Blog ini mengandungi koleksi artikel yang berguna sebagai infomasi dan rujukan untuk diriku dan orang lain dari harakahdaily, utusan Malaysia, berita harian, Tranungkite Online dan dari beberapa website lain. Terdapat juga sedikit tulisanku di dalam blog ini.
Dakwah cyber mestilah diterokai oleh pendakwah muslim walau pun bidang ini masih baru. Sebagai OKU inilah kesempatan bagiku untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah. "Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Semesta Alam": Weblog Master 28 Ogos 2006
Fatwa Pengharaman Anti-hadith
Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini:
Ajaran Golongan Anti Hadith
ISI AJARAN
1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.
2. Menolak dua kalimah Syahadah.
3. Menolak Qada' dan Qadar
4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12
Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada
wahyu.
5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca
kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam
6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.
TARIKH MUNCUL
1985
TEMPAT BERKEMBANG
Seluruh Malaysia
TINDAKAN/HUKUMAN
Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:
1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996
2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46
3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78
4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3
(Sumber: )
Penutup
Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari
golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai
sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah
difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal
'iya zubillahi min zalik.
Fatwa Mufti Perak
Kategori : Akidah
Tajuk :
Gerakan Anti-hadis
Isu :
"A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK –
(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;
(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di dalam
al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;
(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;
(d) "The Computer Speaks – God's Message To The World" yang ditulis
oleh Dr. Rashad Khalifa,
adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang
bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta
mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran
dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku
tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith
yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai
sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan
Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan
mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian
sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.Adalah mengandungi
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan
aqidah dan syariah Islamiah serta menglirukan dan boleh
menyesatkan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan.
B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang
kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung
dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu
kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah,
syariah dan akhlak Islamiah.
Fatwa :
Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh Seksyen 34 (2) Enakmen
Pentadbiran Agama Islam 1992, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul
Ridzuan membuat fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa
"Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak" Darul Ridzuan pada 2
Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995, dan atas titah perintah
Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa tersebut seperti
berikut
C. OLEH YANG DEMIKIAN –
(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik ", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu –
Hadith di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer
Speaks: God's Message To The World"; adalah murtad;
(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang -
(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan
berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-
ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World";
(b) mencetak, menerbitkan, memiliki,
menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan
buku "Hadis Satu Penilaian Semula," "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World"; atau mana-mana bahagiannya, termasuk –
(i) apa-apa bentuk, versi atau
variasinya;
(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa
bahasa;
(iii) apa-apa bahan publisiti yang
bertujuan memberikan publisiti
kepada mana-mana buku itu,pada atau
atas apa-apa bahan, sama ada bahan
cetak atau elektronik atau
selainnya atau melalui apa-apa
media; atau
(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana
Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan
atau mengembangkan kumpulan sedemikian."
Rujukan Pewartaan : No:139 Jil.49
Tarikh Pewartaan :
15 Feb 1996
Borak
Ensiklopedia Nusantara: Haji Sulong berani kupas isu sensitif
RUANGAN ini minggu lalu memperkatakan Gugusan Cahaya Keselamatan karya terakhir Haji Sulong, ulama dan pejuang Islam-Melayu Patani. Pada hari ini diperkenalkan pula karya beliau Cahaya Islam * Gugusan Maulid Saiyidil Anam. Di bawah judul dinyatakan pula, "Dan perihal asal bagi berbuat Maulid Yang Karim. Dan Menyatakan kelebihan yang 'amim."
Cahaya Islam ditulis Haji Sulong al-Fathani sempena bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW 1362 Hijrah bersamaan 1943 iaitu dalam masa darurat suasana Perang Dunia Kedua.
Karya judul ini kemungkinan mengandungi beberapa jilid, tetapi yang sempat diterbitkan hanya jilid pertama. Cetakan pertama oleh Mathba'ah Patani Press, pada 23 Rabiulakhir 1372 iaitu 10 tahun selepas selesai ditulis.
Sungguhpun sasaran utama kandungan kitab Cahaya Islam mengenai Maulid Nabi Muhammad SAW, tetapi pendekatan yang digunakan jauh berbeza dengan penulisan hal sama yang pernah dihasilkan oleh ulama dunia Melayu yang terdahulu daripadanya. Hampir separuh kandungan jilid pertama membahas pembahagian bidaah. Lalu dilanjutkan pendapat ulama terkenal dunia Islam mengenai hukum mengadakan Maulid Nabi Muhammad SAW.
Sebelum membahas lebih lanjut, Haji Sulong al-Fathani menyatakan abstrak karangannya, iaitu pertama, kenyataan fasal bidaah dan maknanya serta segala mengenainya.
Kedua, kenyataan fasal dalil bagi sunat berbuat maulid dan sunat bangun berdiri.
Ketiga, kenyataan fasal kelebihan berbuat maulid dan kelebihan orang yang hadir pada majlisnya.
Mengenai yang pertama, fasal bidaah, Haji Sulong al-Fathani menulis: "Bahawa berbuat maulid itu bidaah, kerana tidak diperbuat oleh Nabi SAW dan begitu juga sahabat, dan ulama yang kemudian daripada sahabat. Hingga sampai kepada tahun hijrah tiga ratus tahun tiada ada siapa-siapa yang berbuat akan dia. Dan kemudian daripada hijrah yang tersebut itu baharulah timbul maulid.
Dan tatkala timbul maulid itu sentiasa orang Islam pada tiap-tiap negeri memperbuat akan dia, istimewa pula negeri yang besar-besar seperti Baghdad, negeri Syam, negeri Mesir, negeri Makkah, Madinah, pada tiap-tiap tahun menghimpunkan manusia serta diperbuat beberapa kebajikan daripada jamuan, dan membaca Quran, dan berzikir, dan membaca kisah maulid ..." (Cahaya Islam ditulis, hlm. 4-5).
Haji Sulong al-Fathani, menolak pendapat golongan tertentu yang mengatakan mengadakan perayaan maulid adalah bidaah yang keji (terlarang), selanjutnya beliau menulis: "Maka sesungguhnya berbuat maulid itu bidaah. Akan tetapi masuk di dalam bahagian "bidaah hasanah" diberi pahala akan orang yang mengerjakan dia, seperti memperbuat ibadat yang sunat ... Maka perhamba sebutkan sedikit fasal bahagian bidaah kerana takut terkeliru di atas mereka yang tidak tahu bahagian bidaah, maka ia berkata bahawasanya berbuat maulid itu bidaah yang keji atau haram, seperti sangkaan mereka yang telah disesatkan ..." (Cahaya Islam ditulis, hlm. 5-6).
Selepas itu, Haji Sulong al-Fathani menyebut ada lima jenis yang dinamakan bidaah itu iaitu: pertama, bidaah wajib, seperti menulis al-Quran atau mencetaknya. Begitulah juga sekalian ilmu syarak kerana khuatir hilang. Menyampaikan kepada orang yang kemudian daripada kita adalah wajib dengan ijmak ulama.
Kedua, bidaah haram, seperti melakukan kezaliman dengan menafikan undang-undang syarak, memuliakan orang jahil dulu daripada memuliakan orang alim, melantik kadi atau imam mereka yang tidak layak, tetapi kerana dengan sebab pusaka daripada datuk neneknya yang berpangkat.
Ketiga, bidaah sunat, seperti sembahyang Tarawih berjemaah kerana itulah berkata Saidina Umar: “Sebaik-baik bidaah itu ialah sembahyang Tarawih dengan berjemaah.
Keempat, bidaah makruh, seperti menentukan kelebihan sesuatu hari untuk melakukan amal.
Kelima, bidaah harus, seperti mengayak sekam daripada tepung gandum kerana menghaluskan makanan. Membaik akan dia itu harus. Maka memperbuat hendak beri jadi baik makanan itu pun harus pula. (Cahaya Islam ditulis, hlm. 7-13).
Haji Sulong al-Fathani berpegang bahawa merayakan maulid Nabi SAW termasuk dalam kategori bidaah hasanah atau sunat dikerjakan. Untuk menguatkan pendapat itu beliau memetik pendapat antaranya Syeikh Ibnu Hajar al-'Asqallani, Imam as-Suyuthi, al-Muhaddits Muhammad bin Mas'ud al-Kazaruni, sedangkan mereka adalah ulama ahli hadis yang sangat terkenal. Semua pendapat ulama itu dilengkapi dengan petikan yang agak panjang dan pada beberapa tempat disebut pula kitab rujukan.
Sebagai penutup bahagian pengenalan Cahaya Islam karya Haji Sulong menulis: "Dan telah lalu cerita Hikayat Raja al-Muzhaffar Abu Said, bahawasanya membelanjakan hartanya pada berbuat maulid di dalam setahun tiga puluh laksa dinar. Maka janganlah mengikut pengugut iblis, yang ia berkata kepada seseorang, "Janganlah engkau belanjakan harta engkau kepada jalan kebajikan, lama-lama habis harta engkau jadi papa, maka jadilah engkau orang miskin." Maka itulah jadi bakhil dan lokek tidak berbuat sesuatu kebajikan dengan hartanya. Maka minta Allah Taala menjauhkan hal yang semacam itu daripada kita." (Cahaya Islam ditulis, hlm. 42).
TIDAK banyak kitab Melayu/jawi yang membicara dan membandingkan pelbagai firqah akidah (73 firqah/golongan) dalam bahasa Melayu. Ia termasuk pada peringkat awal yang ditulis pada 1188 hijrah/1774 masihi oleh Syeikh Muhammad Arsyad bin ‘Abdullah al-Banjari.
Judul kitab itu Tuhfah ar-Raghibin fi Bayan Haqiqah Iman al-Mu'minin wa ma Yufsiduhu min Riddah al-Murtaddin. Selanjutnya disingkat dengan Tuhfah ar-Raghibin.
Sekurang-kurangnya ada tiga kitab dalam bahasa Melayu diberi judul dengan singkatan Tuhfah ar-Raghibin dengan kandungan berbeza.
Sebuah lagi ialah Tuhfah ar-Raghibin karya Syeikh Daud bin ‘Abdullah dan yang terakhir ialah Tuhfah ar-Raghibin karya Syeikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani (Pontianak).
Walaupun pernah ada pendapat bahawa Tuhfatur Raghibin adalah karya Syeikh ‘Abdus Shamad al-Falimbani, semuanya sudah saya jawab sebelum ini. Justeru, dalam artikel ini tidak perlu dibicarakan lagi.
Dalam artikel ini secara pasti adalah karya Syeikh Muhammad Arsyad bin ‘Abdullah al-Banjari. Saya mulakan dengan beberapa manuskrip salinan yang dijumpai. Salinan yang tertua pada1209H/1794M. Bererti penyalin hidup sezaman dengan pengarangnya Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari (meninggal dunia 1227 H/1812 M). Mungkin sahabatnya atau muridnya.
Salinan lain dilakukan Mustafa bin Abdul Ghafur al-Banjari pada Rabu, 3 Zulhijah 1237/21 Ogos 182.
Salinan satu lagi oleh Muhammad Nuruddin ibnu Haji Abdul Ghafur al-Fathani pada 12 Rabiulakhir 1293/5 Jun 1876. Disalin semula oleh Ahmad ibnu al-Marhum Raman pada 8 Rabiulakhir 1299/27 Mac 1882.
Di Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia pula tersimpan beberapa manuskrip Tuhfatur Raghibin, antaranya MS 5, salinan Haji Muhammad bin Abdullah, pada Sabtu 11 Zulhijah 1292/8 Januari 1876 di Kampung Parnu, Melaka.
Tuhfatur Raghibin dalam edisi cetakan terawal dilakukan di Istanbul, Turki. Ia diusahakan Syeikh Ahmad al-Fathani dan dicetak Mathba'ah al-Haji Muharram Afandi. Edisi cetakan kedua dapat dibuktikan sebagai karangan Syeikh Muhammad Arsyad bin ‘Abdullah al-Banjari atas usaha salah seorang keturunan beliau iaitu Syeikh Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari, Mufti Kerajaan Inderagiri.
Cetakan yang menyatakan karangan Syeikh Muhammad Arsyad bin ‘Abdullah al-Banjari dilakukan Mathba’ah Al-Ahmadiah, Singapura, 1347 H, dinyatakan: “... Tuhfatur Raghibin ...ta'lif (maksudnya: karangan, pen:) al-'Alim al-'Allamah asy-Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari ...”. Di bawahnya tertulis: “Telah ditashhihkan risalah oleh seorang daripada zuriat muallifnya, iaitu ‘Abdur Rahman Shiddiq bin Muhammad ‘Afif mengikut bagi khat muallifnya sendiri ...” Di bawahnya lagi tertulis, “Ini kitab sudah cap dari negeri Istanbul fi Mathba'ah al-Haji Muharram Afandi.”
Di antara kandungan terpenting Tuhfatur Raghibin ialah membicarakan firqah (golongan) pemikiran akidah dalam Islam. Mengenai perkara ini, Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari memetik hadis yang beliau terjemah sebagai berikut: “Bahawasanya, adalah kaum Bani Israil bercerai-cerai (terpecah, pen:) mereka itu kemudian daripada Nabi Musa tujuh puluh tiga kaum, sekaliannya di dalam neraka, melainkan satu kaum yang masuk syurga. Dan bercerai mereka itu kemudian daripada Nabi Isa, tujuh puluh dua kaum, sekaliannya di dalam neraka, melainkan satu kaum yang masuk syurga. Dan lagi akan bercerai-cerai umatku kemudian daripadaku tujuh puluh tiga kaum, sekaliannya itu isi neraka melainkan satu kaum jua yang masuk syurga.” Maka sembah segala sahabat, “Siapa yang satu kaum itu, ya Rasulullah?” Maka sabda Rasulullah SAW: “Iaitu yang aku di dalamnya dan segala sahabatku.”
Menyentuh golongan tasawuf, ada golongan sufi dikecam keras oleh Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, sebaliknya ada pula sufi yang beliau bela. Sebagai contoh Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari menyebut bahawa golongan wujudiyah terbahagi kepada dua iaitu wujudiyah mulhid dan wujudiyah muwahhid.
Takrif istilah mulhid beliau huraikan pada beberapa tempat, di antaranya kata beliau: “... mulhid dan dinamakan akan dia zindiq.”
Pada halaman lain Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari menulis: “Maka kunyatakan pula akan iktikad kaum mulhid yang bersufi-sufi diri seperti yang telah dinyatakan zindiq oleh Imam Ghazali, dan Syeikh Abu an-Najid Syahruardi, dan Imam Najamuddin Umar an-Nasafi, dan lainnya ... Syahdan adalah kaum yang bersufi- sufi diri itu amat sesatlah mereka itu, tiada patut dinamai akan dia sufi. Hanya terutama dinamai akan dia kafir atau fask...” Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari menegaskan, “Iktikad mulhid lagi zindiq sepatutnya dibunuh akan dia, jika ia enggan daripada taubat.”
Ketegasan itu dikemukakan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah disebabkan golongan mulhid mengiktikadkan bahawa bagi mereka tidak perlu lagi menjalankan syariat kerana ia hanya untuk orang awam saja. Golongan mereka melangkaui syariat kerana ibadat mereka adalah semata-mata batin.
Mengenai istilah wujudiyah muwahhid katanya: “... iaitu segala ahli sufi yang sebenarnya. Dan dinamai akan mereka itu wujudiyah kerana adalah bahas, dan perkataan, dan iktikad mereka itu pada wuju Haq Taala.”
PELBAGAI cara ulama dunia Melayu untuk memajukan umat Islam bangsa Melayu dari mula kedatangan Islam ke rantau ini hinggalah ke zaman ini. Seperti lebih 1,000 tahun lalu dan dapat dibuktikan sampai sekarang, Universiti Al-Azhar Mesir bertahan dan berkembang dengan sistem wakafnya.
Pada 1948 salah seorang ulama dunia Melayu, Syeikh Haji Junid Thala al-Mandaili, bekas alumni Universiti Al-Azhar menyusun sebuah kitab berjudul Kitab Kaifiyat Mengadakan Waqaf Muslim. Sebahagian besar kandungannya berpedomankan dengan sistem wakaf di Universiti Al-Azhar yang disesuaikan dengan keadaan di dunia Melayu terutama diterapkan di Perak dan tanah Mandailing, Sumatera Utara, Indonesia.
Dalam pengamatan saya Kitab Kaifiyat Mengadakan Waqaf Muslim adalah satu-satunya pedoman pelaksanaan sistem wakaf dalam bahasa Melayu, hingga artikel ini ditulis belum dijumpai karya lainnya.
Kitab Kaifiyat Mengadakan Waqaf Muslim ditulis dengan tulisan Melayu/Jawi. Pada bahagian kulit depan dinyatakan ‘Dikarang oleh asy-Syeikh Junid Thala Al-Azhari di dalam negeri Perak, tahun 1348 H’ (kira-kira bersamaan dengan 1929 M). Dicetak oleh Al-Mathba’ah Al-Marbawiyah, dekat Universiti Al-Azhar, Mesir. Diberi kata pengantar oleh sahabatnya Syeikh Idris al-Marbawi. Syeikh Idris al-Marbawi yang juga pemilik percetakan itu. Beliau adalah sahabat Syeikh Haji Junid Thala al-Mandaili, sama-sama belajar di Universiti Al-Azhar.
Pada kata pengantar Kaifiyat Waqaf Muslim itu, Syeikh Idris al-Marbawi memperkenalkan sahabatnya sebagai berikut: ‘Pengarang kitab ini ialah bernama Tuan asy-Syeikh Junid Thala al-Mandaili, seorang daripada orang alim kita (Melayu) yang dapat tanda atau surat pengakuan dari Syeikh al-Islam Mesir, yang ianya pas (pass-lulus) pelajaran beberapa ilmu di dalam sekolah tinggi Azhar. Menghabis ia akan hemahnya di dalam pelajarannya di Azhar lebih dari tiga tahun. Saya nampak dengan mata kepala dan mata hati, payahlah seorang penuntut agama ketikanya berhemah sepertinya istimewa orang yang berada di Mesir sekarang pun. Cukup warak, dan setia Tuan Syeikh itu masa di Mesir, dan berhati wathani (maksudnya: berjiwa kasih pada tanah air, pen:)."
Mengenai pentingnya wakaf, Syeikh Idris al-Marbawi menyebut: ‘Tidak berapa lama ia memperhatikan Mesir, ia pun tahulah setengah daripada yang memajukan orang Mesir dunia akhiratnya, ialah harta wakaf.’
Syeikh Idris al-Marbawi menulis selanjutnya: ‘Asy-Syeikh Junid tahukan Azhar itu boleh hidup dan kembang pelajaran dari semenjak hampir seribu tahun yang lalu, dengan harta wakaf. Maka harta wakaf Azhar itu amat banyak dan berkatnya, sampai sekarang menanggung beribu-ribu ulama dan berpuluh ribu murid. Diketahui oleh Syeikh Junid terdiri Dar al-Ulum di Mesir dengan harta wakaf, dan terdiri beberapa sekolah doktor, dan rumah sakit faqir, dan lainnya di Mesir cukup dengan alatnya dan pemeliharaannya dengan harta wakaf ..."
Ada enam garis besar pelaksanaan wakaf yang disarankan asy-Syeikh Junid Thala dalam Kaifiyat Waqaf Muslim itu.
Setiap satu daripada yang enam itu pula ada beberapa bahagian yang digariskan.
Oleh sebab masyarakat pada zaman penulisan itu adalah bergantung kepada pertanian Syeikh Junid Thala mendahulukan ‘Wakaf Tanah Bendang’. Menerusi ‘Wakaf Tanah Bendang’ ada 14 pedoman untuk pelaksanaannya, di antaranya ialah:
1. Disewa sebidang tanah dan dikerjakan bersama-sama pendapatannya dibelikan kepada harta yang berkekalan dijadikan wakaf.
2. Muafakat membeli tanah dan dikerjakan bersama-sama atau disewakan pendapatannya dijadikan wakaf.
Menerusi subjudul yang kedua ‘Wakaf Daripada Zakat’ ada enam pedoman untuk pelaksanaannya, di antaranya ialah:
1. Guru yang mengajar pada satu tempat apabila diberi kepadanya sesuatu daripada barang mana jenis zakat hendaklah ia himpun harta itu atau harganya. Apabila sudah cukup maka dibelikan kepada harta yang berpanjangan didapat hasilnya dijadikan wakaf. Dibelanjakan pendapatannya itu kepada pelajaran agama kita Islam.
2. Apabila sudah terjadi wakaf daripada harta zakat itu, maka guru itu hendaklah bersungguh-sungguh menasihat dan memberi tahu akan sekalian murid pada ketika mengajar dan lain-lain waktu. Bahawa mereka itu memberi zakat akan dia sekaliannya supaya dibelikan pula harganya itu kepada harta yang lain dijadikan wakaf penambah kepada zakat sedia ada itu. Demikianlah dilakukan selama-lamanya.
Menerusi subjudul yang ketiga ‘Wakaf Daripada Wang’ ada 13 pedoman pelaksanaan. Menerusi subjudul yang keempat ‘Wakaf Daripada Tanah Darat’ terdapat 33 pedoman pelaksanaan.
Menerusi subjudul yang kelima ‘Wakaf Daripada Perniagaan’ ada 11 pedoman pelaksanaan. Dan terakhir sekali menerusi subjudul yang keenam ‘Wakaf Daripada Pertukangan’ ada 21 pedoman pelaksanaan.
Kalimat akhir Syeikh Junid Thala dalam kitab Kaifiyat Waqaf Muslim adalah sebagai berikut, ‘Perhimpunan daripada ulama mengadakan mathba'ah kitab (percetakan kitab) dan lain-lain serta diberitahu kepada sekalian ahli negeri bahawa tujuannya akan mengadakan bagi pelajaran yang umum manfaatnya bagi kita sekalian maka keuntungannya dijadikan wakaf bagi yang tersebut itu.’
ASH-SHIRAT al-Mustaqim, karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri yang diperkenalkan adalah kitab fiqh, iaitu bahagian ibadah pertama dalam bahasa Melayu. Selepas 200 tahun barulah muncul kitab fiqh yang lengkap mengenai Kitab Ibadah, Kitab Munakahat, Kitab Mu’amalat dan Kitab Jinayat yang dikumpulkan dalam satu kitab.
Judul kitab ialah Hidayah al-Muta’allim wa ‘Umdah al-Mu’allim. Catatan nama pada halaman kulit al-‘Alim al-‘Allamah wa Bahjatud Din wa Shahibul Karamah asy-Syeikh Daud bin asy-Syeikh ‘Abdullah al-Fathani. Diselesaikan di Makkah, pada 12 Jumadil Akhir 1244 H/20 Disember 1828 M.
Manuskrip asli kitab ini belum ditemui, manuskrip salinan terbaik dilakukan oleh Tok Kelaba al-Fathani. Cetakan ditemui oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1312 H.
Dicetak pula oleh percetakan yang sama pada 1322 H. Cetakan ini atas perbelanjaan Syeikh Muhammad Majid al-Kurdi al-Makki. Tercatat cetakan bahawa pengarangnya dimakamkan di Thaif, bersebelahan dengan Saidina ‘Abdullah bin ‘Abbas R.A. Dicetak pula oleh percetakan yang sama tahun 1331 H. Catatan pada kulit depan sama dengan cetakan pada 1322 H tetapi nama Syeikh Muhammad Majid al-Kurdi al-Makki ditiadakan kerana hak mencetak dikembalikan kepada ahli waris dengan pendaftar pada peraturan Majlis Idarah al-Wilayah, pada 15 Mac 1326 H nombor 8.
Nama ahli waris yang terdaftar ialah Syeikh 'Abdullah Daud dan Syeikh Muhammad Nur Daud, kedua-duanya anak Syeikh Muhammad Daud al-Fathani (maksudnya Syeikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani). Pentashhih asal Hidayah al-Muta’allim ialah Syeikh Ahmad al-Fathani tetapi, pada cetakan dinamakan pentashhih kepada saudara sepupu dan muridnya Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani.
Kandungan utama Hidayah al-Muta’allim ialah membicarakan fiqh lengkap dalam Mazhab Shafie dalam empat judul terdiri daripada Kitab Ibadah, Kitab Munakahat, Kitab Mu’amalat dan Kitab Jinayat. Tetapi pada bahagian awal juga membicarakan 'aqidah.
Pada bahagian akhir pula membicarakan tasawuf. Dinyatakan pada kulit depan kitab, ‘Yang melengkapi atasnya beberapa ilmu. Setengah daripadanya ‘aqaid al-iman, dan ahkam fiqhiyah, dan furu’ yang syar’iyah.’ Pada kulit depan juga ada catatan Syeikh Ahmad al-Fathani mengenai pengarangnya, ditulis dalam gaya puisi Melayu, klasik. Tulisan beliau ialah guru yang mempunyai ketinggian dan kelebihan yang jali.
Yang menzahirkan segala bendaraan ilmunya, akan tiap-tiap rahsia yang khafi. Yang meratakan dengan hujan manfaatnya, akan sekalian anak jenisnya bangsa Melayu dan lainnya. Dan menceracakan kelam jahil mereka itu, dengan cemerlang hidayat-Nya. Dan baginya banyak karangan yang indah, yang tiada ada baginya umpama Mengakulah dengan keelokannya, dan dalam ilmunya oleh segala ulama.
Setengah daripada karangannya, ini kitab yang mempunyai kelebihan yang ‘azhim. Ia mengandung akan fawaid dan masail, yang mempunyai manfaat yang ‘amim.
Sungguh pun sasaran utama Hidayah al-Muta’allim adalah ilmu fiqh, tetapi susunannya dimulai dengan hadis mengenai ilmu. Sesudahnya membicarakan empat puluh hadis dalam pelbagai kategori. Bahagian 'aqidah Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani selain membicarakan pengenalan terhadap sifat yang wajib diketahui beliau menyenaraikan pula 77 cabang iman. Sebagai contoh ‘perang sabil’ ditempatkan pada cabang iman yang ketujuh. Mengenai 77 cabang iman tidak ada dalam kitab Melayu/ Jawi membicarakannya.
Bahagian ilmu fiqh dimulai dengan Kitab Thaharah dan berakhir dengan keseluruhan Kitab Jinayat yang mengenai terdiri pelbagai kitab, bab dan fasal. Dalam Hidayah al-Muta’allim banyak juga perkara yang dapat kita kaitkan dengan isu yang terjadi pada zaman ini.
Pendapat yang bercorak nasihat Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani menyebut bahawa ‘jika ada orang itu ikutan orang banyak seperti Qadhi atau Mufti hendaklah sembunyikan diri daripada merokok itu. Peringkat terakhir mengenai merokok, menurut Syeikh Daud 'Abdullah al-Fathani, adalah ‘haram’ terhadap orang yang memberi mudarat pada tubuhnya atau akalnya’ (hlm 128).
SELEPAS membanding pelbagai riwayat dan tarikh yang termaktub dalam pelbagai penulisan di dunia Melayu, saya berpendapat risalah berjudul Bahr al-Lahut adalah penulisan berbentuk risalah atau kitab yang pertama dihasilkan di dunia Melayu.
Risalah Bahr al-Lahut pertama kali saya perkenalkan dalam buku berjudul Perkembangan Tasawuf dan Tokoh-Tokohnya di Nusantara diterbitkan oleh Al-Ikhlas, Surabaya, 1980. Pertama kali diperkenalkan ialah manuskrip yang ditulis dalam bahasa Arab. Lebih kurang sepuluh tahun sesudah itu ditemui pula beberapa manuskrip terjemahan ke dalam bahasa Melayu.
Bahr al-Lahut adalah dikarang oleh Syeikh 'Abdullah 'Arif seorang ulama, pedagang yang berasal dari Makkah. Kedatangan Syeikh 'Abdullah 'Arif ke Aceh kurun ke-13 Masihi disebut dalam majalah an-Nida' al-Islami yang diterbitkan dalam bahasa Arab dan Melayu di Makkah al-Mukarramah, Zulhijjah 1356 hijrah bersamaan Februari 1938 Masihi.
Berdasarkan beberapa pendapat yang berbeza-beza menyebut Syeikh 'Abdullah 'Arif sampai di Aceh pada 1177 Masihi. Penyelidikan terkini ada pendapat lain mengenai ketibaan Syeikh 'Abdullah 'Arif di Aceh, ialah pada 506 Hijrah/1111 Masihi dan pada 560 Hijrah/1165 Masihi.
Walau pun dalam Bahr al-Lahut tidak dinyatakan tarikh selesai penulisan, namun berdasarkan ketibaan Syeikh 'Abdullah 'Arif (pengarangnya) di Aceh itu dapat dipastikan bahawa Bahr al-Lahut adalah penulisan pertama yang dihasilkan di dunia Melayu
Manuskrip Bahr al-Lahut dalam bahasa Arab dijumpai hanya sebuah, manuskrip yang diterjemah ke bahasa Melayu ada beberapa buah. Manuskrip dalam bahasa Arab adalah salinan yang diusahakan oleh Syeikh Yusuf Tajul Khalwati Makasar.
Secara umum kandungan Bahrul Lahut adalah membicarakan 'aqidah, tasawuf dan kejadian alam semesta. Dimulakan dengan kisah kejadian ‘Nur Muhammad’, dilanjutkan dengan kejadian alam semesta, tujuh petala langit, tujuh petala bumi, alam yang nyata dan alam yang ghaib.
Allah mengangkat darjat Nabi Muhammad SAW pada sisi Keagungan-Nya. Nabi Muhammad SAW adalah makhluk Allah yang paling tinggi kedudukannya jika dibandingkan dengan semua makhluk yang dijadikan oleh Allah SWT. Nabi Muhammad SAW adalah Nabi yang awal pada kejadian ‘Nur’ dan Nabi yang akhir pada kejadian sebagai utusan Allah di permukaan bumi.
Tiada Nabi yang lain sesudah Nabi Muhammad SAW. Allah menjadikan sekalian-Nya daripada Nur al-Wilayah dan Nur an-Nubuwah. Nur al-Wilayah dan Nur an-Nubuwah itu adalah sifat Nabi Muhammad Nur al-Wilayah itu tempatnya pada batin (tersembunyi) sedang Nur an-Nubuwah itu tempatnya pada zahir (nyata).
Sesungguhnya ada lagi yang dinamakan ‘jauhar’. Bahawa jauhar yang pertama dinamakan 'Alamul Kabir (Alam Besar). Selain itu Allah menjadikan sekalian rangkaian susunan kejadian kosmos yang dinamakan 'Arasy, Kursi, Lauh al-Mahfuz, Qalam, Samawat (Langit), al-Ardh (Bumi), an-Nujum (bintang) syurga dan neraka berserta sekalian penghuni dan isinya. Sekalian kejadian itu adalah ajaib belaka. Ada pun bumi dihuni oleh sekalian bangsa manusia, haiwan, jin dan syaitan.
Pegangan aqidah Syeikh 'Abdullah 'Arif sama juga dengan pegangan ulama Ahli Sunnah wal Jama'ah yang muktabar, mengenai tiada sesuatu yang tersembunyi bagi Allah. Lalu beliau memetik pendapat yang di namakan ahlus sirri (maksudnya orang yang dapat mengetahui perkara rahsia hakikat dan pen:).
Menurut Syeikh 'Abdullah 'Arif ahlus siri berkata, "Ada pun Allah Ta'ala itu melihat pada jauh dan melihat pada hampir sekaliannya." Pengertian Syeikh 'Abdullah 'Arif mengenai syahadat pula beliau huraikan sebagai berikut, "Berkata ahli al-musyahadah, "Adapun tempat syahadat itu, bahawa melihat ia bagi dirinya, maka tiada dapat tiada segala orang yang Mu'min dipandang yang demikian itu, maka sahlah pandangannya seperti Allah dan Rasul-Nya. Diumpamakan seperti orang melihat sehari bulan dan melihat purnama bulan dengan penuhnya.
Maka berkata orang ahlul isyarah, "Ada pun sehari bulan itulah hendak menjadikan purnama bulan adanya." Selanjutnya dihuraikan mengenai Islam, kata beliau "Ketahui olehmu bahawa Islam dan kamal al-Islam (kesempurnaan Islam) itu adalah dikukuhkan daripada kalimah syahadah. Ada pun kamal al-Islam itu, maka memandang yang sebenar-benarnya, tulus dan ikhlasnya, iaitu mukmin dengan sebenar-benarnya kerana penglihatan itu seperti sabda Nabi S.A.W, "Barang siapa berfikir dengan sekejap mata sekali pun, kerana memikirkan Allah Taala, maka terlebih baik daripada berbuat ibadat seribu tahun lamanya."
Syeikh 'Abdullah 'Arif membahas selanjutnya, "Maka berkata orang ahl al-Muqabalah, "Jadikan dirimu dengan perintah Tuhanmu dengan sempurna adamu dengan kudrat Tuhanmu. Maka dijadikan diri kamu itu sebagai tempat kenyataan kenal kepada Tuhanmu" Untuk menguatkan pegangan Syeikh 'Abdullah 'Arif menggunakan dalil firman Allah Taala, dalam surah al-Qashash, ayat 88, bermaksud, "Tiap-tiap sesuatu itu binasa juga melainkan yang tiada binasa hanya Allah, bagi-Nya kekuasaan menentukan hukum, dan kepada-Nya kamu dikembalikan."