekerja sendiri supaya mereka sibuk dan lupa untuk kembali mencari dadah.

Menurut Mior Yazid, Qawwam Desa merupakan wadah bagi membantu penagih-penagih tegar untuk melalui proses pemulihan dan medan untuk mereka berkomunikasi dengan masyarakat.

Gerai ini dibuka dari hari Isnin hingga Ahad pada pukul tujuh pagi hingga malam dan hanya tutup pada petang Jumaat.

“Gerai yang telah beroperasi hampir lapan tahun ini memberi peluang kepada bekas penagih berubah dan mereka hanya dipantau tanpa pengawasan yang ketat.

“Ada beberapa perkara yang perlu diubah dalam memastikan mereka ini benar-benar insaf termasuk wajah, tabiat malas, sifat mereka yang suka menipu dan kehidupan harian mereka.

“Bagi memastikan perubahan ini berjaya, golongan ini perlu taat pada perintah agama, jujur, sentiasa bersyukur dan sabar dalam mengharungi kehidupan,’’ ujarnya.

Tambah Mior Yazid, melalui SAHABAT, telah diwujudkan Pusat Pemulihan dan Bina diri yang terletak di kampung Jenagor, Ulu Terengganu, Kampung Teluk Kepayang, Botak Kiri, Perak, Bukit Piatu, Melaka.

“SAHABAT diwujudkan bagi membantu anak bangsa khususnya yang terjebak dengan penagihan dadah dan gejala sosial lain.

“Apa yang kami usahakan ini adalah pengorbanan sendiri tanpa mengharapkan belas ihsan orang lain semata-mata bagi membantu mereka.

“Kami membantu mereka untuk terus hidup kerana sukar bagi seseorang penagih dadah yang hidup bergelumang dengan dadah selama 10 tahun untuk berubah selama dua tahun.

“Yang jelas mereka ini perlukan sokongan orang ramai selain pengisian ilmu kerohanian yang berpanjangan,’’ jelas Mior Yazid.

Mior Yazid memberitahu, institusi merupakan akar umbi yang paling penting dalam membentuk akhlak remaja-remaja pada zaman sekarang.

“Sikap prejudis masyarakat yang memandang serong terhadap penagih dadah perlu diubah supaya golongan ini dapat memulakan kehidupan baru,’’ ujarnya.

Seperti bekas-bekas penagih ini, tiada apa yang mampu diucap oleh mereka selain ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas usaha yang Mior Yazid dan rakan-rakannya membantu golongan ini.

Orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut tentang SAHABAT boleh menghubungi Mior Yazid di talian 019-2886902 atau layari http://www.sahabatprihatin.blogspot.com.

Labels:


Baca Lagi...
posted by Weblog Master @ 8:17 AM   0 comments
Ibadat solat tetap wajib ke atas pesakit
Utusan Malaysia, 28 ogos 2006

Oleh: SITI AINIZA KAMSARI

SUSAHLAH! Tidak mengapa di rumah boleh qada! Surau jauh! Tak bawa telekong. Dah lama tidak sembahyang. Tidak tahu caranya dan tidak selesa hendak solat. Semua ini adalah antara alasan yang ditemui menerusi satu kajian yang mendapati hanya 20 peratus daripada pesakit muslim yang berada di wad-wad hospital bersolat.

Kajian oleh Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) ini mendapati angka itu sebenarnya meningkat berbanding 15 peratus pada tahun lalu.

Fenomena ini tidak menghairankan kerana ada pihak hospital mendakwa Tuhan lebih mengetahui mengenai hamba-Nya yang sedang sakit. Lantas ini dijadikan alasan mereka.

Namun satu perkara yang jelas, kata Presiden PPIM, Profesor Dr. Abdul Latiff Mohamed, semua tanggapan dan alasan itu adalah tidak benar. Katanya, selagi seorang itu beragama Islam, waima dalam keadaan sedar dan waras, maka tuntutan melakukan solat terhadap mereka adalah wajib.

“Malah jika dalam keadaan sakit, bermakna hubungan orang muslim perlu lebih didekatkan dengan Allah melalui solat.

“Jika mereka percaya kuasa penyembuhan juga ada pada Allah, maka wajiblah mereka bersolat dan beribadat terhadap-nya. Walaupun setelah melakukan pelbagai usaha rawatan, kita tetap berserah dan bertawakal kepada Allah.

“Semoga dengan solat dan doa munajat pesakit itu, mereka diizinkan Allah untuk tabah menghadapi sakit dan akan sembuh,” katanya sewaktu ditemui di Pusat Rawatan Islam An Nur, Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Dr. Abdul Latiff berkata, perkataan uzur tidak boleh sewenang-wenangnya dijadikan alasan untuk pesakit tidak melakukan ibadat.

“Bersolat itu adalah satu kaffarah ke atas dosa dan maksiat yang pernah dilakukan selama ini,” katanya.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Tidaklah seorang muslim ditimpa atau keletihan atau kerisauan atau kedukacitaan atau permasalahan walaupun berupa duri (yang mengenai) melainkan ini merupakan penebus kepada dosanya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mungkin timbul persoalan bagaimana pesakit yang dalam pelbagai keadaan rawatan dapat mengambil wuduk dan melakukan ibadat.

Ini termasuklah kes anggota wuduknya seperti tangan atau kaki dalam keadaan berbalut, luka yang tidak boleh terkena air, pesakit sentiasa dalam keadaan berhadas, pesakit yang dalam keadaan terbaring, sehinggalah kepada ibu yang hampir-hampir hendak bersalin.

Dalam hal ini, kata Dr. Abdul Latiff, pelaksanaan syariat itu terbahagi kepada dua jenis. Pertama, azimah yang merupakan hukum yang menyeluruh untuk semua mukalaf dan untuk semua keadaan tanpa kecuali.

“Hukum yang kedua ialah rukhsah, satu keringanan yang disyariatkan kerana keuzuran melampau termasuk sakit dan sedang menjalani rawatan dan pemulihan,” katanya.

Firman Allah dalam surah Al Haj, ayat 78 bermaksud: Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.

Rukhsah membolehkan pesakit yang anggota wuduknya berbalut atau bertampal plaster, terutama muka, tangan dan kaki, hanya perlu menyapukan air ke atas balutan itu.

*Berwuduk

Cara ini mencontohi kisah yang diriwayatkan daripada Saidina Ali bin Abi Talib: “Salah satu sendiku patah. Aku bertanya Nabi Muhammad mengenai cara berwuduk. Baginda menyuruhku menyapu air ke atas pembalut di bahagian yang patah itu. (Riwayat Ibnu Majah dan Al Dar Qutni)

“Ada juga disebutkan selain menyapu air di bahagian yang berbalut itu, pesakit juga perlu bertayamum,” kata Dr. Abdul Latiff.

Namun ada pendapat lain mendakwa tidak wajib seseorang pesakit itu bertayamum sekiranya dia membasuh anggotanya yang sihat dan menyapu balutan itu dengan air.

Menurut Dr. Abdul Latiff, jika anggota wuduk pesakit luka, mengalami penyakit kulit dan sebagainya yang menyebabkan mereka tidak boleh terkena air, pesakit perlu bertayamum.

Pesakit yang tidak boleh menggunakan mana-mana cara sama ada menyapu air atau bertayamum kerana boleh memudaratkan pesakit (seperti terbakar seluruh badan), mereka hendaklah melakukan solat dalam keadaan tidak bersuci (berhadas).

Bagi pesakit yang sentiasa dalam keadaan berhadas, iaitu memakai colostomy bag (beg menampung najis) atau continous bladder drainage (salur tiub kencing), mereka juga tidak terkecuali daripada mengerjakan ibadat.

“Sebelum berwuduk seperti biasa, mereka perlu terlebih dahulu menanggal atau membuka salur atau beg plastik yang berisi najis itu dan digantikan dengan yang baru atau dibersihkan beg tersebut. Kemudian dibersihkan juga bahagian tempat keluar najis itu,” katanya.

Jelas beliau, jika najis keluar semasa pesakit melakukan solat, pesakit boleh meneruskan solat tersebut.

“Najis yang keluar itu dimaafkan kerana kesukaran dan darurat,” katanya.

Selain soal wuduk, beberapa perkara lain juga perlu disesuaikan sebelum pesakit dapat mengerjakan solat mereka. Ini termasuklah soal aurat yang perlu dijaga selagi terdaya.

“Pakailah pakaian yang memadai asalkan ia boleh menutup aurat. Jika tidak mampu mintalah pertolongan orang lain untuk menutupnya,” katanya. Begitu juga mengenai arah kiblat, pesakit perlu berusaha untuk mencari arah itu.

“Tetapi jika tidak boleh mengubah kedudukan seperti solat atas katil wad, terpaksa berbaring dan sebagainya maka menghadaplah ke arah mana yang termampu,” katanya.

Yang pasti, walaupun terpaksa menanggung kesakitan atau menjalani rawatan intensif, selagi pesakit dalam keadaan waras dan sedar mereka masih wajib mengerjakan ibadat solat.

“Namun dalam beberapa aspek diringankan perkara seperti menyapu air, bertayamum dan seterusnya pesakit boleh melakukan solat mengikut keadaan yang terdaya.

“Ini termasuklah sama ada secara duduk, baring, mengiring dan melalui kerdipan mata,” kata Dr. Abdul Latiff.

Beliau tidak menafikan bagi menjayakan ibadat, seseorang pesakit itu perlu dibantu.

“Kita tidak bermaksud untuk menambah tugas jururawat tetapi jika pesakit perlukan bantuan wajiblah mana-mana pihak membantu mereka termasuk mengingatkan waktu solat.

“Bagi jururawat wanita, mereka boleh memakai sarung tangan bagi mengelakkan batal air sembahyang semasa mengendalikan pesakit lelaki,” katanya.

Dr. Abdul Latiff berharap lebih banyak hospital dapat menyediakan pegawai-pegawai agama dan buku-buku panduan mengerjakan solat bagi membolehkan pesakit muslim melaksanakan ibadat itu.

Labels:


Baca Lagi...
posted by Weblog Master @ 8:04 AM   0 comments
Syeikh Faqih Ali al-Fathani tokoh pertama menulis sejarah Patani
Utusan Malaysia, 28 ogos 2006

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

ADA orang bertanya melalui e-mel tentang tulisan saya berhubung Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani. Adakah beliau sama dengan Andi Ali (Pakih Ali) asal usul keturunan ramai kaum raja-raja atau bangsawan di Malaysia, terutama Kelantan, Terengganu dan Patani. Bahawa sumber asal salasilah Andi Ali (Pakih Ali) adalah dimulai dari tulisan Datuk Nik Mahmud bin Ismail, Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan.

Buku karya Datuk Nik Mahmud bin Ismail Kelantan itu diberi judul Ringkasan Cetera Kelantan Mengandungi Silsilah Raja-Raja Dan Tarikhnya. Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani (di Mempawah) adalah lain dari Andi Ali (Pakih Ali) yang diriwayatkan oleh Datuk Nik Mahmud bin Ismail Kelantan. Tetapi Andi Ali (Pakih Ali) ada kemungkinan personaliti yang sama dengan Syeikh Faqih Ali al-Fathani yang dimuat dalam artikel ini.

Walau bagaimanapun Andi Ali (Pakih Ali) ada riwayat mengatakan berasal dari Malabar (India). Riwayat lain menyebut adalah salah seorang anak raja yang berasal dari negeri Bugis (Sulawesi). Anda yang mengirim e-mel dan semua peminat saya ucapkan terima kasih, jawapan akan ditemui dalam artikel ini, sekiranya dibaca dengan cermat dan menghayatinya.

Nama lengkap tokoh dan ulama yang diriwayatkan ini ialah Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad al-Fathani bin Syeikh Shafiyuddin Tok Raja Faqih al-Abbasi. Beliau adalah cucu salah seorang penyebar Islam peringkat awal di Patani, iaitu Syeikh Shafiyuddin. Syeikh Shafiyuddin adalah salah seorang keturunan Khalifah Bani Abbas yang datang menyebar Islam di Aceh.

Datuk nenek Syeikh Shafiyuddin telah lama tinggal di Aceh, tetapi beliau sendiri meneruskan dakwah ke bumi Patani. Setelah di Patani lalu diberi gelar dengan Tok Raja Faqih. Dalam penelitian saya bahawa Syeikh Shafiyuddin keturunan Bani Abbas adalah sahih sedang versi yang satu lagi, yang menyebut bahawa Syeikh Shafiyuddin adalah anak Faqih Ali al-Malabari atau pun anak Raja Bugis masih diragukan kerana belum cukup hujah.

Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi atau Tok Raja Faqih memperoleh dua orang anak iaitu; Raja Ducang Bukit Jala bergelar Raja Fathani Long Cang. Seorang lagi bernama Wan Muhammad bergelar Orang Kaya Seri Akar Diraja Mahaputeri Bagi Sultan Digalang Ismail Zhillullah fil Alam. Wan Muhammad memperoleh enam orang putera, iaitu; 1. Datuk Pujut (Pujuk Wan Cang, bergelar Raja Luqman). 2. Wan Jaharullah. 3. Ratu Saiburi. 4. Datuk Long Tarat. 5. Syeikh Faqih Ali, yang dibicarakan dalam rencana ini dan 6. Long Yunus.

PANGKAT DAN KEDUDUKAN

Mulai dari Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi, Wan Muhammad dan Syeikh Faqih Ali mempunyai pangkat dan kedudukan yang tinggi dalam kerajaan Fathani Darus Salam. Syeikh Faqih Ali menyandang gelar Datu Maharajalela. Bererti pada zamannya beliau bertugas seperti Perdana Menteri. Anak saudara beliau, iaitu Wan Abdul Lathif bin Raja Luqman bin Wan Muhammad menyandang pangkat Wazaratul Harbiyah (Menteri Pertahanan). Pada tahun 1632 terjadi serangan dahsyat tentera Siam terhadap Patani. Syeikh Faqih Ali al-Fathani atau Datu Maharajalela dan beberapa orang pembesar terpaksa hijrah ke Bugis di Sulawesi Selatan.

Dari sumber tanah Bugis pula, Roeli Sanre dalam Mutiara, 280, 27 Oktober - 9 November 1982, hlm. 30, menulis, “Tahun 1632 pada masa pemerintahan I Mengarangi Daeng Manrabbi, Raja Gowa XIV, datang lagi serombongan raja dari Patani yang dipimpin oleh Datuk Maharajalela membawa dua keponakannya, Paduka Raja dan Puteri Senapati. Kedatangan mereka sekaligus memboyong simbol tahta kerajaan Patani, sebuah bendera emas, yang oleh keturunan Melayu di Ujungpandang, disebut Datuk Buluh Perindu.”

Dalam sepucuk surat dari Bapak Arena Wati (Sasterawan Negara) kepada saya (tahun 1982, sewaktu beliau sebagai Karyawan Tamu Yayasan Sabah), beliau menyebut bahawa khazanah kerajaan Patani yang tersebut masih tersimpan dengan baik oleh kerajaan Bone.

Dari sumber yang lain, Kenallah Sulawesi Selatan juga menyebut perkara yang sama. Bahkan dinyatakan pula bahawa Datu Maharajalela, Patani, menjadi ketua orang-orang Melayu di Sulawesi Selatan. Pada zaman itu ramai orang Melayu yang datang dari pelbagai tempat dari seluruh negeri-negeri Melayu di Makasar. Dari sini dapat kita fahami bahawa Syeikh Faqih Ali atau Datu Maharajalela Patani adalah seorang yang berpengaruh dan berwibawa sehingga beliau dilantik menjadi Ketua Melayu di negeri Bugis itu.

Bahkan bukan hanya itu saja, diriwayatkan bahawa keturunan Syeikh Faqih Ali atau Datu Maharajalela berperanan aktif dalam perang melawan penjajah Belanda di Sulawesi Selatan ketika Sultan Hasanuddin dikepung oleh Belanda di bawah pimpinan Admiral Spelman keturunan pembesar Patani itu bangkit mengadakan perlawanan. Sikap anti penjajah mereka bukan hanya di negeri sendiri saja tetapi juga di negeri perantauan.

Ada riwayat lain yang ceritanya hampir serupa dengan di atas bahawa Datu Mustafa mempunyai anak bernama Ali digelar dengan Tok Koda Bonang. Beliau ini mengembara di tanah Bugis, di Sulawesi Selatan juga. Setelah beberapa lama di tanah Bugis beliau pulang ke Patani pada masa pemerintahan Raja Ungu (1624 - 1635 M). Ali inilah yang dikatakan menggantikan Faqih Ali al-Malabari yang mati terbunuh dalam perang antara Patani dengan Siam tahun 1634. Faqih Ali al-Malabari digelar dengan “Temenggung Seri Paduka”, sedang yang menggantinya digelar dengan Datu Seri Maharajalela.

Versi riwayat lain yang ceritanya hampir serupa pula seperti yang ditulis oleh Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Kelantan, kata beliau, “Syahdan pada suatu masa bulan sedang mengambang di tepi langit, tersebutlah anak raja Bugis lari daripada saudaranya menumpang sebuah bahtera sampai ke Johor dan tumpang duduk berkirim diri rumah Laksamana Kota Tinggi, dipanggil Andik Ali.

Tatkala Laksamana memandang kepadanya berasalah kasihan belas dan dipeliharanya sebagai anak angkatnya. Tidak berapa tahun kemudian diperjodohkan dengan anaknya Wan Tija. Tidak berapa lama selepas itu Andik Ali serta dengan isterinya pun beredar ke Patani menumpang di rumah Mekong Damid Bira pada tahun 1049 H (kira-kira bersamaan dengan tahun 1639 M). Maka kerana lemah lembut tingkah lakunya dan berpelajaran, orang di Patani memanggilnya, Faqih Ali. Di situ ia beristeri kepada Cik Dewi anak Seri Biji Diraja. Baginda sampai di Patani kira-kira tahun 1637 H (tahun yang diberikan kemungkinan keliru, seharusnya ialah tahun 1049 H/1639 M).”

Setelah membanding semua kisah di atas dan pelbagai maklumat lain yang tidak dinyatakan di sini, saya menyimpulkan bahawa yang bernama Syeikh Faqih Ali al-Fathani kemungkinan terdapat beberapa orang atau pun hanya seorang saja. Iaitu Syeikh Faqih Ali al-Fathani bin Wan Muhammad bin Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi. Mengenai ini dapat dibuktikan dari hasil karya beliau yang berjudul Tarikh Patani.

TARIKH PATANI

Berdasarkan maklumat dalam manuskrip Tarikh Patani, Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad bin Syeikh Shafiuddin al-Abbasi sendiri menyebut bahawa kandungan asal Tarikh Patani adalah dari sebuah karya dalam bahasa Arab yang ditulis oleh datuk beliau Syeikh Shafiyuddin Tok Raja Faqih. Syeikh Faqih Ali menterjemah kitab bahasa Arab itu ke bahasa Melayu serta menambah kandungannya dengan beberapa peristiwa yang beliau ketahui. Tarikh Patani karya Syeikh Faqih Ali tersebutlah sejarah Patani yang pertama sekali yang dapat kita pelajari sekarang ini.

Walau bagaimanapun manuskrip yang asli tidak ditemui, yang ada sekarang ialah salinan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Syeikh Daud membuat salinan dalam tahun 1228 H/1813 M. Salinan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani itu disalin pula oleh salah seorang murid beliau ialah Syeikh Wan Muhammad bin Zainal Abidin al-Fathani atau lebih dikenali sebagai Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani. Salinan Syeikh Muhammad Zain itu telah saya perbanyak sama ada dalam bentuk asli mahu pun transliterasi dari tulisan Melayu/Jawi kepada Rumi.

Kata pengantar

Dalam manuskrip Tarikh Patani terdapat dua kata pengantar (mukadimah). Mukadimah yang pertama oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan mukadimah yang kedua oleh pengarangnya, Syeikh Faqih Ali al-Fathani. Di antara tulisan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pada mukadimah, “Ini suatu risalah aku salin daripada Syeikh Faqih Ali iaitu Tarikh Patani pada zaman lama. Bahawasanya tarikh lama itu boleh kita tahu akan manusia zaman dahulu di negeri ini. Tarikh zaman lama itu tiada ada lagi dikarang di negeri Patani melainkan susunan Tuan Syeikh yang mulia ini. Boleh terhimpunkan dengan sempurna.

“Kefaedahannya ialah boleh mengetahui perihal keadaan orang zaman dahulu hingga sampai ke zaman kita Atau zaman jahil dengan zaman nur ... Boleh kita kenal dan nampak bahawasanya orang Melayu zaman dahulu, apakah duduk dalam tanah bumi ‘Patani’ ini ? Maka negeri lama di tanah Melayu ini ialah di kawasan Kedah dan Patani, dan Senggora, dan Legor. Termasuk juga negeri ‘Cahaya’ (sekarang Cayya) di sebelah hilir. Sekelian zaman purbakala, belum masuk Islam Dan seumpamalah dengan zaman belum zahir negeri Islam di tanah Arab....”

Mukadimah Syeikh Faqih Ali al-Fathani adalah seperti berikut, “Perhamba seorang yang tak berguna, lagi hina, Syeikh Faqih Ali bin Muhammad bin Shafiyuddin dititah oleh sultan banyak kali dah (maksudnya: sudah, pen:) supaya mengarang dan menyusun Tarikh Fathani kerana takut hilang riwayat kisah-kisah purbakala. Dan perhamba pun ikhtiar mengikut titah sultan yang mulia. Bahawasanya sultan memberi riwayat kisah-kisah sangat banyak dan boleh tulisan-tulisan peringatan zuriat-zuriat orang- orang tua titih (maksudnya: keturunan, pen:) Raja Patani asli kurun yang lama. Maka bahasa-bahasa[nya] tiada perhamba mengetahui setengah-setengahnya. Maka adalah seorang Legor agama Budha dia terjemah dapat banyaklah kepada perhamba. Dan raja pun hadiah tanah kepada orang tua itu....”

Setelah itu Syeikh Faqih Ali al-Fathani menyatakan pula, Syahdan ada tulisan bahasa Arabiyah daripada nenek perhamba Syeikh Shafiyuddin, maka bahasa Arabiyah ini perhamba fahamlah dan senanglah ambil maknanya. Dan ada seorang datang dari Bogor, iaitu seorang yang asalnya dari Bogor, Jawa duduk tumpang Sultan Patani. Dan dia tahu bahasa Jawa. Dan banyaklah dia tolong perhamba.

“Perhamba mengucap syukran kepadanya banyak-banyak. Dan lama membuat ini risalah Tarikh Patani, alhamdulillah dengan ditakdirkan Allah Taala hasilnya sekadar perhamba boleh. Dan mana salah itu tentu ada dengannya. Harapkan betul dengan ikhlas sahaja. Kerana salah bagi makhluk tentu ada. Dan perhamba payah sangat-sangat hendak karang ini tarikh....”

*Untuk maklumat lanjut mengenai Ulama Nusantara, sila e-mel pertanyaan ke alamat pengkaji_khazanah@yahoo.com atau hubungi talian 03-6189 7231.

Labels:


Baca Lagi...
posted by Weblog Master @ 8:01 AM   0 comments
Mak Su tak jemu ajar orang dewasa mengaji
Sunday, August 27, 2006
Berita Harian, 27 ogos 2006


USIA emas 64 tahun tidak menghalang bekas johan tilawah peringkat antarabangsa sebanyak lima kali berbakti kepada masyarakat dengan mencurahkan pengetahuan dan pengalaman mengajar mengaji di kelas orang dewasa.


Saban hari, rutin harian Datuk Rogayah Sulong atau lebih mesra dengan panggilan Mak Su adalah sama antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Bezanya cuma lokasi, sama ada di Masjid Kuala Berang, Hulu Terengganu pada setiap Ahad, Masjid Jerangau (Isnin), Masjid Padang Midin (Rabu), surau Tepoh, Kuala Terengganu (Khamis) atau di rumahnya sendiri di Kampung Durian Guling pada setiap Jumaat dan malam Selasa.

Bukan kerana pantang larang menyebabkan Rogayah tidak mengajar pada sebelah petang, cuma keadaan kesihatan tidak mengizinkannya untuk berbuat demikian.

"Kudrat Mak Su tidak lagi seperti dulu, petang adalah masa untuk rehat atau menghadiri majlis keagamaan dianjurkan pelbagai pihak sama ada badan kerajaan atau bukan kerajaan," katanya yang menghidap penyakit kencing manis sejak lapan tahun lalu malah beliau pernah diserang angin ahmar beberapa tahun lalu.

Anak murid Rogayah kebanyakannya suri rumah berusia antara 20 hingga 50 tahun. Tidak ramai anak muridnya di kalangan lelaki, cuma dua sahaja yang berminat mengikuti kelasnya di Masjid Kuala Berang.

Malah daripada hampir 50 anak muridnya yang datang belajar di rumahnya setiap Jumaat dan malam Selasa, lelaki hanya 18 orang.

"Mak Su pun tak pasti apa masalah mereka, mungkin mereka (lelaki) lebih suka berguru dengan guru lelaki berbanding wanita. Mak Su tidak pernah menolak kalau ada yang mahu belajar daripada Mak Su," katanya yang tidak mempunyai anak murid di kalangan kanak-kanak kerana tugas itu diserahkan kepada anak muridnya yang datang belajar tajwid dan ilmu taranum (mengaji berlagu).

Tidak sukar mendekati Rogayah, bagi mereka yang pertama kali bersua, pasti ada yang beranggapan Rogayah seorang yang tegas dan serius. Hakikatnya Rogayah begitu cepat mesra sebaik disapa.

Bukan ganjaran atau pengiktirafan yang dicari, sebaliknya semangat yang ada pada Rogayah adalah semata-mata mahu melihat generasi baru dapat membaca al-Quran mengikut hukum tajwid serta menguasai ilmu taranum.

"Mak Su tidak mengharapkan pengiktirafan yang tinggi, cukup dengan apa yang diberikan kerajaan negeri ketika ini.

"Mak Su amat berterima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh yang prihatin terhadap kebajikan golongan yang memberi sumbangan dalam bidang keagamaan.

"Cuma Mak Su mengharapkan kerajaan negeri membangunkan pusat bimbingan membantu qari dan qariah yang terpilih mewakili negeri menggilap bakat mereka dengan bergurukan bekas johan tilawah," katanya.

Ini katanya, kerana qari dan qariah memerlukan latihan intensif sekurang-kurangnya empat bulan bagi memantapkan mutu bacaan dari semua aspek terutama tajwid dan taranum.

Khidmat bekas johan qariah tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta Tokoh Maal Hijrah 2005 peringkat Terengganu itu masih diperlukan dalam membimbing ke arah generasi celik al-Quran.

Malah, Rogayah menganggap pengurniaan darjah kebesaran Dato' Paduka Mahkota Terengganu yang membawa gelaran Datuk daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena ulang tahun keputeraan baginda ke-42, Julai 2004, menyuntik semangatnya untuk terus menabur bakti kepada masyarakat.

Cintanya terhadap al-Quran timbul seawal usia 10 tahun sekali gus membolehkannya memenangi pertandingan pertama disertainya.

Kegigihan dan bakat yang ada pada Rogayah, tidak menyukarkan ibu saudaranya, Chik Ali, membantu membimbing, mengasah dan menggilap bakatnya.

Kejayaannya di peringkat kebangsaan bermula ketika berusia 19 tahun apabila dinobatkan sebagai johan qariah pada 1961 mengalahkan peserta yang lebih tua dan berpengalaman.

Lebih manis lagi kejayaan pertama itu dikongsi bersama suami tercintanya, Allahyarham Megat Osman Megat Chik yang tidak putus memberikan dorongan dan kata-kata perangsang membakar semangatnya untuk memperdengarkan bacaan ayat suci dengan lebih baik.

"Sewaktu nama dipanggil ke pentas untuk memperdengarkan bacaan, Mak Su rasa gementar. Bagaimanapun, keyakinan diri serta dorongan suami membuatkan perasaan itu hilang," katanya.

Datuk dan ibu adalah orang yang bertanggungjawab mengajar Rogayah mengaji, manakala teknik berlagu dalam bacaan al-Quran dipupuk oleh ibu saudara.

Selain itu, Allahyarham Megat Osman yang turut mengajar Rogayah mengaji memberikan cadangan kepada isterinya menyertai musabaqah peringkat negeri.

Hasil usaha gigih, Rogayah berjaya mencipta rekod terbaik iaitu muncul johan qariah peringkat kebangsaan dan antarabangsa dua tahun berturut-turut pada 1973 dan 1974.

Kali terakhir Rogayah menyertai tilawah pada 1978 dan sekali lagi beliau muncul juara peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Sejak itu Rogayah terus menabur bakti kepada masyarakat dengan mengajar mengaji kepada mereka yang berminat untuk mendalaminya terutama membabitkan ilmu taranum.

"Selagi Allah memberi kekuatan dan kesihatan yang baik, insya-Allah Mak Su akan terus mengajar anak murid menguasai bacaan al-Quran dengan tajwid yang betul," katanya.

Pertemuan singkat di Masjid Padang Midin, Kuala Terengganu, baru-baru ini digunakan sepenuhnya kerana kesibukan Rogayah membatasi waktunya untuk ditemu bual.

"Mak Su bersemangat memberikan yang terbaik kerana mahu melihat Terengganu tidak ketandusan qari dan qariah yang mampu mengharumkan nama negeri dan negara," katanya.

PROFIL:

NAMA: Datuk Rogayah Sulong.
UMUR: 64 tahun
TEMPAT LAHIR: Kampung Banggol Tuan Muda, Manir, Kuala Terengganu, Terengganu.
SUAMI: Megat Osman Megat Chik. (Meninggal dunia pada 1999)
KEJAYAAN:
  • Juara Qariah peringkat Negeri dan Kebangsaan pada 1961, 1963, 1966, 1973, 1974, 1978 dan 1979.
  • Juara Qariah Peringkat Antarabangsa 1966, 1973, 1974, 1978 dan 1979.

  • Labels:


    Baca Lagi...
    posted by Weblog Master @ 10:33 PM   0 comments
    Semangat juang Khalid jadi teladan umat Islam
    Friday, August 25, 2006
    Berita Harian, 25 ogos 2006

    TIDAK ada sedikit pun maksud tidak baik Umar terhadap peribadi Khalid, hanya beliau berasa gerun terhadap pedang yang terlalu pantas dan tajam.

    Hal itu dibayangkan ketika dia mengusulkan kepada Abu Bakar, Khalid diberhentikan, sejurus selepas terbunuh Malik Nuwairah.

    Umar berkata: "Sesungguhnya pada pedang Khalid ada rohaqnya." Ertinya kelancangan, ketajaman dan ketegasan.

    Lalu dijawab khalifah as-Siddiq: "Aku tidak akan menyarungkan pedang yang sudah dihunus Allah terhadap orang kafir."

    Umar tidak menyatakan kepantasan bertindak kepada Khalid hanya menjadi sifat rohaq itu sebagai sifat pedang bukan peribadi orangnya.

    Kata-kata itu bukan saja mengungkap adab sopan, tetapi juga penilaian baik terhadap diri Khalid.

    Kehidupan Khalid adalah perang sejak lahir hingga mati. Persekitaran, tumbesaran, pendidikan dan seluruh kehidupan sebelum dan selepas Islam, seluruhnya adalah arena bagi seorang pahlawan berkuda yang lasak lagi ditakuti.

    Kemudian kegigihan pada masa silam sebelum Islam, peperangan yang menentang Rasul dan sahabat serta hayunan pedang ketika syirik yang menjatuhkan kepala orang beriman.

    Kini dijadikan pedang alat yang ampuh untuk menebus kesilapan lalu dengan memancung habis segala tonggak kemusyrikan berlipat ganda hebat daripada apa yang pernah dilakukan terhadap Islam.

    Walaupun Rasul sudah menjelaskan bahawa Islam sudah memaafkan semua kesilapan lalu, namun dia berusaha menunaikan janji kepada Rasulullah selagi dia masih hidup. Dia memohon ampun kepada Allah atas segala perbuatan pada masa silam.

    Pedang yang berada di tangan seorang panglima berkuda istimewa seperti Khalid, kemudian tangan yang menggenggam pedang itu digerakkan dengan hati bergelora serta dipenuhi dengan pembelaan mutlak terhadap agama.

    Ketika selesai pembebasan kota Makkah, Rasulullah mengutuskan sebahagian kabilah yang berdekatan dengan Makkah sambil menyatakan kepadanya:

    "Aku mengutusmu sebagai penyeru umat, bukan sebagai penyerang mereka".

    Rupanya pedang itu menguasai diri yang mendorong sebagai penyerang dan bukan sebagai penyeru umat seperti diwasiatkan Rasul kepadanya.

    Nabi berasa kesal dan bersedih ketika tindakan Khalid disampaikan kepadanya dan sambil berdiri menghadap kiblat, baginda mengangkat tangan, memohon ampun kepada Allah dengan ucapannya:

    "Wahai ya Allah, aku berlepas diri kepada-Mu, daripada tindakan yang dilakukan Khalid".

    Lalu diutuskannya Ali kepada mereka untuk memberikan tebusan ganti rugi terhadap darah dan harta.

    Menurut pendapat sesetengah orang, Khalid membela diri dengan alasan, Abdullah Hudzafah as-Sahmi menyatakan kepadanya bahawa Rasulullah memerintahkan dia memerangi mereka kerana menolak Islam.

    Khalid memiliki tenaga melebihi manusia biasa. Tenaga itu mendorong menghancurkan dunia lama yang menyeksa hatinya. Khalid tidak melihat alat lain untuk membersihkannya, kecuali pedang.

    Khalid adalah pejuang sejati yang sanggup mempertaruhan tenaga dan akal untuk perkembangan Islam sejagat.

    Ketika beliau meninggal dunia Umar menangis. Kemudian umum dapat mengetahui bahawa Umar bukan menangis kehilangan semata-mata tetapi dia menangis kerana tidak berkesempatan mengangkatnya sebagai pucuk pimpinan Islam.

    Umar bertekad memulihkan kepemimpinan dan menjernihkan sebab pemberhentian beliau, kalau tidak maut datang menjemput pahlawan besar itu untuk segera pulang ke tempat kembali di syurga.

    Semangat juang dan keharuman nama dikenang sepanjang masa, selagi kuda perang masih mendengus, mata pedang masih berkilat dan panji serta bendera tauhid berkibaran, dia terus dikenang kerana jasanya dalam perkembangan Islam.

    Labels:


    Baca Lagi...
    posted by Weblog Master @ 10:36 PM   0 comments
    Said al-Maghribi penyair dan ahli sejarah
    Friday, August 18, 2006
    Utusan Malaysia, 18 ogos 2006

    IBNU Said al-Maghribi atau nama penuhnya, Abu al-Hasan Ali bin Muda bin Muhammad bin Abdul Malik bin Said al-Maghribi adalah seorang ahli geografi, sejarah dan ontologi. Namanya masyhur sebagai penyair Andalusia.

    Beliau dilahirkan pada 610H/1231M berhampiran Granada dan berasal daripada sebuah keluarga keturunan Ammar bin Yassir. Keluarga tersebut semasa zaman Tawa’if membentuk keluarga diraja di Kal’a Banu Yahsuh.

    Semasa muda, beliau banyak menetap di Seville. Pada 639H/1241M, Said al-Maghribi meninggalkan Sepanyol untuk melaksanakan ibadat haji bersama-sama ayahnya. Bagaimanapun, sewaktu dalam perjalanan, ayahnya meninggal dunia.

    Di Kaherah, beliau menerima sambutan hangat daripada penduduk kota tersebut. Bukunya, Kitab al-Mughrih fi Hula al-Maghrib menaikkan namanya hingga dikenali ramai. Karya ini ternyata memendam sejarah yang cukup berkesan dan berliku-liku.

    Pada 648H/1249M, Said al-Maghribi meninggalkan Mesir dan mengembara melalui Iraq dan Syria dengan tujuan mendapat lebih banyak maklumat dan pandangan ilmiah dalam menyelesaikan sebuah buku, Kitab al-Musyrik fi Hula al-Masyrik. Buku tersebut pada mulanya disusun oleh ayahnya. Tetapi, karya ini tidak pernah lengkap. Beberapa jilid antaranya dalam bentuk manuskrip dijumpai di Kaherah.

    Sebagai ahli geografi, Said al-Maghribi banyak melakukan perjalanan-perjalanan yang jauh dan kemudiannya mengabadikan segala pengalamannya dalam buku. Setelah melalui Iraq dan Syria, untuk kedua kalinya beliau menunaikan fardu haji ke Mekah.

    Hasil pengembaraan tersebut, beliau menulis buku bertajuk An-Nafha al-Miskiyyah fi ar-Rihla al-Makkiyyah. Ketika tiba di Tunisia pada 652H/1254M, Said al-Maghribi berkhidmat dengan Amir Muntasir. Pada 666H/1267M, beliau memulakan perjalanan menuju ke arah Timur hingga ke Iran.

    Pada tahun-tahun menjelang akhir hayatnya, beliau kembali ke Tunisia sekitar 675H/1276M dan meninggal dunia 10 tahun kemudian.

    Sepanjang tempoh pengembaraan yang cukup panjang itu, beliau turut menulis puisi yang berkaitan dengan pemikirannya dan nostalgia terhadap kampung halamannya di Andalusia. Namun, karya yang meningkatkan kemasyhuran namanya adalah sebuah ontologi berjudul Maghrib.

    Antara karya terakhirnya yang masih ada dan dicetak ialah :

    - Riwayat al-Mubarrizin wa Ghayat al-Mumayyizin. Ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Sepanyol oleh E.Garcia Gomez (Madrid, 1942) dan A.J. Arberry pula menterjemahkannya ke bahasa Inggeris (Cambridge, 1953).

    - Unwan al-Murkisat wa al-Mutribat (edisi Kaherah, 1286M). Ini merupakan sebahagian daripada karya utamanya yang telah disunting dan diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis oleh A.Mahdad (Algiers, 1949).

    - Al-Ghusun al-Yani’a fi Mahasin Syu’ara’ al-Mi’a as-Sabi’a yang disunting oleh Ibrahim Ibyari (Kaherah, 1955).

    - Mukhtasar Jughrafiyah, disunting dan diterjemahkan sebahagiannya ke bahasa Sepanyol oleh J.Vernet pada 1953. Ia juga diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis oleh G.Potiran.

    Kebanyakan karyanya mencakupi riwayat hidup para sarjana pada zamannya. Ia menyingkap tentang keluarga, perjalanannya ke Mekah, tentang geografi dan sebagainya. Pengalamannya digunakan oleh cendekiawan seterusnya iaitu al-Makkari atau al-Fida’ dan sebagainya.

    Labels:


    Baca Lagi...
    posted by Weblog Master @ 10:40 PM   0 comments
    Saiyid Muhsin al-Masawi pengasas Dar al-Ulum di Mekah
    Monday, August 14, 2006

    Utusan Malaysia, 14 ogos 2006

    Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


    SALAH satu institusi pendidikan Islam yang cukup terkenal di Mekah lebih 100 tahun lalu di kalangan masyarakat India, Pakistan dan lain-lain termasuk juga komuniti Islam dari dunia Melayu ialah Madrasah ash-Shaulatiyah yang diasaskan oleh salah seorang keturunan Saiyidina Utsman bin Affan yang dilahirkan di India.

    Bagi masyarakat Melayu, selain mendapat pendidikan di Masjid al-Haram ramai juga yang memasuki Madrasah ash-Shaulatiyah.

    Para pemuda Melayu yang sedar kepentingan pendidikan Islam, dakwah dan kemajuan bangsa serumpun Melayu akhirnya mencetuskan idea untuk mendirikan sebuah pusat pendidikan di Mekah. Tujuan pendidikan yang paling diutamakan adalah memperkukuh dan mempertahankan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah dan Mazhab Syafie.

    Idea itu dicetuskan oleh seorang pemuda yang mempunyai banyak kelebihan ilmu kelahiran Palembang, Sumatera Selatan iaitu Saiyid Muhsin bin Ali bin Abdur Rahman al-Masawi. Beliau lahir pada tahun 1323 H/1905 M dan wafat di Mekah pada bulan Jamadilakhir 1354 H/September 1935 M.

    Saiyid Muhsin al-Masawi mendapat pendidikan awal daripada orang tuanya. Untuk pendidikan awal yang formal, ayahnya memasukkannya di Madrasah Nur al-Islam dan beliau kemudian melanjutkan pendidikan di Madrasah Sa’adah ad-Daraini. Kedua-dua madrasah itu terletak di Jambi.

    Disebabkan ayahnya meninggal dunia pada tahun 1919 M, Saiyid Muhsin al-Masawi terpaksa pulang ke Palembang.

    Di Palembang, beliau sempat belajar di Madrasah Hukumiyah dan mendapat pendidikan daripada Haji Aidrus. Pada tahun 1340 H/1921 M Saiyid Muhsin al-Masawi berangkat ke Mekah. Beliau melanjutkan pendidikan di Madrasah ash-Shaulatiyah mulai tahun 1341 H/1923 M. Antara guru beliau ialah Syeikh Hasan bin Muhammad al-Masyath, Syeikh Daud Dihan, Syeikh Abdullah bin al-Hasan al-Kuhaji, Syeikh Hasbullah as-Sanqithi dan Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani.

    Saiyid Muhsin al-Masawi ialah seorang yang sentiasa bersungguh-sungguh, sangat rajin dan beliau pula adalah seorang yang kuat beribadat. Selain menguasai banyak bidang ilmu, Saiyid Muhsin al-Masawi ialah seorang yang sangat pandai dalam ilmu tafsir, usul fiqh, falak dan faraid.

    Pada tahun 1348 H/1929 M, Saiyid Muhsin al-Masawi pergi ke Hadhramaut untuk memperluaskan pengalaman dan menambah ilmu terutama menziarahi golongan Alawiyin (keturunan Rasulullah s.a.w.). Sewaktu di Tarim, Saiyid Muhsin al-Masawi mengikuti beberapa halaqah pengajian dan sekali gus memperoleh ilmu-ilmu tradisional yang lazim diajarkan di sana.

    Tradisi ulama dunia Melayu yang seboleh-bolehnya mesti menerima ilmu di Hadhramaut, Yaman, nampaknya berjalan sejak dulu. Ia dimulakan oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, Syeikh Yusuf Taj al-Mankatsi, Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dan lain-lain. Hanya sekitar tiga bulan Saiyid Muhsin al-Masawi tinggal di Hadhramaut sebelum beliau kembali ke Mekah.

    Aktiviti

    Ketika Saiyid Muhsin al-Masawi berada di Mekah beliau giat mengajar di rumahnya. Yang hadir dalam halaqah pengajiannya bukan sahaja kalangan yang berasal dari dunia Melayu tetapi juga bangsa-bangsa Islam lain. Pelajarannya pula berbagai-bagai disiplin ilmu. Sungguhpun sibuk mengajar namun ia tidak menghalang beliau mendalami ilmu di Masjid al-Haram, Mekah.

    Antara ulama-ulama besar guru Saiyid Muhsin al-Masawi di Masjid al-Haram ialah Syeikh Umar Ba Juneid, Syeikh Sa’id bin Muhammad al-Yamani al-Khalidi, Syeikh Muhammad Ali bin Husein al-Maliki, Syeikh Umar Hamdan, Syeikh Abdullah bin Muhammad Ghazi.

    Para guru Saiyid Muhsin al-Masawi di Madinah pula ialah Syeikh Abdul Qadir bin Taufiq asy-Syibli, Syeikh Muhammad al-Baqi al-Laknawi, Saiyid Zaki bin Ahmad al-Barzanji, Syarif Abdul Hayy bin Abdul Kabir al-Kinani al-Fasi dan Syeikh Muhammad Ali Awadal-Maghribi as-Salwi.

    Pada tahun 1352 H/1933 M, Saiyid Muhsin al-Masawi al-Huseini mengasaskan Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah di Syu’ib Ali, Mekah. Pengasasan madrasah itu pada tahun 1352 H disebut dalam Tasynif al-Asma’ oleh Abi Sulaiman Mahmud Sa’id bin Muhammad Mamduh. Tetapi Syeikh Umar Abdul Jabbar dalam at-Tarajim wa as-Siyar menyebut tahun 1353 H. Dalam sumber Arab, yang berkongsi mengasaskan Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah hanya terdapat dua nama iaitu Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi al-Huseini dan Syeikh Haji Zubeir bin Ahmad al-Filfulani. Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi ialah Mudir Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah yang pertama, tetapi tidak lama kerana beliau meninggal dunia pada Jamadilakhir 1354 H/September 1935 M.

    Secara langsung wakil Mudir ialah Syeikh Haji Zubeir bin Ahmad al-Filfulani yang dilantik menjadi mudir yang kedua. Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman dalam kertas kerjanya berjudul Memerantauan Orang Melayu Menuntut Ilmu Di Masjid Al-Haram Dan Universiti Al-Azhar: Sejarah Dan Kepentingannya yang dibentangkan pada Seminar Mahawangsa Melayu menyebut, yang berusaha mengasaskan madrasah itu ialah Haji Abdul Majid Zainuddin yang dikatakan meletakkan batu asas.

    Menurutnya, bangunan untuk madrasah memulakan pengajian diwakafkan oleh Toh Puan Sharifah, iaitu isteri kepada Datuk Panglima Kinta (kertas kerja hlm. 7). Maklumat yang dikemukakan oleh Mohammad Redzuan itu adalah perkara baru bagi saya. Saya belum menemui tulisan lain ataupun cerita lisan sebelum ini. Saya tidak perlu menyanggah kenyataan itu kerana ada kemungkinan ia benar.

    Penulisan

    Sungguhpun umur Saiyid Muhsin al-Masawi sangat pendek namun beliau sempat menghasilkan beberapa karangan. Semua karangannya yang ditemui adalah dalam bahasa Arab. Hampir semua kitab yang disusunnya diajar di Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah, Mekah. Selanjutnya murid-murid beliau yang berhasil mendirikan sekolah di Indonesia dan Malaysia mengajar pula kitab-kitab yang beliau karang itu. Senarai karangannya adalah sebagai berikut:

    1. An-Nafhah al-Hasaniyah Syarh an-Nafhah as-Saniyah fi al-Faraidh

    2. Madkhal al-Wushul ila 'Ilm al-Ushul

    3. Nahj at-Taisir Syarh Manzhumah az-Zamzami fi Ushul at-Tafsir

    4. Jam'u ats-Tsimar Ta'liq 'ala Manzhumah Manazil al-Qamar

    5. Al-Judad Syarh Manzhumah az-Zubad

    6. An-Nushush al-Jauhariyah fi Ta'rif al-Manthiqiyah

    7. Adillah Ahl as-Sunnah wa al-Jama'ah fi Daf'i asy-Syubuhat al- Firaq adh-Dhallah al-Mutabaddi'ah

    8. Ar-Rihlah al-'Aliyah ila ad-Diyar al-Hadhramiyah

    Semua kitab di atas disebut oleh Syeikh Umar bin Abdul Jabbar dalam at-Tarajim wa as-Siyar tanpa memberi keterangan yang panjang mengenainya. Kemungkinan banyak karangan beliau yang masih belum kita ketahui. Sebagai contoh Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani (Padang) ialah murid Saiyid Muhsin al-Masawi.

    Pada bulan 27 Ramadan 1354 H Syeikh Muhammad Yasin bin 'Isa al-Fadani menyelesaikan kitab berjudul Janiy ats-Tsamar Syarh Manzhumah Manazil al-Qamar yang merupakan syarahan karya al-Allamah Khalifah bin Ahmad an-Nabhani al-Falaki. Sebenarnya sebelum kitab tersebut disyarah oleh Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani, ia terlebih dulu pernah diberi taqrirat (memberi pujian dan keterangan untuk memperkukuhkan sesuatu perkara) pada bahagian bawahnya oleh Saiyid Muhsin al-Masawi.

    Kandungan kitab yang tersebut adalah mengenai ilmu falak. Karya yang dibicarakan ini pernah dicetak oleh Mathba'ah As-Saiyid Muhammad Abdul Lathif Hijazi, Mesir pada akhir Rabiulakhir 1369 H. Saya belum dapat memastikan karya yang ditaqrirat oleh Saiyid Muhsin al-Masawi yang disebut ini adakah sama dengan kitab yang disebut oleh Syeikh Umar bin Abdul Jabbar yang berjudul Jam'u ats-Tsimar Ta'liq 'ala Manzhumah Manazil al-Qamar (nombor 4 dalam senarai). Ini kerana sewaktu saya menyusun artikel ini kitab yang tersebut tidak sempat saya rujuk.

    Murid-murid

    Murid Saiyid Muhsin al-Masawi sangat ramai, yang paling terkenal ialah Syeikh Muhammad Yasin bin Isa bin Udiq al-Fadani al-Indunisiyi asy-Syafi'ie (lahir 1335 H/1916 M, meninggal dunia di Mekah, 1410 H/1989 M).

    Syeikh Muhammad Yasin Padang ialah pemegang amanah sebagai Mudir Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah yang keempat dari tahun 1946 - 1990 M, sesudah Syeikh Ahmad al-Manshuri (Mudir ketiga tahun 1940 - 1946 M). Syeikh Ahmad al-Manshuri ini ialah sahabat Syeikh Haji Zubeir bin Ahmad al-Filfulani (Mudir kedua tahun 1935 -1940 M).

    Kedua-dua ulama ini sama-sama mendapat pendidikan Madrasah al-Masyhur Pulau Pinang, sama-sama berangkat dan belajar di Mekah. Masih belum jelas kemungkinan Syeikh Ahmad al-Manshuri juga pengasas Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah bersama-sama Saiyid Muhsin al-Masawi.

    Syeikh Muhammad Yasin Padang ialah murid ketiga-tiga ulama tersebut, termasuk ulama Mekah yang sangat terkenal pada penghujung alaf yang lalu. Syeikh Muhammad Yasin Padang termasuk ulama yang dirujuk oleh ulama seluruh dunia terutama mengenai sanad-sanad pelbagai ilmu. Hasil penulisan beliau sangat banyak. Semuanya dalam bahasa Arab.

    Murid Saiyid Muhsin al-Masawi yang sempat saya bergaul hanya seorang iaitu al-Hafiz Ustaz Haji Ali Usman al-Katafani (Ketapang) yang merupakan sahabat Syeikh Muhammad Yasin Padang. Saya mengenali ulama ini melalui karya beliau tentang lughah Arab. Pada mulanya saya memperoleh cerita tentang beliau daripada guru saya, Ustaz Haji Abdur Rani Mahmud, salah seorang murid beliau.

    Pada tahun 1971 saya sempat bertemu Ustaz Haji Ali Usman di Singapura. Beliau menyerahkan sebuah karangannya yang masih dalam bentuk tulisan tangannya sendiri. Khatnya cukup indah, ditulis dalam bahasa Arab. Kandungan tentang sanad-sanad.

    Pada penghujung tahun 1971 dan memasuki awal tahun 1972, sekitar seminggu saya tinggal di rumahnya di Bandung. Ketika itu beliau bertugas sebagai Rektor Universitas Islam Bandung (UNISBA). Selain mengikuti halaqah ketika beliau mengajar di surau, saya menyaksikan beliau sangat rajin membaca kitab, semua yang dibacanya ialah kitab bahasa Arab. Banyak maklumat tentang guru beliau, iaitu Saiyid Muhsin al-Masawi, ulama-ulama Mekah sezaman dengannya dan bahasan ilmu-ilmu Islam saya dengar dan saya peroleh daripada Ustaz Haji Ali Usman.

    Ustaz Haji Ali Usman termasuk ulama besar Indonesia, tetapi ramai orang tidak mengetahui peranan yang dimainkannya. Beliau ialah salah seorang anggota Badan Konstituante Indonesia (sebuah badan sah untuk menentukan corak pemerintahan Indonesia sama ada Negara Islam ataupun Negara Nasional) tahun 1955 - 1959. Ustaz Haji Ali Usman ialah wakil badan itu dari Kalimantan Barat.

    Labels:


    Baca Lagi...
    posted by Weblog Master @ 10:42 PM   0 comments
    Sahabat Rasulullah tidak musnah patung hiasan
    Sunday, August 13, 2006
    Berita Harian, 13 ogos 2006

    APAKAH hukumnya saya meletakkan patung itik dan topeng wajah manusia di dalam dan di luar rumah. Pada dasarnya saya lakukannya kerana minat, selain untuk menghias taman. Tidak niat untuk memuja.


    Bagaimana pula hukumnya terhadap permainan patung kanak-kanak kerana ada yang menyatakan ia haram kerana menyerupai makhluk ciptaan Allah manakala pendapat lain mengatakan dibolehkan.

    HAMBA ALLAH
    Taiping, Perak.

    PATUNG dalam bahasa al-Quran ialah �al-tamatsil� (kata tunggal �timtsal�) dan ada disebut dalam dua ayat iaitu surah al-Anbiya' ayat 52 dan surah Saba� ayat 13. Dalam kedua-dua ayat ini patung mempunyai dua hukum iaitu halal dan haram.

    Hukum haram patung disebut dalam surah al-Anbiya maksudnya ialah: "Ketika dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?"

    Adapun sebab diharamkan kerana patung itu adalah berhala yang mereka sembah.

    Hukum halal patung disebut dalam surah Saba maksudnya: "Mereka bekerja untuk Nabi Sulaiman, apa yang dia kehendaki dari bangunan yang tinggi, dan patung, dan pinggan yang besar seperti kolam, serta periuk yang tetap di atas tungkunya. Beramallah kamu wahai keluarga Daud dengan bersyukur kepada Allah! Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-Ku yang bersyukur."

    Mengapa patung dalam ayat ini halal? Ia kerana ayat ini dan beberapa ayat sebelumnya menceritakan mengenai nikmat dan anugerah Allah kepada Nabi Sulaiman dan patung pada zaman Sulaiman bukan berhala yang disembah tetapi adalah seni dan keindahan. Ia menunjukkan besarnya kekuasaan Allah di muka bumi ini.

    Dalam sejarah Islam, sahabat dan orang yang terkemudian ketika menakluki satu-satu kawasan menghancurkan patung berhala yang diketahui mereka disembah tetapi patung hiasan, tidak.

    Seorang ulama ilmu usul fiqh terbilang, al-Qarafi dalam kitabnya Sharh al-Mahsur menghalalkan memiliki patung untuk hiasan bahkan beliau membuatkan patung untuk Raja al-Kamil seperti tercatat dalam tulisan Dr �Ammarah.

    Berkaitan dengan patung anak- anak, hukumnya adalah harus.

    Berdasarkan kepada hadis Aisyah r.a. apabila beliau menamakan patung kudanya dengan 'Kuda Sulaiman'. Ahmad, Muslim dan at-Tabarani meriwayatkan hadis maksudnya: Berkata Aisyah: "Sesungguhnya aku biasa bermain dengan anak patung aku di sisi Rasulullah. Apabila rakan aku datang (untuk bermain sama) mereka beralih pulang kerana takut kepada Rasulullah. �Lalu Rasulullah memanggil mereka kembali (untuk bermain-main) dengan aku." Waalahu a'lam.

    Labels:


    Baca Lagi...
    posted by Weblog Master @ 10:43 PM   0 comments
    About Me

    Name: Weblog Master
    Home: Selangor, Malaysia
    About Me:
    See my complete profile
    Kunjungan

    website analyzer

    Pengunjung Dari Negara Online
    Previous Post
    Archives
    Links
    Tarbiyyah
  • Uslub Dakwah
  • Sasaran Dakwah
  • Pengurusan Tanzim
  • Memahami Perjuangan Islam
  • Tarbiyyah : Satu Keperluan Harakah
  • Cabaran dan Persiapan Tarbiyyah
  • Prinsip dan Matlamat Tarbiyyah Islamiyyah
  • Akhlak dan Adab Berjemaah
  • Tahaluf Dalam Islam
  • Al Murabitun
  • Usrah dan Kepentingannya dalam Tarbiyyah Islamiyyah
  • Maudhu' dakwah
  • Persiapan para da'ie
  • Halangan dan rintangan dalam perjuangan
  • Semakan Daftar Pemilih SPR
  • Semak Status Anda Di sini
  • Powered by

    Free Blogger Templates

    BLOGGER

    © 2006 Koleksi Artikel 2 .Template by Isnaini Dot Com