Utusan Malaysia, 30 ogos 2006
Oleh SITI AINIZA KAMSARI
MENGKAJI sejarah zaman purba atau prasejarah di Tanah Melayu tidak akan lengkap tanpa kita merujuk kepada sebuah kawasan yang dikenali sebagai Jenderam yang terletak di Sepang, Selangor. Jenderam ialah sebuah daripada 70 penempatan awal Zaman Neolitik di Malaysia. Selain Jenderam, penempatan lain zaman itu ialah Guar Kepah di Kedah; Kota Tongkat, Kota Gelanggi, Gua Kecil dan Bukit Cintamanis di Pahang, dan beberapa lokasi lain di Semenanjung Malaysia. Pada tahun 1940 sebuah pendayung purba yang dikenali sebagai Bot Jenderam dijumpai. Selain itu serpihan tembikar turut dijumpai di situ yang terletak kira-kira 30 kilometer (km) dari Kuala Sungai Langat yang menjadi laluan utama pedagang-pedagang dan penghijrah (imigran) terutama dari Sumatera, Jawa dan China. Pada beberapa serpihan tembikar itu terdapat hiasan dengan kesan-kesan pemukul kayu berukir (carved paddle-impressed). Namun, Jenderam kini terkenal dalam kalangan masyarakat Islam Malaysia berikutan wujudnya perkampungan berorientasikan kesyumulan Islam iaitu Kampung Baru Jenderam Hilir yang ditadbir oleh Yayasan Al Jenderami. Dalam kawasan seluas hampir 20 hektar itu, penduduknya yang mempunyai pelbagai latar belakang asal usul dan kerjaya menyandarkan kehidupan mereka sepenuhnya kepada Islam. Ketua Pengawai Eksekutif Yayasan Al Jenderami, Kamarulzaman Omar berkata, perkampungan itu sebenarnya ialah sebuah pusat pengajian Islam bagi mengembalikan semula kegemilangan institusi mengaji pondok. “Institusi pondok pada suatu masa dahulu berjaya melahirkan begitu ramai tokoh dan cendekiawan Islam dan kita sangat perlu berterima kasih kepada mereka. “Tanpa mereka, tidak mungkin kita dapat mengecap sebarang kemanisan kemerdekaan daripada segala bentuk penjajahan baik secara fizikal mahupun mental,” katanya. Namun, yang uniknya Yayasan Al Jenderami bertanggungjawab menyediakan pelbagai prasarana moden dan terkini di sebalik fungsinya sebagai pusat pengajian pondok. “Jadi tempat ini tidak memberi gambaran suasana yang tradisional malah kami ingin membangun dan memajukan pelbagai lagi kemudahan di sini,” jelasnya. Kamarulzaman berkata, pengasas awal perkampungan ini ialah sekumpulan kakitangan Urban Development Authority (UDA) seramai 20 orang yang diketuai oleh Ustaz Mohd. Hafidz Selamat pada 1985. Mohd. Hafidz tidak akan mempunyai kekuatan yang tinggi jika tidak dipengaruhi oleh gurunya sendiri. Gurunya itu merupakan seorang ulama terkenal di Selangor iaitu Tuan Guru Muhammad Zain Tama yang berasal dari Kampar, Sumatera Indonesia. Ketika usianya 18 tahun iaitu pada tahun 1927, tokoh ini mendalami ilmu di Mekah selama tiga tahun. Sekembali ke tanah air, beliau menyambung pengajiannya di Madrasah At Taufiqiyyah Kajang (nama asal SMKA Maahad Hamidiah Kajang sekarang) selama 10 tahun dan kemudian menjadi pendakwah dan guru agama di merata tempat di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan. “Pembukaan madrasah ini berjaya menarik minat begitu ramai para pelajar untuk belajar pelbagai ilmu agama daripada tokoh ini. Pesat berkembang “Sekolah pondok itu begitu pesat berkembang sehingga wujudnya satu perkampungan kecil di situ,” katanya. Pada tahun 2003 Yayasan Al Jenderami ditubuhkan bagi mentadbir pusat pengajian itu yang ahli lembaga pengarahnya terdiri daripada pelbagai latar belakang profesional dalam kerajaan dan tokoh korporat. Sejak itu, pelbagai perkembangan berlaku yang membolehkan perkampungan itu muncul sebagai kompleks yang lengkap dengan pelbagai infrastruktur. “Dalam kawasan seluas 20 hektar sekarang ini, kompleks yayasan dilengkapi dengan sebuah masjid, tadika, kelas agama dan fardu ain (KAFA), kelas-kelas pengajian, pejabat pentadbiran, asrama anak yatim dan warga emas, klinik, kedai koperasi, bistro dan hotel bertaraf tiga bintang,” jelasnya. Menurut Kamarulzaman, selain sebagai pusat pengajian Islam, yayasan itu semakin terkenal kerana aktiviti-aktiviti yang bersifat dakwah, kebajikan, sosial dan ekonomi. “Selain bakal menempatkan anak yatim, yayasan memberikan peluang kepada warga emas menghabiskan usia mereka untuk beribadat dan mendalami ilmu di sini. “Mereka bukan seperti penghuni rumah warga emas atau perlindungan orang tua, tetapi mereka berada di sini dengan pilihan sendiri mereka kerana mahukan kehidupan yang mempunyai suasana seperti melakukan ibadat umrah atau haji di Mekah,” katanya. Perkampungan itu mendapat perhatian dan sentiasa dikunjungi umat Islam. Setiap sebulan sekali mereka mengadakan sambutan Memperingati Rasulullah yang sering disebut sebagai Maulidur Rasul. Sambutan itu lazimnya diadakan pada tarikh 12 Rabiulawal setiap tahun. “Setiap kali mengadakan sambutan itu, ia mendapat sambutan dan begitu meriah. Ini kerana dalam majlis memperingati Rasulullah itu pelbagai acara lain juga diadakan. “Ini termasuk menghidupkan semula amalan-amalan Rasulullah termasuk majlis akikah, potong jambul bayi, berhadrah, berqasidah, bernasyid dan menjamu anak yatim dan orang ramai. “Acara ini bukan sahaja bagi melahir dan menguatkan kecintaan kepada Rasulullah tetapi merapatkan hubungan silaturahim sesama umat Islam tanpa mengira latar belakang,” kata Kamarulzaman. Mereka yang ingin mempelajari dan mendalami kitab-kitab lama, maka di situlah tempatnya. Kitab-kitab karangan ulama seperti Syed Daud Fatani, Sheikh Abdul Samad Al Palembangi, Syeikh Arshad Al Banjari, Tok Kenali dan ramai lagi menjadi rujukan utama di yayasan itu. “Kitab-kitab yang terkenal ialah seperti Hidayatul Subyan, Bahrul Mazzi (karangan Idris Marbawi), Minhajul Abidin, Sairus Salikin dan banyak lagi,” katanya. Tahun lalu, Yayasan Al Jenderami mengambil inisiatif mengadakan Majlis Ijtima Ulama Pondok Senusantara. Mereka tidak sahaja berjaya mengadakan pelbagai program dan aktiviti berkaitan tetapi yang menariknya mereka berjaya mengumpulkan ramai ulama dari seluruh Nusantara dari Indonesia, Singapura, Pattani, Narathiwat, Songkla dan dari Malaysia sendiri. Lebih menarik apabila mereka dapat bertemu dengan nasab atau keturunan ke-18 Sultanul Aulia, Sheikh Abdul Qader Al Jailani, iaitu Syed Afeefuddin Al Syed Abdul Qadir Mansuruddin Al Qaylani, yang dijadikan tetamu kehormat. “Begitupun dari masa ke masa kami sering menjemput ramai ulama dari negara-negara Asia Barat terutama Mesir, Arab, Jordan sehinggalah ulama dari negara Barat terutama dari Perancis, Jerman dan United Kingdom,” katanya. Agensi pelancongan Selain itu, yayasan itu juga mempunyai agensi pelancongan sendiri untuk membawa umat Islam melakukan pelbagai ziarah terutama mengunjungi institusi Islam bertaraf moden atau pondok di seluruh Nusantara. “Ini termasuk melawat tempat-tempat bersejarah seperti Wali Songo. Malah jika kita mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah atas dasar hubungan baik kita selama ini, kita akan dibawa ke tempat-tempat bersejarah yang masih banyak di sana dan tidak pernah di bawa oleh mana-mana agensi lain sebelum ini,” katanya. Mereka turut mengeluarkan pelbagai produk terutama makanan ringan, jahitan dan sebagainya yang diusahakan oleh para pelajar dan penduduk di situ. Selama tiga hari bermula Jumaat minggu hadapan, misalnya, yayasan akan mengadakan Majlis Memperingati Ummul Mukminin, Saidatina Siti Khadijah Al Kubra di mana terdapat pelbagai aktiviti menarik dijalankan. Institusi Pondok pada era zaman yang moden ini, kata Kamarulzaman, masih relevan dan patut disokong. “Kami mendapat kelulusan pihak berkenaan di mana di sini juga kami akan mengadakan Pusat Pemulihan dan Rawatan terhadap penagih-penagih dadah menggunakan pendekatan holistik. “Kami akan menggunakan pendekatan agama bagi mengembalikan semula nilai kemanusiaan yang hilang pada penagih tersebut,” katanya. Menurut beliau, kawasan seluas lima hektar berhampiran Kampung Baru itu dikenal pasti untuk membangunkan pusat itu. Yayasan Al Jenderami, kata Kamarulzaman, adalah badan yang bebas daripada mana-mana pengaruh politik dan agama yang ekstrem. “Kami berada di tengah-tengah. Kami cukup sederhana bagi memperlihatkan Islam itu adalah indah, mudah dan begitu praktikal,” katanya.
Labels: Umum |