Utusan Malaysia, 29 september 2006
Oleh: MUZLINA ABU BAKAR | HAFIZI (kanan) bersama krew dan para sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3). |
SETIAP kali melihat wajah pengacara Sahabat, Hafizi Harun pada setiap hari Khamis pukul 9.30 malam di TV9, pasti hati penonton akan terasa sayu. Anak muda berusia 29 tahun ini cuba tersenyum dalam setiap segmen program itu, namun pada wajahnya tergambar kesedihan silam yang tidak mampu disembunyikannya. Hafizi yang dilantik sebagai Duta Belia Negara pada Mei lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyimpan cerita duka sendiri. Mungkin ramai yang tidak menyangka Hafizi dulu ialah seorang penagih dadah. Bagaimanapun, setelah menyedari perbuatannya itu memusnahkan diri sendiri, Hafizi bingkas bangkit untuk menjalani kehidupan sebagai beliau yang berguna bukan sahaja kepada diri sendiri malah juga untuk bangsa dan negara. Berkat kesabaran neneknya, anak sulung daripada lima beradik ini berjaya meninggalkan najis dadah yang membelenggu hidupnya selama 10 tahun. “Saya mula menagih dadah ketika berumur 13 tahun. Semuanya gara-gara salah pergaulan. Walaupun ketika itu saya cuma menghisap rokok tetapi disebabkan kerap menjadi orang suruhan mereka, akhirnya saya terjebak dan menjadi penagih tegar. “Untuk menjauhkan saya daripada dadah, ayah dan ibu menghantar saya ke kampung di Kuala Pilah. “Tapi perkiraan mereka silap kerana di sana saya bagaikan terkena kejutan budaya kerana duduk dengan nenek. Saya semakin liar dan mudah keluar rumah. “Bagaimanapun, apabila umur saya mencecah 19 tahun saya mula sedar betapa bodohnya saya menjadi penagih,” cerita Hafizi. Kasih sayang nenek, Kasiah Abdullah, 77, dan datuk Jaafar Shamsuddin, 75, serta berkat doa mereka menguatkan semangat Hafizi untuk berubah. *Menginsafi Hafizi mula menginsafi diri dan kembali ke pangkal jalan setelah ditangkap di sebuah pusat membeli-belah di Seremban. Setelah ditahan reman dia dihantar ke Rumah Pengasih di Kuala Lumpur pada 27 Januari 1997. “Di sana kami berkongsi pengalaman. Hanya kami yang tahu apa yang kami rasai kerana bahasa kesengsaraan kami sama sahaja. “Selain kawan-kawan, saya amat berterima kasih kepada Presiden Pengasih, Yunos Patih yang banyak membantu saya,” kata Hafizi. Kini Hafizi bukan sahaja dipilih sebagai pengacara Sahabat malah dia juga dilantik sebagai Duta Belia Commonwealth peringkat Asia dan berpeluang berjumpa dengan Putera Charles di London pada Mac lalu. Hafizi juga kini menjadi salah seorang penceramah di Pengasih. “Sebagai hos Sahabat saya berasa begitu seronok kerana dapat berkongsi rasa dan pengalaman dengan remaja untuk melahirkan remaja yang sihat dan berwawasan,” kata Hafizi. Kata Hafizi, program Sahabat tidak bertindak sebagai penyelesai masalah, jauh sekali mencari kesalahan atau menjadi hakim mengadili remaja. Sebaliknya ia tampil sebagai satu platform untuk memberi ruang kepada remaja meluahkan masalah masing-masing. Labels: Kisah Keinsafan/ Taubat |