Utusan Malaysia, 12 oktober 2006
Oleh: ZUNAIDAH ZAINON | ZAHRA WENDY SMITH ABDULLAH bersama suaminya, Dr. Shamsul Amri Baharuddin. |
TIGA puluh tahun lalu, Wendy Smith menjejakkan kakinya ke bumi Malaysia sebagai pelajar pengajian Jepun dan antropologi dari Universiti Monash, Melbourne, Australia. Wendy fasih bertutur dalam bahasa Jepun kerana beliau pernah menetap di negara matahari terbit itu selama tiga tahun. Tetapi, Wendy agak keberatan untuk ke Malaysia memandangkan bidang pengajiannya lebih menjurus kepada pengajian Jepun. Bagaimanapun, atas nasihat pensyarahnya, Prof. Michael Swift yang menyelia tesisnya bagi peringkat Doktor Falsafah (Ph.D), Wendy akhirnya bersetuju menjalankan kajian mengenai sistem pengurusan syarikat Jepun di Malaysia dan perkongsian sistem pengurusannya dengan syarikat-syarikat tempatan. Kebetulan pensyarahnya itu pernah membuat kajian mengenai kehidupan masyarakat Melayu di Jelebu, Negeri Sembilan. Memandangkan terdapat ramai pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian antropologi di Universiti Monash, mereka menyarankan agar Wendy berjumpa dengan Shamsul Amri Baharuddin yang kemudiannya menjadi penuntut doktor falsafah (Ph.D) universiti tersebut. Sewaktu di Kuala Lumpur, Wendy ditemukan dengan Shamsul yang pada masa itu merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Shamsul dalam proses melanjutkan pelajaran ke peringkat doktor falsafah (Ph.D). Perkenalan yang pada mulanya sekadar teman biasa bertambah erat apabila mereka menyedari masing-masing berkongsi minat yang sama, baik dalam akademik mahupun sukan. Mereka bertukar-tukar pendapat mengenai bidang antropologi. Kedua-duanya juga bermain skuasy untuk pasukan universiti. Persahabatan itu akhirnya membibitkan perasaan cinta dalam hati kedua-dua insan ini. Pada masa yang sama, Wendy terpaksa pulang ke Australia setelah kajiannya selesai. Setelah setahun, akhirnya mereka mengambil keputusan untuk berkahwin. Pengalaman Wendy selama dua tahun menetap di Malaysia sebenarnya telah mendedahkannya kepada budaya hidup masyarakat Melayu dan agama Islam. Bahkan beliau mendalami Islam terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan memeluk Islam pada November 1978 di Masjid Preston yang merupakan masjid tunggal di Melbourne pada waktu itu. Selepas itu, pada Januari 1979, pasangan ini diijab kabul di Pejabat Kadi Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. “Sebenarnya, saya sudah terdedah dengan Islam sejak mengenali Prof. Michael Swift. Amat membanggakan kerana penyelia Ph.D saya ialah lelaki Inggeris yang beragama Islam. Beliau berkahwin dengan seorang wanita Melayu semasa menuntut di Universiti Malaya yang ketika itu kampusnya terletak di Singapura. Mengenalinya sebagai pensyarah, akhirnya ia serba sedikit menjentik naluri saya untuk mendalami agama Islam,” cerita Dr. Wendy Smith atau nama Islamnya Zahra Smith Abdullah ketika ditemu bual di Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), UKM, Bangi baru-baru ini. Beliau yang kini berusia 55 tahun ialah Pengarah Pusat Pengajian Malaysia, Universiti Monash di Melbourne, Australia dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Institut Australia-Malaysia (AMI). Suaminya, Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, 56, pula merupakan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) dan Institut Kajian Oksidental (IKON), UKM. Menurut Wendy, pemahamannya mengenai Islam semakin jelas selepas mengerjakan ibadah sembahyang dan berpuasa yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam. Beliau berpendapat, agama adalah satu amalan yang digabungkan dengan disiplin dan pembelajaran. Katanya, Islam memberi peluang kepada manusia biasa meninggalkan kehidupan yang sibuk untuk beramal ibadah. “Saya tidak mahu dikatakan memeluk Islam semata-mata untuk mendapatkan kelulusan berkahwin kerana apabila seseorang mengambil keputusan menukar agamanya, maka bermula satu tanggungjawab yang amat berat dalam hidupnya,” kata beliau. Wendy berkata, memeluk Islam adalah keputusan yang paling sukar dalam hidupnya kerana selama 28 tahun beliau dibesarkan dalam keluarga yang berfahaman Kristian-Anglican dan menuntut di sekolah perempuan Methodist. Beliau juga tidak mampu membayangkan betapa terlalu banyak cara hidupnya yang akan bertukar sebaik sahaja melafazkan dua kalimah syahadat. “Elemen paling besar yang meninggalkan impak dalam diri kita ialah budaya hidup seperti muzik, perkahwinan, nilai hidup, masyarakat dan sikap yang diajar dalam Kristian. Apabila mengambil keputusan untuk memeluk Islam, saya secara tiba-tiba menyedari tentang identiti diri selama ini yang kelihatan agak terbatas dengan fahaman agama. Bagi memastikan saya memeluk Islam dengan ikhlas, saya mendalami Islam dengan sebenar-benarnya,” tambahnya. Selain membaca buku-buku mengenai Islam terutama mengenai ahli sufi yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris, Wendy juga berpeluang mendalami Islam apabila pulang menetap di Malaysia semenjak Ogos 1983. Ketika itu Shamsul sudah selesai menyiapkan tesisnya dan kembali bertugas di UKM. Mereka kemudian menetap di Seremban, Negeri Sembilan. “Saya juga mempelajari al-Quran yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Semakin banyak mendalami tentang Islam, saya semakin yakin dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai muslim. Dalam Islam, kita perlu mendirikan solat lima waktu, berpuasa, mengambil wuduk, berdoa kepada Allah dan sebagainya yang memerlukan tahap pengetahuan yang tinggi. “Amat menyeronokkan apabila membaca dan menghafal doa dalam bahasa Arab dan belajar solat. Saya masih ingat, pada peringkat awal dulu, saya sediakan sebuah buku kecil yang penuh dengan diagram sebagai panduan untuk bersolat. Bahkan, saya juga banyak mengajukan soalan kepada ayah mertua,” cerita Wendy mengenai pengalaman awalnya bergelar muslim. Solat lima waktu yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam, bagi Wendy, adalah peluang untuk ‘berehat’ dan merenung keagungan Allah s.w.t.. Ketika mendirikan solat, umat Islam dapat merehatkan diri daripada kesibukan kerja seharian dan berinteraksi dengan orang ramai. Beliau berpendapat sedemikian kerana dalam agama Buddha dan Kristian, hanya sami dan paderi yang melakukan ibadat sembahyang setiap hari. Berbanding Islam, setiap umatnya diwajibkan mengerjakan ibadah solat dan tidak tertumpu pada individu tertentu. Begitu juga dengan ibadah puasa yang benar-benar menguji ketahanan rohani dan diwajibkan ke atas semua umat Islam. Puasa, kata Wendy, mampu membangkitkan kesejahteraan ummah. Islam adalah satu-satunya agama yang membuatkan setiap manusia rasa dipunyai dan meningkatkan semangat kerohanian. “Secara keseluruhannya, Islam lebih menekankan konsep kefahaman harian secara spiritual. Walau bagaimanapun, ia memberi faedah kepada manusia terutama dari segi kesihatan, emosi, perhubungan sesama manusia dan pembangunan kerohanian. Dari perspektif ekonomi juga, ia merupakan sebahagian daripada konsep pembangunan kendiri di mana setiap individu berperanan untuk menyokong lain-lain anggota masyarakat dan Allah s.w.t.,” jelas Wendy mengenai kelebihan agama Islam. Selepas lapan tahun tinggal di Malaysia, Wendy terpaksa pulang ke Melbourne kerana ayahnya menghidap penyakit leukemia. Beliau membawa kedua-dua anaknya ke Australia dan tinggal bersama ibu bapanya untuk melalui saat-saat sukar tersebut. Pada masa yang sama, beliau memperoleh pekerjaan sebagai pensyarah di Universiti Monash. Sejak itu, beliau dan suami terpaksa berulang-alik antara Malaysia dan Australia kerana masing-masing sudah terikat pada komitmen kerja. Anak sulung mereka, Maryam, 23, kini bekerja sebagai pereka hiasan dalaman. Maryam menetap di Kuala Lumpur selepas menamatkan pengajian dari Royal Melbourne Institute of Technology University (RMIT) manakala adiknya, Imran, 20, sedang mengikuti pengajian rekaan industri di RMIT. Menceritakan pengalamannya sebagai profesional muslim di Australia, Wendy berkata, pihak universiti di Monash menyediakan segala kemudahan untuk kakitangan dan pelajar beragama Islam seperti surau yang lengkap dengan bilik mengambil wuduk. Masjid pula terletak berdekatan dengan universiti dan mengambil masa lima minit berjalan kaki. Kebanyakan pelajar Islam datang dari negara Asia Barat dan Asia Tenggara termasuklah pelajar Australia yang berketurunan Turki. Di Australia juga, terdapat sekolah-sekolah untuk pelajar beragama Islam dan lulusannya berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti. Malah, makanan halal juga disediakan di kafeteria universiti. “Sewaktu menyampaikan kuliah kepada para pelajar, saya sering kali memberitahu mereka bahawa saya beragama Islam. Saya mengajar subjek pengurusan di negara-negara Asia dan apabila berkait dengan Malaysia, saya tekankan tentang agama Islam. Ini memberi peluang kepada mereka untuk mengajukan soalan mengenai Islam. “Begitu juga apabila saya menyampaikan kuliah mengenai pemasaran peringkat antarabangsa, tidak boleh tidak perlu ditekankan mengenai kepentingan pemasaran bagi produk-produk kegunaan orang Islam. Mereka perlu tahu bahawa terdapat banyak perkara sensitif, misalnya tidak boleh diletakkan sebarang ayat al-Quran di atas pembungkus makanan atau barang kegunaan,” jelasnya. Sebenarnya, adalah baik dapat memberikan pengetahuan mengenai Islam dalam sektor ekonomi kerana ia amat penting untuk perkembangan ekonomi peringkat global dan perdagangan Australia. Usahawan Islam yang berupaya membangunkan produk halal seperti makanan, ubat-ubatan dan barangan kosmetik adalah penting bagi perkembangan ekonomi Australia. “Saya rasa, pada masa kini, kerajaan Australia amat prihatin dengan keperluan orang Islam. Malah kita boleh membeli yogurt di pasar raya dengan tanda logo halal,” terang Wendy. Begitu juga dengan kehidupan masyarakat Islam di Australia yang tidak jauh bezanya dengan Malaysia. Sejak awal lagi, masyarakat Turki di sana merangka pembekalan dan penghantaran daging halal di seluruh Melbourne. Sepanjang Ramadan, majlis berbuka puasa sudah menjadi satu tradisi di kalangan masyarakat Islam kerana mereka berbuka puasa terlalu lewat kerana waktu Maghrib masuk pada pukul 9 malam. Sekolah-sekolah untuk pelajar beragama Islam juga membentuk panorama yang cukup menarik di Australia kerana mereka berpeluang mendalami cara hidup Islam selain menyediakan kelayakan untuk memasuki institut pengajian tinggi. “Saya turut menghormati wanita muda Islam Australia yang memakai hijab dan ia boleh dilihat di mana-mana sahaja sama ada di bank atau di kedai. Ini menjadi sebahagian daripada masyarakat yang berbilang budaya di sana. Di samping itu, setiap masjid juga menyediakan kemudahan untuk khairat kematian. Malah tanah perkuburan awam juga menyediakan kawasan khusus untuk orang Islam,” cerita Wendy mengenai kehidupan masyarakat Islam di Australia. Mengenai peranannya sebagai ahli jawatankuasa eksekutif dalam AMI, beliau menyifatkan ia sebagai sumbangan yang paling bermakna dalam hidupnya kerana beliau mempunyai ‘pertalian’ yang cukup erat dengan Malaysia. Bukan sahaja kasih dan cintanya tertumpah pada lelaki berbangsa Melayu dan Malaysia menjadi rumah keduanya, malah anaknya, Imran, turut dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan. Ikatan yang akrab ini menjadikan penglibatannya dalam AMI adalah peluang terbaik untuk merapatkan hubungan Australia dan Malaysia yang telah beberapa tahun menjalin kerjasama dalam sektor perdagangan dan pendidikan. “AMI adalah pengalaman yang cukup menarik apabila saya menjadi satu-satunya anggota eksekutif yang beragama Islam. Saya berpeluang memberitahu mereka mengenai betapa indahnya menjadi seorang muslim dan pernah menetap di Malaysia. Saya yakin dapat memainkan peranan dengan baik dengan adanya hubungan positif dengan Malaysia,” jelas Wendy yang ternyata bersyukur diberi peluang mencurahkan khidmatnya melalui AMI. Sebagai ahli akademik, beliau bertanggungjawab melaksanakan skim biasiswa kepada para pelajar lepasan ijazah di kedua-dua negara. Di bawah skim itu, terdapat tiga kategori biasiswa. AMI membuka peluang kepada pelajar Australia yang berminat untuk melanjutkan pengajian di Malaysia dalam bidang politik, bahasa, sastera dan sejarah. Pelajar Malaysia yang berminat juga boleh melanjutkan pelajaran di Australia. Bagi meningkatkan kualiti bidang penyelidikan, AMI memberi peluang kepada penyelidik Malaysia dalam pelbagai bidang seperti perubatan, fizik atau pendidikan melakukan kajian mereka di Australia. Semua kursus ini memakan masa selama 12 minggu di Australia atau Malaysia dengan kos berjumlah $10,000 dolar Australia. Menurutnya, pemberian biasiswa itu dibuat sebagai memenuhi matlamat AMI untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat di negara ini dengan Australia. AMI turut menganjurkan program pertukaran media dengan menjemput para wartawan dari kedua-dua negara menulis pelbagai artikel dan isu yang diharapkan dapat menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku di negara masing-masing. Bagi pelajar pula, mereka berpeluang mengikuti program pertukaran pelajar antara Australia dan Malaysia. “AMI berusaha untuk menjana pembentukan jiwa yang positif melalui program pertukaran pelajar Islam antara Australia dengan Malaysia. Ini dapat memberi gambaran jelas mengenai kedudukan Islam di kedua-dua negara terbabit dan seterusnya menjamin hubungan yang baik secara berterusan,” kata Wendy mengakhiri perbualan. |