Utusan Malaysia, 15 september 2006
Bersama MOHD. FARID RAVI ABDULLAH 1- Adakah boleh seorang wanita yang belum berkahwin mengambil pil hormon bagi tujuan menyusukan anak angkat supaya menjadi mahram kepadanya? JAWAPAN: Dari pandangan syarak harus, tidak salah seorang perempuan yang belum berkahwin menyusukan bayi, perkara ini pernah menjadi amalan orang Arab. Malahan mengambil upah menyusukan bayi menjadi sumber pendapatan pada zaman sebelum dan selepas kedatangan Islam. Namun perkara ini kebiasaannya dilakukan oleh perempuan yang sudah berumah tangga. Adapun matlamat saudari menyusukan anak angkat adalah untuk mengelakkan daripada batasan mahram. Dengan tujuan ini harus mengambil pil hormon bagi menghasilkan susu. Maka demikian anak itu akan menjadi anak susuan. Anak susuan dengan ibu susuan menjadi mahram (batasannya seperti anak kandung) dan begitu juga dengan anak-anak kandung ibu susuan akan menjadi mahram (haram dinikahi atau mengahwininya). Hanya dua perkara yang tidak boleh dilakukan ke atas anak susuan iaitu mem`bin’kannya dengan bapa susuan serta tidak boleh mewarisi harta pusaka. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu; anak-anakmu yang perempuan; saudara-saudaramu yang perempuan, Saudara-saudara bapamu yang perempuan; Saudara-saudara ibumu yang perempuan; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang laki-laki; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang perempuan; ibu-ibumu yang menyusui kamu; saudara perempuan sepersusuan….(an-Nisa: 23). Berdasarkan ayat di atas jelas Allah mengharamkan perkahwinan dengan anak susuan. Pengharaman ini adalah ke atas ibu yang menyusukan anak tersebut dan adik-beradik susuan serta suami kepada ibu susuan. Ayat di atas juga menjelaskan bahawa Allah mengharamkan anak susuan itu dikahwini, begitu juga adik-beradik susuan itu tidak boleh dikahwini. Keharusan menyusukan bayi juga jelas dalam ayat di atas, malahan ayat di atas tidak mengehadkan status ibu susuan sama ada yang berkahwin atau yang belum berkahwin. 2. Apa yang harus dilakukan jika kita pernah makan nasi ayam di kedai Cina yang mempunyai pekerja muslim. Saya berasa was-was tentang status halal makanan yang dijual. JAWAPAN: Sebenarnya apa yang saudari lakukan ialah sesuatu yang tidak sengaja. Janganlah saudara berasa salah sehingga tertekan perasaan yang dikhuatiri akan mengganggu kerja harian saudari. Ramai yang tertipu dengan tanda halal dan begitu juga orang-orang sering tertipu di restoran-restoran apabila pengusaha restoran itu menempatkan orang-orang Islam sebagi satu gimik bagi menarik pengunjung muslim. Dari satu sudut mungkin juga pengusaha restoran itu mengusahakan makanan dengan membeli ayam daripada orang Islam. Mungkin juga masakan itu dimasak oleh orang muslim. Namun jika perasaan kita ragu-ragu adalah lebih baik kita makan di kedai, gerai atau restoran milik orang Islam. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. pernah mengingatkan kita dengan sabda Baginda dalam sepotong hadis sahih yang bermaksud: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas namun di antara kedua-dua itu masih ada perkara yang kebanyakan orang tiada mengetahui. Orang-orang yang memelihara diri daripada perkara-perkara yang meragukan itu, samalah seperti orang yang telah melindungi agamanya dan kehormatannya. Orang yang tergelincir ke dalam perkara-perkara meragukan akan tergelincir pula ke dalam perkara haram, seperti seorang pengembala yang sedang mengembala di sekitar tempat larangan, akhirnya ia lalai, lalu memasuki tempat larangan itu. Berdasarkan hadis ini, jelas kepada kita bagaimana Rasulullah mengingatkan kita supaya sentiasa berjaga-jaga dalam perkara yang berkaitan dengan syubhat, kerana ada kalanya syubhat ini boleh membawa kepada haram tanpa kita sedari. Rasulullah turut mengingatkan orang-orang Islam supaya mencari makan yang halal malahan ia merupakan suatu yang fardu (wajib), seperti mana sabda Baginda yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud, bermaksud: Mencari yang halal itu adalah wajib bagi setiap muslim. Adapun keadaan saudari ialah makan di restoran yang diragui pengusahanya orang Islam ataupun orang bukan Islam. Dalam Islam sesuatu yang dilakukan tanpa sengaja adalah dimaafkan daripadanya. Yang penting saudari dan kawan-kawan saudari hendaklah berwaspada dan jangan mudah terpedaya dengan gimik meletakkan beberapa orang pelayan muslim (kadang-kadang pekerja muslim dari Indonesia ) sebagai langkah mencari pelanggan muslim. Ingatlah bahawa makanan-makanan yang ada unsur-unsur syubhat akan mengelapkan hati kita dan menyebabkan kita semakin liat di dalam melaksanakan perintah Allah s.w.t. Justeru, setiap orang Islam bertanggungjawab mencari yang halal demi memelihara hati dan amal ibadat. - Sebarang soalan untuk ruangan Kemusykilan Agama boleh dihantar melalui e-mel ke agama@utusan.com.my atau ke Ruangan Agama, Utusan Malaysia, 46M, Jalan Lima, Off Jalan Chan Sow Lin,55200 Kuala Lumpur. Faksimile: 03-9222 4967. Labels: Soal Jawab |