Blog ini mengandungi koleksi artikel yang berguna sebagai infomasi dan rujukan untuk diriku dan orang lain dari harakahdaily, utusan Malaysia, berita harian, Tranungkite Online dan dari beberapa website lain. Terdapat juga sedikit tulisanku di dalam blog ini.
Dakwah cyber mestilah diterokai oleh pendakwah muslim walau pun bidang ini masih baru. Sebagai OKU inilah kesempatan bagiku untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah. "Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Semesta Alam": Weblog Master 28 Ogos 2006
Fatwa Pengharaman Anti-hadith
Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini:
Ajaran Golongan Anti Hadith
ISI AJARAN
1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.
2. Menolak dua kalimah Syahadah.
3. Menolak Qada' dan Qadar
4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12
Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada
wahyu.
5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca
kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam
6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.
TARIKH MUNCUL
1985
TEMPAT BERKEMBANG
Seluruh Malaysia
TINDAKAN/HUKUMAN
Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:
1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996
2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46
3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78
4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3
(Sumber: )
Penutup
Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari
golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai
sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah
difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal
'iya zubillahi min zalik.
Fatwa Mufti Perak
Kategori : Akidah
Tajuk :
Gerakan Anti-hadis
Isu :
"A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK –
(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;
(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di dalam
al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;
(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;
(d) "The Computer Speaks – God's Message To The World" yang ditulis
oleh Dr. Rashad Khalifa,
adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang
bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta
mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran
dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku
tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith
yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai
sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan
Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan
mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian
sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.Adalah mengandungi
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan
aqidah dan syariah Islamiah serta menglirukan dan boleh
menyesatkan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan.
B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang
kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung
dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu
kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah,
syariah dan akhlak Islamiah.
Fatwa :
Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh Seksyen 34 (2) Enakmen
Pentadbiran Agama Islam 1992, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul
Ridzuan membuat fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa
"Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak" Darul Ridzuan pada 2
Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995, dan atas titah perintah
Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa tersebut seperti
berikut
C. OLEH YANG DEMIKIAN –
(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik ", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu –
Hadith di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer
Speaks: God's Message To The World"; adalah murtad;
(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang -
(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan
berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-
ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World";
(b) mencetak, menerbitkan, memiliki,
menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan
buku "Hadis Satu Penilaian Semula," "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World"; atau mana-mana bahagiannya, termasuk –
(i) apa-apa bentuk, versi atau
variasinya;
(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa
bahasa;
(iii) apa-apa bahan publisiti yang
bertujuan memberikan publisiti
kepada mana-mana buku itu,pada atau
atas apa-apa bahan, sama ada bahan
cetak atau elektronik atau
selainnya atau melalui apa-apa
media; atau
(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana
Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan
atau mengembangkan kumpulan sedemikian."
Kanak-kanak Islam Sekolah Agama Nurul Yakin, Kemboja ini terpaksa berkongsi tempat semata-mata untuk mendalami ilmu agama Islam.
Melayu Champa merupakan kaum minoriti dengan jumlah penduduk 500,000 daripada 13 juta rakyat Kemboja. Pengislaman orang Cham bermula sejak tahun 1000 Masihi.
Umat Islam di Kemboja masih berada pada tahap kemiskinan dan ekonomi yang rendah terutama peluang mendapatkan pendidikan serta pekerjaan yang sempurna. Bahkan peluang yang ada pun terhad kerana jumlah penduduknya melebihi jumlah permintaan pasaran tenaga kerja sedia ada.
Tahap ekonomi yang rendah di samping penawaran buruh yang tinggi menyebabkan ramai rakyat Kemboja menganggur. Kebanyakan masyarakat Melayu-Champa terlibat dengan aktiviti pertanian dan perikanan yang menjadi sumber utama pendapatan diri dan keluarga.
Mengikut sejarah, Empayar Champa merangkumi kawasan pertengahan dan selatan Vietnam. Namun akibat peperangan antara golongan Champa dan Vietnam yang berlaku ratusan tahun lamanya, berlaku penghijrahan orang Champa ke Kemboja, Patani, Semenanjung Malaysia dan Borneo. Malah kebanyakan mereka menetap di timur Kemboja, bersebelahan dengan Vietnam. Islam datang ke Kemboja melalui jalan laut, dibawa oleh pedagang dan pelayar Islam. Kebanyakan umat Islam di Kemboja berasal dari Thailand, daripada sebuah kerajaan yang dimusnahkan dalam peperangan dan kebangkitan. Bagaimanapun, sehingga tahun 1975, masih terdapat kira-kira 75 masjid yang bersejarah di negara ini.
Paling menyayat hati semasa pemerintahan rejim komunis Pol Pot pada tahun 1975 hingga 1979 di Kemboja. Waktu itu, dianggarkan seramai 2 juta rakyat Kemboja termasuk golongan Melayu Champa dan para alim ulama dibunuh serta diseksa. Bangsa Melayu-Champa yang keseluruhannya beragama Islam, bertutur dalam bahasa Cham serta mempunyai adat resam dan sejarah yang dapat menjadi iktibar akan keperitan yang mereka alami di bumi Kemboja.
Seperti di semua negara-negara komunis yang lain, polisi kejam yang menindas umat Islam telah diwujudkan. Perang telah diisytiharkan ke atas nilai-nilai keagamaan rakyat dan rejim terbabit melakukan kezaliman dalam usaha mereka memalingkan rakyat dari agama yang dianuti.
Beratus-ratus ribu umat Islam dibunuh. Statistik berikut sudah cukup untuk membuktikan kira-kira 200,000 umat Islam hidup di Kemboja pada hari ini. Sebelum revolusi komunis, angkanya adalah 800,000 orang, iaitu umat Islam mewakili seramai tujuh peratus daripada keseluruhan. Kini walaupun negara itu telah bebas daripada cengkaman peperangan, ia masih dibelenggu dengan masalah kemiskinan ekonomi.
Di Kemboja terdapat 370 kampung Islam dengan jumlah penduduk 1,600 keluarga dengan tahap pendidikan yang rendah.
Masyarakat Islamnya mendapat pendidikan secara tidak formal seperti mengaji di sekolah-sekolah pondok yang kebanyakan dikelolakan oleh pertubuhan-pertubuhan Islam dan individu tertentu. Kedaifan masyarakat Kemboja cukup malang apabila kanak-kanak Islam di sana menghadiri kelas pengajian al-Quran dengan kemudahan yang amat menyedihkan.
Biarpun kanak-kanak hanya berkaki ayam atau selipar berselut lumpur tetapi ia tidak mematikan semangat mereka mendalami ilmu agama. Kebanyakan mereka sanggup hadir ke kelas mengaji al-Quran dan muqaddam semata-mata untuk mempelajari ilmu-ilmu asas iaitu ilmu mengurus diri seperti akidah, akhlak, tilawah, hadis dan tafsir.
Kesanggupan mereka wajar dipuji kerana walaupun hidup serba kekurangan namun hati mereka tetap reda dengan ketentuan ilahi. Kepayahan hidup lantaran kemiskinan masyarakat Islam di sini membelenggu setiap ahli keluarga yang menyebabkan mereka terpaksa meminjam kitab al-Quran dan muqaddam yang lusuh dan sering bertukar tangan.
Itulah gambaran yang menyentuh perasaan setiap insan yang melihat kemiskinan hidup yang mereka lalui. Malahan bukan itu sahaja, lantai bilik yang hanya beralaskan tanah, kerusi meja yang hampir reput dimakan anai-anai, dinding bilik yang tidak bersimen, tiada kipas dan kemudahan asas lain. Namun bagi mereka, itu bukan penghalang bagi mentelaah ilmu agama.
Betapa beruntung kanak-kanak Islam di Malaysia yang mendapat pendidikan yang baik dan sempurna, namun menjadi alasan sesetengah ibu bapa di zaman serba moden ini tidak menghantar anak-anak ke sekolah agama atas alasan lebih mementingkan ilmu duniawi semata-mata.
Keringat
Menghayati perjuangan kanak-kanak Islam Kemboja mengajak masyarakat Malaysia mengambil iktibar. Ini kerana ia bukan lakonan atau dibuat-buat tetapi itulah realiti yang terpaksa mereka hadapi dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Malahan sifat pengorbanan para alim ulama di Kemboja menjadi penyumbang di atas usaha meningkatkan syiar Islam dan agama yang suci ini. Mereka mengetepikan soal wang dan keringat semata-mata bagi mencurahkan ilmu agama agar terus subur di dalam jiwa dan sanubari anak-anak muda Islam Kemboja.
Mereka tidak dibayar gaji tetapi sekadar menerima sumbangan orang ramai yang menghulurkan bantuan derma ikhlas daripada pihak tertentu dan individu. Keperitan dan kesusahan mereka seharusnya menjadi pegangan dan pengajaran oleh rakyat Malaysia supaya mensyukuri nikmat Allah s.w.t.
Ini kerana, kita di Malaysia dikurniakan rahmat dan rezeki yang secukupnya, Bahkan dapat menjalani kehidupan dengan sempurna dan selesa.
Berbanding masyarakat Islam Kemboja, di mana umat Islamnya kurang bernasib baik. Mereka sering dihina dan dicap sebagai mundur dan daif. Dalam keadaan ini kita perlu sama-sama renungi dan menginsafi kesusahan umat Islam di Kemboja.
Rakyat Malaysia hendaklah bersyukur kerana kita masih lagi mewah dalam makan minum dan keamanan yang membolehkan kita beribadat dalam keadaan tenang, tanpa rasa takut dan terancam. Sebagai sebuah negara Islam kita digalak prihatin atau membantu orang lain yang hidup susah dan menderita.
Antara peristiwa penting yang berlaku pada Rabiulawal adalah peperangan 'Al Hittin' di antara tentera Islam yang dipimpin oleh Salahuddin al-Ayyubiy menentang tentera Salib pada 583 Hijrah bersamaan Julai 1187 Masihi.
Berkenaan dengan nama peperangan itu ada juga ahli sejarah yang memanggilnya 'Hattin'. Begitu juga dengan tarikh bermulanya peperangan ini, ada ahli sejarah yang berpendapat ia berlaku pada Rabiulakhir. Meskipun ada percanggahan dalam penetapan tarikh ini, namun apa yang lebih penting peperangan ini membawa mesej besar kepada seluruh dunia Islam dulu, kini dan selama-lamanya. Ini kerana, peperangan ini berjaya membuka peluang kepada umat Islam ke arah pembebasan penguasaan tentera salib ke atas Baitulmaqdis. Di sebalik peperangan ini sebenarnya tersirat bagaimana kewibawaan dan kepahlawanan seorang pejuang Islam - Salahuddin, yang berjaya menyatukan seluruh tentera dan umat Islam bagi menghapuskan Rom selaku kuasa besar ketika itu. Kekalahan tentera Salib di tangan Salahuddin dalam pertempuran ini adalah kemuncak kejayaan beliau dalam kempen membebaskan bumi Islam daripada pencerobohan kuasa Barat. Kemenangan Salahuddin itu turut membolehkan Baitulmaqdis bebas daripada penjajahan tentera Salib selama 88 tahun. Menjelang peperangan itu, tentera Islam berkumpul untuk mengatur strategi serangan secara besar-besaran di pesisiran pantai berhampiran Tasik Tiberias, Palestin. Tentera Islam diketuai antara pemerintah agungnya, Salahuddin, manakala askar tentera Salib pula berkumpul di barat Tasik Tiberias. Perisik Islam berjaya menjejaki pergerakan tentera musuh, termasuk perkhemahan mereka. Berikutan itu, tentera Islam diketuai Salahuddin mengepung askar Salib pada waktu malam hingga terbit kemunculan fajar. Nyata, pada sebelah siangnya meletus pertempuran sengit berhampiran Hittin di sebelah Tasik Tiberias serta timur bandar Akko dan Haifa. Dalam pertempuran itu, tentera Islam berjaya menumpaskan ramai askar Salib serta menjadikan 150 orang sebagai tawanan, termasuk pembesar mereka. Jelas sekali, Perang Hittin adalah antara kemenangan Islam yang gemilang dan wajar menjadi rujukan dan renungan ummah hari ini yang berdepan pelbagai krisis termasuk ancaman daripada musuh Islam khususnya Barat. Sebagai pejuang kental, Salahuddin pernah berkata 'untuk menjadi umat yang berjaya, kekuatan ekonomi, politik dan ketenteraan tidak memadai. Benteng yang paling kental katanya adalah perpaduan dan kekuatan akidah'. Kejayaan Salahuddin membebaskan Baitulmaqdis yang juga ditawan tentera Salib pada 1099 adalah hasil keupayaan beliau menyatupadukan umat Islam di Mesir, Palestin, Syria dan Iraq. Salahuddin meninggal dunia pada 4 Mac 1193 ketika berusia 55 tahun. Kematiannya mengakhiri sumbangan besar pemimpin agung ini yang mula berjuang di medan perang ketika berusia 16 tahun. Sumber : www.massej.info
ANTARA peristiwa penting dan bersejarah berlaku kepada diri Rasulullah serta Muslimin pada bulan Syaaban ialah peristiwa perubahan arah kiblat daripada menghadap Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis ke arah Masjidil Haram (Kaabah) di Makkah al-Mukaramah.
Kisah perubahan kiblat ini terjadi pada tahun kedua hijrah. Rasulullah SAW menunaikan solat menghadap ke Baitulmaqdis selama 16 atau 17 bulan. Namun, baginda ingin menghadap ke arah Kaabah sebagai kiblatnya. Selepas diperintahkan Allah untuk berpaling ke Kaabah, solat pertama dilakukan baginda ialah solat Asar yang diikuti oleh beberapa orang sahabat.
Sesudah itu, seorang sahabat keluar dari masjid dan melihat di dalam masjid yang lain orang sedang rukuk dan masih menghadap ke arah Baitulmaqdis. Maka dia berseru: Demi Allah SWT, aku bersaksi bahawa aku bersolat bersama Nabi Muhammad menghadap ke Kaabah di Makkah. Kemudian orang yang bersolat itu terus berpusing menghadap ke Kaabah dalam solat itu juga. (Hadis riwayat Bukhari).
Ibnu Sa'ad di dalam kitab al-Tabaqat ada meriwayatkan bahawa Rasulullah sedang melawat Ummu Bisyr bin al-Barra' bin Mabrur di kawasan Bani Salamah. Beliau menyediakan jamuan untuk Rasulullah dan sahabatnya. Apabila tiba waktu solat zuhur, baginda bersolat di masjid perkampungan itu. Ketika baginda berada dalam rakaat yang kedua, turun wahyu daripada Allah memerintahkannya agar menukar arah dari Masjidil Aqsa ke arah Kaabah di Masjidil Haram.
Baginda terus berpaling menghadap ke arah Kaabah ke sudut bertentangan dengan mizab (saluran emas) dengan pusingan 180 darjah dan terus menyambung baki solatnya. Oleh kerana itu masjid itu dinamakan Masjid Qiblatain yang masih lagi ada di Madinah dan adalah salah satu tempat lawatan oleh jemaah yang mengerjakan umrah mahupun haji di sana.
Imam Bukhari juga ada meriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar ketika orang bersolat subuh di masjid Quba', tiba-tiba datang berita mengatakan Rasulullah diarahkan supaya menghadap ke Kaabah, maka mereka pun berpaling ke arah itu.
Mengenai perbezaan riwayat berkenaan perubahan kiblat di atas, al-Hafiz Ibnu Hajar ada menjelaskan bahawa solat pertama ke arah Kaabah ialah solat di Bani Salamah di masjid Qiblatain iaitu solat zuhur. Solat pertama menghadap kiblat di Masjid Nabawi pula ialah solat asar. Manakala solat subuh pula ialah di masjid Quba.
Setelah berlaku perubahan kiblat itu, orang munafik dan kaum Yahudi meragui kejadian itu lalu bertanya: Apakah yang menyebabkan mereka berpaling dari kiblat yang mereka hadapi selama ini? Oleh sebab itu, Allah menurunkan ayat 142 sebagai jawapan kepada pertanyaan yang sengaja dilontarkan oleh kaum Yahudi sebagai bahan ejekan dan sindiran untuk mengelirukan kaum Muslimin. Sehubungan itu, Allah berfirman yang bermaksud: Orang yang bodoh itu akan berkata: Apakah yang menyebabkan orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka hadapi selama ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Timur dan Barat itu kepunyaan Allah s.w.t. (maka ke mana saja diarahkan Allah untuk menghadap, maka wajiblah dipatuhi). Allah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.'' (Surah al-Baqarah, ayat 142)
Perubahan arah kiblat ini adalah satu tamparan yang cukup hebat kepada kaum Yahudi yang selama ini begitu berbangga dengan kiblat mereka iaitu Baitulmaqdis sehingga mereka mencemuh dan mengejek umat Islam kerana terpaksa bergantung dan mengikut mereka walaupun dalam menentukan arah solat pada ketika itu.
Malah, kewajipan bersolat menghadap kiblat adalah satu perintah dan ketetapan daripada Allah dan sesiapa saja tidak boleh mempersoalkan mengapa perlu menghadap ke Kaabah apabila melakukan solat. Inilah sebenarnya konsep ketaatan dan kepatuhan yang mutlak hanya kepada Allah saja dalam apa juga keadaan dan tidak boleh disamakan dengan ketaatan kepada makhluk.
Berkaitan dengan Kaabah, Rasulullah pernah bersabda: Kaabah itu kiblat bagi orang yang di dalam masjid dan masjid itu bagi orang yang di Tanah Haram (Makkah) itu kiblat bagi penduduk bumi dari barat hingga ke timur daripada umatku. (Hadis riwayat Al-Qurthubi).
Kemuncak daripada peristiwa ini ialah ia melambangkan kebenaran daripada Allah untuk kembali berkiblatkan Kaabah, sekali gus ia adalah contoh doa Rasulullah yang dikabulkan oleh Allah. Ini disebabkan Rasulullah sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah itu diperkenankan oleh Allah pada Syaaban.
Selanjutnya, sebahagian kaum Muslimin berkata: Kami ingin mengetahui mengenai orang yang meninggal dunia sebelum pemindahan kiblat (dari Baitulmaqdis ke Kaabah). Bagaimana juga dengan ibadat solat kami sebelum ini ketika kami masih menghadap ke arah Baitul Maqdis. Maka turunlah ayat 143 surah al-Baqarah yang menegaskan bahawa Allah s.w.t. tidak akan mensia-siakan iman mereka yang beribadah mengikut ketentuan ketika itu.
Firman Allah yang bermaksud: Dan demikianlah Kami jadikan kamu (umat Muhammad) sebagai satu umat pilihan dan pertengahan supaya kamu menjadi pemberi keterangan (saksi) kepada umat manusia (tentang kebenaran dan kebatilan), dan Rasulullah akan menjadi saksi kebenaran kamu. Dan Kami jadikan kiblat yang dahulu itu hanyalah sebagai ujian untuk mengetahui siapakah yang benar-benar mengikut Rasul dan siapa pula yang berpaling tadah.
“Sesungguhnya (peralihan arah kiblat) itu sangat berat kecuali kepada orang yang diberikan petunjuk oleh Allah. Dan Allah tidak akan mensia-siakan dan menghilangkan keimanan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengasihani dan Merahmati orang yang beriman.” (Surah al-Baqarah, ayat 143).
Mafhum ayat suci di atas menegaskan kedudukan umat Islam sebagai umat pilihan dan pertengahan serta akan menjadi saksi pada hari akhirat kepada umat yang sebelum ini.