Utusan Malaysia, 23 Disember 2006
KHAYRALLAH Effendi, masyhur sebagai pentadbir dan ahli sejarah serta seorang doktor kenamaan yang turut mempunyai pengetahuan luas dalam bidang pertanian dan fizikal. Beliau berasal dari sebuah keluarga doktor dan dilahirkan di Istanbul pada 1235H/1819- 1820M. Pada mulanya, beliau ingin mengikut jejak langkah ayahnya, Abdul Hak Mollah tetapi berubah menjadi mullah di Izmir pada tahun 1256H/1840-1841M. Kemudian, kedudukannya diangkat menjadi kadi di Mekah. Beliau mendalami bidang perubatan di Mektab-i-Tibbiyye dan lulus pada 1260H/1844M. Pada bulan Rejab 1265H/1849M, Khayrallah dilantik sebagai salah seorang anggota Dewan Pendidikan. Dipercayai, beliau juga menduduki jabatan wakil Presiden Acedemy of Arts and Science pada 1268H/1852M. Khayrallah kembali ke dunia pendidikan pada 1854M dan dilantik sebagai Menteri Sekolah-sekolah Umum. Tiga tahun kemudian, beliau ditarik ke Kementerian Pendidikan dan diberi tanggungjawab sebagai wakil Setiausaha Agung. Tidak lama kemudian, beliau memangku jawatan sebagai Timbalan Menteri. Pada 21 Mei 1859M, beliau dilantik menjadi pentadbir pada Mektab-i-Tibbiyye iaitu sekolah perubatan di mana beliau menamatkan pengajiannya. Selama tiga tahun menjalankan tugas sebagai pengetua, beliau kemudiannya memegang jawatan sebagai Pengarah Bahagian VI Kota Madya Istanbul pada bulan Rejab 1278H/1865M. Pada bulan Safar 1281H/1864M, beliau dilantik sebagai anggota Majlis-i Walayy-i Ahkam-i Adliyye. Sekembalinya ke Istanbul, beliau ke Tehran sebagai Menteri Uthmaniah Istana Parsi. Dicatatkan, beliau meninggal dunia di Tehran pada bulan Syawal 1282H/1865M. Melalui aktiviti tulisannya, Khayrallah banyak memberi sumbangan kepada modenisasi Turki. Beliau mengusahakan penulisan sebuah sejarah umum mengenai Uthmaniah yang diterbitkan di Istanbul pada 1271-1281H dengan tajuk Dewlwt-i Aliyye-i Othmaniyye Tarik sebanyak satu jilid. Karya tersebut membahaskan mengenai sejarah kerajaan Uthmaniah pada 1026H/1617M. Penulisannya kemudian diteruskan oleh Ali Syewki yang mengungkapkan sejarah kerajaan tersebut hingga tahun 1058H/1648M dan diterbitkan di Istanbul pada 1289M. Di samping tugas Khayrallah dalam bidang pendidikan dan pentadbiran, beliau turut terkenal sebagai dramatis penggubah sandiwara Uthmaniah yang pertama. Ini berpandukan kepada karyanya berjudul, Hikayet-i Ibrahim Pasha be Ibrahim-i Gulsheni yang ditulisnya pada tahun 1260H/1844M. Antara karya Khayrallah yang lain ialah Malakat-i Tibbiyye, kumpulan naskhah-naskhah perubatan yang diterbitkan di Istanbul pada 1258H. Kemudian, Beyt-i Dekhan-i, sebuah naskhah yang membahas masalah pertanian yang diterbitkan di Istanbul pada 1264H. Perjalanannya ke Eropah pada 1864M untuk berubat juga diterangkan dalam bentuk cerita yang boleh ditemui di Perpustakaan Fakulti Bahasa, Sejarah dan Geografi Ankara, Turki. Labels: ilmuan islam |