Blog ini mengandungi koleksi artikel yang berguna sebagai infomasi dan rujukan untuk diriku dan orang lain dari harakahdaily, utusan Malaysia, berita harian, Tranungkite Online dan dari beberapa website lain. Terdapat juga sedikit tulisanku di dalam blog ini.
Dakwah cyber mestilah diterokai oleh pendakwah muslim walau pun bidang ini masih baru. Sebagai OKU inilah kesempatan bagiku untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah. "Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Semesta Alam": Weblog Master 28 Ogos 2006
Fatwa Pengharaman Anti-hadith
Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini:
Ajaran Golongan Anti Hadith
ISI AJARAN
1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.
2. Menolak dua kalimah Syahadah.
3. Menolak Qada' dan Qadar
4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12
Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada
wahyu.
5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca
kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam
6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.
TARIKH MUNCUL
1985
TEMPAT BERKEMBANG
Seluruh Malaysia
TINDAKAN/HUKUMAN
Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:
1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996
2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46
3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78
4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3
(Sumber: )
Penutup
Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari
golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai
sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah
difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal
'iya zubillahi min zalik.
Fatwa Mufti Perak
Kategori : Akidah
Tajuk :
Gerakan Anti-hadis
Isu :
"A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK –
(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;
(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di dalam
al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;
(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;
(d) "The Computer Speaks – God's Message To The World" yang ditulis
oleh Dr. Rashad Khalifa,
adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang
bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta
mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran
dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku
tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith
yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai
sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan
Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan
mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian
sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.Adalah mengandungi
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan
aqidah dan syariah Islamiah serta menglirukan dan boleh
menyesatkan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan.
B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang
kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung
dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu
kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah,
syariah dan akhlak Islamiah.
Fatwa :
Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh Seksyen 34 (2) Enakmen
Pentadbiran Agama Islam 1992, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul
Ridzuan membuat fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa
"Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak" Darul Ridzuan pada 2
Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995, dan atas titah perintah
Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa tersebut seperti
berikut
C. OLEH YANG DEMIKIAN –
(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik ", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu –
Hadith di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer
Speaks: God's Message To The World"; adalah murtad;
(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang -
(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan
berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-
ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World";
(b) mencetak, menerbitkan, memiliki,
menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan
buku "Hadis Satu Penilaian Semula," "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World"; atau mana-mana bahagiannya, termasuk –
(i) apa-apa bentuk, versi atau
variasinya;
(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa
bahasa;
(iii) apa-apa bahan publisiti yang
bertujuan memberikan publisiti
kepada mana-mana buku itu,pada atau
atas apa-apa bahan, sama ada bahan
cetak atau elektronik atau
selainnya atau melalui apa-apa
media; atau
(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana
Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan
atau mengembangkan kumpulan sedemikian."
KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM500 juta khusus bagi pinjaman melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana.
Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Zulkefli A Hasan, berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat khas ahli Lembaga PTPTN, minggu lalu.
“Dana ini disediakan kerana kita tidak mahu hasrat mereka yang berminat menyambung pengajian ke peringkat sarjana, terbantut disebabkan masalah kewangan,” katanya.
Beliau memberitahu pemberita demikian selepas mewakili Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed pada Konvokesyen ke-16 Kolej Universiti Binary, di sini, semalam.
Zulkefli yang juga Ahli Lembaga PTPTN berkata, maklumat terperinci berhubung pengagihan dana itu sedang diperhalusi bagi membolehkannya dilaksanakan secepat mungkin.
Kali terakhir PTPTN menyediakan pinjaman bagi program sarjana pada 26 Ogos 2003 melalui peruntukan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebanyak RM40 juta mengikuti Program Siswazah Menganggur.
Skim itu dihentikan selepas PTPTN, yang ditubuhkan April 2003, selesai mengagihkan wang berkenaan kepada 1,952 pelajar yang berkelayakan.
Bagaimanapun, bulan lalu, Mustapa mengumumkan PTPTN memperluaskan skop pinjaman sedia ada kepada pengajian peringkat Sarjana, Doktor Falsafah (PhD) dan beberapa kursus peringkat profesional.
Selain itu, kadar pinjaman maksimum untuk pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda Perubatan di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM30,000 setahun, manakala peringkat diploma di IPTS daripada RM5,000 kepada RM8,000 setahun.
Dalam perkembangan lain, Zulkefli berharap Lembaga Kelayakan Malaysia (MQA) yang dijangka ditubuhkan pada pertengahan tahun ini hasil gabungan Bahagian Jaminan Kualiti (BKT) bagi menggantikan Lembaga Akreditasi Negara (LAN), dapat menjamin kualiti pendidikan tinggi tempatan.
Beliau berkata, MQA akan menyediakan garis panduan sistem kualiti Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) bagi memantau pengurusan dan pentadbiran institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta IPTS.
“Ini bertujuan memastikan graduan IPTA dan IPTS tempatan diiktiraf di seluruh dunia,” katanya.
Menerusi sistem itu, kelayakan individu bukan hanya dinilai dari segi akademik tetapi turut mengambil kira keupayaan kokurikulum serta akreditasi lain termasuk pengalaman kerja.
FAKTA NOMBOR Program siswazah menganggur
RM40j - Pinjaman pelajar sarjana melalui peruntukan MTEN pada 2003 1,952 - Pelajar
BAB halal-haram sentiasa menjadi topik perbincangan umat Islam terutama produk industri makanan kerana ia akan menjadi darah daging manusia.
Allah berfirman, Hai sekelian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. (Al-Baqarah: 168)
Bagi mengulas mengenai kedudukan industri halal negara, wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, BAIZURA HARUN menemu bual Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Yaakob Che Man. UTUSAN MALAYSIA: Apakah status industri makanan halal negara?
PROF. DR. YAAKOB: Salah satu objektif Pelan Induk Pembangunan Ketiga (IMP3) 2006-2020 adalah menjadikan Malaysia sebagai hab halal global bagi pengeluaran dan perdagangan barangan dan perkhidmatan halal.
Malaysia mempunyai kelebihan dalam pembangunan industri halal kerana kita adalah negara Islam moden yang mengamalkan sistem ekonomi terbuka. Selain itu, negara mempunyai infrastruktur fizikal dan institusi yang berupaya menyokong inisiatif dan program bagi membangun serta mempromosi industri ini.
Masyarakat Islam sering keliru kerana ramai yang beranggapan produk halal ini hanya makanan sahaja. Sebaliknya, industri ini termasuk sektor perkhidmatan seperti logistik, pembungkusan, penjenamaan dan pasaran. Ia juga meliputi produk farmaseutikal, dandanan diri dan kosmetik, kewangan dan sebagainya.
Pada tahun 2005, saiz pasaran dianggarkan berjumlah RM1,371.6 per kapita untuk perbelanjaan makanan halal bagi 26.1 juta rakyat Malaysia dengan saiz pasaran sebanyak RM21.2 trilion.
Industri ini melibatkan operasi ‘ladang ke meja'. Ini mewujudkan hubungan baru dalam rantaian nilai terutama logistik, pelabuhan, perkapalan, penghantaran, kemudahan pengendalian dan gudang. Semua ini kini muncul sebagai bidang yang menguntungkan dalam pasaran halal global.
Bagaimanakah keupayaan negara dalam mengeluarkan sijil halal kepada bahan-bahan pemprosesan bagi tujuan komersial?
Pelbagai negara pengeluar dan pengeksport makanan utama sedang mengambil inisiatif mendapat keuntungan daripada potensi pertumbuhan pasaran global terhadap produk dan perkhidmatan halal. Mereka tidak hanya menumpukan kepada pengeluaran produk dan perkhidmatan halal tetapi juga persijilan halal.
Malaysia adalah negara yang membangunkan sistem persijilan yang kukuh berasaskan standard MS150:2004. Ia dibangunkan oleh Jabatan Standard Malaysia dan diwartakan pada Julai 2004. Ia diiktiraf oleh banyak negara termasuk negara di bawah Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC).
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri bermuafakat mengeluarkan sijil halal kepada perniagaan yang mematuhi standard tersebut.
Prosedur Jakim ini adalah sistem yang mantap dan memenuhi semua aspek pengeluaran makanan dan sejajar dengan standard lain yang dibangunkan oleh negara luar.
Adakah perlu negara mempunyai pusat khas atau badan yang mengesahkan status halal sesuatu produk?
Setiap negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam wajib mempunyai pusat dan badan khas bagi mengesah dan memantau pengeluaran dan pemasaran produk halal.
Ini bagi mengelakkan sebarang anasir yang mencemar kandungan produk tersebut terutama dari segi perlabelan dan nutrisinya.
Kita sewajarnya menjadikan ayat 168 surah Al-Baqarah di atas sebagai pemangkin untuk menghasilkan produk halal lagi baik. Rasulullah s.a.w juga bersabda, “Setiap jasad yang membesar daripada benda-benda yang haram maka api nerakalah yang layak baginya.” (riwayat al-Baihaqi dan Abu Nuim)
Selain itu, pusat sebegini boleh dijadikan tempat rujukan kepada syarikat bagi mengesahkan kandungan sesuatu produk sebelum boleh dipasarkan.
Adakah negara sudah cukup persediaan dari segi kepakaran tenaga dan kelengkapan untuk pengesahan status halal ini?
Negara masih kekurangan dari segi sumber manusia, teknologi dan kewangan dalam bab ini. Oleh itu, IPPH berperanan menyelidik dan membangunkan teknik supaya lebih berkesan untuk mengesan kehadiran komponen haram seperti lemak dan daging khinzir dalam makanan.
Beberapa teknik telah dibangunkan dan antara kaedah yang sedang dibangunkan ialah kaedah instrumentasi, kaedah pengesanan berasakan DNA dan kaedah kromatografi. Proses menaiktaraf dan peningkatan perlu bagi mewujudkan makmal yang mempunyai akreditasi pengesahan halal di seluruh negara.
Dalam masa yang sama, kita perlu menjalin kerjasama dengan badan berkaitan untuk mencari pendekatan yang lebih praktikal, tepat, cepat dan mengikut peredaran masa.
Sebab itu, adalah penting para ulama fikah dan ahli sains duduk semeja bagi mencari titik pertemuan dalam agama dan sains untuk produk halal ini. Kalau kita rujuk semula kepada halalan thoiyiban (halal lagi baik), halalan itu adalah merujuk kepada aspek agama contohnya dari segi penyembelihan dan penyediaan. Thoiyiban ini pula melibatkan ilmu sains seperti makanan itu tidak mengandungi bahan merbahaya seperti asid borik atau ganja dan lain-lain.
Ini juga penting dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam terutama di kalangan para saintis. Setakat ini, kita telah membangunkan beberapa kaedah saintifik pengesahan produk halal.
Makan dan minum yang halal adalah isu utama bagi orang Islam. Sejauh mana ketepatan pemeriksaan status halal yang diguna pakai setakat ini?
Prosedur pemeriksaan status halal Jakim adalah mantap. Walaupun terdapat pelbagai tuduhan yang kurang manis dilemparkan kepada Jakim, sebagai orang yang terlibat secara langsung dalam bab ini, saya mempertahankan Jakim. Malah, mereka telah melakukan yang terbaik selama ini.
Yang menjadi kelewatan dalam mengesahkan produk halal ialah ketiadaan kepakaran dan makmal oleh Jakim. Ini menyebabkan mereka bergantung kepada pihak lain seperti Jabatan Kimia untuk mendapatkan keputusan analisis.
Bagaimanapun, Jakim dan badan berkaitan kini dalam proses penambahbaikan dan memantapkan lagi dari segi input dan analisis. Jakim dan Jabatan Standard Malasia juga dijangka akan mengumumkan standard halal yang baru berkaitan dengan produk dandanan diri dan kosmetik halal sedikit masa lagi.
IPPH membantu dengan membangunkan beberapa teknik pengesanan menggunakan Spektroskopi Penukaran Fourier Inframerah, Hidung Elektronik, Kalorimeter Imbasan Pembe zahan dan teknik biologi molekul iaitu Tindakan Berantai Polimerase (PCR) dan Enzyme Linked Immunorsorbant Assay (ELISA).
Sejauh mana hendak memahamkan pengusaha bukan Islam dalam aspek kandungan dan pengendalian halal. Ini kerana fahaman mereka halal cuma tidak mengandungi arak dan khinzir?
Tanggapan tersebut memang betul. Itulah yang selalunya berlaku apabila kami mengadakan perbincangan dengan orang bukan Islam. Malah di kalangan orang Islam pun ada yang tidak memahami bab ini dengan baik.
Masalahnya, hampir 90 peratus pengeluar makanan negara adalah bukan Islam. Pendek kata, kesedaran tentang kandungan dan pengendalian makanan halal oleh golongan ini masih belum menyeluruh. Contohnya, bukan Islam menganggap makanan halal adalah selain khinzir sedangkan terdapat banyak isu seperti ekstrak dari haiwan itu digunakan dalam industri makanan seperti gelatin, enzim untuk menghasilkan keju dan minyak dalam coklat.
Bagi masyarakat Islam pula, alkohol semuanya haram. Walhal bukan semua alkohol haram. Yang memabukkan sahaja adalah haram. Tapai yang kita makan itu pun ada 8 peratus alkohol tetapi ia bukan haram.
Kita akan mempunyai peralatan untuk menganalisis alkohol dan kajian terperinci akan dibuat untuk menangani permasalahan ini.
Sebab itu adalah penting untuk ulama terutama yang mengeluarkan fatwa dan ahli sains sama-sama berbincang agar seia sekata dalam hal ini. Lagipun banyak perkara sains disebut dalam al-Quran.
Seharian suntuk aku membaca buku karangan Dr Said Ramadhan Al-Buti yang bertajuk “Alla Mazhabiyyah Akhtar Bidaah tuhaddid As-Syariah Al-islamiyyah”. Dalam seharian suntuk itu jugalah, aku dapat menyempurnakan pembacaan dari buku tersebut. Alhamdulillah, maha suci Allah, betapa tingginya ilmu seorang ulama dari syiria ini dalam mengemukakan hujjah dalam menyatakan kepentingan memahami ilmu usul fiqh bagi mengemukakan sesuatu ulasan agama.
Membaca semua kandungan isi buku tersebut, tergambar diri ini terlalu kerdil di dalam dunia keilmuan islam, masakan pula diri ini merasa lebih alim dari ulama-ulama mazhab.
Dr Said Ramadhan ada menjelaskan didalam buku tersebut tentang satu munazarah ilmiyyah yang berlaku antara beliau dengan seorang ulama yang di kenali ramai; bernama As-Syaikh Nasisruddin Albani, yang telah berjumpa dengan beliau di rumah beliau sendiri bagi mengemukakan bantahan ilmiyyah terhadap tulisan beliau berkenaan dengan kepentingan bermazhab.
Tetapi yang amat mengecewakan lagi, setelah kecundang dalam munazarah ilmiyyah yang berlaku selama 3 jam bersama Dr Said Ramadhan , As-Syaikh Albani telah mengambil sikap yang “tidak berakhlak” dengan mengarang sebuah kitab yang bertajuk “Taassub Mazhab” bersama dua orang ulama yang sealiran dengan beliau, iaitu As-Syaikh Mahmood Mahdi Al-Istambuli dan As-Syaikh Khairuddin Al-Walini dengan mengadakan beberapa jenayah ilmiyyah terhadap As-Syaikh Dr Said Ramadhan Al-Buti.[1]
Yang amat mengejutkan lagi, di dalam buku “alla Mazhabiyyah” itu juga, Dr Said Ramadhan Albuti telah menukilkan kata-kata As-Syakh Albani didalam catatan dari kitab “Mukhatasar Sahih Muslim, karangan Imam Al-Munzir RA.
Didalam catatan tersebut, As-Syaikh Albani Ra menyatakan;
“ini adalah jelas bahawa nabi Isa AS akan berhukum dengan syariat kita, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah, tidak dengan yang lainnya, samada dari kitab injil atau fiqh mazhab Hanafi dan seumpama dengannya[2]”
Dengan kata-kata As-Syaikh Albani sebegini, seakan-akan As-Syaik Albani telah mempelekeh keilmuan Imam Abu Hanifah dengan menyamakan antara Injil dan Fiqh Hanafi yang dianggap seperti tidak termasuk dari kandungan Al-Quran dan As-Sunnah.
IJTIHAD ADALAH KEPERLUAN, TAQLID ADALAH KEISTIMEWAAN
Dunia kini sudah ditimpa zaman kekurangan ulama yang berkelayakan didalam berijtihad. Walaubagaimanapun, berijtihad merupakan sesuatu keperluan didalam menjalani kehidupan beragama di dunia ini.
Berijtihad itu adalah sesuatu kemestian, ini kerana antara sebab berlakunya ijtihad adalah “kehidupan dunia ini sentiasa berubah masa demi masa dan keadaan sesuatu tempat tidak menyamai dengan keadaan sesuatu tempat yang lain”.
Dr Wahbah Az-Zuhaili pernah menyatakan didalam kitab “Usul Fiqh Al-Islami” bahawa berijtihad adalah sesuatu kefarduan secara kifayah. Tidak harus berlaku kekosongan ijtihad pada setiap zaman[3].
Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan didalam karangannya “Fatawa Ma’asarah” bahawa berlakunya ijtihad itu adalah kerana sebab-sebab seperti berikut;
1. Pada perkara yang tiada nas. 2. Perkara yang ada nas, tetapi mempunyai beberapa tafsiran. 3. Mempunyai “muaridh” atau pertentangan yang sama denganya atau lebih kuat darinya.[4]
Maka dengan demikian, melihat kepada sebab yang pertama, memahamkan kepada kita betapa ijtihad itu merupakan sesuatu keperluan didalam kehidupan kini.
Adapun taqlid, ianya merupakan satu keistimewaan yang Allah berikan kepada manusia. Ianya diasaskan kepada firman Allah yang bermaksud;
“maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui” (surah An-Nahl : 43)
Bertaqlid bermaksud, mengambil perkataan orang lain tanpa mengetahui dalilnya[5].
Seseorang yang tidak mempunyai kelayakan berijtihad, dilarang bagi dirinya berijtihad, ini kerana, mana mungkin seseorang yang tidak mempunyai kelayakan dalam bidang pembedahan itu melakukan pembedahan terhadap pesakit.
Sekalipun pembedahan yang dilakukan itu ditakdirkan tidak memberi mudharat kepada pesakit, tetapi tindakan membedah tersebut tetap dikira sebagai tindakan yang berbahaya kepada pesakit.
Maka begitujugalah yang berlaku kepada seorang yang tidak berkeahlian untuk berijtihad, yang telah melakukan ijtihad.
SYARAT-SYARAT MUJTAHID
Seorang yang ingin berijtihad, diwajibkan kepadanya memenuhi syarat-syarat bagi melayakan dirinya untuk berijtihad.
Berijtihad tidak memadai dengan mempelajari Al-Quran dan As-Sunnah semata-mata. Juga, tidak memadai dengan mendakwa diri seorang muhaddis dan sebagainya. Tetapi syarat-syarat yang perlu di tunaikan adalah sangat rumit.
Dr Wahbah Az-Zuhaili telah menyenaraikan syarat-syarat yang perlu di penuhi bagi melayakkan seseorang itu menjadi mujtahid adalah seperti berikut[6];
a. mengetahui makna-makna ayat Al-Quran, samada dari sudut bahasanya dan syaraknya.
b. Mengetahui hadis-hadis hukum.
c. Mengetahui nasikh dan mansukh didalam Al-Quran dan Hadis Nabi SAW.
d. Mengetahui semua perkara yang telah diijmakkan oleh Ulama.
e. Mengetahui kaedah-kaedah qias dengan betul.
f. Mengetahui bahasa Arab dari semua sudut, iaitu dari nahu, sorof, balaghah, majaz, hakiki dan sebagainya.
g. Mengetahui kaedah-kaedah didalam ilmu usul fiqh.
h. Memahami maqasid As-Syariah didalam mengistinbatkan hukum.
MUQALLID YANG MAHU JADI MUJTAHID
Memahami secara syarat-syarat ijtihad yang tersebut di atas, memahami bahawa menjadi seorang mujtahid bukanlah sesuatu yang senang, tetapi ianya memerlukan ketinggian ilmu yang melayakkannya berijtihad.
Walaupun begitu, sesetengah manusia di zaman ini sudah berasa diri mereka berkebolehan didalam berijtihad, sedangkan kebolehan mereka hanya mampu menguasai sesuatu ilmu sahaja.
Ekoran dari itu, mereka menimbulkan satu “fahaman baru” bahawa, tidak wajib, bahkan haram kepada manusia kini bermazhabkan kepada mazhab-mazhab yang tidak ma’sum, seperti bermazhab As-Syafii, Hanafi, Maliki, Hanbali dan sebagainya, tetapi di wajibkan semua manusia bermazhabkan yang ma’sum, iaitu mazhab Rasulullah SAW.
Kenyataan sebegini merupakan satu dakwaan yang pelik, ini kerana, jika mereka mahu mengajak manusia kepada bermazhabkan Rasulullah SAW, bermakna mereka mahu mengiktiraf bahawa semua manusia itu adalah mujtahid, sedangkan perkara ini menyalahi firman Allah yang bermaksud;
“maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui” (surah An-Nahl : 43)
Didalam ayat ini, Allah SWT menyuruh manusia itu bertanya kepada orang yang berkepakaran sekiranya mereka tidak mengetahui, maka dengan demikian, menandakan disana ada orang yang tidak berkepakaran yang digelar juga sebagai orang awam yang wajib kepada dirinya bertaqlid.
Dr Said Ramadhan Al-Buti ada menceritakan logic disebalik kewajipan bertaqlid kepada mujtahid semasa berdebat dengan As-Syaikh Albani RA. Antara isi dialog tersebut adalah seperti berikut[7];
Dr Said Ramadhan Al-Buti (DSRB) : seorang lelaki yang baru memeluk Islam; mahu menunaikan solat tetapi kebingungan bagi menentukan arah kiblat. Lalu dia membaca firman Allah yang bermaksud;
“katakahlah, Kepunyaan Allah timur dan Barat” (surah Al-Baqarah : 142)
Lelaki tersebut beranggapan bahawa setiap orang yang hendak menunaikan solat boleh mengadap ke arah mana sahaja, sepertimana di nyatakan dalam Al-Quran.
Kemudian dia mendengar bahawa keempat-empat mazhab telah sepakat bahawa ia harus mengadap Kaabah, dan dia juga mengetahui dalil dalam masalah tersebut, tetapi dia belum melihat sahaja. Apabila dia hendak menunaikan solat, apakah cukup dia menunaikan solat mengikut panggilan hatinya berdasarkan kepada ayat yang dibacanya atau bertaqlid dengan Imam-imam Mazhab?
As-Syaikh Albani (SA) : memadai dengan mengikut panggilan hatinya.
(DRSB) : meskipun dia solat kearah yang tidak mengadap ke Kaabah sekalipun ? Apakah solatnya di anggap sah?
(SA) : Ya, kerana ia di wajibkan mengikut panggilan hatinya.
(DRSB) : Andaikata panggilan hati lelaki tersebut mengatakan bahawa tidak mengapa melakukan zina, minum arak, mencuri dan sebagainya. Apakah Allah akan memberi syafaat kepadanya disebabkan panggilan hatinya?
(SA) : Senyap sebentar. Kemudia berkata : sebenarnya contoh-contoh yang awak tujukan kepada saya adalah khayalan belaka dan tidak ada bukti.
(DRSB) : bukan khayalan atau dugaan semata-mata, bahkan sering berlaku, bahkan yang lebih pelik lagi. Bagaimana tidak ! seorang pemuda yang tidak memahami apa-apa tentang Islam, Al-Kitab dan As-Sunnah, kemudian membaca sepotong ayat Al-Quran yang ia fahami menurut andaiannya, kemudian berpendapat bahawa dia boleh solat ke arah mana sahaja yang dia mahu, sedangkan ulama-ulama mujtahid telah sepakat menyatakan bahawa di wajibkan solat mengadap ke arab Kiblat (Kaabah). Dalam keadaan ini, awak menyatakan solatnya adalah sah, semata-mata beralasan dengan panggilan hatinya. Pendirian awak ini sebenarnya bercanggah dengan prinsip awak bahawa manusia itu terbahagi kepada tiga kelompok, iaitu Mujtahid, Muqallid dan Muttabi’.
Setelah (DRSB) menyatakan demikian, As-Syakh Albani RA menyatakan;
(SA) : sepatutnya lelaki tersebut harus meneliti dan membahaskan. Apakah dia tidak membaca hadis atau ayat yang lain?
(DRSB) : ia tidak mencukupi bahan (syarat) untuk membahas sebagaimana keadaan awak ketika membahaskan masalah talak. Ia tidak sempat membaca ayat-ayat lain yang berhubungan dengan masalah kiblat selain ayat di atas. Dalam hal ini, apakah ia tetap harus mengikuti bisikan hatinya dengan cara meninggalkan ijmak para ulama?
(SA) : memang dia harus berbuat demikian, kalau dia tidak mampu membahas dan menganailisa, baginya cukup berpegang pada hasil fikirannya sendiri dan tidak tidak salah.
(DRSB) : ucapan awak ini sangat berbahaya dan memelikan. Ucapan ini kami akan siarkan dalam tulisan ….
(SA) : silakan siar pendapat saya, saya sememangnya tidak takut.
(DRSB) : apakah awak tidak takut kepada Allah SWT. Sesungguhnya ucapan awak tadi menandakan awak telah membuang firman Allah yang bermaksud;
“maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui” (surah An-Nahl : 43)
Setelah itu, As-Syaikh Albani menyatakan;
(SA) : wahai saudara (DRSB), sesungguhnya para imam bukanlah yang ma’sum. Adapun ayat yang dia pegang merupakan firman Allah yang terpelihara dari kesalahan. Bagaimana mungkin ia harus meninggalkan yang ma’sum dan berpegang pada orang yang tidak ma’sum?
(DSRB) : yang terpelihara dari kesalahan adalah makna hakiki yang dikehendaki oleh Allah dengan firman-Nya yang bermaksud;
“katakahlah, Kepunyaan Allah timur dan Barat” (surah Al-Baqarah : 142)
Akan tetapi, faham lelaki tersebut adalah jauh sama sekali dari pendidikan Islam yang sememangnya tidak ma’sum. Maka dengan demikian, masalahnya adalah bandingan antara dua faham, iaitu faham atau pemikiran dari seorang yang jahil dan faham atau pemikiran dari seorang imam mujtahid, yang kedua-duanya tidak ma’sum. Hanya beza kedua-duanya adalah, satunya jahil dan satu lagi mempunyai keilmuan.
Lalu As-Syaikh Albani menjawab;
(SA) : sesungguhnya Allah tidak membebani dia melebihi kemampuan.
(DSRB) : Tolong jawab persoalan ini. Seorang yang mempunyai anak kecil yang sedang sakit demam panas. Menurut semua dokter di daerah tersebut bahawa anak kecilnya itu perlu di beri ubat khusus dan mereka melarang dari memberi ubat antibiotic. Mereka pun telah memberitahu kepada bapa tersebut, tetapi tidak di edahkan olehnya.
Lalu, bapa tersebut telah membaca satu tulisan yang menyatakan bahawa ubat antibiotic boleh mengubat sakit demam panas. Tanpa mengendahkan nasihat para doctor, diberinya juga kepada anak kecilnya itu dengan ubat antibiotic, sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mati.
Dengan tindakan si bapa tadi, adakah bapa tadi dikira sebagai berdosa?
(SA) : diam sekejap, lalu berkata : saya kira, masalah ini bersalahan dengan masalah yang kita sedang bincangkan.
(DSRB) : sebenarnya masalah ini serupakan dengan masalah yang kita bincangkan. Cuba perhatikan! Bapa tersebut sudah mendengar kesepakatan para doctor, sebagaimana lelaki tadi telah mendengar kesepakatan mujtahid. Akan tetapi, si bapa tersebut berpegang pada satu tulisan dari buku kesihatan, sebagaimana lelaki tersebut melakukan amalan mengikut panggilan hatinya.
(SA) : saudara ! Al-Quran adalah cahaya. Cahaya Al-Quran tidak dapat disamakan dengan yang lain.
(DSRB) : apakah maksud pembaca Al-Quran itu memahami maksud Al-Quran seperti yang dikehendaki oleh Allah? kalau begitu, apakah beza antara ahli ilmu dan bukan ahl ilmu yang membaca Al-Quran?
Dua contoh di atas adalah sama. Awak perlu menjawab, apakah kedua-duanya harus menerima begitu sahaja panggilan hatinya atau harus mengikuti atau taqlid kepada ahl ilmu?
(SA) panggilan hati adalah yang paling pokok.
(DSRB) : si bapa tadi telah melakukan mengikut panggilan hatinya sehingga mengakibatkan anaknya mati. Apakah ada tanggungjawab bagi si bapa dari segi syariat atau hukum?
(SA) tidak ada apa-apa tuntutan daripadanya.
(DSRB) : dengan jawapan awak seperti ini, saya kira dialog dan diskusi ini kita cukupkan sampai disini sahaja. Sudah jelas antara dua jalan antara pendapat awak dan saya. Dengan jawapan awak yang menghairankan itu, cukuplah kiranya untuk awak telah terkeluar dari kesepakatan kaum muslimin.
Cuba awak renungkan, seorang muslim yang jahil hanya mengandaikan panggilan hatinya dalam memahami apa yang ia ketemui didalam Al-Quran. Lalu dia mengerjakan solat mengadap kea rah selain kiblat dan menyalahi semua umat Islam, tetapi solatnya dianggap sah. Kemudian orang biasa dengan panggilan jiwanya, ia mengubat anaknya yang sakit mengikut kehendaknya, sehinggakan anaknya sendiri mati, lalu dengan perbuatannya itu, dia terselamat dari apa-apa tuntutan dari segi syarak.
KESIMPULAN
Dari debat ilmiyyah ini, kita dapat melihat bagaimana fanatic kepada pendapat sendiri yang ada pada diri As-Syaikh Albani yang sehinggakan dia sendiri telah mengambil sikap tidak mahu menerima “kebenaran hujjah” dari Dr Said Ramadhan Al-Buti, yang kadangkala menyebabkan timbul dakwaannya yang boleh memberi bahaya kepada kefahaman Islam yang sebenar.
Jika ada dikalangan kita mengambil sikap mengremeh-remehkan ulama-ulama mazhab, cadangan dari penulis, bacalah buku “alla Mazhabiyyah” karangan Dr Said Ramadhan Al-Buti.
Maka dengan demikian, buka hati, buka minta dan cermin-cerminlah diri kita,. siapakah kita jika mahu dibandingkan ilmu-ilmu kita dengan ilmu-ilmu ulama-ulama yang telah berjasa untuk memartabatkan agama islam ini.
---------------------------------------------------------------------- [1] Alla Mazhabiyyah : m/s 127-162. [2] Alla Mazhabiyyah : m/s 137. [3] Usul Fiqh Al-Islami : 2/1062. [4] Fatawa Maasiroh : 2/649 [5] Usul Fiqh Al-Islami : 2/1158. [6] Usul Fiqh Al-Islami : 2/1072-1078. [7] Alla Mazhabiyyah : m/s 120-125.
KUALA LUMPUR, 3 Mac (Hrkh) – Presiden Persatuan Ulama Islam Antarabangsa (PUIA) Sheikh Prof. Dr Yusuf al-Qaradawi menegaskan umat Islam semakin lemah di seluruh dunia lantaran mereka sudah tiada berminat untuk mempelajari dan menggunakan bahasa Arab dalam kehidupan seharian mereka. Beliau berkata demikian dalam temuramahnya yang dipancarkan TV swasta, Kuala Lumpur Aljazeera, baru-baru ini.
Hari ini, katanya, di negara-negara Arab dan Timur Tengah umat Islam sudah mulai kurang menampakkan minat yang mendalam untuk mengetahui bahasa al-Quran, yang juga bahasa ahli syurga.
“Mempelajari bahasa Arab adalah penting kerana untuk membaca al-Quran terpaksa mengetahui bahasa Arab, malah bersembahyang pun umat Islam semestinya menggunakan bahasa Arab sahaja sepanjang ibadah wajib lima waktu itu,” ujar beliau.
“Apa yang membimbangkan kita ialah seolah-olah sudah menjadi budaya umat Islam di mana jua mereka berada, ibu bapa lebih berminat menghantar anak-anak mereka belajar bahasa asing seperti bahasa Inggeris daripada mempelajari bahasa ibunda mereka iaitu bahasa Arab,” keluhnya.
Menurutnya, budaya yang berlaku itu sememangnya merupakan agenda musuh Islam untuk melemahkan pegangan umat Islam, seterusnya untuk menjauhkan umat Islam daripada mempelajari bahasa Arab dan pegangan terhadap agama Allah.
Justeru, beliau menasihatkan umat Islam agar berhati-hati terhadap pengaruh dan muslihat Yahudi untuk mengelakkan orang-orang Islam mempelajari bahasa Arab dan menguasai kandungan isi al-Quran. - mns Jumlah dilihat: 96 | Cetak | Emel
Jika terdapat sebarang cadangan atau pandangan mengenai artikel di atas sila hantarkan komen anda kepada kami. Untuk sebarang aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya, sila emelkan ke hdaily_editor@yahoo.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya .
Sertakan bersama nama, nama pena, alamat, no. kad pengenalan, dan no. telefon (maklumat anda adalah rahsia dan tidak akan disiarkan). Artikel yang diterima dan dikemaskini akan disiarkan di ruangan Surat Pembaca atau bersesuaian.
Sila hantarkan karya anda yang asli melalui emel sahaja. Sebarang tulisan yang dihantar melalui kepilan/Attachment fail (Word, Notepad dll) emel tidak akan dilayan.
ANAK Yatim Al-Munirah dibimbing guru tuisyen sukarelawan selepas waktu sekolah.
MASYARAKAT sering menuding jari dan menyalahkan anak-anak serta ibu bapa apabila berlaku masalah sosial dan moral di kalangan remaja.
Namun jarang yang benar-benar ikhlas dan mahu bertanggungjawab menangani secara berterusan melalui program penempatan, bimbingan, didikan atau pembelaan bagi jangka panjang seperti tuntutan agama.
Sebaliknya pelbagai gelaran dilabel serta bermacam hukum dan undang-undang dilemparkan kepada anak-anak serta remaja bermasalah ini.
Sebenarnya gejala remaja dan anak-anak terbiar sama ada dari segi kasih sayang mahupun pendidikan agama dan akademik ini ada di mana-mana malah di sekeliling kita dan bilangannya sentiasa bertambah.
Kebanyakan mereka adalah remaja yang tidak ada tempat mengadu sama ada disebabkan kematian ibu bapa, bercerai, miskin atau terlalu sibuk dengan kerjaya.
Disebabkan bimbang dengan situasi dan sedar dengan tanggungjawab terhadap ummah, timbul idea beberapa usahawan Muslim dan mereka yang prihatin sekitar Klang mengumpul dan membantu kanak-kanak malang ini.
Idea tersebut mendorong golongan ini bersepakat merealisasikan peranan masing-masing dengan menubuhkan Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah (PKAYMAM).
“Idea ini timbul sekitar awal tahun 2000. Setelah beberapa kali berbincang, merancang serta mengatur strategi akhirnya wujudlah PKAYMAM.
“Ia didaftarkan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara sah pada tahun 2001,” kata pengerusinya, Mohd. Termizi Ismail ketika ditemui di Kompleks PKAYMAM, Kampung Johan Setia, Klang, Selangor baru-baru ini.
Menurutnya, sejurus idea itu dicetuskan banyak pihak memberi sokongan dan galakan, malah mereka terus menyalurkan sumbangan.
“Sebab itulah apabila pendaftaran PKAYMAM diluluskan, kami terus mendapatkan tapak untuk memulakan projek penyediaan kompleks bagi menempatkan anak-anak yatim dan miskin yang terbiar ini,” jelasnya.
Mohd Termizi berkata, bekas gudang kilang perabut seluas 0.48 hektar yang dibeli hasil wang wakaf dan sumbangan orang ramai menjadi tapak Kompleks PKAYMAM sekarang adalah projek perintis pertubuhan tersebut.
Katanya, rancangan jangka panjang PKAYMAM dalam membantu menangani masalah anak-anak yatim dan miskin terbiar adalah terlalu besar.
“Cadangnya, bukan setakat anak-anak yatim dan miskin yang akan kami bela, tetapi juga memulih dan mengembalikan akidah dan nilai Islam para remaja yang telah rosak akhlak serta moral mereka.” jelasnya.
Fasa pertama projek perintis melibatkan pembelian tanah diikuti fasa kedua membina sebuah bangunan di kompleks PKAYMM yang sudah pun beroperasi pada Januari 2006 lalu.
“Kompleks ini hanya ada satu bangunan sekarang dan kami sedang mengorak ke fasa ketiga untuk membina sebuah bangunan lagi untuk menempatkan surau, perpustakaan, dewan serbaguna dan pejabat pentadbiran bagi memberi keselesaan kepada penghuni,” jelasnya.
Untuk fasa pertama dan kedua telah menelan belanja hampir RM1.2 juta dan projek fasa ketiga pula memerlukan dana tidak kurang RM800,000.
“Setakat ini hanya separuh daripada kos yang diperlukan berjaya dikumpul manakala sebahagian lagi sedang diusahakan melalui pelbagai kempen termasuk edaran risalah infak dan wakaf kepada orang ramai dan syarikat-syarikat korporat,” katanya.
Apabila siapnya bangunan baru untuk fasa ketiga itu siap, kata Mohd. Termizi, KPAYMAM mampu menampung 120 kanak-kanak berbanding 40 yang sedia ada sekarang.
Kini KPAYMAM dihuni oleh 33 kanak-kanak termasuk 10 penghuni pengambilan baru awal Januari lalu. Mereka adalah anak-anak yatim dan piatu serta miskin dari sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Perak dan Kelantan.
Walaupun penyertaan dibuka kepada semua anak yatim dan miskin dari seluruh negara, KPAYMAM mempunyai sistem tapisan pemilihan yang ketat.
Pengurus PKAYMAM, Abd. Rahim Yahya memberitahu, sebelum peserta diterima, anggota panel pemilihan dilantik akan menemui ibu bapa atau ahli waris anak-anak terlibat untuk membuat kaji selidik.
“Hanya permohonan anak-anak yatim dan miskin yang benar-benar bermasalah dan terbiar akan ditempatkan di sini,” tambahnya.
FAKTA KOMPLEKS AL-MUNIRAH: *Diwujud dan dikendalikan oleh Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah (PKAYMAM) iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Klang.
*Projek pembinaan kompleks bermula 2001.
*Mula beroperasi hujung tahun 2005.
*Luas kawasan 0.48 hektar berharga RM450,000.
*Dibangunkan mengguna wang wakaf dan sumbangan orang ramai.
*Ada sebuah bangunan bernilai lebih RM630,000.
*Kompleks itu mengandungi tiga blok:
a) Blok pertama meliputi pejabat, stor dan dua bilik asrama lelaki serta bilik solat dan bilik air.
b) Blok kedua adalah ruang makan, rehat dan dapur serta rumah warden di tingkat atas.
c) Blok ketiga mengandungi dua bilik asrama perempuan, bilik tuisyen serta komputer dan bilik air.
*Pengambilan peserta pertama Januari 2006 hanya 23 orang.
*Bilangan kakitangan tujuh orang termasuk seorang pengurus.
*Jumlah anak yatim dan miskin sehingga Januari 2007 ialah 33 orang, di mana 20 orang adalah perempuan.
*Hanya menerima kanak-kanak berumur tujuh hingga 17 tahun.
*Hanya anak-anak yatim piatu, yatim dan miskin yang melepasi temuduga panel pengambilan PKAYMAM diterima masuk.
*Mengalu-alukan infak, wakaf dan sumbangan wang ringgit, barangan, peralatan pelajar dan pendidikan serta makanan dari orang ramai.
*Mengalu-alukan syarikat, individu dan agensi kerajaan serta swasta untuk menempah, mengadakan atau menganjur aktiviti bersama anak yatim di Kompleks PKAYMAM.
*Kompleks PKAYMAM boleh dihubungi di Lot 15772 Jalan Johan Setia Off Jalan Langar, 41200 Klang, Selangor atau telefon melalui talian 03-33247758 dan faks 03-33240906 atau hubungi 013-3213775 (Ahmad Dasuki) dan 017-3179588 (Ahmad Arun).
*Sumbangan atas nama Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah boleh disalurkan terus ke akaun;
i) Bank Islam (12-010-01-005674-2)
ii) Bank Muamalat (12040001994715)
iii) Maybank (562647201075).
*Orang awam yang menyumbang ke tabung PKAYMAM dikecualikan cukai pendapatan.
SEORANG profesor fizik di Amerika Syarikat (AS) membuat satu kajian kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. BErdasarkan kajiannya, tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik, iaitu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita, sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan.
Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita. Ketidakseimbangan cas dalam badan, menyebabkan kita berasa letih dan lesu selepas melakukan kegiatan seharian.
Oleh itu, cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal. Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan dalam minda beliau, mengapa Islam mensyariatkan solat berjemaah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama.
Hasil kajiannya mendapati, bilangan rakaat berbeza dalam solat bertindak menyeimbangkan cas dalam badan kita.
Ketika solat berjemaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Tindakan yang dianjurkan ketika solat berjemaah itu mempunyai pelbagai kelebihan.
Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan di kanan kita, akan menstabilkan kembali cas yang diperlukan oleh tubuh.
Ia berlaku apabila cas yang berlebihan – sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam tubuh kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.
Beliau berkata, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan berasa segar dan sihat selepas berehat beberapa jam.
Ketika ini tubuh kita mengandungi cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas supaya keseimbangan tubuh badan yang penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan dua rakaat.
Seterusnya, selepas sehari kita bekerja kuat dan memerah otak, semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh badan yang sudah digunakan.
Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas. Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan memulihkan keseimbangan cas berkenaan. Sebab itu, solat Zuhur didirikan empat rakaat untuk memberi ruang lebih kepada proses pertukaran cas di dalam tubuh.
Keadaan sama turut berlaku pada sebelah petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ia menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak.
Seperti solat Zuhur, empat rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.
Lazimnya, selepas waktu Asar, kita tidak lagi melakukan aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama.
Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak tiga rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yang kurang berbanding dua waktu sebelumnya.
Timbul persoalan dalam fikiran profesor itu mengenai solat Isyak yang dikerjakan sebanyak empat rakaat.
Secara logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan kegiatan dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak.
Selepas kajian lanjut dilakukan , didapati ada keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan empat rakaat di dalam solat Isyak.
Kita sedia maklum, umat Islam digalakkan tidur awal supaya mampu bangun untuk menunaikan tahajud (sembahyang malam) pada sepertiga malam.
Ringkasnya, solat Isyak sebanyak empat rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun pada waktu malam untuk beribadat (qiamullail).
Dalam kajiannya, beliau mendapati bahawa Islam adalah agama yang lengkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah itu mempunyai hikmah yang tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri.
Beliau berasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam semesta ini. Akhirnya, dengan hidayah Allah beliau memeluk agama Islam.
DALAM masyarakat kita amat mementingkan apakah jenis haiwan halal dimakan. Malangnya, banyak individu dalam masyarakat kita yang tidak begitu sensitif atau tidak mengambil berat soal bagaimana haiwan itu diternak sehingga dagingnya boleh dimakan.
Diperhatikan, banyak haiwan ternakan seperti kerbau, lembu, kambing, ayam dan itik diternak tanpa pengawasan sepatutnya. Lembu dan kerbau dibiarkan bebas tanpa ditambat atau diletakkan di dalam kandang.
Haiwan ternakan itu merayau masuk ke kawasan kebun merosakkan hasil tanaman milik orang lain. Banyak kerugian terpaksa ditanggung pemilik kebun. Penternak ambil mudah asalkan haiwan ternakannya dapat makan dan terus membesar serta membiak.
Selain itu, haiwan ternakan yang dibiarkan bebas akan mengeluarkan najis di merata tempat yang menyebabkan rasa tidak senang hati penduduk. Halaman rumah, jalan raya dan tempat orang ramai berkumpul banyak dicemari najis binatang ternakan yang dibiarkan bebas merayau.
Pemiliknya sekadar buat tidak kisah dan tidak rasa bersalah dengan keadaan itu. Malah, jika ditegur, pemilik ternakan dengan selamba saja menjawab memang sudah sifat ternakan membuang najis merata-rata.
Sebab itu banyak kes bergaduh sesama jiran berpunca masalah berkaitan haiwan ternakan dibiarkan merayau bebas. Ada pergaduhan yang membawa kepada penggunaan senjata hingga membabitkan kehilangan nyawa.
Satu lagi kejadian buruk yang sering berlaku ialah banyak kes kemalangan jalan raya berpunca terlanggar ternakan yang dibiarkan berkeliaran. Kemalangan itu mendatangkan banyak kerugian kepada pemilik kenderaan. Malah, banyak kes kemalangan kenderaan dengan haiwan ternakan menyebabkan kematian pemandu dan penumpang.
Ironisnya, penternak sedemikian tidak pula rasa bersalah dengan kejadian itu. Ternakan masih lagi dibiarkan merayau bebas yang kemungkinan akan berlaku lagi kemalangan jalan raya membabitkan haiwan ternakannya.
Sikap tidak bertanggungjawab pemilik haiwan ternakan itu bertentangan dengan tuntutan syariat. Sikap jahil ini bukan saja dilakukan penternak yang sememangnya jahil soal agama, bahkan di kalangan mereka yang berstatus guru agama.
Mengikut hukum fikah, cara menternak haiwan secara dibiarkan bebas merayau menyebabkan gangguan kepada orang ramai dan mendatangkan bahaya adalah haram. Maka hasil daging atau jualan ternakan itu juga adalah haram.
Rezeki daripada hasil haram akan menumbuhkan tubuh, darah dan daging yang akan menjadi bahan bakar api neraka. Setiap suapan makanan yang tidak halal diisi ke perut akan memberi kesan kepada nilai dan kualiti hidup seseorang.
Kita sepatutnya mengambil ikhtibar kisah Imam Shafie. Pada suatu hari, Imam Shafie mengadu kepada ibunya mengapakah fikiran dan daya hafalan pada hari agak lembap. Ditanyakan kepada ibunya adakah makanan atau minuman yang dimakan pada hari itu dari sumber haram atau tidak bersih.
Lantas ibunya teringat bahawa susu kambing yang diminum oleh Imam Shafie sebelum pergi belajar 'tercemar' disebabkan sehari sebelum itu kambing yang diperah susunya itu terlepas dan meraya-rayau meragut rumput di tanah milik orang lain.
Itu kes terlepas dan tidak sengaja. Masa ternakan itu terlepas hanya sehari dan hanya makan rumput milih orang lain, bukannya makan hasil tanaman orang lain. Tetapi, lihatlah kesan yang mencemarkan hati Imam Shafie.
Fikirkan pula mengenai kedudukan ternakan yang dibiarkan lepas dari kecil sampai besar. Merayau merata tempat dan meragut hasil tanaman orang. Semua orang mencemuh dan merungut. Terlalu banyak kemudaratan yang terpaksa ditanggung oleh orang lain akibatnya.
Ajaran Islam amat mementingkan agar setiap penganutnya hanya memakan atau menggunakan sumber yang diperoleh secara halal.
Firman Allah bermaksud: “Oleh itu makanlah (wahai orang-orang yang beriman) semua yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.” (Surah al-Baqarah, ayat 172).
Banyak penternak yang melakukan perbuatan salah itu sejak berpuluh-puluh tahun. Hasil daripada menjual ternakan yang diternak secara bebas itulah digunakan untuk menyara keluarga. Malah, hasil kerja itulah juga digunakan untuk menunaikan fardu haji.
Penternak yang melakukan perbuatan salah di sisi agama itu harus disedarkan mengenai kesilapan yang dilakukan agar mereka berubah tidak lagi meneruskan cara penternakan yang tidak mengikut lunas syarak.
DALAM keseronokan kita membaca kisah-kisah para nabi dalam kitab-kitab tafsir, hendaklah kita berwaspada dengan banyak unsur Israiliyyat yang jelas bertentangan dengan nas al-Quran dan hadis. Ini kerana pengaruh Israiliyyat boleh merosakkan akidah dan kesucian Islam khususnya dalam bidang petafsiran.
Hakikatnya, pengaruh Israiliyyat dalam pentafsiran tidak hanya tertumpu kepada kitab-kitab tafsir yang ditulis dalam bahasa Arab, bahkan menembusi kitab-kitab tafsir berbahasa Melayu. Hal ini tambah merumitkan dengan kecetekan pemahaman umat Islam negara ini tentang kesan negatif daripada pengaruh Israiliyyat.
Temu bual wartawan, ZUARIDA MOHYIN dengan Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunah, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, Nidzamuddin Zakaria diharap dapat menjelaskan kekeliruan ini.
UTUSAN MALAYSIA: Masih ramai umat Islam di negara ini yang kurang memahami atau langsung tidak mengetahui apa itu Israiliyyat. Tolong ustaz berikan definisi Israiliyyat?
NIDZAMUDDIN: Israiliyyat dapatlah didefinisikan sebagai berita-berita atau cerita-cerita yang diambil daripada pendeta-pendeta atau ahli kitab yang kebanyakannya terdiri daripada golongan Bani Israel atau Yahudi dan sedikit daripada golongan Nasrani. Cerita-cerita tersebut banyak menghuraikan tentang kehidupan para nabi daripada kalangan Bani Israel, mukjizat-mukjizat mereka, penciptaan alam semesta, langit dan bumi dan sebagainya.
Dalam bahasa yang lebih mudah, para ahli tafsir mendefinisikannya sebagai pengaruh budaya Yahudi yang menyerap masuk ke dalam agama Islam melalui pentafsiran dan penerangan ayat-ayat suci al-Quran. Kekadang, secara sedar tidak sedar, kita juga terdedah kepada kemasukan fakta-fakta Israiliyyat dalam kitab-kitab tafsir al-Quran (seperti tafsir Anwar Baidhawi di Alam Melayu), syarahan hadis-hadis dan buku-buku sejarah. Justeru, sikap yang jelas dan serius berlandaskan syarak perlu diambil dalam berhadapan isu ini.
Bagaimanakah sejarah atau pengaruh Israiliyyat itu bermula?
Kemasukan fakta-fakta berunsurkan Israiliyyat telah pun bermula sejak zaman Baginda Rasulullah s.a.w. dan Khulafa al-Rasyidin. Rentetan daripada beberapa pemuka ahli kitab yang terkenal yang memeluk agama Islam seperti Abdullah bin Salam (memeluk Islam semasa Nabi berhijrah ke Madinah), Ka’ab al-Ahbar (memeluk Islam zaman Umar) dan Wahb bin Munabbih (seorang Tabi’i).
Keilmuan mereka tentang al-Taurat dan al-Injil dimanfaatkan sebilangan para sahabat dan generasi Tabi’in selepas itu untuk pendetailan dalam aspek tafsir ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis dan fakta-fakta sejarah.
Ia turut berkisar mengenai kisah-kisah nabi dan umat mereka silam, kisah-kisah kejadian alam dan sebagainya. Ini berdasarkan kebenaran yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. dengan batas-batas yang ketat dan terhad. Baginda bersabda: Ceritakanlah daripada khabar-khabar Bani Israel dan tiada halangan. (Riwayat Bukhari).
Begitu juga sabda Baginda: Apabila kamu mendengar daripada ahli Kitab, maka jangan pula kamu percaya (seratus peratus) dan mendustakan semuanya. (Riwayat Bukhari). Justeru, dengan kebenaran ini dan pergaulan umat Islam bersama ahli kitab yang telah memeluk agama Islam, maka berputiklah sejarah kemasukan Israiliyyat dalam sumber- sumber ilmu Islam.
Pada permulaannya, Israiliyyat masih bersumberkan bekas-bekas pendeta yang Islam (Muslim Ahli Kitab) yang berautoriti dan dalam kemasukan sumber-sumber tersebut adalah sangat minimum.
Namun lama-kelamaan pintu keizinan yang terhad itu telah disalahgunakan hingga banyak Israiliyyat yang menyerap masuk akibat dorongan nafsu yang ingin mengetahui secara mendalam perkara-perkara yang umum dalam al-Quran.
Ditambah pula dengan tapisan terperinci riwayat berdasarkan sanad yang sahih, hanya diketahui oleh golongan ahli hadis atau pakar sanad yang tertentu sahaja. Oleh itu, umat Islam mudah terjebak dengan kancah khurafat dan dogengan Israiliyyat ini.
Lebih buruk lagi apabila hadis-hadis mungkar dan palsu yang berunsurkan Israiliyyat itu dikaitkan dengan para sahabat, maka ia telah mengundang kekeliruan dan kacau bilau dalam pemahaman atau pegangan umat Islam itu sendiri.
Bagaimana pula sikap Islam terhadap pengaruh yang amat berbahaya ini?
Ulama-ulama tafsir yang berhadapan dengan kemaraan maklumat-maklumat Israiliyyat dalam kitab-kitab tafsir dengan tegas menghalang pentafsiran al-Quran dengan Israiliyyat ini. Di antara alasan yang dinyatakan oleh mereka antaranya pertama: Al-Quran wajib ditafsirkan oleh al-Quran dan al-sunah, pendapat sahabat dan tabiin tanpa merujuknya kepada Ahli Kitab.
Kedua: Kebanyakan Israiliyyat adalah berupa dongengan dan khurafat dan ia bakal mencemari kesucian al-Quran untuk dijadikan tafsiran. Ketiga: Banyak Israiliyyat yang telah bercampur aduk antara yang benar dan batil. Kebanyakannya pula menyentuh soal akidah dan menggugat institusi kerasulan atau kenabian. Maka adalah jalan selamat untuk kita bersikap berhati-hati dan berwaspada daripada menerimanya bulat-bulat.
Lantaran itu apakah pandangan dan nasihat ustaz dalam hal berkaitan kepentingan memperoleh sumber-sumber yang dipercayai?
Keghairahan umat Islam mengetahui perincian-perincian kisah dan cerita-cerita yang aneh dalam al-Quran dan hadis serta sejarah umat manusia silam boleh mengundang dan menjebakkan mereka ke jurang kesesatan dan salah faham terhadap fakta-fakta agama itu sendiri. Kekadang hal ini juga terjadi sendiri kepada penceramah atau pemidato agama yang inginkan “umph” dalam kuliah agama mereka, lantas menyampaikan sesuatu fakta yang tidak diselidiki sumber dan puncanya yang dipercayai.
Sebaik-baiknya kita berpada-pada atas apa yang tidak dibataskan oleh al-Quran dan berpuas hati dengan penghuraian Rasulullah yang berautoriti dalam memahami tafsirannya. Namun sekiranya kita masih memerlukan fakta tambahan dan cerita sampingan, maka pastikanlah ia bersumberkan sumber-sumber yang dipercayai seperti kitab-kitab tafsir, kitab-kitab hadis dan buku-buku sejarah yang muktabar.
Agama bukan suatu hiburan dan untuk bersuka-suka, yang dapatannya diceduk daripada buku-buku murahan yang tiada autoriti atau sumbernya dikutip daripada sembang-sembang kosong yang tidak berasas. Justeru, pastikanlah sumber-sumber ilmu yang tulen, berautoriti dan dipercayai. Sabda Nabi s.a.w: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang pastinya kamu tidak akan sesat selamanya sekiranya kamu terus berpegang dengan keduanya. Itulah Kitab Allah dan sunah Rasul-Nya. (Riwayat Malik dalam al-Muwatta’)
Apakah kesannya sekiranya umat Islam terlampau mempercayai pengaruh Israiliyyat?
Terlampau mempercayai Israiliyyat adalah dilarang. Perlu difahami bahawa sekalipun ia berasaskan kitab samawi yang terdahulu tetapi ia telah pun diubahsuai oleh ahli Kitab itu sendiri. Saidina Umar r.a. pernah membawa pulang senaskah al-Taurat yang dijumpainya di salah sebuah kampung Yahudi, lalu Baginda amat marah dan dengan tegas Baginda bersabda: Andainya Musa a.s hidup di zamanku ini pun, maka dia juga wajib mentaatiku (mengikut al-Quran dan bukan al-Taurat). (Riwayat Ahmad).
Antara kesan-kesan negatif Israiliyyat ini adalah ia boleh menyelewengkan akidah umat Islam khususnya yang melibatkan tashbih Allah (menyamakanNya) dengan makhluk atau mentajsimkanNya (mengaitkan dengan bentuk tertentu).
Israiliyyat juga hakikatnya merugikan dan melekakan umat Islam dengan sibuk perihal cerita-cerita yang sia-sia dan tiada kepentingannya seperti Israiliyyat mengenai warna anjing Ashab al-Kahfi, jenis tongkat Nabi Musa, nama budak yang dibunuh oleh Khidir, rupa paras kaki Ratu Balqis ketika mengadap Sulaiman dan seumpamanya. Lebih baik, perkara yang asas dan teras dalam al-Quran itu diperbahas dan dikupas dalam masyarakat daripada perkara-perkara yang tiada asas kebenarannya.
Tolong ustaz berikan satu contoh pengaruh Israiliyyat yang dibenarkan.
Diberitakan bahawa sebilangan Salaf Saleh memohon daripada Allah dalam solat mereka sekalipun garam untuk makanan mereka dan rumput untuk binatang ternakan mereka berdasarkan apa yang diambil daripada Israiliyyat yang menyebutkan: “Baginda Nabi Allah Musa berkata kepada Allah s.w.t.: “Ya Allah! Aku ada hajat berupa duniawi yang ingin kupohon pada-Mu, tapi aku malu mengutarakannya.” Lalu Allah s.w.t pun berfirman: “Pohonlah daripada-Ku sekalipun garam untuk makananmu atau rumput untuk binatang ternakanmu”. (Ibnu Rajab al-Hanbali dalam Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam).
PARA peserta mendapat bimbingan secara langsung menerusi program Latihan Dalam Kumpulan Kem Smart Solat.
ANTARA faktor utama yang menyebabkan orang ramai terutamanya golongan dewasa yang buta al-Quran terus kekal dengan kekurangan itu ialah sifat segan dan malu serta terlalu sibuk untuk belajar daripada mereka yang pakar.
Menginsafi kekurangan itu, ditambah lagi sebagai tanggungjawab untuk melengkapkan keperluan fardu kifayah itu kepada umat Islam di negara ini, Pusat Pengajian al-Quran Sistem Individu (Pupaqsi) ditubuhkan bagi menampung kelompongan itu.
Pusat itu berorientasikan pengajian al-Quran dan fardu ain secara individu dengan memberi perhatian khusus kepada dewasa, remaja dan kanak-kanak dengan matlamat membasmi gejala buta al-Quran terhadap golongan sasar.
Pengurus Pupaqsi, Norirwan Oswan berkata, selain pengajian asas al-Quran dan tajwid, pelajarnya turut disediakan dengan pembelajaran kelas Bahasa Arab dan fardu ain mengikut sukatan yang diperakui oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Kelas yang disediakan di pusat ini adalah fleksibel mengikut kesesuaian masa bermula pada pukul 2 petang sehingga 10 malam dengan kadar bayaran yang amat berpatutan,” katanya.
Pengajian Bahasa Arab dan fardu ain itu ditawarkan melalui Kelas Integrasi al-Quran dan Fardu Ain (Kiafa) yang ditawarkan untuk pengajian selepas waktu rasmi persekolahan bagi pelajar peringkat rendah tahun 1 hingga tahun 6.
Kiafa turut menawarkan bonus apabila kelas pembelajarannya turut menggunakan Bahasa Inggeris sebagai salah satu medium selain Bahasa Arab dan Melayu.
Tambah Norirwan, Pupaqsi mempunyai kekuatan empat tenaga pengajar berpengalaman lepasan pengajian Islam dan Maahad Tahfiz.
Menurut beliau, penubuhan kelas ini tercetus apabila melihat bilangan keciciran pelajar daripada mengikuti pendidikan di sekolah agama rakyat semakin tinggi.
“Ini ditambah pula dengan kelas agama swasta yang mengenakan bayaran pengajian yang agak mahal. Dengan mengenakan yuran bulanan yang berpatutan, Kiafa mampu melahirkan insan yang berilmu, beriman dan beramal.
“Yuran yang dikenakan amat berpatutan kerana kami tidak mahu melihat anak-anak dan golongan dewasa tidak tahu langsung mengenai al-Quran disebabkan yuran yang mahal,” katanya.
Pusat yang ditubuhkan sejak lima tahun lalu itu beroperasi di 17 A, Jalan Pinang E, 18/E, Seksyen 18, Shah Alam, Selangor setiap hari bermula pukul 2 petang hingga 10 malam dan ditutup pada hari cuti umum.
Pupaqsi juga menganjurkan kursus-kursus jangka pendek berkaitan ilmu-ilmu fardu kifayah seperti kursus tajwid, marhaban dan berzanji, qiraat dan taranum.
Kursus lain ialah Kem Smart Solat dan Motivasi Anak Soleh, Kursus Smart Solat, Kem Motivasi dan Pemantapan Akhlak, Kem Cintai Alam Semulajadi, Kem Ikhtiar Diri, Kem Keluarga Bahagia Keluarga Impian, Kursus Imam dan Bilal Muda, Kem Motivasi dan Kecemerlangan Pelajar, Kursus Motivasi Pekerja Bestari, Kem Jati Diri dan Kepimpinan, Kem Smart Ibadah (Khemah Ibadah) dan Kursus Dakwah dan Kepimpinan.
Ia juga turut menyediakan kursus-kursus peningkatan pekerja dan motivasi untuk sektor kerajaan dan swasta.
Dalam pada itu, Norirwan berkata, Pupaqsi mendapat kelulusan JAIS untuk beroperasi dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Katanya, Pupaqsi dipengerusikan oleh Zaid Muhammad Mohd Rais dengan modal menubuhkannya diusahakan sendiri oleh beliau demi melihat kepentingan dan kesedaran bahawa ilmu al- Quran dan fardu ain mesti disebarkan kepada seluruh orang Islam.
Menyentuh mengenai pengajian orang-orang dewasa, Norirwan berkata, yuran bulanan bagi kelas pengajian asas al-Quran dan tajwid ialah sebanyak RM80.
Katanya, keistimewaan di sini ialah ia menawarkan satu sistem pembelajaran secara individu (one to one).
“Selain itu waktu pembelajarannya sangat fleksibel di mana para peserta boleh datang pada bila-bila masa sahaja antara pukul 1 petang hingga 10 malam tanpa perlu membuat temu janji.
“Sistem ini dicipta bagi memberi peluang kepada umat Islam dewasa yang sangat sibuk, berusia lanjut dan malu dan segan belajar secara berkumpulan,” katanya.
Sebagai perancangan untuk tahun 2007, Pupaqsi akan menganjurkan kursus-kursus jangka pendek berkaitan dengan ilmu-ilmu fardu kifayah pada setiap hujung minggu.
Pupaqsi dibuka pada setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 2 petang hingga 10 malam dan berehat selama sejam pada pukul 7 malam. Ia ditutup pada hari kelepasan am bagi negeri Selangor.
Sehingga kini Pupaqsi mempunyai 80 penuntut yang datang dari kawasan sekitar Shah Alam, Klang dan Subang Jaya.
Bagi menambahkan fungsi dan peranan serta tanggungjawab fardu kifayah, Pupaqsi juga menubuhkan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dan Pembangunan Insan bagi melancarkan segala urusan pengendalian kursus-kursus yang disediakan oleh pusat itu.
Oleh yang demikian, kursus yang ditawarkan oleh Pupaqsi adalah sebagai memenuhi permintaan dan kehendak pelanggan sama ada sektor awam dan swasta, sekolah dan masjid untuk menganjur atau menjalin kerjasama pintar yang meliputi seluruh negara.
Norirwan berkata: “Alhamdulillah sehingga kini program di atas mendapat sambutan memberangsangkan sejak dilancarkan.”
“Malah ada antara ibu bapa yang memaklumkan bahawa mereka melihat ada perubahan pada anak masing-masing seperti berani menjadi imam di rumah serta berlumba-lumba untuk bergelar bilal di surau,” katanya.
Kepada mereka yang berminat mengikuti kelas pengajian yang dianjurkan oleh Pupaqsi atau untuk menyertai bengkel yang dianjurkan boleh menghubungi pusat itu di talian 03-55432520, Norirwan (013-6332008), Zaid Muhammad Mohd. Rais (016-2272327).
Orang ramai juga boleh melayari laman web pusat itu, www.pupaqsi.edu.my untuk mendapat maklumat lanjut.
SUDAH menjadi amalan segelintir masyarakat Islam tempatan kita hari ini memberi upah kepada penyembelih daripada bahagian korban seperti daging, kulit, tanduk dan sebagainya. Sebenarnya mengikut ajaran Islam amalan itu suatu larangan. Ada hadis sahih Rasulullah menjelaskan perkara ini.
Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Ali bin Abi Talib ra yang bermaksud: "Rasulullah menyuruhku menyembelih unta (sebagai korban). Kemudian baginda menyuruhku menyedekahkan daging, kulit dan apa yang ada di atas belakang unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Sambil itu, baginda mengingatkan supaya tidak menyedekahkan walau sedikitpun daripada daging korban kepada penyembelih (termasuk juga pelapah). Kemudian Saidina Ali bin Abi Talib ra berkata: "Kami tetap memberi upah kepada penyembelih (termasuk pelapah), tetapi upah itu daripada harta kami sendiri (bukan bahagian korban)".
Berdasarkan hadis di atas, jelas amalan memberi daging korban kepada penyembelih atau pelapah sebagai upah itu adalah dilarang. Larangan ini juga termasuk memberi apa-apa bahagian daripada binatang korban yang boleh dimanfaatkan, seperti kulit, tanduk dan sebagainya.
Maka jelas bahawa bentuk upah yang dilarang itu adalah jika ia diambil daripada bahagian korban. Tidak bermakna penyembelih atau pelapah tidak akan mendapat apa-apa ganjaran daripada hasil kerja mereka. Tidak dilarang jika kita memberi upah kepada penyembelih dengan menggunakan wang kita sendiri dengan syarat upah itu tidak diambil daripada bahagian korban.
Lagipun dalam hadis di atas Saidina Ali menjelaskan bahawa mereka tetap memberi upah kepada penyembelih dengan menggunakan harta mereka sendiri.
Berhubung perkara ini, Imam al-Nawawi menjelaskan "Hadis ini melarang kita daripada memberi upah kepada penyembelih daripada bahagian korban. Hal ini kerana jika diberi kepada penyembelih sebagai upah kerjanya, maka sama ertinya dengan menjual sebahagian darinya (korban)."
Maksudnya, perbuatan memberi upah kepada penyembelih atau pelapah daripada bahagian korban bererti kita menjual daging korban sebagai tukaran terhadap khidmat penyembelihan atau pelapahan.
Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Majmu' menjelaskan pendirian Mazhab al-Shafie di dalam perkara ini, iaitu: "Imam al-Shafie dan golongan yang sealiran dengannya bersepakat menyatakan bahawa tidak sedikitpun hasil sembelihan ketika haji, umrah dan korban boleh dijual. Tidak kira sama ada ia korban sunat atau korban nazar. Bahagian yang larang dijual ini termasuklah daging, kulit, bulu, tanduk, lemak dan sebagainya. Dilarang juga menjadikan kulit atau selain sebagai upah untuk penyembelih".
Imam Taqiyuddin al-Shafie di dalam kitab Kifayat al-Akhyar pula menyatakan, "Bahagian daripada korban tidak boleh dijadikan upah untuk penyembelih walaupun korban itu adalah korban sunat".
Larangan menjadikan bahagian korban sebagai upah kepada penyembelih atau pelapah ini adalah semata-mata untuk mengelak daripada tersasar daripada maksud asal yang dikehendaki oleh korban.
Seandainya bahagian korban tetap digunakan sebagai upah penyembelih atau pelapah maka ia bertukar menjadi suatu bentuk jual beli. Maksudnya kita membeli tenaga penyembelih dan pelapah dengan bayaran daging korban.
Amalan sebegini adalah diharamkan sama sekali. Mustafa al-Bugha di dalam kitab al-Tahzib fi Adillah Matan al-Ghayah al-Taqrib menegaskan "Amalan menjual daging korban adalah haram".
Jika amalan ini masih diteruskan juga bermakna kita merosakkan pahala korban, malah ibadah korban itu terbatal. Mustafa al-Khin di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji menjelaskan "Tidak dibenarkan sesiapapun yang melakukan korban menjual atau memberi bahagian korban kepada penyembelih sebagai upah sembelihan, kerana ia mengurangkan pahala korban dan merosakkannya".
Bagaimanapun, sekiranya bahagian korban yang diberikan kepada penyembelih atau pelapah bukan atas dasar upah, maka ia dibenarkan. Untuk menentukan perkara ini paling tidak perlu lihat kepada dua keadaan berikut;
Pertama, diandaikan sememangnya bahagian korban itu akan diberikan kepada penyembelih atau pelapah walaupun mereka tidak melakukan penyembelihan atau pelapahan itu. Pemberian ini tidak dianggap upah, tetapi hanyalah sebagai hadiah.
Kedua, diandaikan jika penyembelih atau pelapah tidak melakukan penyembelihan atau pelapahan itu, maka mereka tidak akan diberikan bahagian korban berkenaan. Pemberian dalam keadaan ini dianggap upah dan merosakkan korban.
Berdasarkan keterangan di atas dapatlah dirumuskan bahawa jika kita tetap mahu memberi bahagian korban kepada penyembelih atau pelapah, maka hendaklah dipastikan pemberian itu bukan atas dasar kerja yang dilakukannya.
KUALA LUMPUR 27 Dis. – Calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2006 boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah selepas pukul 10 pagi esok.
Bagi calon yang terlibat dengan banjir pula, Kementerian Pelajaran menyediakan talian khas untuk mereka mendapatkan keputusan pada hari esok dan Jumaat.
Calon boleh menghubungi Lembaga Peperiksaan Malaysia di talian 03-88893520, 03-88893809, 03-88893551, 03-88843030, 03-88893601, 03-88843085 dan 03-88893582.
Mereka juga boleh menghubungi talian 07-2332263 bagi calon dari Johor, Melaka (06-2323789), Pahang (09-5715700) dan Negeri Sembilan (06-7653161).
Calon perlu bersedia dengan nama penuh, nama sekolah, angka giliran dan nombor kad pengenalan ketika membuat panggilan melalui talian berkenaan.
Panggilan melalui talian itu boleh dilakukan mulai 10 pagi hingga 7 malam esok manakala pada Jumaat pula, panggilan boleh dilakukan mulai pukul 7 pagi hingga 7 malam.
Mahkamah Syariah adalah institusi keadilan bagi orang Islam. Walaupun mempunyai bidang kuasa yang terhad tetapi ia adalah institusi keadilan tertinggi bagi menyelesaikan sebarang pertikaian membabitkan soal agama.
Bagaimanapun, Mahkamah Syariah kini sering diuji dengan kes-kes yang mencabar melibatkan isu perundangan negara berbanding kes kekeluargaan semata-mata.
Bagi mengulas persoalan ini, wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, SYEFRY MONIZ menemu bual Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar.
UTUSAN MALAYSIA: Apakah kedudukan Mahkamah Syariah dalam Perlembagaan negara?
ZAINUL RIJAL: Sistem kehakiman negara kita terbahagi kepada dua iaitu perkara-perkara di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah ini diberi pengiktirafan oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai manifestasi keistimewaan Islam sebagai agama bagi Persekutuan mengikut Artikel 3(1) Perlembagaan.
Mahkamah Syariah bertindak dalam kes-kes yang di beri bidang kuasa kepadanya. Begitu juga Mahkamah Sivil. Memang sepatutnya, kedua-dua mahkamah ini saling lengkap-melengkapi dan bukan bertelingkah antara satu sama lain.
Tugas Mahkamah Syariah meliputi undang-undang kekeluargaan orang Islam, penentuan agama serta perkara-perkara berkaitan jenayah yang diperuntukkan.
Laporan Suruhanjaya Reid mengesyorkan agama diletakkan di dalam bidang kuasa negeri. Oleh hal yang demikian, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan undang-undang syariah adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri. Akibatnya, setiap negeri mempunyai undang-undang syariah sendiri dari segi kehakiman, pendakwaan dan penguatkuasaan.
Tidakkah ini menyebabkan berlakunya ketidakseragaman dalam pelaksanaan undang-undang syariah?
ZAINUL RIJAL: Inilah yang menimbulkan sedikit sebanyak kegelisahan dalam kalangan orang Islam. Namun demikian, usaha penyeragaman sudah menunjukkan perkembangan. Terutama dengan penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan enam negeri kini menggunakan skim guna sama.
JKSM melalui Ketua Pengarahnya, Datuk Syeikh Ghazali Abd. Rahman membuat pelbagai kaedah dan cara bagi melaksanakan penyeragaman di peringkat Mahkamah Syariah. Usaha sebegini mendapat sokongan padu peguam-peguam syarie.
Selain itu, sembilan negeri sudah pun mempunyai undang-undang syariah yang seragam. Cuma aspek pentadbiran dan penguatkuasaan masih terletak di bawah kuasa kerajaan negeri. Penyeragaman undang-undang syariah ini adalah suatu perkara yang telah lama diperkatakan, namun hasilnya masih belum dikecapi kerana ia melibatkan pelbagai pihak. Selagi bidang kuasa ini diletakkan di bawah bidang kuasa negeri selagi itulah akan berlaku perbezaan undang-undang antara negeri.
Sebenarnya Perlembagaan Persekutuan sendiri ada memperuntukkan kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang yang seragam. Perkara 7 6(1)(b) memperuntukkan Parlimen boleh membuat undang-undang berhubung dengan senarai negeri bagi tujuan penyeragaman undang-undang bagi dua atau lebih negeri. Parlimen juga menggunakan peruntukan ini umpamanya dalam menggubal Kanun Tanah Negara dan Akta Kerajaan Tempatan. Dalam kedua-dua hal perkara tadi bidang kuasanya diberikan kepada negeri tetapi bagi tujuan penyeragaman Parlimen menggubal undang-undang tersebut.
Kenapakah pendekatan yang sama tidak boleh dilakukan kepada perkara-perkara agama yang juga terletak di dalam Senarai Negeri?
Difahamkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bakal mewujudkan garis panduan seragam (SOP) dalam penguatkuasaan dan pendakwaan syariah tahun depan. Adakah ini salah satu inisiatif mewujudkan penyeragaman undang-undang syariah?
ZAINUL RIJAL: Bagi pihak PGSM, kita mengalu-alukan langkah ini. Setakat ini di Selangor dan Wilayah Persekutuan sudah ada SOP tetapi dari segi penguatkuasaan ia masih berbeza. Namun kedua-dua SOP ini perlu dimantapkan lagi kerana terdapat banyak kelemahan dari sudut pelaksanaannya.
Langkah Jakim ini dapat memperkemaskan lagi semua penguatkuasaan agama di negara kita. Apabila dilaksanakan kelak, ia mampu mengelak daripada berlakunya soal salah tangkap dalam kes-kes khalwat dan sebagainya.
Di dalam menggarap SOP yang lebih komprehensif ini, pandangan dari pelbagai pihak seperti Hakim Syarie, penguatkuasa agama, pendakwa dan peguam syarie perlu diambil kira.
Kita memang sudah lama menunggu kewujudan SOP seperti ini. Dengannya, insya-Allah tidak timbul lagi kegelisahan umat Islam kerana perbezaan pelaksanaan undang-undang syariah yang terdapat di negeri-negeri.
Kebelakangan ini terdapat kecenderungan seolah-olah tidak menghormati Mahkamah Syariah. Ia apabila ada pihak yang tidak muncul walaupun disapina oleh mahkamah. Mengapa ini berlaku?
ZAINUL RIJAL: Hal ini barangkali disebabkan tafsiran dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengehadkan bidang kuasa Mahkamah Syariah iaitu orang bukan Islam tidak terikat dengan undang-undang syariah.
Mahkamah Syariah tugasnya adalah mencari keadilan mengikut hukum syarak dan membuat keputusan yang betul berdasarkan bukti-bukti yang sahih. Ini pula memerlukan kerjasama pihak-pihak yang terlibat.
Dalam kes perebutan mayat A. Rayappan di Shah Alam awal Disember lalu misalnya, ahli keluarga bukan Islam Rayappan disapina ke Mahkamah Syariah untuk memberi keterangan dan menunjukkan bukti si mati bukan Islam di saat kematiannya. Ini bagi membantu mahkamah membuat keputusan yang betul tetapi keluarganya enggan hadir.
Perbuatan sebegini jelas tidak menghormati institusi Mahkamah Syariah. Jika tidak mahu bekerjasama bagaimana kita mahu mencapai keadilan?
Mahkamah Syariah wujud kerana peruntukan Perlembagaan sendiri. Oleh hal yang demikian setiap rakyat Malaysia mestilah menghormati Mahkamah Syariah walaupun Mahkamah Syariah tidak berupaya memaksa mereka hadir.
Masalah kita ialah tanggapan orang bukan Islam terhadap Mahkamah Syariah dan juga undang-undang kita yang tidak memperuntukkan mereka yang bukan Islam boleh disapina di Mahkamah Syariah.
Dalam kes Rayyappan ini apa yang menjadi persoalan ialah kenapakah Mahkamah Syariah di sebelah pagi menolak permohonan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik permohonannya tetapi di sebelah petang hakim yang sama memberi keputusan yang berlainan. Kenapa perkara sebegini boleh berlaku? Adakah mahkamah syariah tidak bebas membuat penghakiman?
Mungkin sudah sampai waktunya hakim-hakim Mahkamah Syariah dilantik sebagaimana rakan mereka di dalam Mahkamah Sivil. Buat masa ini hakim Mahkamah Syariah adalah seorang penjawat awam sebagaimana penjawat awam yang lain. Mereka tertakluk kepada arahan dan garis panduan penjawat awam.
Hakim Mahkamah Sivil dilantik oleh suruhanjaya yang mana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Dengan cara ini hakim Mahkamah Syariah akan lebih bebas dalam pengadilan mereka di samping menaikkan lagi martabat mereka sama seperti hakim Mahkamah Sivil. Hal yang demikian akan memperbetulkan persepsi masyarakat bahawa bahawa Mahkamah Syariah bukanlah mahkamah kelas kedua.
Ia juga memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada Mahkamah Syariah. Jika kedudukan ini sama maka sudah tentu keadaan enggan hadir ke Mahkamah Syariah tidak akan berlaku.
Keadaan ini berlaku mungkin kerana persepsi orang bukan Islam bahawa setiap kes perebutan mayat, kita mahu menguruskannya sebagai jenazah orang Islam sahaja. Benarkah?
ZAINUL RIJAL: Kenyataan itu ada kebenarannya tetapi kes Nyonya Tahir sudah membuktikan bahawa Mahkamah Syariah bersikap adil dan tidak memihak kepada individu Islam sahaja. Tidak timbul prejudis terhadap mahkamah malah anak-anak Nyonya Tahir berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Syariah Seremban yang mengesahkan Nyonya Tahir beragama Buddha ketika kematiannya.
Kita mahu menjelaskan bahawa adalah berdosa bagi orang Islam mengkebumikan mayat orang bukan Islam mengikut cara Islam. Islam hanya membenarkan umatnya menguruskan jenazah orang Islam di mana ia adalah tanggungjawab fardu kifayah bagi mereka yang hidup untuk melaksanakannya.
Fardu kifayah ini jika tidak dilaksanakan misalnya mandi, kafan, solat dan kebumikan mayat orang Islam seluruh umat Islam di kawasan berkenaan akan menanggung dosanya. Ini yang perlu diperjelaskan kepada orang bukan Islam. Kita bukan suka-suka mahu mengambil mayat orang bukan Islam untuk kita kebumikan sebagai orang Islam. Tetapi jika pada saat kematiannya individu itu Islam, maka adalah tanggungjawab kita menguruskan jenazah mereka.
Ada pihak yang beranggapan keadilan di Mahkamah Syariah hanya kepada orang Islam sahaja? Benarkah tanggapan ini?
ZAINUL RIJAL: Hal sedemikian adalah tidak benar. Pada zaman pemerintahan Khalifah Ali, berlaku pertikaian tentang baju besi baginda yang dicuri oleh seorang Yahudi. Bagaimanapun, dalam kes ini tidak ada saksi yang melihatnya selain anak Saidina Ali.
Apabila kes ini dibicarakan di hadapan Hakim Syuraikh dan Saidina Ali gagal membuktikan baju besi itu haknya mahkamah menolak kenyataan saksi iaitu anaknya. Sebabnya, ada kemungkinan anak khalifah akan memihak kepada bapanya. Dengan itu, baju besi tersebut diserahkan kepada Yahudi terbabit . Lelaki Yahudi itu kagum dengan kebebasan Hakim Syuraikh membuat keputusan yang tidak memihak kepada Khalifah sedangkan dia sendiri tahu dialah yang mencuri baju besi itu . Dia kemudiannya memeluk Islam kerana keindahan neraca keadilan yang ditunjukkan oleh Islam.
Allah turut memberi amaran kepada sesiapa yang cuba menyogok hakim menyebelahi mereka dalam sesuatu perbicaraan dengan cara yang salah. Ini ditegaskan dalam firman-Nya, Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (Al-Baqarah: 188)
Apa yang perlu digiatkan kini ialah usaha memberi pendidikan dan kesedaran termasuk kepada orang bukan Islam tentang keadilan yang terkandung dalam Islam sebagai cara hidup ini. Bidang kuasa yang lebih luas juga perlu diberi kepada Mahkamah Syariah bagi memberikan kredibiliti kepada Mahkamah Syariah. Ia penting kerana persepsi masyarakat sekarang ini Mahkamah Syariah adalah mahkamah keluarga sahaja. Dalam bidang kuasa yang terlalu terhad itupun, ia masih diganggu.
Baru-baru ini, timbul gesaan yang mahu mengharamkan tangkapan kes-kes khalwat kerana didakwa ia memalu serta mencemarkan Islam. Apakah pandangan saudara mengenainya?
ZAINUL RIJAL: Mengikut Enakmen Tatacara Jenayah Syariah, setiap serbuan penguatkuasa agama dibuat berdasarkan aduan atau syak yang munasabah ada jenayah syariah dilakukan. Bukannya serbuan secara membuta-tuli atau mengintip secara sembrono.
Bila menerima aduan, penguatkuasa agama akan menyiasat. Aduan pula perlulah dibuat dalam bentuk tulisan dengan menggunakan borang-borang tertentu. Bagaimana siasatan dibuat ini termasuklah serbuan dan penggeledahan. Pokoknya, bukan sengaja ketuk pintu hotel atau rumah orang. Enakmen Tatacara Jenayah Syariah ini memperincikan dengan jelas prosedur-prosedur tertentu malah dalam beberapa hal ia lebih lengkap lagi dengan apa yang ada dalam Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Sivil.
Jika ada kesilapan dalam melaksanakan tugas, itu adalah kesilapan manusia. Tindakan perlu diambil kepada pihak yang melakukan kesilapan. Berilah latihan yang bersepadu kepada Pegawai Penguatkuasa Agama. Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Pihak berkuasa agama juga perlu jujur mengaku jika berlaku kesilapan oleh kakitangannya.
Apa yang kita bimbang, menghentikan tangkapan khalwat ini seolah-olah menggalakkan umat Islam melakukan maksiat kerana tidak ada tindakan pencegahan yang tegas. Inilah juga apa yang diperjuangkan oleh golongan Islam liberal.
Dalam usaha menegak yang makruf dan mencegah yang mungkar kita perlu berpegang kepada hadis Rasulullah s.a.w yang antara lain maksudnya, Apabila kamu melihat kemungkaran hendaklah kamu menegahnya dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu dengan kata-kata dan jika tidak mampu dengan hati. Itulah selemah-lemah iman. (Riwayat Bukhari)
Persoalannya, kita ada kuasa di tangan kita mengapa kita mahu memilih kaedah mereka yang selemah-lemah iman.
Ada juga pandangan yang mengatakan hadis tersebut hanya terpakai kepada orang yang melihat kemungkaran dengan mata kepalanya sendiri sahaja. Tafsiran ini adalah tafsiran yang sempit kerana di zaman Rasulullah juga kesaksian seorang sahabat yang mengesyaki terdapat seorang yang akan melakukan pembunuhan sedang menyorok di sebalik sebatang pokok diterima oleh Rasulullah. Sahabat ini tidak melihat dengan mata kepalanya sendiri.
Memanglah benar terdapat banyak perkara yang lebih besar lagi yang perlu diberi penumpuan oleh penguatkuasa agama, tetapi hal yang demikian tidaklah memberi lesen kepada penguatkuasa agama menghentikan penguatkuasaan tangkapan khalwat. Penguatkuasa agama perlu melakukan semua perkara dalam bidangkuasanya. Pihak kerajaan perlu menyokong dengan melantik lebih ramai pegawai tetap dan terlatih dalam melaksanakan tanggungjawab ini.
Kita juga tidak boleh mengatakan setelah begitu banyak tangkapan dibuat khalwat masih berleluasa. Oleh itu tangkapan khalwat ini tidak berkesan dan mesti diberhentikan. Hal ini sebenarnya tidak boleh dijadikan hujah kerana jika kita membuat analogi kepada masalah dadah, kerajaan telah melakukan ribuan tangkapan dan membelanjakan jutaan ringgit memerangi dadah serta mengadakan pusat pemulihan dadah tetapi masih tidak berjaya lagi.
Adakah kita menghentikan tindakan ini? Jika kita menghentikan tindakan maka masyarakat tentulah menjadi kucar kacir. Apa yang perlu dilakukan ialah melipatgandakan usaha dan mencari kaedah yang lebih sesuai untuk menangani masalah ini bukan menghentikannya.
PERSOALAN peranan ulama kerap diperkatakan kebelakangan ini kerana kedudukannya yang tinggi di mata masyarakat. Namun, kebelakangan ini ada ungkapan yang mempersoalkan perkara tersebut. Perkara ini juga perlu dilihat daripada hidayah al-Quran dan sunah supaya masyarakat dapat melihat kebenaran sebenar pada perkara ini.
Ungkapan seperti: ‘Perubatan moden adalah untuk semua masyarakat’ sudah diterima umum. Namun sekiranya datang si A berkata: ‘‘Walaupun saya belajar bertani, namun disebabkan perubatan untuk semua, maka saya juga layak menjadi doktor dan boleh mengubat penyakit saudara walaupun saya tidak belajar perubatan. Demikian juga ungkapan ‘Kejuruteraan moden untuk semua’. Namun datang pula si B mengatakan: ‘‘Walaupun saya belajar kedoktoran, saya juga layak menjadi jurutera dan mahu mempraktikkan bidang kejuruteraan.’’
Masyarakat yang mendengar kata-kata tersebut, pasti beranggapan bahawa sesiapa yang berubat dengan si A akan menerima bahaya. Begitu juga dengan halnya si B, masyarakat akan berpandangan bahawa walaupun dia pandai dari sudut perubatan, namun bangunan yang dibinanya belum tentu kukuh dan membahayakan masyarakat umum.
Kalau demikian kedudukannya, Islam agama untuk semua adalah ungkapan yang sememangnya diterima. Namun adalah tidak betul mengatakan urusan agama, mentafsirkan al-Quran, menghukum kesahihan hadis dan mengeluarkan hukum boleh diberi sebebas-bebasnya untuk masyarakat awam.
Sekiranya seseorang mengamalkan perubatan tanpa ilmunya yang sah, pasti membahayakan masyarakat dan boleh membawa kematian. Demikian juga urusan agama, sekiranya ditafsirkan dan dihuraikan oleh bukan ahlinya, pasti membawa kepada penyelewengan yang membawa kehidupan sebelum mati dan sesudah mati. Kebiasaannya, mana-mana ajaran sesat datangnya daripada pengaruh seseorang kepada masyarakat awam.
Benarlah Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Nahl, 43 yang bermaksud: ‘‘Maka hendaklah kamu bertanya kepada orang-orang yang mengetahui sekiranya kamu tidak mengetahui.’’
Sabda Rasulullah s.a.w: ‘‘Sekiranya diserahkan urusan kepada orang yang tidak mengetahui tunggulah saat binasa.’’
Hadis tersebut dengan jelas menghuraikan kebinasaan sekiranya diserahkan urusan kepada bukan ahlinya, lebih-lebih lagi dalam urusan agama.
Berkata Imam al-Shafie Rahimahullah (nasir al-sunnah) dalam kitabnya al-Risalah (Hal: 510) yang bermaksud: “Tidaklah berijtihad (qiyas) kecuali sesiapa yang mempunyai kemampuan iaitu ilmu mengenai kitabullah sama ada perkara fardunya, kesusasteraannya (balaghahnya), nasikhnya, mansukhnya, ‘amnya, khasnya dan panduannya. Dia (mujtahid) berdalilkan pada perkara-perkara yang boleh ditakwilkan dengan sunah Rasulullah s.a.w. Sekiranya tidak ada, maka dengan ijmak al-muslimin. Sekiranya tiada ijmak, maka dengan qiyas.”
Kemudian Imam Syafie berkata lagi: “Tidaklah boleh untuk sesiapa pun berijtihad sehingga ia menjadi alim dengan sunah-sunah, perkataan-perkataan salaf, persepakatan masyarakat dan perbezaan pandangan di kalangan mereka dan mahir bahasa Arab.”
Imam Shafie berkata lagi: “Tidaklah boleh untuknya berijtihad (qiyas) sehingga dia merupakan seorang yang berakal sehingga boleh membezakan antara yang musytabih, tidak gopoh untuk memperkatakan sesuatu sehingga ia memastikannya.”
Tambah Imam besar itu lagi: “Dia (mujtahid) tidak menolak untuk mendengar pandangan orang yang menyanggahnya kerana kemungkinan melalui mendengar tersebut dapat mengelakkan lupa dan menambah keyakinannya pada perkara yang ia yakin kebenaran.”
Imam Shafie berkata lagi dalam kitabnya al-Risalah (Hal. 511): “Manakala sesiapa yang sempurna akalnya, namun bukan seorang yang berilmu (sebagaimana diperkatakan tadi), tidak halal baginya berijtihad, kerana sesungguhnya dia tidak mengetahui apa yang diijtihadkannya, sebagaimana tidak dibolehkan seorang ahli fiqh memperkatakan mengenai harga dirham walhal dia tidak mempunyai pengalaman di pasar.”
Dengan itu benarlah kata-kata Rasulullah iaitu ulama adalah pewaris para nabi. Merekalah yang menyambung tugas-tugas masyarakat.
Kesimpulannya, urusan agama ini adalah urusan ulama. Ulama sahajalah yang dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Kebanyakan ajaran sesat dilahirkan apabila dibiarkan orang-orang awam mentafsirkan agama sewenangwenangnya. Demikian juga aliran sesat- menyesat secara taksub pada perkara khilafiyah dalam ibadah diikuti oleh masyarakat awam yang lemah asas agama.
Pada masa yang sama, masyarakat harus mengenali siapakah ulama yang sebenar. Sistem pelajaran moden, yang memisahkan ilmu-ilmu syariah kepada al-Quran, al-sunah, syariah, dakwah dan bahasa Arab telah melahirkan cerdik pandai Islam yang hanya pakar dalam sesuatu bidang ilmu. Seseorang mungkin dikatakan pandai hadis, tetapi tidak mempunyai kefaqihan atau tidak mahir dalam pembacaan nas-nas ulama. Demikian juga sebaliknya. Demikian juga pandai bahasa Arab sahaja tidak memboleh seseorang itu pandai mentafsir al-Quran. Kalau Bahasa Arab sahaja membolehkan seseorang mentafsirkan al-Quran, nescaya semua orang-orang Arab sudah menjadi ulama.
Sekiranya, lulusan agama universiti moden ini mengakui kelemahan masing-masing, akan lahir saling bergandingan untuk menegakkan kebenaran. Namun sekiranya graduan tersebut tidak menyedarinya, dan tidak mahu menghadapinya, akan lahir golongan yang disebut oleh ramai profesor-profesor syariah kepada anak-anak muridnya iaitu: “Kamu memasuki universiti dalam keadaan tawaduk, namun kamu keluar dalam keadaan takbur.”
Oleh itu, masyarakat perlu menghormati peranan ulama kita sama ada dulu mahupun sekarang. Kita mengharapkan institusi ulama terus dihormati kerana peranan besar mereka di kalangan masyarakat.
- DR. ASMADI MOHAMED NAIM ialah Pensyarah Kanan, Universiti Utara Malaysia.