Blog ini mengandungi koleksi artikel yang berguna sebagai infomasi dan rujukan untuk diriku dan orang lain dari harakahdaily, utusan Malaysia, berita harian, Tranungkite Online dan dari beberapa website lain. Terdapat juga sedikit tulisanku di dalam blog ini.
Dakwah cyber mestilah diterokai oleh pendakwah muslim walau pun bidang ini masih baru. Sebagai OKU inilah kesempatan bagiku untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah. "Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Semesta Alam": Weblog Master 28 Ogos 2006
Fatwa Pengharaman Anti-hadith
Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini:
Ajaran Golongan Anti Hadith
ISI AJARAN
1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.
2. Menolak dua kalimah Syahadah.
3. Menolak Qada' dan Qadar
4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12
Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada
wahyu.
5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca
kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam
6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.
TARIKH MUNCUL
1985
TEMPAT BERKEMBANG
Seluruh Malaysia
TINDAKAN/HUKUMAN
Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:
1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996
2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46
3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78
4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3
(Sumber: )
Penutup
Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari
golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai
sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah
difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal
'iya zubillahi min zalik.
Fatwa Mufti Perak
Kategori : Akidah
Tajuk :
Gerakan Anti-hadis
Isu :
"A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK –
(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;
(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di dalam
al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;
(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;
(d) "The Computer Speaks – God's Message To The World" yang ditulis
oleh Dr. Rashad Khalifa,
adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang
bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta
mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran
dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku
tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith
yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai
sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan
Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan
mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian
sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.Adalah mengandungi
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan
aqidah dan syariah Islamiah serta menglirukan dan boleh
menyesatkan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan.
B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang
kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung
dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu
kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah,
syariah dan akhlak Islamiah.
Fatwa :
Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh Seksyen 34 (2) Enakmen
Pentadbiran Agama Islam 1992, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul
Ridzuan membuat fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa
"Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak" Darul Ridzuan pada 2
Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995, dan atas titah perintah
Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa tersebut seperti
berikut
C. OLEH YANG DEMIKIAN –
(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik ", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu –
Hadith di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer
Speaks: God's Message To The World"; adalah murtad;
(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang -
(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan
berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-
ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World";
(b) mencetak, menerbitkan, memiliki,
menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan
buku "Hadis Satu Penilaian Semula," "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World"; atau mana-mana bahagiannya, termasuk –
(i) apa-apa bentuk, versi atau
variasinya;
(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa
bahasa;
(iii) apa-apa bahan publisiti yang
bertujuan memberikan publisiti
kepada mana-mana buku itu,pada atau
atas apa-apa bahan, sama ada bahan
cetak atau elektronik atau
selainnya atau melalui apa-apa
media; atau
(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana
Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan
atau mengembangkan kumpulan sedemikian."
Rujukan Pewartaan : No:139 Jil.49
Tarikh Pewartaan :
15 Feb 1996
Borak
Kisah Sahabat: Ikrimah belanja harta, berjuang untuk agama
KEISLAMAN Ikrimah membuatkan Rasulullah SAW begitu gembira. Selepas itu, Ikrimah berkata: "Wahai Rasulullah SAW, ajarkanlah pada aku satu kalimah yang baik untuk aku ucapkan."
Rasulullah SAW berkata: "Hendaklah kamu selalu membaca aku bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu hamba dan pesuruh-Nya."
Ikrimah berkata: "Apa lagi selain itu?" Rasulullah SAW berkata: "Mintalah persaksian kepada Allah dan orang di sekitar kamu serta katakan pada mereka.
"Sesungguhnya aku adalah seorang Muslim, orang yang rela berjuang dan orang yang rela berhijrah." Lalu Ikrimah mengikuti anjuran Nabi Muhammad SAW itu.
Kemudian, Nabi Muhammad SAW berkata: "Pada hari ini, tiada satu permintaan pun yang kamu ajukan pada aku kecuali aku akan memberikannya padamu seperti yang aku berikan pada orang lain."
Mendengarnya, Ikrimah berkata: "Wahai Rasulullah, mintakan ampun untukku atas kejahatan yang aku lakukan pada kamu dulu, atas kejahatan yang aku lakukan ketika dalam perjalanan atau ketika berada di tempat tinggal kamu.
“Juga atas ejekan yang aku tujukan pada kamu, sama ada di depan atau belakang kamu."
Selepas mendengar permintaan Ikrimah itu, Rasulullah SAW berdoa untuknya: "Ya Allah, ampunilah setiap permusuhan yang dilakukannya pada aku, setiap perjalanan yang ditempuhinya untuk memadam cahaya-Mu dan ampunilah dia atas ejekan yang ditujukan pada aku, sama ada di depan atau belakang aku."
Ikrimah berkata: "Demi Allah, ya Rasulullah SAW. Seperti dulu aku mengeluarkan harta untuk menghalang agama Allah, jadi sekarang aku akan membelanjakannya sekali ganda untuk jalan Allah.
"Seperti dulu aku berperang untuk menghalang agama Allah, jadi sekarang aku akan berjuang sekali ganda di jalan Allah."
Kemudian Ikrimah berjuang dalam satu peperangan yang mengakibatkan dia mati syahid.
Al-Hakim meriwayatkan dalam kitab al-Mustadrak: "Rasulullah SAW berasa gembira ketika Ikrimah sampai di depan pintu rumahnya dan Rasulullah bangun untuk menyambut kedatangan Ikrimah."
Urwah bin Zubair menceritakan Ikrimah berkata pada Rasulullah SAW: "Wahai Muhammad, isteri aku ini memberitahu aku bahawa kamu sudah memaafkan aku." Lalu Ikrimah terus mengucapkan syahadah.
Dengan perasaan malu, Ikrimah berkata: "Wahai Rasulullah SAW, kamu adalah orang yang paling baik, jujur dan seorang yang sejati dan mulia."
Kemudian Ikrimah meminta Rasulullah SAW supaya diminta keampunan untuknya daripada Allah atas segala dosanya yang lalu. Rasulullah SAW mengabulkan permintaannya.
Selepas itu, Ikrimah minta diajarkannya satu kalimah yang baik bagi dirinya.
Rasulullah SAW mengajarnya supaya sentiasa membaca dua kalimah syahadah dan berpesan mengikuti jihad di jalan cahaya keimanan Allah.
Pesan Rasulullah SAW itu disambut oleh Ikrimah: "Wahai Rasulullah aku berjanji akan membelanjakan semua harta aku untuk jihad di jalan Allah." Dia memenuhi janjinya membelanjakan harta dan berjuang pada jalan Allah.
Dia termasuk orang yang mati syahid di Ajhadain dalam peperangan menentang tentera Rom, pada masa pemerintahan Abu Bakar. Ketika Rasulullah SAW wafat, dia berada di Tabalah.
AMIRUL Mukminin Umar selalu berhati-hati memilih gabenornya, seolah-olah beliau memilih orang yang sama mutunya dengan dirinya. Saidina Umar selalu memilih orang yang zuhud dan soleh serta boleh dipercayai dan jujur. Dia juga orang yang tidak mengejar pangkat atau kedudukan, bahkan tidak mahu menerima jawatan itu kecuali kerana dipaksa Amirul Mukminin menerimanya.
Sekalipun pandangan tajam dan pengalamannya luas, namun dalam memilih gabenor dan pembantu utamanya, beliau selalu menimbangnya dalam waktu yang panjang dan mengamatinya dengan teliti. Beliau selalu mengulang pesan atau fatwanya yang mengesankan itu sebagai berikut:
“Aku menginginkan seorang lelaki apabila ia berada dalam suatu kaum, padahal ia rakyat biasa, tetapi menonjol seolah-olah dialah pemimpinnya. Dan apabila dia berada antara mereka sebagai pemimpinnya, dia menampakkan diri sebagai rakyat biasa. Aku menghendaki seorang gabenor yang tidak membezakan dirinya daripada manusia kebanyakan dalam soal pakaian, makanan dan tempat tinggal. Ditegakkannya solat di tengah-tengah mereka. Berbahagi rata dengan mereka berdasarkan yang hak dan tidak pernah dia menutup pintunya untuk menolak pengaduan mereka.”
Maka berdasarkan norma dan peraturan keras inilah, Umar memilih Umeir bin Saad untuk menjadi gabenor di Homs. Umeir berusaha untuk menolak dan melepaskan diri daripada jawatan itu tetapi sia-sia kerana Amirul Mukminin tetap mengharuskan dan memaksanya untuk menerimanya.
Umeir memohon kepada Allah memberi petunjuk dengan solat istikharah dan kemudian melaksanakan kewajipannya.
Pada waktu dia diharuskan melaksanakan pemerintahan dan pemimpin, maka kedudukannya yang tinggi itu hanya semakin menambah sifat waraknya untuk menjadi lebih cemerlang.
Ketika menjadi gabenor di Homs itu, Umier menggariskan tugas kewajipan seorang ketua pemerintahan Islam. Katanya: “Ketahuilah, bahawa sesungguhnya Islam mempunyai dinding teguh dan pintu yang kukuh. Dinding Islam itu ialah keadilan.”
Apabila dinding itu dirobohkan dan pintunya dirobek, Islam akan dapat dikalahkan. Islam akan sentiasa kuat selama pemerintahannya kuat.
Kekuatan pemerintah tidak terletak dalam angkatan perang, tetapi pada pelaksananya yang melaksanakan segala ketentuan dengan jujur dan disertai menegakkan keadilan.
JAAFAR bin Abi Thalib adalah orang paling rapat dengan Rasulullah SAW dari segi hubungan keluarga, sebagai anak saudaranya sendiri.
Keberanian dan ketangkasannya tidak diragukan lagi. Kebangsawanan dan kehebatannya begitu juga, namun dia hanya sebagai orang kedua selepas Zaid iaitu sebagai panglima pengganti, sedangkan Zaid diangkat sebagai panglima pertama pasukan.
Begitulah contoh dan teladan diperlihatkan Rasulullah SAW dalam mengukuhkan sesuatu prinsip.
Islam sebagai agama baru mengikis habis segala hubungan lapuk yang didasarkan pada darah dan keturunan atau yang ditegakkan atas batil, menggantikannya dengan hubungan baru dipimpin hidayah Ilahi yang berpokok pada hakikat kemanusiaan.
Dalam pada itu, Rasulullah SAW seolah-olah mengetahui secara ghaib berhubung pertempuran yang akan berlaku.
Baginda mengatur dan menetapkan susunan panglimanya dengan tertib berturutan: Zaid, lalu Jaafar, kemudiannya Abi Rawahah.
Ternyata ketiga-tiga mereka menemui Tuhannya sebagai syuhada sesuai dengan urutan itu pula.
Apabila kaum Muslimin melihat tentera Romawi yang jumlahnya menurut taksiran tidak kurang daripada 200,000 orang, suatu jumlah yang tidak mereka duga sama sekali, mereka terkejut.
Namun, benarkah pertempuran didasari iman perlu mempertimbangkan jumlah itu?
Ketika itulah, mereka maju tanpa gentar, tidak mempedulikan dan menghiraukan ramainya musuh.
Di hadapan sekali kelihatan dengan tangkasnya memacu kuda, panglima mereka Zaid, sambil memegang teguh panji Rasulullah SAW, dia maju menyerbu seperti taufan, di celah desingan anak panah, hujung tombak dan pedang musuh.
Mereka bukan hanya mencari kemenangan, tetapi lebih daripada itu mencari apa yang dijanjikan Allah iaitu tempat pembaringan di sisi Allah.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah membeli jiwa dan harta orang Mukmin dengan syurga sebagai imbalannya." (Surah at-Taubah, ayat 111)
Zaid tidak sempat melihat pasir Balqa', malah tidak pula keadaan bala tentera Romawi, tetapi dia langsung melihat keindahan taman syurga dengan dedaunannya yang hijau berombak laksana kibaran bendera, yang memberitakan kepadanya, bahawa itulah hari istirahat dan kemenangannya.
Dia terjun ke medan perang dengan menerjah, menghayun, membunuh atau dibunuh. Tetapi, dia tidak memisahkan kepala musuhnya, dia hanya membuka pintu dan menembus dinding yang menghalanginya ke kampung kedamaian, syurga yang kekal di sisi Allah.
Dia menemui tempat berehat yang akhir.
Rohnya yang melayang dalam perjalanannya ke syurga tersenyum bangga melihat jasadnya yang tidak berbungkus sutera dewangga hanya berbalut darah suci yang mengalir ke jalan Allah.
Senyumannya semakin melebar dan tenang penuh nikmat, kerana melihat panglima yang kedua Jaafar memecut laju ke hadapan laksana anak panah yang terlepas dari busurnya menyambar panji yang dibawanya sebelum jatuh ke tanah.
TIDAK ada sedikit pun maksud tidak baik Umar terhadap peribadi Khalid, hanya beliau berasa gerun terhadap pedang yang terlalu pantas dan tajam.
Hal itu dibayangkan ketika dia mengusulkan kepada Abu Bakar, Khalid diberhentikan, sejurus selepas terbunuh Malik Nuwairah.
Umar berkata: "Sesungguhnya pada pedang Khalid ada rohaqnya." Ertinya kelancangan, ketajaman dan ketegasan.
Lalu dijawab khalifah as-Siddiq: "Aku tidak akan menyarungkan pedang yang sudah dihunus Allah terhadap orang kafir."
Umar tidak menyatakan kepantasan bertindak kepada Khalid hanya menjadi sifat rohaq itu sebagai sifat pedang bukan peribadi orangnya.
Kata-kata itu bukan saja mengungkap adab sopan, tetapi juga penilaian baik terhadap diri Khalid.
Kehidupan Khalid adalah perang sejak lahir hingga mati. Persekitaran, tumbesaran, pendidikan dan seluruh kehidupan sebelum dan selepas Islam, seluruhnya adalah arena bagi seorang pahlawan berkuda yang lasak lagi ditakuti.
Kemudian kegigihan pada masa silam sebelum Islam, peperangan yang menentang Rasul dan sahabat serta hayunan pedang ketika syirik yang menjatuhkan kepala orang beriman.
Kini dijadikan pedang alat yang ampuh untuk menebus kesilapan lalu dengan memancung habis segala tonggak kemusyrikan berlipat ganda hebat daripada apa yang pernah dilakukan terhadap Islam.
Walaupun Rasul sudah menjelaskan bahawa Islam sudah memaafkan semua kesilapan lalu, namun dia berusaha menunaikan janji kepada Rasulullah selagi dia masih hidup. Dia memohon ampun kepada Allah atas segala perbuatan pada masa silam.
Pedang yang berada di tangan seorang panglima berkuda istimewa seperti Khalid, kemudian tangan yang menggenggam pedang itu digerakkan dengan hati bergelora serta dipenuhi dengan pembelaan mutlak terhadap agama.
Ketika selesai pembebasan kota Makkah, Rasulullah mengutuskan sebahagian kabilah yang berdekatan dengan Makkah sambil menyatakan kepadanya:
"Aku mengutusmu sebagai penyeru umat, bukan sebagai penyerang mereka".
Rupanya pedang itu menguasai diri yang mendorong sebagai penyerang dan bukan sebagai penyeru umat seperti diwasiatkan Rasul kepadanya.
Nabi berasa kesal dan bersedih ketika tindakan Khalid disampaikan kepadanya dan sambil berdiri menghadap kiblat, baginda mengangkat tangan, memohon ampun kepada Allah dengan ucapannya:
"Wahai ya Allah, aku berlepas diri kepada-Mu, daripada tindakan yang dilakukan Khalid".
Lalu diutuskannya Ali kepada mereka untuk memberikan tebusan ganti rugi terhadap darah dan harta.
Menurut pendapat sesetengah orang, Khalid membela diri dengan alasan, Abdullah Hudzafah as-Sahmi menyatakan kepadanya bahawa Rasulullah memerintahkan dia memerangi mereka kerana menolak Islam.
Khalid memiliki tenaga melebihi manusia biasa. Tenaga itu mendorong menghancurkan dunia lama yang menyeksa hatinya. Khalid tidak melihat alat lain untuk membersihkannya, kecuali pedang.
Khalid adalah pejuang sejati yang sanggup mempertaruhan tenaga dan akal untuk perkembangan Islam sejagat.
Ketika beliau meninggal dunia Umar menangis. Kemudian umum dapat mengetahui bahawa Umar bukan menangis kehilangan semata-mata tetapi dia menangis kerana tidak berkesempatan mengangkatnya sebagai pucuk pimpinan Islam.
Umar bertekad memulihkan kepemimpinan dan menjernihkan sebab pemberhentian beliau, kalau tidak maut datang menjemput pahlawan besar itu untuk segera pulang ke tempat kembali di syurga.
Semangat juang dan keharuman nama dikenang sepanjang masa, selagi kuda perang masih mendengus, mata pedang masih berkilat dan panji serta bendera tauhid berkibaran, dia terus dikenang kerana jasanya dalam perkembangan Islam.