Utusan Malaysia, 28 ogos 2006
MANUSIA yang beruntung adalah manusia yang meniti di atas cinta, memperoleh cinta untuk menyedari kedudukannya sebagai insan kerdil di bawah kebesaran Ilahi. Cinta sejati ini bukan sahaja melahirkan bibit-bibit cinta antara manusia tetapi yang paling penting diri kita sendiri mampu mengecapinya agar kita sayang pada diri sendiri. Apabila bahagia itu datang, pastinya diri mampu menghalang segala kerosakan yang ingin menghancurkan diri. Kebahagiaan itu akan didapati apabila mendapat keberkatan hidup yang memberi manfaat kepada jasmani, masyarakat dan hidup diredhai Allah. Begitulah luahan hati dan perasaan yang tersirat di sebalik ketenangan wajah bekas-bekas penagih dadah yang berusaha mengubah kehidupan melalui perniagaan yang diceburi. Pada pagi yang cerah itu, wartawan RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH dan jurugambar HUSSIN IBRAHIM mengungkap kisah mereka yang kini memulakan penghidupan baru dengan membuka gerai makan Qawwam Desa, Jalan Bukit Cerakah, Selangor. Pertemuan diaturkan dengan kerjasama penaung Persatuan sahabat Prihatin Kuala Lumpur dan Selangor (SAHABAT), Mior Yazid Abdul Manaf yang turut berkongsi cerita suka dan duka beliau dalam membantu remaja-remaja yang terjebak dengan masalah sosial. Qawwam Desa merupakan usaha bekas-bekas penagih yang berazam mengubah diri menjadi insan yang berguna di samping berusaha menjauhikan diri daripada dadah. Bermula dengan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual air, gerai ini akhirnya mampu menjadi sebuah gerai makanan yang sederhana. Atas usaha yang tidak pernah mengenal erti putus asa, gerai ini memberi jalan kepada mereka untuk pulih dan memupuk semangat kerjasama serta setiakawan yang erat. Ini kerana bukan mudah untuk seseorang itu berubah apatah lagi ia menjadi rutin harian yang telah dialakukan bertahun-tahun lamanya. Mohd. Mardi Mahmood, 34, yang bergelumang dengan dadah selama sepuluh tahun melahirkan kesyukuran kerana diberi peluang untuk menginsafi dirinya tatkala tabiat buruk itu terlalu sukar untuk ditinggalkan. “Saya pernah dimasukkan ke pusat serenti tetapi ternyata hati saya masih belum terbuka untuk berubah. “Empat tahun lepas, lahir keinsafan dalam diri kerana saya sedar andai saya teruskan juga tabiat saya, masa depan saya akan hancur. “Atas desakan kuat dalam diri dan keluarga, melalui program SAHABAT saya lebih tenang dan berjaya melawan hawa nafsu saya sendiri,” kata pemuda ini yang berasal dari Pulau Pinang. Mohd. Mardi menceritakan, keikhlasan dalam diri untuk berubah amat penting agar matlamat tersebut dapat dicapai. Rakan Mohd. Mardi, Mohd. Zuki Abdul Khalid, 31, kelihatan amat sukar untuk memulakan bicara. Mungkin pemuda ini menyimpan seribu pengalaman pahit sepanjang dia bergelar penagih dadah. “Ingin hidup lebih sempurna dan mempunyai masa depan yang lebih baik, membuatkan saya memilih untuk bertaubat. “Saya sedar kerana sifat ingin tahu dan salah memilih kawan, membuatkan diri terjerumus dengan gejala dadah,’’ ujarnya dalam nada yang sayu. Nasihat Mohd. Zuki kepada remaja yang berada di luar sana agar tidak perlu mencuba sesuatu yang membawa keburukan walaupun hanya sebatang rokok. Walaupun pahit, Norman Mohd. Nor, 35, terpaksa menelan jua segala tohmahan masyarakat yang diterima sebelum ini. Mengakui selama dia terlibat dengan penagihan dadah, pelbagai kejahatan termasuk mencuri telah dilakukan semata-mata ingin mendapatkan bekalan dadah. Tetapi jauh di sudut hati, Norman ingin berubah melalui sahabat-sahabat yang ditemuinya sekarang. “Semangat berpasukan yang dibina melalui terapi yang dibuat oleh SAHABAT menjadikan saya lebih kuat dan dapat memperbaiki diri. “Saya harap diri saya akan kekal seperti sekarang dan saya tidak mampu melakukannya berseorangan tanpa bantuan sahabat yang lain,’’ jelas pemuda yang berasal dari Terengganu ini. Ketiga-tiga pemuda ini bertemu jodoh ketika melalui pemulihan yang dijalankan oleh SAHABAT dan diselia sendiri oleh Mior Yazid. Mereka ini diberi peluang bekerja sendiri supaya mereka sibuk dan lupa untuk kembali mencari dadah. Menurut Mior Yazid, Qawwam Desa merupakan wadah bagi membantu penagih-penagih tegar untuk melalui proses pemulihan dan medan untuk mereka berkomunikasi dengan masyarakat. Gerai ini dibuka dari hari Isnin hingga Ahad pada pukul tujuh pagi hingga malam dan hanya tutup pada petang Jumaat. “Gerai yang telah beroperasi hampir lapan tahun ini memberi peluang kepada bekas penagih berubah dan mereka hanya dipantau tanpa pengawasan yang ketat. “Ada beberapa perkara yang perlu diubah dalam memastikan mereka ini benar-benar insaf termasuk wajah, tabiat malas, sifat mereka yang suka menipu dan kehidupan harian mereka. “Bagi memastikan perubahan ini berjaya, golongan ini perlu taat pada perintah agama, jujur, sentiasa bersyukur dan sabar dalam mengharungi kehidupan,’’ ujarnya. Tambah Mior Yazid, melalui SAHABAT, telah diwujudkan Pusat Pemulihan dan Bina diri yang terletak di kampung Jenagor, Ulu Terengganu, Kampung Teluk Kepayang, Botak Kiri, Perak, Bukit Piatu, Melaka. “SAHABAT diwujudkan bagi membantu anak bangsa khususnya yang terjebak dengan penagihan dadah dan gejala sosial lain. “Apa yang kami usahakan ini adalah pengorbanan sendiri tanpa mengharapkan belas ihsan orang lain semata-mata bagi membantu mereka. “Kami membantu mereka untuk terus hidup kerana sukar bagi seseorang penagih dadah yang hidup bergelumang dengan dadah selama 10 tahun untuk berubah selama dua tahun. “Yang jelas mereka ini perlukan sokongan orang ramai selain pengisian ilmu kerohanian yang berpanjangan,’’ jelas Mior Yazid. Mior Yazid memberitahu, institusi merupakan akar umbi yang paling penting dalam membentuk akhlak remaja-remaja pada zaman sekarang. “Sikap prejudis masyarakat yang memandang serong terhadap penagih dadah perlu diubah supaya golongan ini dapat memulakan kehidupan baru,’’ ujarnya. Seperti bekas-bekas penagih ini, tiada apa yang mampu diucap oleh mereka selain ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas usaha yang Mior Yazid dan rakan-rakannya membantu golongan ini. Orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut tentang SAHABAT boleh menghubungi Mior Yazid di talian 019-2886902 atau layari http://www.sahabatprihatin.blogspot.com. Labels: Kisah Keinsafan/ Taubat |