Utusan Malaysia, 15 september 2006
| IBRAHIM Abdullah (kiri) bersama Pembantu Farmasi, Mohd. Saufi Othman memeriksa pelbagai produk di Farmasi Anis, di Taman Serdang Jaya, Seri Kembangan, Selangor. |
SATU hal yang sangat menarik mengenai Rangkaian Farmasi Anis ialah mereka mempunyai laman web yang boleh dicapai oleh sesiapa sahaja bagi mendapatkan nasihat kesihatan. Dianggarkan seramai 4,330 menjadi ahli kepada laman web itu. Menurut Pengarah Urusannya, Ibrahim Abdullah, 37, selain menjual pelbagai produk farmasi, mengendalikan laman web itu adalah salah satu cara beliau menghargai pelanggan. Ini kerana sokongan pelangganlah membolehkan Ibrahim mempunyai pegangan terhadap enam rangkaian Farmasi Anis di sekitar Lembah Klang. Wartawan SITI AINIZA KAMSARI dan jurufoto ABDUL RAZAK LATIF menemubual usahawan muda ini di Farmasi Anis di Taman Serdang Jaya, Seri Kembangan, Selangor, bagi mendapatkan kisah selanjutnya. Utusan: Mempunyai rangkaian Farmasi, bermakna saudara mempunyai latar belakang perniagaan yang kuat? Ibrahim: Tidak sama sekali. Malah sebelum saya mula melibatkan diri dalam perniagaan ini, saya pernah makan gaji bagi menimba pengalaman. Semuanya begitu asing kepada saya, farmasi dan perniagaan itu sendiri. Bidang farmasi mula saya kenali apabila melanjutkan pelajaran di Universiti Notthingham, England pada 1989. Sebelum itu saya tidak pernah terfikir untuk mendalami bidang ini walaupun beraliran sains semasa menuntut di sebuah sekolah menengah agama (kebangsaan) di Kajang, Selangor. Tambah mencabar, saya satu-satunya pelajar Malaysia yang mengambil bidang farmasi ini. Berbekal kesungguhan dan bersahabat dengan pelajar asing yang mengambil bidang yang sama, akhirnya saya pulang dengan segulung ijazah pada 1992. Soalan: Bagaimana saudara boleh melibatkan diri dalam perniagaan farmasi ini? Setelah membuat latihan amali di jabatan kerajaan dan hospital, saya memberanikan diri menyertai sebuah syarikat farmasi terkenal, yang diketahui umum mempunyai rangkaian di hampir setiap bandar utama di negara ini. Pada mulanya sebagai ahli farmasi di situ tetapi saya rasa bertuah kerana dapat mendalami selok perniagaan kerana saya diberi kepercayaan untuk mengurus dan mengendalikan soal tempahan, sebut harga dan sebagainya di farmasi itu. Ini menyebabkan saya sangat bercita-cita untuk mempunyai farmasi saya sendiri. Soalan: Dengan hanya pengalaman tiga tahun di gedung rangkaian farmasi itu, saudara sudah mampu untuk membuka perniagaan saudara sendiri? Tentunya ia melibatkan soal rakan kongsi dan perkongsian modal. Iaitu apabila seorang rakan menawarkan perkongsian untuk menubuhkan sebuah syarikat dan membuka premis farmasi pertama kami di Seksyen 19 Shah Alam, Selangor pada 1998. Selepas setahun beroperasi di situ, mungkin disebabkan kawasannya agak strategik, sambutan yang diberikan oleh pelanggan sangat menggalakkan. Ini membolehkan kami membuka sebuah lagi cawangan di Seksyen 2, Shah Alam. Tiga tahun selepas itu, membuka sebuah lagi Farmasi Anis di Kota Damansara. Tetapi dua tahun sebelum itu, saya mengambil alih sebuah farmasi di Seksyen 3 Shah Alam. Terbaru, sebuah lagi farmasi saya ambil alih di Kajang dan membuka sebuah lagi cawangan baru di Putri Subang, Shah Alam. Setiap pembukaan baru dan pengambil alihan farmasi melibatkan kos sebanyak RM150,000 setiap satunya. Soalan: Pegangan atau kepentingan saudara yang sebenar? Kami mempunyai enam farmasi runcit di mana kedai saya sendiri beroperasi di Taman Serdang Jaya dan sebuah farmasi pemborong. Saya lakukan semua ini tanpa membuat pinjaman bank. Modal yang diperoleh adalah hasil perkongsian bersama rakan-rakan yang ingin berniaga. Farmasi Anis merupakan milik kepada empat orang rakan kongsi kini. Kami bukan sahaja melibatkan aktiviti runcit, malah membekalkan ubat-ubatan dan barangan pakai-buang kepada hospital-hospital di seluruh negara. Kami kini mempunyai 30 pekerja. Soalan: Mungkin saudara mempunyai konsep perniagaan yang tersendiri menyebabkan perniagaan farmasi mampu menjanjikan pulangan yang lumayan. Konsep tertentu mungkin tidak ada, tetapi Farmasi Anis beroperasi seperti One Stop Center, iaitu tidak fokus kepada produk farmasi semata-mata. Pelbagai produk lain turut dijual di sini, ini mungkin yang menjadi tarikan. Selain aspek harga barangan, kami hanya akan mendapatkan pemborong yang menawarkan harga paling murah dan memuaskan supaya kami dapat menjualnya dengan harga yang murah dan tidak membebankan orang ramai. Ini kerana kami mahu semua peringkat dan latar belakang sosio ekonomi pelanggan, melanggani Farmasi Anis. Mereka menikmati harga yang murah pada produk dan berjenama yang berkualiti dan setanding. Apabila saya berinteraksi dengan orang ramai melalui laman web, www.anispharmacy.com dengan tujuan mendidik orang ramai mengenai kesihatan dan perubatan secara tidak langsung menyebabkan mereka mengunjungi Farmasi Anis bagi mendapatkan produk yang disyorkan. Ini bukan satu taktik tetapi tidak lebih sebagai membina hubungan dengan pelanggan, yang memberikan faedah yang lebih besar kepada kedua-dua belah pihak. Soalan: Boleh saudara mengulas lanjut mengenai laman web tersebut? Umumnya ia merupakan khidmat nasihat secara online, iaitu sesiapa yang mempunyai persoalan dan pertanyaan mengenai kesihatan boleh melayari laman web tersebut. Saya sendiri turut menulis rencana-rencana mengenai penyakit dan masalah perubatan mengikut suasana atau paten di negara ini. Adalah penting ia dikemukakan dalam bahasa Melayu, supaya soal kesihatan dan perubatan ini dapat difahami dalam bahasa yang mudah. Ini kerana bidang ini begitu dipenuhi dengan pelbagai istilah asing dan kebaratan. Pengunjung juga boleh berchatting supaya mereka dapat bertukar-tukar pendapat dan pengalaman terutama melibatkan soal kesihatan. Tetapi saya tidak bertindak memberi nasihat seperti seorang doktor kerana kerap juga saya meminta pengunjung supaya bertemu doktor bagi mendapatkan keputusan yang lebih baik. Malah saya cuba bantu mereka mencari doktor yang harus mereka temui. Soalan: Bagaimana dari aspek persaingan? Tentunya bermain dengan cabaran dan rintangan menjadi asam garam dalam perniagaan? Tidak dinafikan nama Farmasi Anis masih jauh untuk menandingi pelbagai rangkaian farmasi yang lain. Kami masih bertatih lagi dan banyak perkara perlu dipelajari Malah membuka sebuah klinik itu mungkin adalah lebih mudah dan menjanjikan pulangan yang lebih lumayan. Ini kerana tidak semua masalah kesihatan mampu ditangani atau dirawati oleh seorang ahli farmasi. Tetapi keperluan sebuah premis farmasi kini menjadi sama penting seperti premis barangan atau perkhidmatan utama yang lain dalam sesebuah kawasan. Setiap pembukaan kawasan perumahan dan bandar baru misalnya, memberikan peluang untuk membuka premis farmasi di situ. Persaingan lazimnya sesuatu yang sangat sihat, normal dan tidak boleh tidak perlu dihadapi dan ditangani dengan bijak dan proaktif. Soalan: Apakah rancangan saudara seterusnya? Saya mengimpikan rangkaian farmasi yang merupakan gabungan farmasi-farmasi milik Bumiputera atau Islam di negara ini. Malah mungkin dapat difrancais ke seluruh negara dan dunia. Ini semata-mata bagi memberi perkhidmatan yang terbaik dengan harga yang cukup berpatutan kepada seluruh masyarakat. Mempunyai produk perubatan berjenama Anis juga menjadi impian saya. Iaitu produk yang begitu mengikut spesifikasi dan piawaian yang tinggi, halal, suci dan tidak ada sebarang keraguan dari aspek mutu dan buatan. Labels: Personaliti Muslim |