Utusan Malaysia, 26 disember 2006
Oleh ZUNAIDAH ZAINON | MOHD. Nasir Rustam dan isteri, Asni Mansor mengadakan Program Motivasi al-Quran ala Madrasah bagi mengelakkan para pelajar terjerumus dengan budaya lepak dan tidak berfaedah. |
CUTI sekolah bakal berakhir kira-kira seminggu lagi. Ketika ini, ibu bapa sibuk membeli belah bagi persiapan terakhir persekolahan anak-anak. Malah tidak dinafikan, keseronokan sepanjang musim cuti masih lagi terasa pada minggu-minggu awal menjejakkan kaki ke sekolah. Bagi sesetengah pelajar, musim cuti sekolah dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan kemahiran diri dengan mengikuti kelas muzik, piano, lukisan dan sebagainya. Tidak kurang juga, ada ibu bapa yang mengambil kesempatan menghantar anak-anak mereka mengikuti kem cuti sekolah atau program berbentuk keagamaan. Pengisian pelbagai aktiviti dan program sepanjang cuti sekolah dapat mengelakkan anak-anak terjebak dengan masalah sosial yang semakin meruncing saban hari. Kesibukan ibu bapa dan anak-anak ditinggalkan di rumah tanpa pemantauan boleh mendorong penglibatan mereka dengan aktiviti tidak bermoral. Menyedari hakikat itu, pasangan suami isteri yang gigih mengusahakan Pusat Pengajian Islam Tahsin al-Quran Training Centre, Mohd. Nasir Rustam al-hafiz, 33, dan Asni Mansor al-hafizah, 30, mengambil kesempatan mengadakan Program Motivasi al-Quran ala Madrasah. Program yang memasuki tahun ketiga itu menerima sambutan menggalakkan daripada ibu bapa. Rata-rata ibu bapa meminta agar disediakan tempat penginapan sepanjang program. Program ini diadakan pada 27 November hingga 22 Disember 2006 di Sekolah Agama KAFA Integrasi Taman Jasmin, Kajang, Selangor. Tahun ini seramai 35 peserta terlibat dan kebanyakannya dari sekitar Selangor. Menurut Mohd. Nasir, penekanan program ini bukan sahaja kepada bacaan dan hafazan al-Quran tetapi penerapan nilai-nilai positif agar mereka memiliki motivasi diri yang tinggi dan berkeyakinan melalui kelas-kelas penampilan diri yang diadakan. “Ada sesetengah peserta sebelum mengikuti kelas ini adalah seorang yang pemalu dan pendiam. Tetapi kami cuba mencungkil bakat mereka melalui kelas membaca puisi, renang dan kompang supaya mereka lebih berani ke hadapan. “Kelas renang diadakan seminggu sekali dan diasingkan antara lelaki dan perempuan,” ujar beliau yang merupakan bekas pengetua sebuah sekolah tahfiz. Tambah Asni, program yang diadakan secara tidak langsung dapat membantu golongan ibu bapa yang bekerja menguruskan aktiviti anak-anak mereka sepanjang cuti persekolahan. Pendedahan sedemikian dapat mengembalikan budaya penghayatan al-Quran dalam kalangan generasi muda dengan harapan dapat meneruskan pembacaan al-Quran di rumah. Asni yang juga bekas penuntut Darul Quran berpendapat, pendidikan agama harus bergerak seiring dengan akademik bagi melahirkan insan yang bertakwa dan berakhlak. Bagaimanapun, kebanyakan ibu bapa lebih mementingkan akademik anak-anak berbanding didikan agama. “Kita perlu menjadikan al-Quran sebagai cara hidup. Isi hati-hati mereka dengan ayat-ayat suci al-Quran sebelum melangkah lebih jauh lagi. “Anak-anak kecil yang dididik dengan nilai-nilai agama lebih mudah menerima pendidikan akademik kerana hati mereka yang sudah dibersihkan,” katanya yang aktif mengadakan kelas mengaji al-Quran untuk dewasa, remaja dan kanak-kanak termasuklah saudara baru. Bagi Mohd. Nasir, tenaga pengajar muda yang disediakan sepanjang program ini dapat meningkatkan motivasi diri mereka untuk menguasai bacaan dan hafazan al-Quran. Untuk mengelakkan remaja terlibat dengan gejala tidak sihat, beliau turut merancang untuk mengadakan kelas penghayatan al-Quran secara sambilan. Labels: Personaliti Muslim |