Blog ini mengandungi koleksi artikel yang berguna sebagai infomasi dan rujukan untuk diriku dan orang lain dari harakahdaily, utusan Malaysia, berita harian, Tranungkite Online dan dari beberapa website lain. Terdapat juga sedikit tulisanku di dalam blog ini.
Dakwah cyber mestilah diterokai oleh pendakwah muslim walau pun bidang ini masih baru. Sebagai OKU inilah kesempatan bagiku untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah. "Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Semesta Alam": Weblog Master 28 Ogos 2006
Fatwa Pengharaman Anti-hadith
Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini:
Ajaran Golongan Anti Hadith
ISI AJARAN
1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.
2. Menolak dua kalimah Syahadah.
3. Menolak Qada' dan Qadar
4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12
Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada
wahyu.
5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca
kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam
6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.
TARIKH MUNCUL
1985
TEMPAT BERKEMBANG
Seluruh Malaysia
TINDAKAN/HUKUMAN
Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:
1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996
2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46
3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78
4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3
(Sumber: )
Penutup
Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari
golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai
sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah
difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal
'iya zubillahi min zalik.
Fatwa Mufti Perak
Kategori : Akidah
Tajuk :
Gerakan Anti-hadis
Isu :
"A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK –
(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;
(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di dalam
al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;
(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;
(d) "The Computer Speaks – God's Message To The World" yang ditulis
oleh Dr. Rashad Khalifa,
adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang
bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta
mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran
dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku
tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith
yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai
sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan
Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan
mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian
sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.Adalah mengandungi
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan
aqidah dan syariah Islamiah serta menglirukan dan boleh
menyesatkan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan.
B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang
kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung
dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu
kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah,
syariah dan akhlak Islamiah.
Fatwa :
Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh Seksyen 34 (2) Enakmen
Pentadbiran Agama Islam 1992, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul
Ridzuan membuat fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa
"Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak" Darul Ridzuan pada 2
Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995, dan atas titah perintah
Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa tersebut seperti
berikut
C. OLEH YANG DEMIKIAN –
(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik ", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu –
Hadith di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer
Speaks: God's Message To The World"; adalah murtad;
(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang -
(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan
berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-
ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World";
(b) mencetak, menerbitkan, memiliki,
menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan
buku "Hadis Satu Penilaian Semula," "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World"; atau mana-mana bahagiannya, termasuk –
(i) apa-apa bentuk, versi atau
variasinya;
(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa
bahasa;
(iii) apa-apa bahan publisiti yang
bertujuan memberikan publisiti
kepada mana-mana buku itu,pada atau
atas apa-apa bahan, sama ada bahan
cetak atau elektronik atau
selainnya atau melalui apa-apa
media; atau
(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana
Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan
atau mengembangkan kumpulan sedemikian."
Perniagaan adalah bidang yang menjanjikan pendapatan lumayan berbanding kerja makan gaji. Rasulullah s.a.w. selain berdakwah juga adalah seorang peniaga yang berjaya. Maka, mereka yang terlibat dalam perniagaan sebenarnya turut mengamalkan sunah baginda.
Bagaimanapun, dalam zaman kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), umat Islam tidak boleh bergantung kepada perniagaan berbentuk konvensional semata-mata.
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto ROY AZIS menemu bual Ketua Eksekutif Persatuan Francais Malaysia (MFA), Norol Azali Sulaiman bagi membincangkan potensi dalam perniagaan ini.
MEGA: Bidang francais adalah sesuatu yang baru bagi majoriti umat Islam. Ini menyebabkan ada tanggapan yang bidang ini hanya sesuai untuk golongan bukan Islam. Benarkah?
NOROL AZALI: Sebenarnya bidang francais ini mula bertapak di Malaysia sejak tahun 1940-an lagi. Kerajaan memperkenalkan Program Pembangunan Francais pada tahun 1994 dan penubuhan MFA pada tahun yang sama bagi merancakkan lagi perkembangan industri ini.
Setakat ini, terdapat 26 peratus Melayu yang terlibat dalam sistem francais halal di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD).
Apabila bercakap tentang francais, tumpuan masyarakat ialah kepada premis makanan segera sedia ada yang terkenal di negara kita.
Sebenarnya, bidang ini bukan sahaja terhad kepada produk makanan dan minuman. Skopnya adalah lebih luas meliputi perkhidmatan, kesihatan, pakaian, perhotelan dan pendidikan.
Francais adalah salah satu kaedah untuk menjayakan hidup dan Rasulullah ada bersabda, sembilan persepuluh rezeki datangnya daripada perniagaan. Soalnya, kaedah perniagaan yang bagaimana yang perlu kita ceburi.
Francais adalah kontrak atau perjanjian pemasaran antara dua pihak. Ia juga adalah perkongsian risiko antara kedua-dua pihak terlibat.
Pemilik asal (Francaisor) memberi hak dan tanggungjawab kepada francaisi untuk menjalankan perniagaan menggunakan sistem, jenama, kawasan tertentu dan jangka masa tertentu iaitu minimum lima tahun seperti yang ditetapkan dalam Akta Francais 1998.
Bagaimanakah umat Islam boleh memanfaatkan sistem francais dalam mengukuhkan ekonomi?
NOROL AZALI: Sistem ini adalah satu kaedah yang lebih mudah untuk menguruskan sesuatu perniagaan. Walaupun tidak semestinya semua peserta itu berjaya. Namun, ia menyediakan sistem untuk diguna pakai sekali gus keluk dan tempoh pembelajarannya lebih mudah.
Secara tidak langsung usaha pihak kerajaan untuk menggalakkan serta melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera muslim melalui sistem perniagaan ini akan memberi impak serta kesan menyeluruh kepada pembangunan ummah, ini meliputi pembangunan usahawan, pengguna seterusnya meningkatkan ekonomi Negara.
Contohnya di Malaysia, salah satu sistem francais yang agak berjaya ialah Hotel Seri Malaysia. Melalui jenama ini, konsep percutian dan penginapan berasaskan Islam dapat dipromosikan. Sebabnya, hotel tersebut tidak menyajikan alkohol dan juga tidak menyediakan hiburan yang bertentangan dengan cara hidup seorang muslim. Konsep ini seterusnya dikembang dan peluang perniagaan melalui francais dibuka kepada usahawan – usahawan baru.
Jika ini dapat dikembangkan ke negara-negara islam yang lain mahupun pasaran antarabangsa, sudah pasti konsep perhotelan begini boleh dimajukan serta dipromosikan sebagai alternatif kepada pelancong – pelancong di kalangan masyarakat Islam. Ia juga selaras dengan usaha kerajaan menjadikan negara sebagai hab halal dunia.
Timbul juga persoalan beberapa francais ini menyumbang kepada gerakan Israel dan Amerika Syarikat. Adakah ini antara penyebab umat Islam kurang menceburi bidang francais?
NOROL AZALI: Memanglah apabila hendak mendapatkan hak francais kita terpaksa membayar yuran francais dan royalti ke luar iaitu negara yang mengasaskannya. Maksudnya, daripada RM1 yang kita belanjakan, mungkin satu sen dimasukkan ke dana negara yang berkenaan.
Inilah juga faktor mengapa timbulnya suara-suara supaya umat Islam memboikot francais tertentu. Namun, soalnya, mampukah kita memboikot produk-produk tersebut kerana ia telah menjadi gaya hidup moden masyarakat kini. Kita tidak boleh lari daripada jenama besar seperti Kentucky Fried Chicken (KFC) dan juga McDonalds.
Sebagai umat Islam, sepatutnya kita mencari alternatif atau jalan keluar kepada masalah ini, bukannya melarikan diri daripadanya.
Dalam perniagaan di mana ada masalah di situ ada peluang. Mengapa tidak kita menjadikan kekangan itu sebagai peluang untuk kita mengeluarkan produk yang sama menggunakan jenama Malaysia.
Kita sebenarnya mempunyai potensi untuk maju dalam bidang ini. Sebabnya, nama negara memang diiktiraf sebagai antara pengeluar produk makanan halal yang tidak perlu dipertikaikan lagi.
Dengan jumlah umat Islam kira-kira 1.6 bilion di dunia, sebenarnya prospek pasaran bagi produk tempatan ke peringkat antarabangsa adalah amat luas.
Antara usaha yang giat dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan koperasi (MeCD) ialah mewujudkan Malaysia Kitchen yang menyediakan makanan halal di semua destinasi utama rakyat Malaysia.
Antara perkara pokok yang menghalang berkembangnya usahawan Muslim ialah modal. Bagaimanakah MFA membantu dalam hal ini?
NOROL AZALI: MFA bertindak sebagai pusat maklumat selain mengkoordinasi kemudahan dan infrastruktur untuk pertumbuhan bidang ini di peringkat kebangsaan, serantau mahu pun antarabangsa.
Bantuan dari segi modal disediakan di bawah (MECD). Ada beberapa skim disediakan kepada bakal francaisor dan francaisi.
Bagi francaisor ada dua skim iaitu SKIM Bantuan Pembangunan Francais (SBPF) DAN Program Pembangunan Produk Francais Tempatan (PPPFT). Bagi SBPF kerajaan menyediakan geran maksimum RM100,000 manakala PPPFT ditawarkan kepada produk yang telah dikenal pasti berdaya maju untuk dibangunkan secara francais.
Bagi francaisi pula, kementerian melalui Perbadanan Nasional Berhad (PNS) menyediakan pinjaman sehingga 90 peratus modal permulaan. Yuran ke atas pinjaman pula dikenakan empat peratus.
Pada masa yang sama, pelbagai kursus turut diadakan untuk memberi kesedaran kepada umat Islam tentang sistem ini.
Yang terdekat, MFA akan menganjurkan Pameran dan Persidangan Antarabangsa Francais Malaysia 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 2 hingga 5 Ogos ini.
Lebih 100 gerai pameran akan dibuka dan peserta juga berpeluang berinteraksi dengan mereka yang terlibat secara langsung dalam perniagaan ini.
Pendek kata, ia menjadi pusat sehenti mendapatkan pelbagai maklumat tentang francais.
Apakah contoh sistem francais selain makanan yang berjaya di negara kita?
NOROL AZALI: Antara yang sedang berkembang ialah Ar-Rahnu iaitu pajak gadai Islam yang dijalankan oleh Bank Rakyat. Cabang ini mempunyai potensi yang sangat besar kalau kita dapat membetulkan tanggapan umum yang malu untuk memajak barang kemas mereka tetapi tidak malu meminjam di bank.
Kita juga boleh mengambil kesempatan daripada Tahun Melawat Malaysia untuk membangunkan perkhidmatan pelancongan Islam. Ini kerana Malaysia sejak kebelakangan ini menjadi tumpuan pelancong dari Timur Tengah.
Kita mahu syarikat pelancongan yang membawa mereka ke masjid apabila tiba waktu solat serta ke kedai Muslim untuk makan tengah hari dan sebagainya.
Satu lagi bidang yang boleh diceburi oleh umat Islam ialah pendidikan terutama tadika. Antara yang berjaya ialah NUH’S ARK. Selain itu, Saba Islamic Media juga dilihat kedepan dalam hal ini.
Bidang ini bukanlah terlalu sukar sebab apabila membicarakan bab agama, modul Islamnya tetap sama bersandarkan al-Quran dan hadis.
Dalam aspek perbankan Islam misalnya, negara kita memang telah diiktiraf. Malah negara-negara Arab pun turut mengkaji pelaksanaannya. Ada baiknya kita memfrancaiskan sistem ini dan diguna pakai di negara-negara OIC.
Apakah cabaran-cabaran yang ada dalam membangun industri francais kepada umat Islam?
NOROL AZALI: Cabaran utama adalah soal pendidikan. Bakal-bakal usahawan dinasihati mendalami ilmu berkaitan industri ini sebelum menceburi perniagaan ini. Selepas itu barulah segala tanggapan negatif terhadap bidang ini dapat diperbetul terutama perkara negatif yang bermain di fikiran mereka
Selain itu, masih ramai usahawan atau bakal usahawan yang tidak menggunakan sepenuhnya skim yang diperkenalkan oleh kerajaan dan agensi di bawahnya.
Dari segi pasaran halal, cabaran Malaysia ialah memerlukan penyelidikan dan pembangunan dalam usaha menjadikan negara sebagai halal Hab Serantau.
Kemampuan orang Melayu dalam bidang ini terutama modal adalah terhad. Sebab itu, kita perlu mengusahakan francais yang bersaiz kecil dan sederhana
Golongan begini memang ada tetapi yang perlu dibaiki ialah dari segi kualiti dan standard barang yang diniagakan.
Dengan kata lain, kita memerlukan Pelan Induk Francais untuk menyahut seruan kerajaan menjadikan Malaysia sebagai Hab Francais.
PERBINCANGAN secara terbuka yang diamalkan Othman Mohamed (kanan) dan Saadah Taib dengan kakitangan Blue-T Communications Sdn. Bhd. banyak kelebihannya.
MUKADIMAH MENGECAP kejayaan selepas siri jatuh bangun sudah pastinya cukup bermakna sekali gus menjadi pemangkin semangat dan batu loncatan untuk terus tabah mengharungi dunia perniagaan.
Hakikatnya, selagi ada kemahuan di situ ada jalan malah sebagai insan yang mengakui kekuasaan Allah s.w.t., kita hanya perlu perbanyakkan usaha kerana hasilnya hanya kehendak-Nya jua.
Berbekalkan kerja keras, persefahaman dan keyakinan diri inilah telah membawa kejayaan kepada pasangan suami isteri lulusan University of Louisiana, Lafayette Amerika Syarikat (AS), Othman Mohamed dan Saadah Taib yang berusia 43 tahun dalam mengukuhkan syarikat pengiklanan, percetakan dan penerbitan serta berusaha gigih membina rangkaian Blue-T Communications Sdn. Bhd.
Ikuti wawancara wartawan, ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, AHMAD ZHAFARAN NASIB dengan anak kelahiran Johor di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, tentang jerit perih dan perancangan masa depan beliau dalam dunia perniagaan.
UTUSAN MALAYSIA: Saudara mengatakan apa yang dikecapi kini ialah setelah mengharungi pelbagai cabaran. Boleh saudara ceritakan penglibatan awal dalam dunia perniagaan?
OTHMAN: Semuanya bermula sekembalinya saya dan isteri dari luar negara selepas tamat pengajian di universiti yang sama pada 1987.
Kebetulan pada masa itu berlaku kegawatan ekonomi dan kami dibebaskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.
Perniagaan pertama yang kami usaha ialah membuka pusat fotokopi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Alhamdulillah, dengan modal pemberian bapa serta minat selain pengalaman mengendalikan koperasi masjid di AS.
Ia adalah satu bisnes yang memenatkan kerana setiap hari rutin saya, isteri dan seorang anak yang dilahirkan di AS bermula seawal pagi hingga lewat malam. Apa tidaknya dengan ketiadaan kenderaan sendiri, kami terpaksa menaiki bas yang pertama dan pulang menggunakan bas yang terakhir.
Masalahnya berniaga dalam kawasan universiti ini, apabila mereka cuti bermakna tidak adalah pendapatannya. Bila dikira-kira dalam setahun, tempoh para pelajar ini bercuti lebih kurang lima bulan.
Bermula 1990, saya mempelajari selok belok bidang percetakan selama lebih kurang setahun sebelum menjual kedai di UTM. Saya mula ambil ‘job’ yang mudah-mudah seperti membuat kepala surat (letter head), kad nama dan lama-kelamaan, perniagaan semakin baik. Saya pun mula mengambil pekerja untuk mengendalikan operasi di Taman Melawati.
Sekali lagi saya mendapat modal daripada bapa dan wang tersebut dibeli mesin cetak dan komputer. Perniagaan ini mula berkembang di mana saya mengambil pereka grafik dan mula mengambil ‘job’ pengiklanan seterusnya membuat cenderamata. Kemudiannya membeli mesin yang lebih besar.
Ini bermakna saya telah mempunyai tiga buah mesin dan berpindah pula ke dua lot kedai di Taman Perindustrian Bolton, Baru Caves sekitar 1996.
Sayangnya sedang kami rancang berkembang sekali lagi negara mengalami kegawatan ekonomi iaitu pada 1998. Saya terpaksa menjual mesin cetak, tutup bahagian percetakan dan memberhentikan pekerja yang sudah mencecah 26 orang.
Dengan kesetiaan beberapa staf bahagian grafik, saya bangkit semula biarpun dengan ‘kosong’ pada 2000. Pada 2003, apabila kerajaan mula menggunakan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik, saya masuk tender dan berjaya membekalkan buku teks Sains Tahun 1 dan 2. Pada tahun berikutnya membekalkan Sains Tahun 3.
Di situlah kami mula bernafas kembali dan membina perancangan untuk terus berkembang dalam industri penerbitan.
Sehingga kini apakah penerbitan yang saudara banggakan dan paling bermakna?
OTHMAN: Blue-T Publication Sdn. Bhd. adalah anak syarikat Blue-T Communications Sdn. Bhd. yang dimiliki 100 peratus Bumiputera. Kami juga berdaftar dengan Kementerian Kewangan serta memiliki Lesen Kementerian Kewangan dan Lesen Taraf Bumiputera dari Kementerian Kewangan Malaysia.
Pencapaian Blue-T dalam bidang penulisan, penerbitan dan pengedaran terbukti dengan penghasilan buku-buku teks di peringkat sekolah rendah dalam subjek Sains, Kementerian Pelajaran Malaysia di mana pernah terpilih sebagai penerbit buku teks Tabika Perpaduan, Tadika JAIS dan Tadika Awam di seluruh negara semenjak tahun 1996 hinggalah sekarang.
Pada 2006, Blue-T Publication menerbitkan sebuah majalah berkala yang didaftarkan atas nama Ana Muslim, setelah membuat penyelidikan hampir setahun. Kemudian kami mula mengeluarkan barangan berjenama Ana Muslim seperti buka nota, butang, rantai kunci, kemeja T dan banyak lagi.
Pada 2007 diterbitkan pula majalah Sayang Muslim. Kedua-dua penerbitan ini mempunyai permit dari Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN). Majalah ini disasarkan kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dengan mesej membentuk peribadi mulia.
Apakah perancangan saudara dalam dunia perniagaan ini?
OTHMAN: Memandangkan kini kerajaan giat mengusahakan Kempen Membaca, jadi kami sebagai pengeluar bahan bacaan berhasrat menyahut seruan dan perkara ini diakui memerlukan didikan awal terutamanya daripada ibu bapa.
Saya juga sedang berusaha membekalkan buku-buku import kepada institusi pengajian tinggi terutamanya buku-buku berbentuk ilmiah dan teknikal. Saya berharap akan muncul sebagai pembekal utama buku-buku import.
Saya juga sedang merancang satu konsep kelainan dalam bentuk francais di mana pembeli boleh mendapatkan produk kami secara langsung. Ia secara tidak langsung membina sebuah rangkaian atau jaringan yang kukuh. Kami telah memilih dua lokasi untuk dijadikan projek percubaan iaitu di Desa Melawati dan Bangi.
Melihat kepada apa yang dilalui saudara dalam bisnes sebegini memang terbukti cukup mencabar, di manakah datangnya kekuatan itu?
OTHMAN: Sesungguhnya sebagai seorang Muslim kita kena percaya, rezeki itu datangnya daripada Allah. Maka sebagai umatnya kita kena berkeyakinan bahawa selagi ada usaha dan tawakal pasti ada ganjarannya.
Malah Baginda Rasulullah sendiri berjaya bergelar usahawan terbilang dalam dunia perniagaan.
Memanglah diakui tidak ada penerbitan yang membawa kepada keuntungan kecuali yang berbentuk hiburan. Namun, apabila kita membuat sesuatu yang dapat pulangan di dunia dan di akhirat itulah yang lebih menjadi keutamaan kerana setiap apa yang dilakukan di atas muka bumi ini kelak akan ditanya Allah s.w.t.
Di samping itu, sebagai seorang Islam kita diajar supaya bekerja secara yang terbaik. Tamadun Islam hebat kerana mereka pada masa itu bermatlamat kepada yang terbaik. Selepas itu berserah kepada Allah.
Di samping itu, saya amat bersyukur memperoleh sokongan dan keyakinan daripada bapa, keluarga isteri, kesetiaan staf, kerajaan dan pelanggan kerana merekalah syarikat yang diusahakan mampu bertahan.
Harapan saya semoga lebih banyak penerbit bumiputera lahir di Malaysia kerana industri buku ada tempatnya. Bagi saya tidak perlu berasa malu bertemu dengan penerbit yang lebih berpengalaman kerana itulah yang saya lakukan awal-awal dahulu.
Blue-T Communications Sdn. Bhd. boleh dihubungi menerusi talian 03-4149 4119 atau layari laman web www.bluetcom.net untuk sebarang pertanyaan.
"PENGALAMAN berada dalam situasi remaja dan menjalani kehidupan harian sebagai orang muda yang sentiasa suka berhibur, melepak di jalanan sambil menyanyi dan memetik gitar membuatkan saya cukup mengenali perasaan dan keinginan anak muda serta kaedah sesuai untuk mendekati mereka."
Demikian luahan Timbalan Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Kedah, Hafiz Mustafa Lubis, 35, yang juga Pengerusi Sekretariat Teras Pengajian dan Penghayatan Islam (Sehati) Kebangsaan.
Beliau yang sepanjang temubual membahasakan dirinya dengan panggilan 'ana' berkata, kebanyakan masyarakat terutama belia dan pendakwah sering membuat tanggapan salah mengenai kaedah penyampaian ilmu agama.
"Generasi muda sebenarnya cukup teringin dan suka untuk mendekati agama tetapi sering beranggapan sukar diterima ‘warga masjid’, manakala pendakwah pula beranggapan mereka tidak berminat untuk didekati.
"Kesalahan dalam membuat tafsiran inilah menyebabkan hubungan kedua-dua pihak ini menjadi renggang dan semakin sukar dirapatkan. Perkara ini perlu segera diatasi kerana hakikat yang sebenarnya, generasi belia berpotensi untuk menerima dakwah jika betul cara penyampaiannya," katanya.
Ustaz muda yang menerima pendidikan sekular sejak kecil hingga menamatkan alam persekolahan itu cukup percaya bahawa kaedah terbaik menyampaikan ilmu agama adalah menggalakkan pendakwah ‘turun padang’.
Baginya, pendakwah tidak wajar menunggu masyarakat mencari mereka tetapi pendekatan lama itu perlu ditukar dengan cara pendakwah pula perlu menemui khalayak supaya penyampaian ilmu itu menjadi lebih berkesan.
Bagi membuktikan komitmennya dalam melaksanakan kaedah itu, Hafiz memulakan siri jelajah ceramah di kawasan medan selera dan pada 2006, beliau berjaya mendapat tempat untuk menyampaikan ceramah di Medan Selera Baling.
"Itu hanya permulaan. Abim Kedah merangka untuk menjadikan siri ceramah sebegitu sebagai aktiviti tetap dan akan menjelajah ke lebih banyak kawasan terbuka seperti medan selera dan kawasan kunjungan ramai.
"Ini secara tidak langsung mampu membuktikan bahawa kaedah penyampaian dakwah secara terbuka mampu mendekatkan masyarakat kepada agama kerana untuk mengajak masyarakat ke masjid bukan perkara mudah. Justeru, pendakwah perlu turun padang," katanya.
Menceritakan latar belakang hidupnya, beliau sebenarnya tidak pernah menerima pengajaran formal dalam aliran agama ketika alam persekolahan, malah pada peringkat sekolah rendah beliau dihantar ke sekolah Inggeris sebelum menyambung pengajian ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Ayer Itam dan Sekolah Menengah Teknik Jalan Stadium, Alor Star.
Malah, selepas itu beliau menyambung pula pengajian di Institut Teknologi Mara (kini UiTM) Shah Alam selama tiga tahun bermula 1991 dalam bidang Pengajian Perniagaan sebelum menceburi bidang kerjaya di sebuah bank tempatan selama setahun.
Namun, siapa sangka hatinya terbuka untuk mendalami ilmu agama dengan memasuki Maahad Tarbiyah Islamiah Derang, Kedah pada 1995 hingga kini dilantik bekerja di situ sebagai Pendaftar. Itupun, kemasukannya ke situ selepas hampir tiga tahun membabitkan diri dengan Abim.
Hafiz berkata, beliau cukup meminati untuk menyertai Abim pada peringkat awal keaktifan dalam bidang dakwah kerana merasakan kaedah keterbukaan dan kesederhanaan diamalkan Abim cukup praktikal baginya.
"Di Abim, tiada perbezaan fahaman politik, tiada pengkhususan dalam pemakaian, tiada istilah taraf dan darjat, malah kaedah pendekatan kepada belia di Abim cukup bersantun.
"Namun, untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan ilmu agama, saya memasuki Maahad dan Alhamdulillah selepas beberapa tahun di sana, banyak yang saya pelajari dan dapat disampaikan pula kepada masyarakat," katanya.
Dengan merendah diri beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang pendakwah kini banyak didorong tunjuk ajar beberapa tokoh terkenal di Maahad Derang seperti Allahyarham Syeikh Niamat Yusof (bekas Tokoh Maal Hijrah Kedah), Syeikh Abu Bakar Awang, Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Annadwi dan Syeikh Abdul Majid Abu Bakar Annadwi.
Selain menggunakan pendekatan mendekati belia, beliau juga menggunakan kaedah teknologi terkini untuk menjadikan penyampaian dakwahnya lebih mudah difahami dan menarik untuk dipelajari semua peringkat masyarakat.
Antaranya, konsep penyampaian ceramah oleh Sehati menggunakan beberapa kitab terkenal seperti Fizilalil Quran dan Risalah Al-Mustarshidin yang biasanya disampaikan penceramah lain secara kuliah konvensional di masjid, namun Sehati menyampaikannya di dewan terbuka dan menggunakan tayangan slaid menerusi program komputer.
"Dengan cara ini kelompok yang menghadiri ceramah dapat mengaplikasikan deria mata dan telinga sekali gus di samping dapat belajar dalam suasana lebih selesa dan jelas kerana segala yang disampaikan dipertontonkan pula melalui slaid.
"Alhamdulillah, sehingga kini, Sehati sudah mempunyai tiga cawangan kuliah tetap iaitu di Kedah, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang menyampaikan ceramah secara percuma serta lebih menjurus kepada kelompok muda," katanya.
Anak bongsu daripada enam beradik itu juga menggunakan isu semasa dalam setiap ceramah mingguan dan bulanan yang disampaikannya secara individu kerana baginya, pendekatan itu membolehkan penyampaian ceramah menjadi lebih menarik dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
Beliau juga berulang kali menyatakan hatinya lebih cenderung mendekati kelompok belia terutama penagih dadah dan remaja bermasalah. Baginya, golongan itu pada hakikatnya boleh dilentur jika diberi perhatian sewajarnya.
"Boleh dikatakan, saya sudah pernah menyampaikan ceramah di hampir semua sekolah di Kedah. Biasanya, saya akan mengenalpasti remaja bermasalah, mengambil nombor telefon mereka dan menghubungi atau menghantar SMS untuk menunjukkan keprihatinan kepada mereka.
"Insya-Allah, jika selalu didekati dan diambil berat kebajikan mereka, lama kelamaan kelompok bermasalah ini akan berubah dan menerima apa saja yang hendak disampaikan kepada mereka," katanya.
Ketika ditanya apakah impiannya dalam menyebarkan dakwah, beliau berkata, azamnya pada satu hari nanti ialah untuk membuka sebuah pusat pembentukan akhlak yang sama konsep dengan satu pusat di Indonesia, di mana belia bermasalah berpeluang dipulihkan dengan memberi peluang belajar ilmu kemahiran dan kehidupan secara lebih holistik.
"Di pusat itu penyampaian dakwah tidak disampaikan secara menekan dan itu secara langsung tidak menjauhkan mereka yang bermasalah daripada proses pemulihan kerana mereka berasa selesa dengan apa yang disampaikan," katanya.
Enak... produk keluaran Al-Amin Frozent Mart mensasarkan selera dan cita rasa pelanggan daripada semua peringkat umur.
Usia muda bukanlah faktor penghalang untuk berjaya. Namun ia menjadi kekuatan dalam menyahut cabaran setelah bertahun berniaga di pasar-pasar malam untuk mencari pengalaman sebagai seorang peniaga.
Detik-detik itu telah mengajar Mohd. Saifulnizam Noh, 26, erti keperitan hidup sebagai pengusaha makanan barat.
Berkat kesungguhan dan keyakinan di samping sokongan ahli keluarga, beliau memberanikan diri mengeluarkan modal bagi merealisasikan impiannya itu.
Kini, beliau boleh berbangga apabila impiannya menubuhkan syarikat yang berorientasikan daging lembu sejuk beku iaitu Nash-Co Farms Sdn. Bhd. tercapai.
Wartawan, MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK bersama jurufoto AZLI AHAD dan RAHMAN SALLEH menyelami rahsia kejayaan syarikat yang terletak di Batu Caves, Selangor baru-baru ini.
MEGA: Apakah maksud di sebalik nama Al-Amin Frozen Mart digunakan sebagai jenama syarikat pemasaran produk keluaran syarikat anda?
MUHD. SAIFULNIZAM: Al-Amin Frozen Mart membawa maksud amanah dan percaya dalam meniti kehidupan ini.
Syarikat ditubuhkan dengan matlamat untuk membantu masyarakat Islam khususnya di negara ini mendapatkan produk makanan sejuk beku yang berasaskan daging dan makanan halal, bersih lagi sihat.
Dorongan menceburkan diri dalam bidang ini adalah berikutan permintaan tinggi umat Islam terhadap proses penyediaan produk daging sejuk beku.
Ia meliputi proses ternakan lembu, corak pemakanan dan etika penyembelihan, pemprosesan sehingga daging dikilangkan selain cara menyimpan dan mengedarkannya.
Dengan dorongan ini saya melihat bidang industri daging halal sejuk beku ini mempunyai potensi untuk dibangunkan lebih-lebih lagi apabila diterajui oleh orang muslim sendiri.
Saya juga melihatnya sebagai ibadat selain berniaga untuk menyara kehidupan.
Apakah sejarah bermulanya perniagaan ini serta cabaran yang dihadapi sepanjang menceburi bidang ini?
MUHD. SAIFULNIZAM: Sebenarnya kami bermula dengan berniaga makanan barat dari sebuah gerai. Ia dibuka di pasar-pasar malam dengan hanya dua orang pembantu di Selayang.
Selepas beberapa tahun mengusahakan perniagaan tersebut, timbul minat terhadap produk makanan yang berasaskan daging lembu.
Pada masa yang sama, didapati bekalan daging tempatan tidak dapat memenuhi keperluan masyarakat. Disebabkan hal itu, harganya juga tidak stabil serta berlaku kekurangan bekalan lembu hidup yang diimport.
Atas faktor itu, saya menubuhkan syarikat ini untuk mengusahakannya secara serius. Bermula pada tahun 2003, saya menjelajah ke beberapa wilayah di China untuk meninjau peluang-peluang menjalinkan kerjasama dengan pengusaha dan pembekal di sana.
Hasil pemantauan itu, saya bertemu pembekal yang berkenaan. Hingga pada tahun 2005 kerjasama itu turut mendapat perhatian daripada Jabatan Haiwan Malaysia dan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) yang memberi kelulusan dan kebenaran untuk syarikat saya mengimport lembu-lembu hidup dan daging sejuk beku dari China.
Bagaimanapun, saya hanya memfokus kepada import daging lembu sejuk beku sejak tahun 2006. Sebabnya, kos operasi mengimport lembu hidup adalah terlalu tinggi. Tambahan pula persiapan untuk proses pengoperasian menyukarkan pihak saya dan mengambil masa yang terlalu lama.
Pada mulanya saya terpaksa berusaha mencari pasaran. Alhamdulillah dengan perancangan yang rapi saya berjaya mengembangkan perniagaan ini sebagai pembekal dan pemborong daging lembu sejuk beku.
Kini produk Nash-Co Farms mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan khususnya para peniaga, pengusaha makanan, restoran dan pengusaha industri.
Apakah perancangan Nash-Co Farms untuk meningkatkan pasaran daging lembu sejuk beku ini?
MUHD. SAIFULNIZAM: Bagi menambah nilai produk serta meningkatkan pasaran, syarikat merancang untuk mengeluarkan produk makanan segera berasaskan daging lembu.
Dengan itu, syarikat telah melancarkan produk pertama iaitu bebola daging lembu tulen dengan jenama Al-Amin Frozent Mart..Beefball. Alhamdulillah, produk ini diterima baik oleh pelanggan. Rata-rata pelanggan yang ditemui mengatakan produk ini mempunyai rasa yang enak.
Ini memberi saya suatu semangat dan harapan untuk melangkah lebih jauh dalam industri pemprosesan makanan halal bagi memenuhi pasaran tempatan dan luar negara.
Apakah hala tuju syarikat dalam industri ini?
MUHD. SAIFULNIZAM: Seperti apa yang diperkatakan, syarikat memfokuskan kepada mencapai kejayaan mengikut kapasiti dan keupayaan sendiri.
Asas dan misi perniagaan adalah menawarkan produk daging lembu halal. Di sini saya dan syarikat sedang meneroka ke arah mempelbagaikan produk dengan kerjasama daripada pengusaha syarikat lain.
Bagaimana perkembangan syarikat dan persaingan dengan produk jenama lain?
MUHD. SAIFULNIZAM: Sehingga tahun 2006, prestasi syarikat adalah baik. Walaupun tahun ini memberi pulangan yang baik namun ia tetap memerlukan suntikan modal untuk memperluaskan pasaran.
Sebagai pengusaha baru di Malaysia, persaingan memang hebat. Ini kerana kebanyakan peneraju adalah kalangan yang telah menguasai pasaran dengan kekuatan modal yang besar.
Syarikat turut bersaing dari segi harga dan menawarkan pelbagai insentif. Kami mengimport daging lembu sejuk beku dari Shandong, China kerana kualitinya yang agak tinggi.
Produk Al-Amin Frozent Mart..Beefball pula adalah produk premium yang menitikberatkan kualiti dan cita rasa tetapi dijual pada harga yang berpatutan.
Apakah perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat selain produk daging lembu sejuk beku?
MUHD. SAIFULNIZAM: Selain membekal dan memasarkan produk daging lembu sejuk beku, kami juga membantu dalam mewujudkan peniaga-peniaga baru dengan memberi khidmat nasihat untuk menceburi bidang ini.
Kami juga menawarkan perkhidmatan mendirikan bilik sejuk, membekalkan freezer dan chiller dan produk-produk lain seperti kambing, ayam dan ikan.
Bagi mereka yang berminat untuk berniaga makanan barat, kami juga menyediakan kemudahan pengurusan persiapan makanan.
Apakah petua menjadi usahawan muda dalam usia 26 tahun?
MUHD. SAIFULNIZAM: Perniagaan bukan satu bidang yang baru. Malahan ramai pengusaha dari pelbagai kaum telah menceburi bidang ini. Apa yang perlu dilakukan ialah memperkenalkan beberapa konsep dan pendekatan baru untuk merancakkan industri ini.
Pada saya, prinsip percaya usia bukanlah faktor penghalang atau penentuan berjayanya menjadi usahawan. Asas yang membuatkan saya berjaya adalah kerana kebiasaan diri melakukan beberapa perkara dalam waktu yang sama.
Dalam berniaga, saya juga belajar dan mengembara mencari ilmu yang boleh membantu saya dalam kehidupan.
Sebagai contoh, kita harus menghormati usahawan bumiputera yang telah berjaya dengan menjadikan kejayaan mereka sebagai panduan.
Bergelar anak muda yang maju dalam industri ini membawa pelbagai dimensi. Apakah panduan yang digunakan untuk berjaya di dalam perniagaan?
MUHD. SAIFULNIZAM: Sebagai anak muda, saya akui mempunyai tanggungjawab yang besar dan berat. Apabila menceburkan diri di dalam perniagaan, saya turut mewakili diri saya, keluarga, bangsa dan negara.
Saya tidak mahu gagal kerana tidak mahu dianggap bangsa yang tidak konsisten. Apabila saya berada di China umpamanya, rakan di sana melihat saya sebagai orang Malaysia dan bukan hanya seorang individu. Maka setiap tindak tanduk saya dianggap sebagai wakil Malaysia.
Oleh yang demikian, saya menyokong hasrat kerajaan dalam meningkatkan modal insan supaya lebih ramai anak muda menyahut cabaran global ini.
Bagi saya, kejayaan adalah relatif dalam kehidupan. Kejayaan dari segi material adalah tidak bererti tanpa moral, fizikal dan kesihatan yang baik.
Hubungan yang baik di antara pembekal dan pelanggan penting dijaga untuk keuntungan bersama.
Mereka yang berminat menjadi pengedar produk syarikat Nash-Co Farms Sdn. Bhd. boleh menghubungi talian 03-42578725 atau 012-3087579.
NADIAH Amirah Jamil menunjukkan piala yang dimenanginya dalam aktiviti kokurikulum.
BELAJAR secara berjadual dan fleksibel merupakan rahsia pencapaian cemerlang Nadiah Amirah Jamil, 18, sebagai pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2006 dengan memperoleh 19 A.
Lebih-lebih lagi, beliau terpaksa belajar sendiri lapan mata pelajaran tambahan yang diambil bagi mencapai impian memecahkan rekod idolanya, Nur Amalina Che Bakri yang mendapat 17 1A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004.
Lapan mata pelajaran tambahan yang terpaksa beliau belajar sendiri ialah Ekonomi Asas, Tasawwur Islam, Pendidikan al-Quran as-sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, Sains, Geografi, Sastera dan Perdagangan.
Sebelas lagi mata pelajaran yang diambil ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Sejarah, Pendidikan Islam, English For Science and Technology (EST) dan Prinsip Perakaunan.
“Sepatutnya saya nak ambil 21 subjek tetapi ibu melarang kerana katanya 19 subjek sudah cukup membebankan,’’ katanya. Menyedari mata pelajaran yang diambil bukan calang-calang jumlahnya, pelajar pintar ini terpaksa menyusun jadual secara teliti agar tidak ada satu pun mata pelajaran yang diambil akan ketinggalan dan tercicir dari segi penumpuan.
Anak sulong daripada tiga adik-beradik kepada pasangan guru, Jamil Omar, 55, dan Zakiah Zakaria, 51, ini memberitahu, bagi mengimbangi jadual pembelajaran hariannya yang cukup ketat, beliau akan memberi penekanan yang lebih kepada matapelajaran utama atau penting.
Beliau berkata, bagaimanapun, penekanan kepada mata pelajaran penting ini pada ketikanya akan diubah sekiranya dirasakan perlu dilakukan setelah membuat penilaian terhadap semua pencapaian mata pelajaran dalam peperiksaan penggal.
Katanya, selepas melihat keseluruhan pencapaian, biasanya beliau terpaksa mengubah jadual dengan memberi penekanan pula kepada mata pelajaran yang mengalami kemerosotan.
Tambah Nadiah, beliau perlu memastikan setiap mata pelajaran mencapai keputusan yang seimbang.
“Ini penting bagi menentukan saya boleh mencapai keputusan A1 dalam semua mata pelajaran yang diambil dan jika boleh mencatat markah 100 peratus,” katanya.
“Apabila berlaku keputusan markah yang kurang seimbang tersebut, saya akan mengubah semula jadual belajar iaitu memberi penekanan kepada mata pelajaran yang mengalami kemerosotan,” katanya ketika ditemui MEGA di rumahnya di Kampung Sungai Tongkang Tambak, Batu Pahat, Johor.
Nadiah memberitahu bermula dari tingkatan empat dan percubaan peperiksaan SPM, beliau berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam hampir kesemua mata pelajaran kecuali pernah menghadapi masalah di peringkat awal dalam mata pelajaran perakaunan.
Beliau berkata, oleh kerana perakaunan merupakan satu bidang yang terlalu baru baginya dan ketika mula mengambilnya, keputusan awal tidak begitu memberangsangkan.
Namun beliau berjaya mencapai markah 100 peratus selepas berusaha lebih dan mengikuti kelas tambahan.
Katanya, bagi mata pelajaran yang terpaksa diambil secara sendiri, beliau mengakui banyak menerima bimbingan daripada guru-guru di sekolahnya termasuk ayahnya sendiri yang merupakan guru geografi di sekolahnya.
Di samping itu katanya, beliau melakukan perbincangan dengan rakan-rakan lain yang mengambil subjek yang sama bagi memantapkan lagi kefahamannya.
Nadiah mengakui beliau sebenarnya bukanlah tergolong sebagai pelajar yang mengambil waktu terlalu lama untuk mengulangkaji mata pelajaran selepas waktu kelas di rumah.
Seperti remaja-remaja lain beliau juga turut menggunakan waktu lapang yang ada dengan membaca buku-buku di luar bidang akademik khususnya buku-buku motivasi dan dia amat meminati hasil karya Dr. H.M. Tuah serta buku-buku resipi masakan kerana Nadiah juga minat memasak.
Bagi Nadiah memasak mampu menjana otak untuk menjadi lebih kreatif dan beliau sudah pandai menyediakan nasi goreng untuk diri sendiri ketika di sekolah rendah dan mampu memasak untuk keluarga dan tetamu khususnya nasi ayam ketika berada di tingkatan satu.
Menyentuh mengenai cara belajar lagi, Nadiah memberitahu beliau lebih memberikan tumpuan ketika berada di kelas dan seboleh-bolehnya menyelesaikan masalah yang ada ketika itu juga dengan bimbingan guru-guru.
“Saya jarang berjaga sehingga larut malam untuk mengulangkaji pelajaran di rumah dan biasanya saya akan masuk tidur tepat jam 11 malam,'' katanya.
Bagaimanapun, Nadia mengakui beliau akan bangun lebih awal iaitu kira-kira jam 3.30 pagi untuk bersolat sunat terlebih dahulu, menghafal al-Quran sambil menunggu waktu solat subuh dan kemudian bersiap-siap ke sekolah.
Beliau mengakui melakukan mind setting amat penting bagi mengekalkan tumpuan kepada pelajaran dan pengajaran guru di kelas.
Katanya, apa pun kesulitan termasuk gangguan mengantuk ketika belajar dapat diatasi jika seseorang pelajar mampu menguasai pemikirannya.
“Jika kita kata kita mengantuk, maka kita akan jadi mengantuklah... dan begitulah sebaliknya,” katanya yang mengakui suatu ketika dahulu pernah menjadi seorang gadis yang kuat tidur sehingga mendapat gelaran ‘Ratu Tidur’ di kalangan rakan-rakan sekelasnya gara-gara pernah tertidur dalam kelas dan ketika menjawab soalan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).
Kejayaan dan kecemerlangan Nadiah juga banyak dibantu dengan keyakinannya terhadap kekuatan dan keupayaan menghafal ayat-ayat suci Al-Quran.
Beliau yakin membaca dan menghafal kitab tersebut merupakan kaedah yang baik untuknya untuk sentiasa dapat berfikir dan bertindak secara lebih tenang dan mudah membuat hafalan.
Oleh itu katanya, beliau berusaha menghafal Al-Quran sejak di tingkatan satu dan menjadi amalan hariannya sehingga kini, walaupun dilakukan secara sedikit demi sedikit.
Nadiah kini telah berjaya menghafal lapan surah antaranya Yasin, Al-Mulk, Ar-Rahman, Al-Sajdah, Al-Waqiah dan Luqman.
“Saya menyimpan cita-cita untuk menghafal kesemua juzuk dalam al-Quran kerana yakin ia mampu memberi ketenangan dan menguatkan ingatan,” katanya.
Bersesuai dengan keyakinan terhadap ajaran Allah dapat mambantunya berjaya dunia dan akhirat, Nadiah juga menjadi seorang yang sangat pemilih terhadap persekitaran khususnya muzik yang perlu didengarnya setiap hari untuk menghilangkan kebosanan atau tekanan.
Nadiah mengakui beliau banyak mendengar lagu-lagu nasyid yang baginya sesuai untuk membentuk jiwa seseorang menjadi lembut dan amat meminati Kumpulan Raihan.
“Jika kita sentiasa terdedah dengan lagu-lagu bercorak keras, lama kelamaan jiwa kita juga akan menjadi keras,” katanya yang turut meminati Datuk Siti Nurhaliza dan berharap dapat bertemu dengan penyanyi pujaan ramai itu suatu hari nanti.
Jika mendapat kesempatan, Nadiah memberitahu, beliau berhasrat melanjutkan pelajaran di bidang farmasi kerana beliau mempunyai impian menjadi usahawan berjaya dalam bidang tersebut dengan membuka sebanyak mungkin rangkaian farmasi di dalam dan luar negara.
Katanya, beliau juga berharap dapat melanjutkan pelajaran di bidang farmasi di University of Cambridge, United Kingdom hingga ke peringkat kedoktoran falsafah (PhD) kerana beliau juga bercita-cita menghasilkan ubat yang mampu meningkatkan sel-sel neuron dalam otak manusia.
Nadiah menasihatkan pelajar-pelajar khususnya yang akan mengambil peperiksaan penting agar tidak mengambil jalan singkat untuk berjaya.
Katanya, sikap suka meniru juga merupakan tabiat yang sangat buruk dan boleh menyebabkan sesuatu bangsa itu akan mundur.
“Ingat... di sebalik kesulitan ada kemudahan dan kejayaan itu sangat manis,'' katanya.
Beliau juga mengakui belum mempunyai teman lelaki istimewa kerana baginya ia tidak perlu ketika masih di bangku sekolah kerana tanggungjawab seorang pelajar adalah menuntut ilmu.
Katanya, ketika ini kasih sayang ibu bapa, adik-beradik, guru-guru dan rakan-rakan sudah memadai.
“Saya mempunyai seorang kawan lelaki yang sangat rapat tetapi setakat ‘teman tetapi mesra’,” katanya sambil tersenyum.
MOHD. Nasir Rustam dan isteri, Asni Mansor mengadakan Program Motivasi al-Quran ala Madrasah bagi mengelakkan para pelajar terjerumus dengan budaya lepak dan tidak berfaedah.
CUTI sekolah bakal berakhir kira-kira seminggu lagi. Ketika ini, ibu bapa sibuk membeli belah bagi persiapan terakhir persekolahan anak-anak.
Malah tidak dinafikan, keseronokan sepanjang musim cuti masih lagi terasa pada minggu-minggu awal menjejakkan kaki ke sekolah.
Bagi sesetengah pelajar, musim cuti sekolah dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan kemahiran diri dengan mengikuti kelas muzik, piano, lukisan dan sebagainya. Tidak kurang juga, ada ibu bapa yang mengambil kesempatan menghantar anak-anak mereka mengikuti kem cuti sekolah atau program berbentuk keagamaan.
Pengisian pelbagai aktiviti dan program sepanjang cuti sekolah dapat mengelakkan anak-anak terjebak dengan masalah sosial yang semakin meruncing saban hari. Kesibukan ibu bapa dan anak-anak ditinggalkan di rumah tanpa pemantauan boleh mendorong penglibatan mereka dengan aktiviti tidak bermoral.
Menyedari hakikat itu, pasangan suami isteri yang gigih mengusahakan Pusat Pengajian Islam Tahsin al-Quran Training Centre, Mohd. Nasir Rustam al-hafiz, 33, dan Asni Mansor al-hafizah, 30, mengambil kesempatan mengadakan Program Motivasi al-Quran ala Madrasah.
Program yang memasuki tahun ketiga itu menerima sambutan menggalakkan daripada ibu bapa. Rata-rata ibu bapa meminta agar disediakan tempat penginapan sepanjang program. Program ini diadakan pada 27 November hingga 22 Disember 2006 di Sekolah Agama KAFA Integrasi Taman Jasmin, Kajang, Selangor.
Tahun ini seramai 35 peserta terlibat dan kebanyakannya dari sekitar Selangor.
Menurut Mohd. Nasir, penekanan program ini bukan sahaja kepada bacaan dan hafazan al-Quran tetapi penerapan nilai-nilai positif agar mereka memiliki motivasi diri yang tinggi dan berkeyakinan melalui kelas-kelas penampilan diri yang diadakan.
“Ada sesetengah peserta sebelum mengikuti kelas ini adalah seorang yang pemalu dan pendiam. Tetapi kami cuba mencungkil bakat mereka melalui kelas membaca puisi, renang dan kompang supaya mereka lebih berani ke hadapan.
“Kelas renang diadakan seminggu sekali dan diasingkan antara lelaki dan perempuan,” ujar beliau yang merupakan bekas pengetua sebuah sekolah tahfiz.
Tambah Asni, program yang diadakan secara tidak langsung dapat membantu golongan ibu bapa yang bekerja menguruskan aktiviti anak-anak mereka sepanjang cuti persekolahan. Pendedahan sedemikian dapat mengembalikan budaya penghayatan al-Quran dalam kalangan generasi muda dengan harapan dapat meneruskan pembacaan al-Quran di rumah.
Asni yang juga bekas penuntut Darul Quran berpendapat, pendidikan agama harus bergerak seiring dengan akademik bagi melahirkan insan yang bertakwa dan berakhlak. Bagaimanapun, kebanyakan ibu bapa lebih mementingkan akademik anak-anak berbanding didikan agama.
“Kita perlu menjadikan al-Quran sebagai cara hidup. Isi hati-hati mereka dengan ayat-ayat suci al-Quran sebelum melangkah lebih jauh lagi.
“Anak-anak kecil yang dididik dengan nilai-nilai agama lebih mudah menerima pendidikan akademik kerana hati mereka yang sudah dibersihkan,” katanya yang aktif mengadakan kelas mengaji al-Quran untuk dewasa, remaja dan kanak-kanak termasuklah saudara baru.
Bagi Mohd. Nasir, tenaga pengajar muda yang disediakan sepanjang program ini dapat meningkatkan motivasi diri mereka untuk menguasai bacaan dan hafazan al-Quran. Untuk mengelakkan remaja terlibat dengan gejala tidak sihat, beliau turut merancang untuk mengadakan kelas penghayatan al-Quran secara sambilan.
MALCOLM X menempuh kehidupan penuh berliku sejak dari kecil hinggalah riwayatnya ditamatkan dalam satu pembunuhan pada 21 Februari 1965. Walaupun menyedari bahawa perjuangannya sentiasa mengancam nyawanya, beliau tidak pernah mengaku kalah dan berputus asa.
Semangat perjuangan mengalir dalam darah dagingnya lantaran dibesarkan dalam persekitaran yang mementingkan perbezaan warna kulit dan darjat. Orang kulit putih pula sentiasa menyekat penduduk kulit hitam daripada berjuang menuntut keadilan.
Dedikasi Malcolm X kepada orang kulit hitam sama seperti ayahnya, Reverend Little di mana kekuatannya lahir setelah keluarga mereka sekian lama hidup ditindas. Rumah yang mereka diami pernah dibakar dan dilepaskan tembakan. Kemuncak kepada sengketa ini ialah apabila ayahnya ditembak mati oleh orang kulit putih ketika Malcolm berusia enam tahun.
Dengan warna kehidupan yang dilaluinya, Malcolm dibuang sekolah ketika berumur 15 tahun. Kemudiannya, Malcolm menyara hidupnya dengan membesar di jalanan dengan menjadi samseng, pencuri, penyeluk saku dan tali barut. Selama lima tahun bergelumang dengan dunia yang semakin merosakkan nilai-nilai positif dalam dirinya, Malcolm ditahan polis dan meringkuk di penjara hinggalah berumur 27 tahun.
Tujuh tahun di penjara sebenarnya mengubah diri Malcolm apabila beliau banyak belajar tentang erti kehidupan daripada Elijah Muhammad dari Nation of Islam. Apabila dibebaskan pada 1952, Malcolm adalah seorang individu yang berbeza dan bukannya seorang remaja jalanan yang membesar dalam ruang lingkup menyesakkan.
Sejurus dibebaskan, beliau pergi ke Detroit dan melibatkan diri dalam aktiviti taifah di bawah tunjuk ajar Elijah Muhammad. Komitmennya terhadap Nation of Islam menjadikan beliau amat dikenali di peringkat antarabangsa. Beliau seringkali muncul di kaca-kaca televisyen dan majalah serta menyampaikan ceramah di serata tempat termasuklah di universiti.
Walaupun Malcolm sering mengungkapkan kata-kata ketidakadilan orang kulit hitam di Amerika, kesaksamaan perkauman dalam Nation of Islam menghalang beliau menerima orang kulit putih dengan hati terbuka. Selama 12 tahun, beliau berkhutbah dengan menyatakan bahawa orang kulit putih adalah jahat dan Elijah Muhammad sebagai pesuruh Allah.
Tetapi malangnya, kebanyakan imej Malcolm pada hari ini difokuskan kepada kehidupan masa silamnya walaupun perubahan dirinya jauh berbeza dan menyampaikan mesej kepada warga Amerika.
Pada 12 Mac 1964, didorong oleh perasaan kurang senang dalam Nation of Islam dan perbuatan tidak bermoral Elijah Muhammad, beliau meninggalkan pertubuhan tersebut dan berhasrat untuk menubuhkan organisasinya sendiri.
“Saya seolah-olah seorang lelaki yang sudah tertidur terlalu lama dan dikawal oleh seseorang. Saya juga merasakan apa yang saya fikir dan hendak lakukan sekarang adalah untuk diri sendiri.
Sebelum ini, segala tindakan saya adalah di atas panduan orang lain tetapi sekarang saya berfikir dengan sendiri,” katanya yang meninggalkan Elijah Muhammad ketika berumur 38 tahun.
Setelah meninggalkan Nation of Islam, beliau menceritakan pengalamannya berucap daripada satu universiti ke universiti yang lain terutamanya apabila beliau didatangi sekumpulan pelajar yang memiliki kombinasi warna kulit putih yang memperkenalkan diri mereka sebagai Islam dari negara Arab, Asia Barat atau Afrika Utara yang tinggal dan belajar di Amerika Syarikat.
“Mereka berkata, walaupun ada pelbagai dakwaan saya mengenai orang kulit putih, mereka merasakan saya ikhlas dalam menyatakan bahawa saya adalah Islam dan mereka merasakan jika saya didedahkan kepada konsep Islam sebenar, saya akan lebih memahami dan tertarik padanya,” jelasnya.
Namun sebagai pengikut Elijah, beliau dihalang untuk ambil tahu apa yang mereka nyatakan. Tetapi secara peribadi, selepas mempunyai banyak pengalaman, beliau menyoal diri sendiri, jika ada seorang yang ikhlas mengaku akan agama mereka, kenapa kita menghalangnya daripada menyebarkan pengetahuan agamanya?
“Kebanyakan orang Islam yang saya temui menyuruh saya berjumpa dengan Dr. Mahmoud Youssef Shawarb. Beliau kemudiannya memperkenalkan saya kepada orang surat khabar. Dia sangat mesra.
“Katanya, dia mengikuti segala perkembangan saya melalui akhbar. Selepas berbual sekian lama, dia sempat berpesan kepada saya suatu perkara yang masih saya ingat hingga ke hari ini iaitu tiada lelaki percaya sempurna hingga dia memintanya untuk saudaranya apa yang diminta untuk dirinya.” ujar Malcolm X yang mendirikan rumahtangga dengan Betty X di Lansing Michigan pada 1958. Perkahwinan itu dikurniakan enam cahaya mata perempuan iaitu Attallah, Qubilah. Ilyasah, Gamilah serta kembar Malaak dan Malikah.
Rentetan itu, beliau menunaikan fardu haji ke Tanah Sudi Mekah. Malah pengalamannya mengerjakan haji di Mekah semakin membuka mindanya mengenai isu perbezaan warna kulit.
“Lautan manusia berkumpul di lapangan terbang dengan berpakaian putih dan semuanya kelihatan sama. Anda mungkin seorang raja atau petani tetapi tiada siapa yang tahu.
“Kemudiannya, kami melaungkan Labbaikallah (Allahumma) Labbayka dan bergerak memasuki kapal terbang bersama-sama dengan orang berkulit putih, bermata biru, rambut perang, berambut kerinting dan berkulit gelap-semuanya dalam satu kapal terbang! Saya melihat inilah kekuasaan Allah s.w.t.,” katanya.
Tambahnya, di negara Barat, secara spesifik orang kulit putih bermaksud tingkah laku dan tindakan terhadap orang kulit hitam termasuklah yang bukan berwarna kulit putih. Tetapi dalam dunia Islam, beliau melihat tiada perbezaaan antara kulit hitam dan kulit putih. Beliau menyifatkan setiap saat beliau berada di Tanah Suci sebagai pengalaman yang memberi pandangan berbeza terhadap isu perkauman antara kulit putih dan hitam.
“Saya diberi peluang mengerjakan fardu haji ke Mekah. Saya juga telah membuat tujuh pusingan Kaabah diketuai oleh seorang mutawwaf muda yang saya kenali sebagai Muhammad. Di Mekah, saya juga berpeluang minum air daripada telaga zam zam.
“Saya berlari tujuh kali pergi balik antara bukit Safa dan Marwa. Malah saya turut mendirikan solat di Madinah dan Bukit Arafat,” cerita beliau dalam suratnya kepada pembantu peribadinya mengenai pengalaman di Mekah.
Dalam surat tersebut juga, beliau menceritakan bagaimana mereka berkongsi makan daripada pinggan yang sama, minum daripada cawan yang sama dan tidur di atas katil yang sama dan sembahyang berjemaah bersama-sama. Tiada sesiapa yang ambil kisah tentang warna mata, rambut yang lurus atau kerinting serta warna kulit.
Buat pertama kali dalam hidupnya, beliau merasakan terlalu ikhlas dengan Muslim kulit putih seperti mana beliau menerima orang Islam Afrika yang tinggal di Nigeria, Sudan dan Ghana.
Pulang dari mengerjakan haji, Malcolm X dikenali dengan nama Islamnya sebagai El-Hajj Malik al-Shabazz yang muncul dari dalam dirinya semangat dan jiwa baru. Para wartawan berkulit putih menunggu untuk mengenali El-Hajj Malik dengan lebih dekat setelah sekian lama beliau berkhutbah mengenai orang kulit putih.
“Ibadah haji yang saya lakukan membuka pandangan saya dengan luas. Selama dua minggu di sana, saya dapat melihat apa yang tidak dapat saya kecapi selama 39 tahun di Amerika. Saya melihat pelbagai jenis warna kulit dan kaum hidup dalam satu komuniti dan menyembah kepada Tuhan yang satu.
“Tidak ada perasaan syak wasangka sebaliknya berinteraksi dengan baik antara satu sama lain,” katanya kepada wartawan kulit putih yang ditemuinya sekembalinya dari mengerjakan haji.
Beliau menyifatkan Islam mengubah pandangannya dalam melihat aspek agama, politik, ekonomi dan psikologi. Kebenaran yang diperoleh di Mekah membuatkan El-Hajj Malik menemui ramai rakan-rakan baru termasuklah penganut Kristian, Yahui, Buddha, Hindu, falsafah agnostik dan ateis.
Nilai-nilai kesejagatan yang dibawa El-Hajj Malik mengundang mimpi buruk bagi Amerika Syarikat. Beliau bukan sahaja dianggap sebagai daya tarikan orang kulit hitam tetapi golongan intelektual daripada pelbagai kaum dan warna kulit. Beliau dikenali oleh wartawan sebagai penyokong keganasan dan akan menjadi pengganas walaupun beliau dilihat mempunyai hubungan rapat dengan Dr. Martin Luther King 3.
Sebenarnya, beliau tahu tentang keadaan dirinya yang menjadi sasaran pelbagai kumpulan penentang tetapi tidak pernah gentar untuk berhenti bercakap tentang apa yang diingininya.
Dalam paragraf terakhir buku biografinya, beliau dipetik sebagai berkata: “Saya tahu kumpulan tersebut telah membunuh orang yang mahu melakukan pembaharuan untuk mengubah masyarakat. Dan sekiranya kematian saya mampu memberi harapan baru dan memusnahkan penyakit kanser perkauman yang menular di kalangan orang Amerika, ini adalah anugerah dari Allah s.w.t. Hanya kesilapan datangnya dari saya.”
MOHD. Razali Hussin bersama sebahagian gaun kanak-kanak hasil ilhamnya.
KEMAHIRAN menjahit yang diperoleh secara tidak formal menerusi pembacaan buku-buku berkaitan jahitan baju kanak-kanak dari Barat serta pembelajaran daripada isteri, Mumtaz Bee Abdul Rauf kini menjadikan Mohd. Razali Hussin antara pembuat pakaian kanak-kanak yang tidak kurang hebatnya di pasaran tempatan.
Malah kelainan rekaan ilham beliau membuatkan pelanggan sentiasa yakin dan puas hati dengan hasil kerja beliau. Ini ditambah pula dengan ketelitian beliau dalam aspek kualiti, kelainan corak serta harga yang berpatutan.
Anak jati Kota Bharu, Kelantan berusia 35 tahun ini memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah selepas mengambil keputusan muktamad berhenti kerja. Rezeki bapa kepada tiga orang anak ini tambah lumayan apabila beliau terjun ke dunia perniagaan kira-kira lapan tahun lalu. Mohd. Razali ialah lulusan bidang teknologi maklumat.
Ikuti temu bual wartawan ZUARIDA MOHYIN dan jurugambar ABDUL RAZAK LATIF dengan Mohd. Razali Hussin di tapak gerai beliau yang dibuka di Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Ceritakan bagaimana bisnes Sabrina Boutique and Craft bermula?
MOHD. RAZALI: Idea itu bermula selepas kelahiran anak sulung saya pada 1999 dan kebetulan nama yang kami beri kepadanya dirasakan bersesuaian untuk jenama perniagaan. Apatah lagi ini adalah perniagaan pertama saya.
Pada masa itu agak susah untuk saya mencari dan mendapatkan pakaian kanak-kanak yang sesuai dan berkualiti dengan harga yang berpatutan. Pada masa itu saya tercari-cari satu butik yang bukan sahaja menyediakan pakaian siap tetapi menerima tempahan pelanggan. Jadi dari situ timbul idea untuk mewujudkan produk pakaian kanak-kanak atas jenama Sabrina Boutique.
Apakah keutamaan produk saudara?
Selain menyediakan pakaian yang sedia siap dipakai, kami turut memberi keutamaan kepada tempahan pakaian. Ini memandangkan ada di kalangan pelanggan yang lebih suka corak atau rekaan pakaian yang berlainan dan tidak sama dengan orang lain.
Lantaran itu saya cuba mencari rekaan-rekaan corak yang pelbagai sama ada daripada buku-buku jahitan luar yang telah diberi nafas baru atau idea baru sendiri.
Alhamdulillah, biarpun kami tidak menggunakan premis tetap iaitu sekadar menyewa di beberapa buah tempat, tetapi ada pelanggan yang menghubungi kami untuk terus mendapatkan perkhidmatan daripada Sabrina Boutique.
Apakah cabaran saudara dalam dunia perniagaan semenjak bergelar usahawan?
Tujuh atau lapan tahun lepas saya tidak terasa sangat persaingan dalam perniagaan kerana tidak ramai yang sanggup membuat perniagaan sebegini. Ini kerana perniagaan yang saya buat ini terlalu remeh kerjanya. Misalnya, kita kena bermula daripada mencari kain sehinggalah mereka cipta sesuatu baju itu sampai selesai. Semuanya itu dilakukan dengan sendiri, jadi kerjanya agak cerewet dan tidak boleh berputus asa atau tergesa-gesa.
Namun, saya akui beberapa tahun kebelakangan ini, persaingannya agak banyak lebih-lebih lagi di pasaran ada banyak baju kanak-kanak siap dipakai yang diimport dari China dan berleluasa dipasarkan di negara ini.
Adakah dengan menghasilkan produk yang ada kelainan, maka persaingan akan berkurangan?
Ya, itu memang saya akui. Lazimnya, orang kita memang sukakan kelainan apa lagi corak dan rekaannya hanya satu atau tidak banyak. Di samping Sabrina Boutique, kami berkeyakinan bahawa penekanan kepada aspek kualiti fabrik, jahitan, rekaan corak dan kesanggupan mengikut kehendak pelanggan menjadi tarikan kepada pelanggan.
Apakah kelainan dan keistimewaan yang saudara sediakan untuk pelangan?
Keistimewaannya ialah keluaran kami boleh ditempah mengikut kesesuaian pelanggan. Contohnya, gaun smocking, pakaian untuk hari jadi, perkahwinan dan perayaan hari raya. Keutamaan kepada kualiti produk juga menyumbang kepada keunikan pakaian-pakaian di sini.
Mengapakah bidang perniagaan yang biasanya menjadi pilihan kaum wanita menjadi pilihan saudara?
Saya tidak berpendapat perniagaan ini patut diusahakan oleh kaum wanita sahaja. Bagi saya, apa sahaja bentuk perniagaan yang ingin diusahakan ia tidak bergantung kepada jantina seseorang tetapi apa yang lebih penting ialah kita kena ada minat dengan apa yang diusahakan selain kesabaran.
Walau bagaimanapun, saya beranggapan selain kriteria di atas, aspek kreativiti adalah satu bonus sekiranya ada.
Sebagai seorang usahawan muslim, berniaga bukan sahaja bermatlamat untuk diri sendiri tetapi dalam rezeki itu ada hak orang lain. Bagaimanakah saudara melihat hal ini?
Saya bersetuju dengan pandangan itu. Ia memang betul. Contohnya, harga produk kami masih ada konsep tawar-menawar agar tidak terlalu membebankan pengguna. Ia juga bergantung atas dasar tolak ansur sebab saya yakin kalau niat kita ikhlas dalam perniagaan, insya-Allah rezeki dan keluarga kita diberkati Allah.
Apakah ulasan saudara tentang 9/10 punca rezeki adalah menerusi perniagaan?
Sebagai seorang Islam saya memang percaya kepada konsep itu. Kalau tidak masakan saya menceburi bidang perniagaan. Malah banyak lagi kelebihannya iaitu saya dapat meluangkan masa untuk keluarga dan anak-anak.
SEBAHAGIAN kakitangan Sekolah Rendah Islam Al Amin dan Sekolah Rendah Islam An Najah bersama Norliza Musa (Pengetua) dan Norsazali Abdullah (dua dari kanan).
PENDIDIKAN yang tidak seimbang di antara rohani dan jasmani, dunia dan akhirat akan mewujudkan kemajuan yang tidak seimbang dari sudut material dan spiritual. Kesannya kini semakin dirasai biarpun manusia semakin maju namun masalah keruntuhan akhlak umat Islam semakin meruncing di negara ini.
Bertitik-tolak daripada rasa kebimbangan inilah, Norliza Musa, 34, terpanggil untuk mempraktikkan konsep kesepaduan dalam pendidikan Islam secara menyeluruh dalam usaha melahirkan insan yang maju dan cemerlang dari sudut spiritual dan sains teknologi.
Malah ibu kepada dua orang anak berumur lapan hingga 11 tahun ini merasakan tanggungjawab menyedia dan memastikan pelaksanaan pendidikan Islam khasnya kepada peringkat kanak-kanak adalah amanah yang mesti dipikul semua lapisan masyarakat. Ia bukannya satu amanah yang dipikul beliau seorang.
Lantaran itu, bagi merealisasikan hasrat itu, Norliza dengan sokongan padu suami, Norsazali Abdullah, 37, menubuhkan Sekolah Rendah Islam Al Amin di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor, awal 2006. Sebenarnya sebelum kelahiran sekolah di atas, pasangan ini telah menubuhkan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang dikenali Sekolah Rendah Islam An Najah pada tahun 2004.
Kata Norliza yang juga selaku Pengetua, sekolah yang menampung pelajar tahun satu hingga enam pada sesi pagi dan petang itu ditubuhkan kerana melihat kepada keperluannya yang semakin mendesak terutamanya kepada ibu bapa dan penjaga di kawasan Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa, Rawang.
“Biarpun di sini terdapat sekolah rendah agama kerajaan tetapi ia masih tidak dapat menampung kepadatan penduduk yang semakin bertambah. Dari situlah, saya rasa ini satu peluang yang tidak harus dipandang remeh, di samping hasrat memiliki sebuah sekolah persendirian adalah impian sejak bekerja lagi.
“Bila difikir-fikirkan, rasa macam tidak percaya apa yang telah saya kecapi sekarang. Ini kerana saya pada masa itu langsung tidak mempunyai modal mencukupi. Saya pergi ke Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) cuba-cuba bertanyakan prosedurnya. Rupa-rupanya tidaklah susah sangat, cuma kena menggunakan sukatan dan kurikulum JAIS.
“Selesai sudah satu peringkat. Seterusnya bagaimana hendak kumpul modal. Sungguhpun, pada masa itu, saya mengajar subjek pendidikan Islam di sebuah kolej swasta dan sambil-sambil itu mengajar kepada kumpulan dewasa yang terdiri daripada kaum ibu. Kalau hendak diikutkan, lima atau enam tahun menyimpan pun belum tentu mencukupi.
“Alhamdulillah, sumbangan individu (anak-anak murid) yang berminat dengan pendidikan Islam dicampur dengan simpanan peribadi akhirnya, dengan jumlah RM10,000 saya realisasikan segalanya,” cerita Norliza pada pertemuan yang dirancang beberapa hari awal di sekolahnya baru-baru ini.
Akui bekas pelajar Maahad Hamidiah, Kajang ini lagi, sebenarnya selain penubuhan sekolah itu menjadi impian yang terpendam lama, bidang perguruan juga merupakan salah satu yang beliau minati. Malah kejayaan menubuhkan dua sekolah tersebut, kata Norliza secara tidak langsung memudahkan dan memenuhi keperluan pendidikan Islam dan pembinaan sahsiah bersepadu masyarakat Islam khususnya di Rawang, Selangor.
Ditanya mengapa Rawang menjadi pilihan penubuhan sekolahnya, kata Norliza, menyedari ia sebuah kawasan yang kini sedang pesat membangun di Selangor ditambah pula kedudukannya yang terletak di antara daerah Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Selangor serta berhampiran dengan Kuala Lumpur.
Lokasinya yang strategik ini juga akui Norliza, dipengaruhi oleh kawasan kediaman, perumahan dan bandar-bandar baru yang semakin membangun. Selain itu, ia juga menyediakan tempat pendidikan alternatif bagi masyarakat Islam di kawasan itu menjalani proses pendidikan dengan lebih selesa dan sistematik.
“Kalau dilihat sekolah kerajaan yang ada sekarang, bilangan pelajar dalam satu-satu kelas mencecah 40 orang. Keadaan sebegini pastinya tidak menyediakan suasana yang kondusif sekali gus boleh menghilangkan tumpuan para pelajar. Di Sekolah Rendah Islam An Najah, saya mengehadkan seramai 20 pelajar dalam satu-satu kelas. Kalaupun ada 21 orang, saya akan pecahkan menjadi dua kelas.
“Matlamat kami, pelajar-pelajar ini dapat belajar dalam suasana yang selesa. Bilangan yang tidak ramai ini juga memudahkan perhatian guru kepada setiap pelajar. Secara tidak langsung, ia membantu dalam mengatasi masalah keciciran pelajar, pelajar yang agak lambat pencapaiannya serta bermasalah.
“Penekanan kepada konsep pembinaan akhlak dan sahsiah muslim melalui pendekatan psikologi ditambah kelas yang selesa dan berhawa dingin serta kemudahan surau, sudut bacaan, kantin, dewan pelajar serta kelas tuisyen jawi percuma pada hari Sabtu bagi pelajar yang lemah adalah antara keistimewaan yang diperoleh pelajar.
“Kami juga menyediakan tambahan kelas Iqra’ dan al-Quran, kemudahan pengangkutan bagi kawasan tertentu dan pakej transit. Para pelajar ini juga disediakan aktiviti tambahan seperti latihan harian solat, sambutan hari kebesaran Islam, lawatan sambil belajar, minggu bahasa Arab, kursus motivasi bagi calon peperiksaan, program tazkirah berkala, Hari Anugerah Cemerlang, kursus guru, Hari Keluarga dan banyak lagi,” ujar Norliza di mana An Najah menyediakan dua pilihan waktu persekolahan iaitu sesi pagi bermula 7.30 hingga 10.30 pagi manakala sesi petang 2.30 hingga 5.30 petang. Setengah jam pula diperuntukan untuk kelas tambahan Iqra’ dan al-Quran.
Kata Norliza lagi, pada tahun pertama penubuhannya, An Najah menerima 60 pelajar dan kini bertambah kepada 160 orang meliputi sesi pagi dan petang. Sokongan enam guru telah melancarkan pengendalian pelajar tahun satu hingga enam.
Menyentuh Sekolah Rendah Islam Al Amin pula, kata Norliza pengalaman Sri Al Amin dalam bidang pendidikan selama 22 tahun menyebabkan pihaknya bekerjasama dengan Sri Al Amin cawangan Gombak dalam usaha pengukuhan awal. Ia adalah sebuah sekolah rendah Islam swasta yang menyediakan bentuk pendidikan integrasi antara subjek akademik dan agama dalam satu sesi persekolahan. Ia berdasarkan sukatan Kementerian Pelajaran Malaysia dan JAIS.
Sehingga kini , pihaknya mempunyai 40 pelajar dari tahun satu hingga tiga. Di sekolah ini juga kami mengehadkan bilangan pelajar maksimum 25 orang bagi setiap kelas dan dikendalikan oleh guru-guru yang terlatih dan berpengalaman.
“Pengajaran al-Quran yang sistematik dan penekanan dalam penggunaan bahasa Inggeris, bahasa Arab dan tulisan Jawi sejajar usaha melahirkan pelajar yang cemerlang akademik dan akhlak agar melahirkan protaz iaitu profesional ustaz.
“Malah para pelajar ini berpeluang menyambung pendidikan menengah sama ada di sekolah menengah biasa dan berasrama penuh kerajaan atau sekolah menengah Islam swasta,” kata Norliza yang menolak tanggapan apa yang diusahakan ini bermatlamat keuntungan semata-mata.
Biarpun pelbagai cabaran yang dihadapi namun akui Norliza, dalam dua tahun ini pertolongan Allah ke atas usahanya cukup jelas. Ada sahaja yang dipermudahkan-Nya. Apatah lagi, sokongan padu ibu bapa yang sama-sama membangunkan sekolah. Semua ini menjadi pemangkin semangat malah beliau yakin sesuatu yang dilakukan atas niat ikhlas dan murni pasti memperoleh sokongan daripada Allah s.w.t.
“Melihat kejayaan para pelajar sama ada dari segi akhlak dan pencapaian akademik terubat walaupun penat. Sesungguhnya ganjaran pendapat bukanlah matlamat utama tetapi ini adalah satu ibadah demi memastikan anak bangsa menjadi generasi berakhlak dan berilmu.
“Kami di sini juga memberikan potongan yuran bulanan bagi pendaftaran dua orang atau lebih adik-beradik. Di samping itu, terdapat juga penganjuran program cuti sekolah seperti kelas Jawi, Iqra’, al-quran, tajwid dan bahasa Arab. Pihak sekolah kini membuka pendaftaran untuk tahun depan. Bagi yang berminat bolehlah menghubungi talian 019-691 6873 atau 012-260 9560.
“Alhamdulillah, sokongan suami sebagai penasihat serta sentiasa memberi idea memudahkan lagi perlaksanaan tugas di sekolah dan di rumah. Malah dengan sokongan semua pihak, saya merancang untuk mencari bangunan sendiri. Buat masa ini kami menyewa tingkat satu di mana tiga unit digunakan sebagai kelas dan selebihnya untuk menempatkan surau, kantin, sudut bacaan dan sembilan bilik darjah.
“Saya yakin dengan sokongan kuat selama ini daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), semua ini bakal termakbul. Malahan perancangan 2010 iaitu menubuhkan Sekolah Menengah Islam Al Amin tidak mustahil untuk berjaya dilaksanakan,” ujar Norliza mengakhiri perbualan petang itu.
ANTARA sampel produk perabot rumah dan landskap yang terdapat di bengkel Golden Wood Industries.
USAHA, ikhtiar dan tawakal kepada Allah s.w.t. menjadi kunci kejayaan bagi Shaharuddin Mahfudz untuk membina perniagaannya menerusi syarikat, Golden Wood Industries yang menawarkan produk kelengkapan rumah dan landskap berasaskan kayu.
Anak jati kelahiran Kampung Kanchong Darat, Banting, Selangor berusia 32 tahun ini memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di garaj kereta rumah ibu bapanya selepas berhenti kerja dari sebuah syarikat logistik di Shah Alam kira-kira lima tahun lalu. Berkat doa dan sabar menempuhi segala cabaran, akhirnya impian untuk memiliki bengkel sendiri terlaksana.
Wartawan, ZUNAIDAH ZAINON dan jurufoto, AMIR HAFIZ berkunjung ke bengkelnya di Jalan Masjid, Kanchong Darat, baru-baru ini untuk berkongsi pahit manis rencah dalam dunia perniagaan.
Apakah yang menjadi pendorong untuk anda melibatkan diri dalam perniagaan?
SHAHARUDDIN: Setelah mendapati syarikat tempat saya bekerja dilanda masalah, ramai pekerja mengambil keputusan untuk berhenti termasuklah saya yang ketika itu menyandang jawatan sebagai Eksekutif Operasi. Buat sementara waktu, saya melakukan pelbagai pekerjaan termasuklah menjual ikan dan barang-barang runcit.
Selepas itu, saya mula buat sikit-sikit kerja pertukangan kayu di garaj kereta rumah keluarga. Secara dasarnya, minat untuk berniaga timbul apabila saya berhenti kerja daripada syarikat tersebut. Itulah titik permulaan yang menyuntik semangat saya untuk terus berjaya dalam perniagaan.
Mengambil keputusan memilih perniagaan berasaskan kayu, adakah disebabkan minat atau memang mempunyai kemahiran dalam kerja pertukangan?
Terus terang, saya tidak pernah mendalami sebarang kemahiran membuat perabot kayu daripada mana-mana institusi. Saya belajar daripada kawan-kawan yang banyak membantu. Minat sudah ada cuma yang diperlukan ialah modal dan kemahiran mengendalikan perniagaan.
Seperti yang diketahui, tidak ramai usahawan bumiputera yang menceburi perniagaan sebegini. Adakah ia berisiko?
Apabila saya mengambil keputusan untuk membesarkan perniagaan ini daripada hanya beroperasi di sebuah garaj kereta dan meminjam modal daripada keluarga dan kawan-kawan, tetapi jika tiada permintaan daripada kilang, saya akan mengalami kerugian yang bukan sedikit nilainya.
Ini kerana setiap bulan, saya memerlukan modal pusingan sebanyak RM40,000 hingga RM50,000. Sekiranya, tiada permintaan, saya terpaksa menanggung kerugian yang besar.
Bagaimana dengan risiko persaingan dengan syarikat yang telah lama bertapak dalam bisnes ini?
Persaingan memang sudah menjadi asam garam dalam perniagaan tidak kira apa juga cabang yang kita pilih. Selalunya, usahawan bumiputera yang terlibat dalam bisnes ini tidak ramai terutama yang membuat palet untuk dibekalkan ke kilang-kilang. Kemudian, mereka terpaksa pula bersaing dengan syarikat bukan bumiputera yang telah lama terlibat dalam industri ini. Sebagai usahawan, saya perlu berlawan dengan syarikat lain untuk dapatkan kayu dengan harga yang berpatutan dan berkualiti.
Selain itu, sebagai syarikat baru juga, agak sukar untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan. Alhamdulillah, setakat ini, syarikat saya membekalkan palet ke empat buah kilang. Bagaimanapun, saya tidak menafikan, kadang-kadang perasaan rendah diri tetap ada memandangkan syarikat saya masih baru.
Pada pandangan anda, bagaimana untuk menghadapi semua cabaran tersebut?
Usahawan Melayu perlu mempunyai rangkaian yang kuat seperti mana yang dilakukan oleh usahawan bukan bumiputera. Mereka berjaya sebab mempunyai rangkaian perniagaan yang kuat. Di samping itu, kita juga perlu memberi perhatian dengan menawarkan servis yang baik kepada pelanggan.
Komunikasi dengan pekerja juga perlu dijaga. Contohnya, hingga kini, kalau ada sebarang masalah, saya sentiasa rujuk dan berbincang dengan pekerja. Walau apa jua cabaran dan persaingan, hadapilah dengan tabah dan hati terbuka.
Apakah produk yang ditawarkan oleh Golden Wood Industries?
Kami menyediakan semua jenis perabot daripada kayu seperti kelengkapan dapur, rumah, pintu, aksesori landskap dan sebagainya. Kebanyakannya diperbuat daripada kayu cengal dan meranti.
Harga bergantung kepada saiz dan rekaan yang diminta oleh pelanggan. Berbanding dengan perabot rumah, permintaan bagi aksesori landskap agak terhad.
Selepas empat tahun, apa perancangan anda seterusnya?
Saya bermula daripada peringkat bawah. Malah pernah meminjam daripada abang saya sebanyak RM1,200 untuk membuat sampel produk semasa ingin mula berniaga dari garaj kereta. Kemudian, perluaskannya dengan membuka bengkel. Perancangan saya seterusnya ialah hendak membesarkan dan mengembangkan perniagaan ini dengan memiliki kilang sendiri dalam tempoh beberapa tahun lagi. Tetapi dengan keadaan ekonomi yang agak mendatar, buat masa sekarang, syarikat bergantung kepada keadaan pelanggan dan pasaran.
Apakah sumbangan anda yang paling bermakna setelah bergelar usahawan?
Ternyata yang paling bermakna ialah memberi peluang pekerjaan kepada penduduk kampung ini. Kebanyakan pekerja saya adalah rakan-rakan yang mengikuti saya sejak di garaj lagi.
Saya puas dapat memberi mereka peluang mencari rezeki dan meningkatkan taraf hidup di kampung sendiri serta pada masa yang sama belajar kemahiran berniaga. Dengan menjadi usahawan, saya menjadi individu yang lebih bertanggungjawab bagi memastikan perniagaan ini dapat dipertahankan seterusnya menjadi punca rezeki kepada penduduk di kampung ini.
Saya mensasarkan untuk menarik lebih ramai penduduk kampung untuk bekerja di sini.
Adakah sumbangan ini menepati hadis Nabi yang menyatakan bahawa 9/10 punca rezeki datangnya daripada sumber perniagaan?
Saya sentiasa yakin bahawa dengan adanya usaha, ikhtiar dan tawakal, insya-Allah, berniaga akan menjadi 9/10 punca rezeki bagi umat Islam. Bahkan dengan peningkatan usahawan Muslim, ia lebih ramai golongan kurang upaya dapat dibantu melalui bayaran zakat.
Secara tidak langsung, ia mampu meningkatkan taraf ekonomi orang Islam secara keseluruhannya.
ORANGNYA baru berumur 20 tahun namun tidak siapa menyangka pada usia semuda itu sudah jelas kelihatan sifat matangnya.
Mengapa penulis katakan begitu? Ini kerana meskipun tidak berpeluang menemubualnya secara bersemuka dan sekadar menerusi telefon namun tutur katanya tentang pemilihan bidang kerjaya dan perancangan masa depan amat jelas. Ia menunjukkan pendirian dan hala tuju anak muda berwawasan ini.
Muhd. Ainnuddin Mahmud memilih profesion juruterbang kerana dia menyimpan cita-cita tersebut semenjak di bangku sekolah lagi. Ditambah pula dengan sokongan dan dorongan ahli keluarga yang tidak pernah berbelah bahagi dalam apa
bidang sekalipun.
Beliau yang bakal bergelar juruterbang penerbangan komersial dan berkhidmat dengan Penerbangan Malaysia (MAS) selepas tamat pengajian kelak kini mengikuti pengajian berkaitan bidang itu yang mengambil masa 15 bulan di Asia Pacific Flight Trainning (APFT), Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan.
Selepas tamat mengikuti pengajian di Sekolah Menengah Sains di Dungun, Terengganu dan memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau mengambil kursus Matrikulasi Sains Tulen selama setahun di Gopeng, Perak.
“Oleh kerana cita-cita saya sejak kecil untuk menjadi juruterbang maka saya memohon sebagai juruterbang pelatih di APFT sungguhpun saya mengetahui ia memerlukan perbelanjaan besar. Alhamdulillah, dengan mendapat pembiayaan pengajian berjumlah lebih RM150,000 tajaan MAS, perjalanan mencapai impian itu semakin dipermudahkan Allah.
“Untuk memasuki sekolah penerbangan ini, kami disyaratkan lulus tiga peringkat saringan yang telah ditetapkan pihak APFT.
“Pada saringan peringkat pertama, saya lulus. Tetapi disebabkan lambat memperoleh keputusan pada peringkat kedua dan ketiga, saya mengambil keputusan menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Kolej Perubatan Diraja Perak,” katanya yang tidak menyangka permohonan ke APFT diterima selepas satu semester (enam bulan) dia mengikuti bidang perubatan iaitu pada Oktober 2005.
Meneruskan cerita, kata anak ke enam daripada lapan adik-beradik ini, saat dikhabarkan berita gembira itu, hatinya berbelah bagi sama ada untuk meneruskan pengajian perubatan yang sudah mula serasi ataupun merebut peluang keemasan yang mungkin datang sekali dalam hidupnya.
Pilihan
“Pada masa itu boleh dikatakan saya dalam keadaan dilema. Ibu mahu saya menjadi doktor, ayah pula memberi kebebasan kepada saya untuk membuat pilihan kerana ia berkaitan dengan masa depan saya.
“Saya benar-benar berada dalam situasi gembira dan berbelah bahagi. Abang pula sentiasa menyokong saya dengan menyuruh saya mengambil bidang yang saya cita-citakan sejak kecil. Apatah bidang itu juga menjadi pilihannya tetapi disebabkan masalah penglihatan, hasrat abang terpaksa dipendam.
“Bila difikir-fikirkan, saya akhirnya memilih bidang penerbangan. Lebih-lebih lagi inilah peluang saya mendapatkan kerjaya yang dicita-citakan. Ayah pula menyuruh saya mencuba. Jadi saya tekad lepaskan bidang perubatan. Yang pastinya saya mempunyai perancangan tersendiri,” kata Muhd. Ainnuddin yang kemudiannya mengikuti kursus selama empat bulan di Sydney, Australia untuk mendapatkan Private Pilot Licence (PPL) iaitu lesen asas bagi menerbangkan pesawat satu enjin sebelum menyambung kursus di APFT.
Ditanya tentang pengalamannya berada di negara asing, anak kepada pasangan Mahmud Mamat, 62 dan Wan Aisyah Wan Mustaffa, 53, ini mengakui keseronokannya hanya pada beberapa bulan terawal. Apabila masuk bulan ketiga dan keempat, perasaan rindu kepada suasana di tanah air, keluarga, teman-teman dan aneka makanan mula timbul.
Katanya lagi, sungguhpun dia pernah ada pengalaman berdikari namun berjauhan di tempat sendiri berbeza dengan di negeri orang. Perubahan budaya dialaminya dan yang paling terasa kesukaran mencari makanan halal. Ini menyebabkan dia dan 15 teman daripada dua kumpulan pelajar tempatan amat merindui bumi Malaysia. Bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik negeri sendiri.
Menyedari tempoh pengajian yang singkat iaitu 15 bulan, Muhd. Ainnuddin mengakui terpaksa memberi tumpuan serta mengorbankan zaman remaja demi menggenggam kelulusan Diploma Eksekutif dalam Penerbangan.
“Ada ketikanya saya rasa cemburu apa lagi melihat kehidupan remaja seusia saya yang bergelar mahasiswa, namun apabila mengenangkan imbuhan yang akan diperoleh kelak, ia menguatkan semangat saya. Apatah lagi bila sudah berkhidmat dengan MAS, bolehlah saya membantu keluarga yang selama ini telah banyak berkorban. Inilah yang memujuk hati saya.
“Sebenarnya, cita-cita saya bukanlah sepanjang hayat bergelar juruterbang. Saya juga menyimpan impian untuk bergelar usahawan berjaya pada usia 40 atau 50 tahun nanti. Insya-Allah,” katanya yang turut digelar ustaz oleh teman-temannya di APFT.
Ditanya daripada mana datangnya gelaran ustaz itu, Muhd. Ainnuddin dalam gelak kecil berkata, mungkin kerana dia selalu mengetuai solat berjemaah di APFT.
Katanya, kebolehan menjadi imam itu adalah hasil bimbingan keluarga serta guru-guru. Selain itu, disiplin diri yang diperoleh sewaktu tinggal di asrama juga banyak mempengaruhi dirinya.
IBRAHIM Abdullah (kiri) bersama Pembantu Farmasi, Mohd. Saufi Othman memeriksa pelbagai produk di Farmasi Anis, di Taman Serdang Jaya, Seri Kembangan, Selangor.
SATU hal yang sangat menarik mengenai Rangkaian Farmasi Anis ialah mereka mempunyai laman web yang boleh dicapai oleh sesiapa sahaja bagi mendapatkan nasihat kesihatan. Dianggarkan seramai 4,330 menjadi ahli kepada laman web itu.
Menurut Pengarah Urusannya, Ibrahim Abdullah, 37, selain menjual pelbagai produk farmasi, mengendalikan laman web itu adalah salah satu cara beliau menghargai pelanggan.
Ini kerana sokongan pelangganlah membolehkan Ibrahim mempunyai pegangan terhadap enam rangkaian Farmasi Anis di sekitar Lembah Klang.
Wartawan SITI AINIZA KAMSARI dan jurufoto ABDUL RAZAK LATIF menemubual usahawan muda ini di Farmasi Anis di Taman Serdang Jaya, Seri Kembangan, Selangor, bagi mendapatkan kisah selanjutnya.
Utusan: Mempunyai rangkaian Farmasi, bermakna saudara mempunyai latar belakang perniagaan yang kuat?
Ibrahim: Tidak sama sekali. Malah sebelum saya mula melibatkan diri dalam perniagaan ini, saya pernah makan gaji bagi menimba pengalaman. Semuanya begitu asing kepada saya, farmasi dan perniagaan itu sendiri.
Bidang farmasi mula saya kenali apabila melanjutkan pelajaran di Universiti Notthingham, England pada 1989.
Sebelum itu saya tidak pernah terfikir untuk mendalami bidang ini walaupun beraliran sains semasa menuntut di sebuah sekolah menengah agama (kebangsaan) di Kajang, Selangor.
Tambah mencabar, saya satu-satunya pelajar Malaysia yang mengambil bidang farmasi ini. Berbekal kesungguhan dan bersahabat dengan pelajar asing yang mengambil bidang yang sama, akhirnya saya pulang dengan segulung ijazah pada 1992.
Soalan: Bagaimana saudara boleh melibatkan diri dalam perniagaan farmasi ini?
Setelah membuat latihan amali di jabatan kerajaan dan hospital, saya memberanikan diri menyertai sebuah syarikat farmasi terkenal, yang diketahui umum mempunyai rangkaian di hampir setiap bandar utama di negara ini.
Pada mulanya sebagai ahli farmasi di situ tetapi saya rasa bertuah kerana dapat mendalami selok perniagaan kerana saya diberi kepercayaan untuk mengurus dan mengendalikan soal tempahan, sebut harga dan sebagainya di farmasi itu. Ini menyebabkan saya sangat bercita-cita untuk mempunyai farmasi saya sendiri.
Soalan: Dengan hanya pengalaman tiga tahun di gedung rangkaian farmasi itu, saudara sudah mampu untuk membuka perniagaan saudara sendiri?
Tentunya ia melibatkan soal rakan kongsi dan perkongsian modal. Iaitu apabila seorang rakan menawarkan perkongsian untuk menubuhkan sebuah syarikat dan membuka premis farmasi pertama kami di Seksyen 19 Shah Alam, Selangor pada 1998.
Selepas setahun beroperasi di situ, mungkin disebabkan kawasannya agak strategik, sambutan yang diberikan oleh pelanggan sangat menggalakkan. Ini membolehkan kami membuka sebuah lagi cawangan di Seksyen 2, Shah Alam.
Tiga tahun selepas itu, membuka sebuah lagi Farmasi Anis di Kota Damansara. Tetapi dua tahun sebelum itu, saya mengambil alih sebuah farmasi di Seksyen 3 Shah Alam.
Terbaru, sebuah lagi farmasi saya ambil alih di Kajang dan membuka sebuah lagi cawangan baru di Putri Subang, Shah Alam. Setiap pembukaan baru dan pengambil alihan farmasi melibatkan kos sebanyak RM150,000 setiap satunya.
Soalan: Pegangan atau kepentingan saudara yang sebenar?
Kami mempunyai enam farmasi runcit di mana kedai saya sendiri beroperasi di Taman Serdang Jaya dan sebuah farmasi pemborong. Saya lakukan semua ini tanpa membuat pinjaman bank. Modal yang diperoleh adalah hasil perkongsian bersama rakan-rakan yang ingin berniaga.
Farmasi Anis merupakan milik kepada empat orang rakan kongsi kini. Kami bukan sahaja melibatkan aktiviti runcit, malah membekalkan ubat-ubatan dan barangan pakai-buang kepada hospital-hospital di seluruh negara. Kami kini mempunyai 30 pekerja.
Soalan: Mungkin saudara mempunyai konsep perniagaan yang tersendiri menyebabkan perniagaan farmasi mampu menjanjikan pulangan yang lumayan.
Konsep tertentu mungkin tidak ada, tetapi Farmasi Anis beroperasi seperti One Stop Center, iaitu tidak fokus kepada produk farmasi semata-mata. Pelbagai produk lain turut dijual di sini, ini mungkin yang menjadi tarikan.
Selain aspek harga barangan, kami hanya akan mendapatkan pemborong yang menawarkan harga paling murah dan memuaskan supaya kami dapat menjualnya dengan harga yang murah dan tidak membebankan orang ramai.
Ini kerana kami mahu semua peringkat dan latar belakang sosio ekonomi pelanggan, melanggani Farmasi Anis. Mereka menikmati harga yang murah pada produk dan berjenama yang berkualiti dan setanding.
Apabila saya berinteraksi dengan orang ramai melalui laman web, www.anispharmacy.com dengan tujuan mendidik orang ramai mengenai kesihatan dan perubatan secara tidak langsung menyebabkan mereka mengunjungi Farmasi Anis bagi mendapatkan produk yang disyorkan.
Ini bukan satu taktik tetapi tidak lebih sebagai membina hubungan dengan pelanggan, yang memberikan faedah yang lebih besar kepada kedua-dua belah pihak.
Soalan: Boleh saudara mengulas lanjut mengenai laman web tersebut?
Umumnya ia merupakan khidmat nasihat secara online, iaitu sesiapa yang mempunyai persoalan dan pertanyaan mengenai kesihatan boleh melayari laman web tersebut.
Saya sendiri turut menulis rencana-rencana mengenai penyakit dan masalah perubatan mengikut suasana atau paten di negara ini.
Adalah penting ia dikemukakan dalam bahasa Melayu, supaya soal kesihatan dan perubatan ini dapat difahami dalam bahasa yang mudah. Ini kerana bidang ini begitu dipenuhi dengan pelbagai istilah asing dan kebaratan.
Pengunjung juga boleh berchatting supaya mereka dapat bertukar-tukar pendapat dan pengalaman terutama melibatkan soal kesihatan. Tetapi saya tidak bertindak memberi nasihat seperti seorang doktor kerana kerap juga saya meminta pengunjung supaya bertemu doktor bagi mendapatkan keputusan yang lebih baik. Malah saya cuba bantu mereka mencari doktor yang harus mereka temui.
Soalan: Bagaimana dari aspek persaingan? Tentunya bermain dengan cabaran dan rintangan menjadi asam garam dalam perniagaan?
Tidak dinafikan nama Farmasi Anis masih jauh untuk menandingi pelbagai rangkaian farmasi yang lain. Kami masih bertatih lagi dan banyak perkara perlu dipelajari
Malah membuka sebuah klinik itu mungkin adalah lebih mudah dan menjanjikan pulangan yang lebih lumayan. Ini kerana tidak semua masalah kesihatan mampu ditangani atau dirawati oleh seorang ahli farmasi.
Tetapi keperluan sebuah premis farmasi kini menjadi sama penting seperti premis barangan atau perkhidmatan utama yang lain dalam sesebuah kawasan.
Setiap pembukaan kawasan perumahan dan bandar baru misalnya, memberikan peluang untuk membuka premis farmasi di situ. Persaingan lazimnya sesuatu yang sangat sihat, normal dan tidak boleh tidak perlu dihadapi dan ditangani dengan bijak dan proaktif.
Soalan: Apakah rancangan saudara seterusnya?
Saya mengimpikan rangkaian farmasi yang merupakan gabungan farmasi-farmasi milik Bumiputera atau Islam di negara ini. Malah mungkin dapat difrancais ke seluruh negara dan dunia. Ini semata-mata bagi memberi perkhidmatan yang terbaik dengan harga yang cukup berpatutan kepada seluruh masyarakat.
Mempunyai produk perubatan berjenama Anis juga menjadi impian saya. Iaitu produk yang begitu mengikut spesifikasi dan piawaian yang tinggi, halal, suci dan tidak ada sebarang keraguan dari aspek mutu dan buatan.