Utusan Malaysia, 8 september 2006
1. Semasa tuan guru menyampaikan ceramah di masjid tempat saya tinggal, kami berkumpul di hadapan guru berjarak antara 3 hingga 10 meter kaki. Terdapat beberapa jemaah yang duduk pada jarak yang agak jauh sambil bertasbih dan berbual-bual. Apakah mereka ini tergolong di kalangan orang yang menghadiri majlis ilmu? JAWAPAN: Mereka dikira hadir ke majlis ilmu tetapi mereka tidak memanfaatkan majlis tersebut. Adalah menjadi tidak beradab berbual-bual atau bertasbih sekalipun membaca al-Quran adalah dilarang ketika majlis ilmu sedang berlangsung. Jika ada hal yang sangat penting untuk diperkatakan maka hendaklah mereka keluar masjid. Majlis itu perlu dihormati walaupun perkara yang pengajian yang disampaikan itu sesuatu yang dimaklumi atau diketahui sebelum ini. Majlis ilmu seperti yang disabdakan oleh baginda Rasulullah s.a.w. daripada Abu Hurairah r.a bermaksud: Tidak ada sekumpulan pun daripada manusia yang duduk dalam mana-mana masjid sedang mereka membaca kitab Allah serta mengkajinya dan berbincang di antara mereka, melainkan Allah menurunkan ketenangan ke atas mereka dan dilimpahkan rahmat ke atas mereka dan para malaikat menghamparkan sayapnya, manakala Allah menyebut-nyebut nama mereka pada malaikat yang berada di samping-Nya. (riwayat Ibn Hibban, jld:3, hlm:45, no Hadis:1607). Berdasarkan hadis ini jelas bahawa Rasulullah menggambarkan akan kedudukan majlis ilmu, malahan kedudukannya di sisi Allah s.w.t. Apa yang jelas ialah Allah pasti menyebut-nyebut nama hamba-hambanya yang hadir ke majlis ilmu. Jika hadir sahaja tetapi tidak memberi tumpuan maka hilanglah fadilat dan kelebihan yang disebut oleh Rasulullah. Para ulama ada menyatakan bahawa apabila berlangsungnya sesuatu majlis ilmu yang bersifat `jamaei’ maka amalan yang berbentuk keperibadian (infiradi) haruslah ditinggalkan. Keutamaan harus diberikan kepada majlis ilmu. Seperkara lagi yang perlu diingat ialah tanpa ilmu amalan kita akan ditolak oleh Allah s.w.t. Oleh itu, tuntutlah ilmu dan hendaklah mengamalkan ilmu tersebut. Menuntut ilmu itu lebih utama berbanding dengan zikir semata-mata. Ada juga yang memberi alasan walaupun mulut kami atau hati kami berzikir namun telinga tetap mendengar pengajian. Alasan ini tidak tepat, ini kerana Allah s.w.t telah menjelaskan dalam firmannya yang bermaksud : Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang lelaki itu dua hati dalam rongga dadanya (al-Ahzab: 4). 2. Apakah hukum yang lebih afdal apabila sesuatu majlis ilmu yang diadakan selepas solat Maghrib dan menantikan waktu Isyak. Setibanya waktu Isyak, tuan guru meneruskan ceramahnya dan tidak memberi ruang kepada bilal melaungkan azan atau perlukah ia memberhentikan seketika ceramahnya dan meminta bilal melaungkan azan bagi merebut waktu awal solat. JAWAPAN: Menuntut ilmu itu wajib lagi fardu dalam Islam. Namun Islam mempunyai syiarnya yang tersendiri yang perlu dipelihara ini termasuklah azan setiap kali masuk waktu solat. Pandangan saya ialah lebih baik memberhentikan kuliah untuk seketika untuk memberi laluan kepada muazin melaungkan azan. Azan merupakan syiar orang Islam yang agung dengan azan ini dapat mengingatkan orang Islam akan waktu solat isyak, dalam masa yang sama dapat mengingatkan orang kepada kebesaran Allah s.w.t. Ini dapat dilihat melalui makna azan itu sendiri. Azan juga bersifat mengajak orang untuk meninggalkan seketika urusan dunia menuju kepada kepada rahmat dan kasih sayang Allah. Dalam masalah ini, suka saya ingatkan para muazin supaya tidak memanjangkan azan seperti biasa, cukup sekadar azan yang ringkas. Azan bukan sahaja syiar malahan ia boleh menyebabkan seseorang itu terdiam seketika demi menghormatinya, serta boleh menyentap fitrah seseorang yang leka dan lalai daripada mengingati Allah s.w.t. 3. Apakah adab dalam mengadakan walimatul urus di masjid? JAWAPAN: Adab-adab yang perlu dipelihara sepanjang majlis walimatul urus di masjid ialah memelihara kesucian masjid dan memelihara kehormatannya. Di antaranya tidak bercakap perkara-perkara maksiat, tidak membuat bising yang boleh mengganggu orang lain yang beribadat. Tidak mengotorkan dengan membuang sampah sarap merata-rata. Mendirikan solat sunat tahyatul masjid dua rakaat. Tidak merosakkan harta masjid. Ketika berada dalam atau kawasan masjid pastikan aurat ditutup. Niatkan iktikaf sepanjang berada dalam masjid mudah-mudahan dirahmati Allah s.w.t. Masjid adalah tempat untuk orang awam beribadat sama ada ibadat khusus ataupun ibadat umum, maka adalah tidak wajar dengan memonopolinya untuk majlis akad nikah dan menghalang orang lain daripada masuk ke dalamnya. Seperkara lagi yang ingin saya ingatkan di sini ialah jangan jadikan masjid seperti dewan serbaguna hanya datang untuk mengadakan majlis walimatul urus sahaja, selepas walimatul urus bayang pun tidak kelihatan. Mudah-mudahan setiap perkahwinan yang diadakan di masjid dirahmati Allah s.w.t. Ini tidaklah bermaksud walimatul urus di rumah tidak dirahmati Allah. Rahmat dan kasih sayang Allah tidak bergantung di mana majlis itu diadakan tetapi ia bergantung bagaimana ia diadakan. Labels: Soal Jawab |