Utusan Malaysia, 16 november 2006
Oleh ZUARIDA MOHYIN | PASANGAN Nurul Annisa’ Abang dan Mohd. Farid Wardi Mohd. Bajury bersama penyeri rumah tangga mereka, Nur Khadra Maisarah. |
ATAU (keadaan orang kafir itu) adalah umpama (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal; (demikianlah) gelap-gelita berlapis-lapis apabila ia mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya. (al-Nur: 40) Ayat di atas ini sedikit sebanyak ada persamaannya dengan kisah hijrah akidah wanita kelahiran Kuching, Sarawak, Nurul Annisa’ Abang, 26, empat tahun lalu. Biarpun sebelum itu, beliau aktif dengan agama Kristian dan merupakan pengikut setia agama tersebut namun tidak ada makhluk yang terkecuali daripada qada dan qadar Allah s.w.t. Jika dahulu, kepercayaannya kukuh dengan agama warisan keluarga tetapi selepas peristiwa kemalangan jalan raya yang dialami pada awal 2002 menjadi titik awal yang membawa kepada pengislaman. “Pada masa itu, saya dalam perjalanan ke tempat kerja. Motosikal yang saya tunggang berlanggar dengan sebuah van. Akibatnya saya mengalami kecederaan teruk dan menerima 17 jahitan di dagu, patah gigi serta kaki kanan patah dua dan terpaksa dimasukkan besi. “Paling serius saya koma selama tiga hari. Dalam situasi itulah saya seolah-olah mengalami sesuatu yang agak pelik iaitu saya mendengar satu suara yang menyatakan sekiranya saya mati, saya mati dalam kufur. Ia berlaku berulang-ulang. “Apabila saya sedar, saya bertanyakan kepada kakak angkat saya, Norliza Ahmad Yusof dan dia membawakan saya buku tentang sirah Rasulullah s.a.w. Sepanjang dalam cuti rehat panjang itulah, saya membaca dan mula tertarik dengan peribadi Baginda s.a.w.,” cerita Nurul Annisa’ berkongsi pengalaman luar biasanya sewaktu penulis berkunjung ke rumahnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Tambah Nurul Annisa’ atau lebih mesra dengan panggilan Annisa’, selain membaca buku-buku yang dipinjamkan oleh kakak angkat dan teman-teman, beliau juga mencari inisiatif untuk mendalami Islam sekali gus memperoleh keyakinan. Ketika kakitnya masih bersimen dan bergerak menggunakan tongkat, Annisa’ memenuhi hasrat untuk mengenali mengenai Islam. Sewaktu meronda-ronda itulah, beliau ternampak bangunan ibu pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. “Saya tidak menyangka setelah tujuh hingga lapan tahun berhijrah ke Kuala Lumpur bersama keluarga, rupa-rupanya itulah bangunan Perkim. “Saya tidaklah bertekad untuk memeluk Islam tetapi sekadar untuk mengenali. Saya duduk di ruang tamu sebelum berjumpa dengan pegawai bertugas. Apabila bertemu dengan Ustaz Amran, dia meminta saya bercerita tentang agama saya. Saya agak pelik, tetapi menurut sahaja permintaannya. “Sebelum pulang, saya takut berlaku kemalangan dan tidak sempat hendak peluk Islam lalu terpacul dari mulut saya untuk bergelar Muslim. Tiga orang kawan datang menjadi saksi pengislaman. Alhamdulillah, tidak ada masalah melafazkan syahadah kerana saya biasa mendengarnya melalui televisyen selain mungkin kebiasaan saya suka mendengar dan mengikut laungan azan,” kata Annisa’ yang tidak terus pulang ke rumah selepas detik bermakna itu tetapi bersama kawan-kawan keluar makan dan mandi sunat sempena pengislaman. Kemudian barulah Annisa’ seperti baru tersedar daripada mimpi bahawa keluarganya yang lain belum Islam jadi bagaimana dengan nasib dirinya. Annisa’ menumpang di rumah temannya sehingga Maghrib dan sebelum pulang ke rumah, seorang teman menasihatkannya membaca ‘Bismillah’ dan melangkah masuk menggunakan kaki kiri. *Disembunyikan Selama beberapa minggu, rahsia pengislaman Annisa’ berjaya disembunyikan dan dia seperti biasa akan ke Perkim. Namun, lama-kelamaan ibunya dapat menghidu kelainan pada Annisa’. “Saya sudah tidak makan di rumah dan sentiasa beli dari luar. Bila emak tidak bekerja, saya akan keluar tetapi pada satu hari itu, saya tidak sempat menyorokkan telekung dan dari situlah rahsia saya terbongkar. “Emak tidak menampakkan kemarahannya tetapi dia menekan saya dengan menyediakan makanan dan minuman. Saya jadi serba salah dan Allah membantu, bila sepupu mengajak saya makan di luar. “Namun semuanya diluahkan selepas dua bulan pengislaman. Bapa pula dapat tahu daripada teman sekerja yang ternampak saya di surau. Bapa tidak kisah dan saya juga bersyukur mempunyai seorang ketua yang memahami dan sentiasa memberi sokongan,” akui Annisa’. Gadis ini sebelum memeluk Islam membuat kajian tentang agama asal dan agama Islam. Malah beliau amat tidak bersetuju sekiranya ada pihak yang mempertikaikan pengislaman dan menganggap semuanya gara-gara hendak berkahwin dengan pemuda beragama Islam. Ini terbukti apabila Annisa’ pernah bersemuka dengan seorang pemimpin agama asalnya atas permintaan ibunya untuk menjelaskan kenapa beliau memilih Islam. Akhirnya emak menerima keputusan pengislaman Annisa’ tetapi beliau tidak betah duduk di rumah kerana emak selalu menjemput kumpulan gereja berkumpul di rumah. Atas faktor tersebut, Annisa’ kemudiannya mengambil keputusan berpindah ke rumah kawan. “Setahun kemudian, ibu jatuh sakit dan saya diberitahu keadaan ibu setelah beberapa hari berada di Unit Rawatan Rapi (ICU). Bermula saat itulah, saya cuba bina semula hubungan baik dengan emak. Apatah lagi, saya pernah mengalami mimpi selepas pengislaman iaitu seolah-olah berada di Padang Mahsyar, di mana semua manusia dibahagi-bahagikan mengikut agama. “Saya menitiskan air mata bila mengenangkan bagaimana keadaannya dengan keluarga kami. Lantaran sejak itu, saya tidak henti-henti berdoa agar mereka turut sama menerima hidayah Allah. Saya akui saya mungkin tidak berdakwah dengan kata-kata tetapi berusaha menunjukkan contoh akhlak mulia, penekanan aspek kebersihan dan mengambil berat hubungan kekeluargaan (sungguhpun berbeza kepercayaan),” terang Annisa’ yang berdarah kacukan Iban dan Cina. *Membuka minda Malah akuinya lagi, beliau tidak berdakwah mengenai keindahan Islam tetapi menyentuh mengenai kelemahan agama asalnya agar secara tidak langsung, dapat mencetuskan kesedaran dan membuka minda mereka. Annisa’ tidak segan mengakui perjalanan pengislaman beliau juga melalui frasa-frasa tertentu. Sebagai contoh selepas memeluk Islam, beliau memperoleh ketenangan jiwa tetapi masih belum sepenuhnya menurut ajaran Islam terutamanya dari segi berpakaian tetapi perkenalan dengan suami seusia, Mohd Farid Wardi Mohd. Bajury, lebih menyedarkannya. “Kami berkenalan pada tahun selepas saya mengucap dua kalimah syahadah. Alhamdulillah doa saya agar dipertemukan dengan seorang lelaki yang dapat memberi didikan agama termakbul. Suami saya memperkenalkan Islam secara lebih luas malah kami selalu membincangkan isu-isu yang lebih serius seperti isu imam, ulama, perbezaan mazhab dan banyak lagi,” jelasnya. Pada awalnya kata Annisa’, emak berharap beliau berkahwin dengan seorang yang mualaf tetapi rupa-rupanya bakal bermenantukan seorang lelaki Melayu. Namun, suaminya tidak pandai bermuka-muka dan akhirnya keluarga dapat terima. “Malah sehingga kini, kami begitu selesa apabila pulang ke rumah kerana ibu amat menghormati dan memahami soal halal dan haram, terutamanya dalam urusan pemakanan. “Saya pernah beberapa kali diminta memakai tudung bagi melengkapkan pengertian seorang Muslim. Alasan yang selalu diberi ialah belum sampai seru. Apabila suami mempersoalkan bagaimana sekiranya hasrat kita dibalas serupa oleh Allah s.w.t. “Saya mula tersentak dan alhamdulillah sebulan sebelum diijab kabul saya dengan rela hati bertudung,” katanya yang kini dikurniakan puteri sulong, Nur Khadra Maisarah, tujuh bulan. Annisa’ bercita-cita untuk menjadi pendakwah bagi saudara baru, bagaimana beliau terlebih dahulu berhasrat menguasai bahasa Arab dan belajar ilmu tafsir. Harapan beliau seterusnya ialah menunaikan haji jika diizinkan Allah. Labels: saudara baru |