Utusan Malaysia, 1 oktober 2006
Soalan: Dalam Islam, adakah terdapat waktu-waktu tertentu melarang mengebumikan mayat. Kalau mayat banyak yang hendak dikebumikan dalam satu kubur, adakah terdapat keutamaan mayat macam mana hendak dimasukkan dalam kubur terlebih dahulu? Adakah mayat itu boleh dimasukkan dalam kubur dari mana-mana bahagian yang disukai, kepala dahulu, kaki atau masuk serentak perlahan-lahan? Seperti yang dilakukan sekarang adakah meletakkan bola tanah di sisi mayat itu mempunyai alasan atau hanya adat kebiasaan semata-mata? Dan yang paling penting, setakat mana penglibatan seseorang itu dalam urusan mayat dapat memberi keinsafan diri? Terima kasih. – Kak Hasnah, BBB. JAWAPAN: Jumhurul ulama berpendapat bahawa mengebumikan mayat pada waktu malam itu sama sahaja keadaan dengan menguburkan mayat pada waktu siang. Rasulullah s.a.w pernah menguburkan seorang lelaki yang selalu berzikir dengannya pada waktu malam. Syaidina Ali juga menguburkan Syaidatina Fatimah pada malam hari. Saidina Abu Bakar, Usman, Saidatina Aishah dan Ibn Masud juga dikebumikan pada waktu malam. Walaupun demikian menguburkan mayat pada waktu malam itu dibolehkan sekiranya hak-hak yang berkaitan dengan mayat itu telah sempurna dilakukan. Sekiranya hal seperti ini tidak dipenuhi maka perbuatan itu adalah ditegah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim menyatakan bahawa nabi pada satu hari telah memberi penerangan kepada orang ramai dan menyebut tentang seorang lelaki sahabatnya yang meninggal lalu dikafankan dengan kain kafan yang tidak mencukupi dan dikebumikan pada waktu malam. Nabi telah mencela amalan menguburkan mayat pada waktu malam kecuali seseorang itu terpaksa melakukannya. Begitu juga keterangan daripada sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh ibnu Majah daripada Jabir. Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan as-sahibus Sunan daripada Uqbah katanya, ada tiga waktu di mana nabi menegah kami menyembahyangkan atau menguburkana mayat, iaitu ketika tepat waktu terbitnya matahari sehingga ia naik, ketika tepat tengah hari sehingga matahari tergelincir dan ketika hampir terbenam matahari sehinggalah ia terbenam. Biarpun tegahan itu jelas, tetapi sekiranya keadaan memaksa, seperti dikhuatiri mayat menjadi busuk, maka mengebumikan mayat pada waktu itu boleh dilakukan dengan sengaja tanpa sebab darurat seperti yang dijelaskan, maka hukumnya adalah makruh. Perlu dijelaskan bahawa dalam mengendalikan pengebumian ini, setiap seorang perlu memastikan bahawa mayat yang ditanam itu selamat dan tidak dapat digali oleh binatang buas. Kerana itu kubur perlu digali dalam sekira-kira bau mayat itu tidak dapat dicium oleh manusia juga binatang termasuk burung-burung. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Nasai daripada Hisyam bin Amir, juga oleh Turmizi katanya: Kami telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w ketika perang Uhud. “Ya Rasulullah, adalah sukar bagi kami untuk menggali kubur untuk setiap mayat.’’ Mendengar kata itu, Rasulullah bersabda: Galilah kamu semua, dalamkan dan perelokkan, tanamlah dua atau tiga mayat dalam satu kubur. Mereka bertanya: Siapakah yang kami hendak dahulukan ya Rasulullah? Baginda menjawab: Dulukan yang banyak hafal al-Quran. Bapaku adalah termasuk dalam salah seorang yang ditanamkan dalam sebuah kubur yang memuat tiga jenazah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dan Ibnu Munzir daripada Umar bahawa ia berpesan menyatakan: Galilah kubur itu setinggi tegak dan selebar badan. Satu perkara lain yang perlu juga kita fahami ialah tentang bentuk lubang kubur itu sendiri. Ada kubur yang digali yang diberi liang di sisi kubur pada arah kiblat. Di atasnya diletakkan papan-papan menjadikan bentuknya seakan-akan rumah yang beratap. Satu bentuk lain dinamakan syaq, iaitu liang yang dibuat di tengah-tengah kubur. Penutup Di kelilingnya diletakkan penutup. Kedua-dua bentuk yang dijelaskan ini adalah diharuskan tetapi lubang lahad adalah lebih utama, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah daripada Anas katanya: Ketika Rasulullah s.a.w. wafat, ada seorang lelaki yang membuat lahad juga seorang lelaki lain yang biasa membuat syaq. Para sahabat berkata: “Kita minta mereka datang sambil kita beristikharah, minta dipilihkan Allah. Mana-mana di antara mereka berdua yang datang lebih cepat maka itulah yang kita gunakan. Lalu mereka memanggil mereka berdua datang dan yang tiba lebih awal ialah tukang lahad. Maka mereka membuat makam nabi.’’ Mengenai cara memasukkan mayat dalam kubur, hendaklah dilakukan daripada bahagian belakangnya, iaitu sekiranya ia tidak mengalami masalah. Sekiranya menghadapi masalah untuk berbuat demikian, maka ia boleh dimasukkan daripada mana-mana bahagian pun. Diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Abi Syaibah dan Bayhaqi daripada keterangan Abdullah bin Aid, bahawa ia memasukkan mayat dalam kubur daripada arah kedua-dua kakinya, katanya: Ini adalah sunnah. Menurut Ibnu Hazim, memasukkan mayat dalam kubur itu boleh dilakukan daripada mana-mana bahagaian, sama ada daripada bahagian kiblat atau sebaliknya atau daripada arah kepala, ataupun daripada arah kaki, kerana tidak ada satu keterangan yang tegas mengenainya. Menurut sunnah, mayat hendaklah dibaringkan dalam kuburnya pada sisinya yang kanan dengan mukanya ke arah kiblat. Orang yang berbuat demikian hendaklah membaca Bismillah wa’ala millati rasulillah (dengan nama Allah dan menurut agama (sunnah) Rasulullah. Tali yang mengikat mayat hendaklah diuraikan. Menurut sebuah hadis yang diterima daripada Ibnu Umar ia berkata: Bahawa nabi apabila meletakkan mayat dalam kubur, baginda mengucapkan: Bismillah wa’ala millati rasulullah atau wa’ala sunnati rasulillah. Jumhurul fukaha menganggap makruh meletakkan kain, selimut dan sebagainya untuk mayat dalam kubur. Manurut Ibnu Hazim tidak salah meletakkan kain hamparan di bawah mayat, berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, daripada Ibnu Abbas, katanya: Pada makam Rasulullah telah dihamparkan permaidani merah. Ia berkata: Dan Allah telah membiarkan perbuatan ini dalam upacara pengebumian Rasulullah seorang manusia yang maksum dan tidak mencegahnya. Dilakukan oleh manusia pilihan di muka bumi secara ijmak, tanpa seorang pun yang menentangnya. Ada ulama menganggap sunat meletakkan kepala mayat di atas bantal yang diperbuat daripada tanah liat, batu atau tanah biasa dalam keadaan pipi kanannya dicecahkan pada bantal tanah dan sebagainya setelah kain kapan dibuka daripada pipinya. Syaidina Omar pernah berkata: Andainya kamu menurunkan mayatku ke liang lahad nanti, cecahkan pipiku ke tanah. Wasiat Dhahak pula memberi wasiat agar tali yang mengikat matanya diuraikan manakala kain kafan dibuka daripada pipinya. Mereka juga menganggap sunat meletakkan gumpalan tanah liat atau di belakang mayat sebagai penahan agar mayat tidak menelentang. Akhir sekali, memohon keampunan bagi mayat itu adalah sunat hukumnya, iaitu setelah sempurna dimakamkan, kerana ia akan disoal oleh malaikat. Dalam sebuah hadis yang diterima daripada Othman, katanya: Nabi apabila telah selesai menguburkan mayat, dia berdiri di depannya dan bersabda: Mohonkan ampun bagi saudaramu dan mintalah dikuatkan hatinya kerana dia ini sedang ditanya. Dalam sebuah hadis riwayat oleh Razin daripada Ali, bahawa setelah selesai menguburkan mayat ia biasanya berdoa yang bermaksud: Ya Allah, ini adalah hamba-Mu yang datang berdiam kepada-Mu dan Engkau adalah sebaik-baik tempat tinggal, maka ampunilah akan dia dan lapangkanlah tempatnya. Dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa Rasulullah menyuruh agar menziarahi kubur-kubur dan memandikan mayat, kerana perbuatan mengendalikan mayat yang kaku dan sejuk itu satu peringatan yang paling memberi kesan. Sesungguhnya orang yang ada rasa insaf dan sedih itu sentiasa di bawah naungan Allah. Dalam hadis ini dijelaskan bahawa menziarahi orang sakit, menziarahi kubur juga mengendalikan mayat itu memberi kesan dalam usaha melahirkan keinsafan diri. Kalaulah seseorang itu berupaya berfikir, ia akan dapat menyedari dan menginsafi bahawa setiap orang akan menemui mati pada satu ketika kelak, sama ada kematian itu cepat atau lambat, ketika muda atau setelah tua. Dalam keadaan apa sekalipun ia pasti datang. Terlalu banyak keinsafan akan lahir daripada peristiwa kematian. Jasad yang terkubur kaku, keras dan sejuk itu membuktikan bahawa kematian itu sebenarnya sesuatu yang hakiki, yang sedang berada di hadapan mata, yang berlaku kepada seorang teman, seorang ayah yang dikasihi atau seorang yang menjadi musuh. Betapa gah seseorang itu ketika hidup. Betapa cantik dan menawan atau suara semerdu buluh perindu semuanya akan pupus diganti jasad yang kaku. Biar betapa kuat hentakan kaki menggegar bumi, sekental otot-otot di lengan atau di hadapan dada yang mengepak meninggi, segala-galanya akan musnah. Segala kemegahan dan nada-nada berkilauan yang diagung-agungkan dan dipuja oleh jutaan peminat akan lesap, yang akhirnya musnah dimakan bumi. Segalanya akan diganti oleh kehidupan yang kekal, iaitu di alam akhirat. Memang benarlah bahawa amalan mengendalikan mayat itu akan memberi keinsafan, iaitu bagi mereka yang dapat mengambil ikhtibarnya. PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada: Dr. Amran Kasimin, Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab Luar, 43000 Kajang, Selangor. Labels: Soal Jawab |