Utusan Malaysia, 29 september 2006
Susunan: ZUNAIDAH ZAINON
WALAUPUN Islam sudah bertapak di Albania sejak 600 tahun lalu, kebanyakan anak muda beragama Islam terpaksa berhijrah ke Asia Barat demi menuntut ilmu. Pada 1990, beratus-ratus pelajar dari Albania berhijrah ke negara-negara Islam untuk meneruskan pelajaran melalui biasiswa yang ditawarkan. Tetapi agak mengecewakan, apabila pulang ke kampung halaman, mereka membawa fahaman dan ideologi berbeza. Para pemerhati percaya kerajaan Albania sedang melalui masa-masa yang sukar apabila meluluskan pembinaan Universiti Katolik sedangkan penduduk Islam yang membentuk majoriti berjumlah 3.5 juta itu tidak mempunyai universiti khusus untuk para pelajar beragama Islam. Bahkan, bilangan gereja juga jauh lebih banyak di Albania berbanding masjid iaitu dalam lingkungan 270 hingga 1,667 buah sebelum era komunis. Percubaan untuk menubuhkan sebuah universiti Islam di Albania terbukti bukan satu usaha yang sia-sia. Malah Universiti al-Azhar, Persekutuan Organisasi Islam di Eropah dan Turki sentiasa berusaha memastikan matlamat tersebut tercapai. Bagi memastikan usaha menubuhkan sebuah universiti Islam, sebuah pertubuhan dikenali sebagai Islamic Sheikdom di Albania telah mewujudkan satu jawatankuasa khas sebagai tindakan susulan penubuhan universiti Islam pertama di Albania selepas mendapat persetujuan awal untuk membinanya. Ia akan dibina di Tirana. “Jawatankuasa ini akan membuka akaun bank bagi mengumpul dana pembinaan universiti baru kerana undang-undang Albania melarang sebarang bentuk penubuhan tabung yang berkaitan dengan agama,” kata Timbalan Pengerusi Sheikdom, Bledar Myftari. Katanya, subjek yang akan diajar di universiti tersebut termasuklah pengajian Islam, bahasa, sejarah dan geografi. Ia terbuka kepada para pelajar dari Kosovo, Macedonia dan Serbia. Idea penubuhan universiti Islam pertama di negara tersebut disuarakan oleh Perdana Menteri, Fatos Nano semasa mesyuarat bersama ahli-ahli jawatankuasa Sheikhdom pada Januari lalu. Pengerusi Sheikhdom, Selim Muca telah menyuarakan cadangan kepada Nano tentang betapa pentingnya penubuhan universiti Islam supaya anak-anak muda tidak perlu menuntut ilmu di negara-negara lain yang dikhuatiri terpengaruh dengan dogma dan ideologi luar. Bagi memastikan rancangan tersebut berjaya, Sheikdom telah menghantar kertas kerja cadangan kepada Menteri Pelajaran dan salinannya kepada Presiden, Perdana Menteri dan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Ilir Kulla. Penduduk Albania terdiri daripada etnik Albania, Kosovo, Macedonia dan Montenegro. Kira-kira setengah daripada penduduk Albania tinggal di Republik Albania. Etnik Albania ialah kumpulan kaum kedua terbesar di Kosovo yang telah menjadi naungan UN sejak kempen pengeboman NATO 1999 yang memaksa diktator mendiang Slobodan Milosevic melepaskan jawatannya sebagai Presiden Serbia. *Kebangkitan Islam Statistik sejak Perang Dunia Kedua dan 1957 menganggarkan 65 hingga 70 peratus penduduk Albania adalah beragama Islam. Seperti mana agama lain, kebangkitan Islam agak terhad sejak komunis mengharamkan semua fahaman agama di republik tersebut. Kesan daripada pemerintahan era komunis yang panjang menyebabkan kebanyakan masyarakat Albania berfahaman sekular. Masyarakat Islam di Albania terbahagi kepada dua komuniti iaitu yang mengikuti fahaman Sunni Islam dan sebahagiannya adalah Bektashis (terutama dalam bentuk Sufi Shiism). Pada 1925, selepas Kamal Ataturk mengharamkan amalan Sufi di Turki, Albania menjadi pusat utama pengikut Bektashism. Kerajaan Albania kemudian mengiktirafnya sebagai pertubuhan bebas. Sunni Muslim dianggarkan 50 peratus daripada penduduk Islam Albania sebelum 1967 manakala pengikut Bektashis membentuk 20 peratus penduduk. Berdasarkan perangkaan Majlis Agama Islam Albania pada 2002, terdapat 17 pertubuhan Islam yang aktif dan sebahagiannya adalah dari luar negara iaitu 31 diwakili organisasi berbeza. Antara 500 hingga 600 adalah pertubuhan pendakwah yang dianggotai rakyat Amerika, Britain, Itali dan Greece. Pada Oktober 2003, pihak polis menahan Kastriot Myftari iaitu penulis buku Albanian National Muslim atas tuduhan menghasut perasaan benci menentang Islam. Buku tersebut merupakan serangan penulis ke atas agama Islam dan tanda sokongannya terhadap orang Islam yang memeluk agama Kristian Katolik. Bagaimanapun, Myftari dibebaskan daripada semua tuduhan. Kes Myftari bukan isu kecil kerana hubungan baik di kalangan penganut agama sedikit sebanyak telah terusik. Pada November 2005, ucapan Presiden Albania di London telah mencetuskan tunjuk perasaan anggota-anggota pertubuhan Islam dan The Muslim Forum of Albania menuduh presiden tersebut sebagai menghina agama Islam. Pada awal 2006 pula, percubaan kerajaan untuk menempatkan patung Mother Theresa di pintu masuk Shkodra dan kemudian menukar Masjid Fatih menjadi sebuah gereja menyebabkan golongan intelektual dan pertubuhan Islam mengecam sistem politik yang tidak menghiraukan sensitiviti umat Islam Albania. Labels: Umum |