Login Weblog

Koleksi Artikel 2

Blog ini mengandungi koleksi artikel yang berguna sebagai infomasi dan rujukan untuk diriku dan orang lain dari harakahdaily, utusan Malaysia, berita harian, Tranungkite Online dan dari beberapa website lain. Terdapat juga sedikit tulisanku di dalam blog ini.

Dakwah cyber mestilah diterokai oleh pendakwah muslim walau pun bidang ini masih baru. Sebagai OKU inilah kesempatan bagiku untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah. "Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Semesta Alam": Weblog Master 28 Ogos 2006

 

Menu
|Koleksi Artikel 1| |Koleksi Artikel 2| |Weblog OKU 2| |Weblog OKU 1| le-Bookl
Waktu Malaysia
Iklan





Waktu Solat
Alumni Maahad Hamidiah Kajang

Subscribe to Maahad Hamidiah
Powered by groups.yahoo.com

Fatwa Pengharaman Anti Hadith

Fatwa Pengharaman Anti-hadith

Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini: Ajaran Golongan Anti Hadith

ISI AJARAN

1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.

2. Menolak dua kalimah Syahadah.

3. Menolak Qada' dan Qadar

4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12 Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada wahyu.

5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam

6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.

TARIKH MUNCUL

1985

TEMPAT BERKEMBANG Seluruh Malaysia

TINDAKAN/HUKUMAN

Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:

1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996

2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46

3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78

4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3 (Sumber: )

Penutup

Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal 'iya zubillahi min zalik.

Fatwa Mufti Perak

Kategori : Akidah

Tajuk : Gerakan Anti-hadis

Isu : "A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK –

(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;

(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di dalam al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;

(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;

(d) "The Computer Speaks – God's Message To The World" yang ditulis oleh Dr. Rashad Khalifa,

adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.Adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah dan syariah Islamiah serta menglirukan dan boleh menyesatkan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan.

B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah.

Fatwa :

Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh Seksyen 34 (2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1992, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan membuat fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa "Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak" Darul Ridzuan pada 2 Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995, dan atas titah perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa tersebut seperti berikut

C. OLEH YANG DEMIKIAN –

(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik ", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World"; adalah murtad;

(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang -

(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan berpegang kepada atau menyebarkan ajaran- ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World";

(b) mencetak, menerbitkan, memiliki, menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan buku "Hadis Satu Penilaian Semula," "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World"; atau mana-mana bahagiannya, termasuk –

(i) apa-apa bentuk, versi atau variasinya;

(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa;

(iii) apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana-mana buku itu,pada atau atas apa-apa bahan, sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media; atau

(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan sedemikian."

Rujukan Pewartaan : No:139 Jil.49

Tarikh Pewartaan :

15 Feb 1996

Borak
Name :
Web URL :
Message :
:) :( :D :p :(( :)) :x

Personaliti: Ani dekatkan Islam kepada pelancong
Friday, August 10, 2007

Berita Harian, 10 ogos 2007

Oleh Hasliza Hassan

Sukarelawan di Masjid Negara hapus salah faham agama dikait dengan keganasan

SALAH faham terhadap Islam dapat diperbetulkan jika masyarakat bukan Islam diberi penjelasan sebenar mengenai ajaran Islam kerana majoriti yang mempunyai pandangan salah itu memperoleh maklumat daripada sumber tidak tepat.

Sukarelawan Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Ani Kim Abdullah, 51 (gambar), berkata masyarakat bukan Islam terutama pelancong yang melawat Masjid Negara kebanyakannya terkejut apabila diberitahu mengenai Islam.

Beliau yang menjadi sukarelawan di Masjid Negara berkata, ada antara pelancong yang datang melahirkan rasa gembira untuk mengetahui hakikat Islam sebenar kerana ia memang jauh berbeza daripada fahaman yang mengaitkan Islam dengan keganasan.

“Sedih apabila ramai mengaitkan Islam dengan keganasan hanya kerana mereka mendapat maklumat yang salah. Saya rasa penting bagi kita memberitahu mereka mengenai Islam sebenar kerana majoriti memang tidak tahu apa-apa mengenai Islam.

“Oleh itu apa yang mereka peroleh daripada media sama ada televisyen atau akhbar, itulah yang diterima bulat-bulat. Apabila kita beritahu mereka keindahan Islam, mereka terkejut kerana tidak sangka selama ini mereka mempunyai tanggapan salah,” katanya.

Beliau yang di temui di hadapan ruang solat Masjid Negara mengakui berasa puas apabila dapat memberi maklumat kepada pelancong dari serata dunia yang datang berkunjung ke salah satu lokasi yang menjadi tarikan pelancong luar di negara ini.

Lebih menggembirakan hatinya apabila pelancong yang datang untuk melihat keindahan reka bentuk struktur bangunan Masjid Negara memberi maklum balas positif serta menunjukkan minat mengetahui lebih lanjut mengenai Islam.

Melihat kepada tugas yang dilakukan, sukarelawan di Masjid Negara ibarat seperti penyambut tetamu yang mengalukan kedatangan pelancong dengan senyuman mesra dan bersedia menjawab setiap persoalan dengan ramah.

Ani berkata, beliau akan memulakan perbualan ringkas dengan pelancong untuk membuatkan mereka berasa selesa seperti bertanyakan sama ada mereka memerlukan penerangan mengenai masjid itu.

Katanya, apabila melihat mereka mula berminat untuk mendapatkan lebih banyak maklumat, perlahan-lahan beliau akan membawa perbualan kepada prinsip rukun Islam yang lima secara ringkas kepada mereka.

“Semua itu adalah perbualan biasa tetapi secara tidak langsung kita suapkan maklumat kepada mereka. Ini bukan ceramah jadi kita tidak boleh beritahu Islam itu begini dan kena buat begini. Takut nanti mereka tidak boleh terima.

“Sebenarnya mereka tidak tahu mengenai Islam dan kita tidak boleh fikir mereka tahu. Lagipun, orang Islam sendiri tidak banyak bercakap atau beritahu maklumat sebenar. Berapa ramai sangat orang bukan Islam yang baca buku mengenai Islam.

“Semua faktor ini perlu kita ambil kira dan dengan cara itu kita akan tahu bagaimana hendak mendekati mereka. Bukan semua pelancong yang datang akan bertanya dan kita pun tidak boleh nak dekati mereka semua,” katanya.

Beliau berkata, selain maklumat mengenai sejarah dan perkembangan Masjid Negara, beliau juga sering ditanya soalan umum mengenai Islam antaranya kenapa wanita Muslim perlu menutup aurat dan apakah status wanita dalam Islam.

Oleh itu katanya, beliau perlu memikirkan jawapan yang boleh diterima dan menepati rasional akal kerana bagi yang tidak mengenali Islam patinya sukar untuk menerima alasan semua itu ditentukan Allah.

“Jika kita kata menutup aurat adalah suruhan Allah, mereka tidak akan berminat. Jadi kita terangkan kenapa wanita menutup aurat ialah kerana hendak tingkatkan taraf wanita supaya lelaki tidak lihat mereka hanya sebagai objek.

“Apabila berbual dengan wanita bertudung, selalunya kita akan hargai apa yang diperkatakan kerana tidak ada yang mengganggu perbualan. Ini pendekatan yang kita ambil supaya mereka dapat melihat kebaikan di sebalik suruhan itu,” katanya.

Ani mula berjinak dengan tugas sukarelawan di Masjid Negara sejak Februari lalu apabila seorang kawan yang juga sukarelawan memberitahu mengenai aktiviti Islamic Outreach Abim memberi penjelasan mengenai Islam kepada pelancong yang datang.

Berasakan beliau boleh menyumbang kepada penyebaran syiar Islam, ibu kepada tiga cahaya mata itu meluangkan masa antara jam 3 hingga 6.30 petang untuk berada di sudut yang disediakan di hadapan ruang solat iaitu kawasan yang dibenarkan melawat kepada pelancong luar.

Beliau turut ditemani suaminya, Mohd Abdul Kader dan kadang kala anaknya, Nursakina datang membantu terutama bagi memberi penerangan kepada golongan muda yang lebih serasi berbual dengan mereka yang sebaya.

Selain tugas sukarelawan, beliau yang mempunyai syarikat membekal bahagian kapal terbang banyak terbabit dengan aktiviti amal termasuk menguruskan biasiswa untuk pelajar Muslim di China yang ingin melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat.

Beliau turut memberi perlindungan kepada keluarga Muslim yang terkandas di Malaysia antaranya pereka fesyen terkenal Hollywood, Sugia dan seorang doktor berbangsa Iran yang selamat daripada peperangan Iran-Iraq dan kini menjadi psikiatri di Bosnia.

Ani juga banyak terbabit dalam persidangan anjuran Pusat Penyelidikan Sejarah, Seni dan Budaya Islam (IRCICA) yang dikendalikan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan menjalin hubungan baik dengan pelbagai organisasi Muslim di Damascus serta Kaherah.

Berdasarkan sumbangan aktif itu, beliau dianugerah Tokoh Saudara Baru Majlis Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007 anjuran Nusantara Gems Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Islamic Outreach Abim.

Anugerah Tokoh Saudara Baru bagi mengiktiraf mereka yang terbabit secara aktif berdakwah dan membimbing saudara baru memahami serta mendalami Islam.

Menceritakan kisah bagaimana beliau mengenali Islam dan kemudian mengambil keputusan memeluk Islam, anak kelahiran Kedah itu berkata, semuanya bermula apabila beliau berasakan hidupnya terumbang ambing kerana tiada arah tuju.

Sebagai remaja berusia 18 tahun yang juga yatim piatu, beliau berasakan perlu mencari haluan hidup yang boleh memberi ketenangan kepada jiwanya yang sentiasa memberontak.

Beliau yang yakin dengan kewujudan Tuhan mula membuat penyelidikan mengenai pelbagai agama dan mendapati Islam adalah agama yang memberi jawapan jelas terhadap persoalan mengenai kehidupan.

Katanya, bukan mudah untuk menjadi seorang Muslim terutama apabila tidak mendapat sokongan serta bantuan yang diperlukan. Baginya yang dilahirkan sebagai seorang berbangsa Cina menghadapi kesukaran kerana tidak diterima baik oleh masyarakat Melayu.

“Saya ada pergi ke organisasi untuk mereka yang ingin memeluk Islam tetapi mereka tidak banyak membantu. Cara saya peluk Islam ini boleh dikatakan bersifat peribadi kerana ia antara saya dengan Allah.

“Selepas dua tahun memeluk Islam saya berkahwin. Ilmu mengenai Islam banyak saya peroleh daripada buku yang banyak masuk ketika itu selain bimbingan suami. Sejak 1991, saya banyak terbabit dengan aktiviti berkaitan Islam,” katanya.

Beliau berkata, bekerja untuk Allah ganjarannya dijamin dan lebih penting, Allah tidak pernah mengkritik setiap usaha yang dilakukan hambanya. Malah, kebaikan bukan saja untuk akhirat tetapi kegembiraan yang dirasakan di dunia juga adalah ganjaran Allah yang tidak ternilai.

Oleh itu katanya, beliau akan terus melakukan kerja untuk mendapat keredaan Allah dan pada masa sama memberi manfaat kepada umat Islam.

Ani turut melahirkan harapan untuk melihat Pusat Sosial, Kebudayaan dan Komersial Islam yang lengkap dengan masjid, premis kebudayaan, kedai makan, pusat kraf dan penubuhan sekolah berasaskan prinsip Islam yang memiliki kemudahan terbaik untuk melahirkan Muslim.

Labels:


Baca Lagi...
posted by Weblog Master @ 6:45 AM   0 comments
Asas bacaan betul pastikan wahyu tidak terpesong
Saturday, August 04, 2007
Berita Harian, 4 ogos 2007

ASAS teknik membaca al-Quran penting bukan saja bagi menghasilkan bacaan dengan hukum yang betul dan sedap didengar, malah bagi memastikan maksud daripada wahyu Allah itu disampaikan dengan tepat.

Pengerusi jemaah hakim Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007, Datuk Syaikh Ismail Muhammad al-Hafiz, berkata perkara itu perlu diberi tumpuan semua umat Islam yang belajar serta mengajar al-Quran.

Beliau berkata, lebih-lebih lagi kepada qari dan qariah yang ingin memperdengarkan bacaan kepada umum, mereka perlu menguasai ilmu pembacaan al-Quran dengan baik kerana selain membaca, mereka turut memikul tanggungjawab menjaga kesucian al-Quran.

Justeru, beliau menasihatkan saudara baru yang ingin meningkatkan mutu bacaan al-Quran supaya mendalami ilmu asas membaca al-Quran dan membuat banyak latihan melalui pembacaan secara berterusan.


“Saya tidak menyatakan mereka tidak bagus kerana ada peserta yang bacaan mereka memang baik tetapi majoriti masih dalam proses belajar. Oleh itu mereka perlu lebih banyak membaca serta memahami kaedah betul dari segi hukum tajwid dan kefasihan,” katanya ketika diminta memberi ulasan mengenai pencapaian peserta Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007.

Beliau berkata, dari sudut bacaan peserta, jemaah hakim tetap memberi perhatian kepada hukum tajwid dan sebutan dengan betul.

Katanya, selain dua perkara itu, peserta juga hendaklah memberi tumpuan kepada mahraj huruf, sifat huruf dan dengung selain mempertingkatkan usaha mendalami ilmu taranum.

Syaikh Ismail berkata, semangat serta kesungguhan saudara baru mendalami al-Quran perlu dipandu oleh pihak berkaitan supaya mereka mendapat ilmu yang betul dan boleh dimanfaatkan untuk diri sendiri serta orang lain.

Beliau mencadangkan kepada penganjur supaya peserta yang ingin menyertai tilawah melalui proses saringan supaya hanya mereka yang benar-benar layak dan boleh membaca dengan baik diketengahkan pada majlis tilawah al-Quran.

“Saya faham maksud penganjur adalah untuk memberi peluang semua saudara baru menyertai tilawah tetapi perlu diambil kira matlamat keseluruhan. Selain boleh membaca kita juga mahu mereka memahami hukum-hakam membabitkan al-Quran.

“Hukum tajwid ada panjang dan pendek. Begitu juga sebutan kerana ayat al-Quran mempunyai maksud. Apabila salah sebut, salah maknanya dan maka salahlah maksudnya. Sebaiknya peserta diberi kursus dan latihan terlebih dulu,” katanya.

Katanya, jika peserta yang diketengahkan pada majlis Tilawah al-Quran Saudara Kita itu dapat menyampaikan bacaan dengan baik, ini akan membuka mata pihak yang mendengar mengenai kemampuan saudara baru selain menaikkan imej majlis tilawah itu sendiri.

Seramai kira-kira 120 peserta terdiri daripada qari dan qariah memperdengarkan bacaan masing-masing untuk tiga kategori dipertandingkan iaitu kategori terbuka, millenium dan orang kurang upaya (untuk peserta cacat penglihatan).



Selain Syaikh Ismail, peserta diadili barisan hakim, Othman Muda, Abdul Karim Zakaria, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad dan Muhammad Isa Mohamed, Lukman Mohd Hosni, Abdul Aziz Mohd Nor, Hasan Fadhli Abdul Rahman dan Abdullah Awang. Setiausaha hakim ialah Muhammad Khalid Osman.

Labels:


Baca Lagi...
posted by Weblog Master @ 7:38 AM   0 comments
Saudara baru bukti kemampuan
Berita harian, 4 ogos 2007

Oleh Hasliza Hassan

MAJLIS Tilawah al-Quran bukan tempat untuk bertanding menunjuk kehebatan, sebaliknya sebagai medan menguji kemampuan qari serta qariah menyampaikan bacaan ayat suci al-Quran dengan tajwid yang betul dan secara berlagu.

Johan Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007 kategori terbuka, Amran Abdullah, 44, berkata menyertai tilawah juga dikira sebagai ibadat dan cara berdakwah untuk menggalakkan orang ramai supaya belajar ilmu membaca al-Quran dengan betul

“Jangan lihat pada hadiah ditawarkan tetapi peluang yang disediakan kerana kita mungkin boleh membaca tetapi sejauh mana ilmu yang kita ada. Majlis tilawah adalah antara medan untuk kita menguji kemahiran serta ilmu yang dimiliki.

“Selain memberi peluang kepada saudara baru, Majlis Tilawah Saudara Kita 2007 juga adalah cabaran kepada orang lama dan orang baru sama ada yang baru memeluk Islam atau dilahirkan Islam untuk menilai diri mereka,” katanya.

Katanya, walaupun sudah banyak menyertai tilawah al-Quran sama ada pada peringkat agensi, daerah dan wilayah, beliau masih mahu terus belajar dengan mereka yang pakar dalam bidang pembacaan al-Quran untuk meningkatkan mutu bacaan.

Amran yang bertugas sebagai Inspektor Penjara di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang, berkata ini adalah pembabitan kali kedua beliau pada Majlis Tilawah Saudara Kita 2007 dan tidak menyangka akan menjadi johan.

Sambil melahirkan kesyukuran, beliau berkata, tuah yang menyebelahinya kali ini adalah berkat kesungguhannya sentiasa berlatih dan hasil pembabitan dalam majlis tilawah peringkat daerah yang diadakan baru-baru ini.

Beliau yang mewakili daerah Seremban mendapat tempat ketiga pada majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Negeri Sembilan yang diadakan bagi mencari wakil qari dan qariah negeri pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Melaka, baru-baru ini.

Amran yang mendapat tunjuk ajar daripada Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Seremban (MAIS), Samsuddin Abdullah yang juga bekas qari dan hakim lagu dari Negeri Sembilan berkata, belajar al-Quran perlu berguru.

Beliau berkata, mereka yang ingin belajar al-Quran juga perlu bijak memilih guru yang benar-benar layak kerana membaca al-Quran dengan betul akan mendapat ganjaran pahala dan jika tersalah baca boleh mendatangkan dosa.

“Cadangan saya kepada saudara baru atau mereka yang ingin belajar al-Quran supaya belajar dengan guru yang layak. Membaca al-Quran mempunyai tertib tertentu, bukan main baca atau baca ala kadar saja,” katanya.

Sementara itu, peserta dari Perak, Leha Itam, 16, yang diumumkan sebagai johan qariah kategori terbuka melahirkan kesyukuran kerana dapat menyampaikan bacaan dengan baik dalam percubaan kali pertama menyertai Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007.

Murid Tingkatan Empat Sekolah Agama Rakyat Nurul Hidayah Kampung Kenang, Sungai Siput, Perak itu berterima kasih di atas sokongan dan bimbingan yang diberikan guru sekolah serta keluarga.

Beliau yang mempelajari al-Quran sejak kecil berharap pembabitan dalam tilawah al-Quran akan menarik minat remaja saudara baru untuk mendalami ilmu al-Quran dan meramaikan lagi jumlah qariah yang mampu menyampaikan bacaan dengan baik.

“Selain minat, saya juga kagum dengan dua rakan iaitu Yusni dan Atirah yang boleh membaca al-Quran secara berlagu dengan bagus sekali. Saya ingin setanding mereka dan untuk itu saya akan belajar bersungguh-sungguh,” katanya yang bercita-cita menjadi pendakwah.

Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007 anjuran Nusantara Gems Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Johan qari dan qariah kategori terbuka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000, pakej umrah dan piala pusingan Sultan Ahmad Shah serta piala pusingan Sultanah Kalsom. Hadiah disampaikan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid,

Naib johan dan tempat ketiga qari kategori terbuka disandang peserta dari Kelantan, Mohd Shahrul Nizam Jerry dan Ahmad Rizal Fauzi. Naib johan menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan tempat ketiga menerima wang tunai RM3,000.

Johan qariah kategori terbuka menjadi milik peserta dari Perak, Leha Itam; naib johan, Rabiatul Adawiyah dan tempat ketiga, Salemi @ Lim Eng Mui Abdullah.

Johan qari kategori millenium ialah peserta dari Pahang, Joha Achoi; naib johan, Mohd Assamarkandhi Lee Abdullah dan tempat ketiga, Ahmad Rizal Fauzi.

Johan qariah kategori millenium disandang peserta dari Indonesia, Nurida Labora, naib johan menjadi milik Nur Athirah Elsic Jian dan tempat ketiga, Nur Jannah Fatro.

Johan qari dan qariah kategori millenium masing-masing menerima hadiah piala pusingan Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor, wang tunai RM5,000 dan tiket umrah. Naib johan menerima wang tunai RM3,000 dan tempat ketiga, RM1,000.

Bagi kategori orang kurang upaya (OKU), johan tahun lalu, Muhammad Lee Abdullah mengekalkan kejuaraan buat kali kedua. Beliau menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan piala pusingan.

Buat kali pertama, penganjur memperkenalkan anugerah Tokoh Saudara Baru bagi menghargai sumbangan mereka yang banyak berkorban menyebarkan syiar Islam di kalangan saudara yang baru memeluk Islam.

Hadiah Tokoh Saudara Baru diberi kepada Perunding Latihan, Muhammad Fitri Abdullah, 44, dan sukarelawan, Ani Kim Abdullah, 51.

Labels:


Baca Lagi...
posted by Weblog Master @ 7:35 AM   0 comments
Kesungguhan peserta wajar dipuji
Berita Harian, 4 ogos 2007

KESUNGGUHAN serta semangat saudara baru mempelajari dan menghayati ilmu membaca al-Quran terserlah pada Majlis Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007 yang berlangsung pada 28 dan 29 Ogos di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Penyertaan kira-kira 120 peserta terdiri daripada qari dan qariah membuktikan saudara baru juga berminat untuk mempamerkan kebolehan mereka mengalunkan ayat suci al-Quran untuk diuji tahap kemampuan mereka.

Majlis Tilawah Saudara Kita 2007 yang masuk kali ketiga dianjurkan Nusantara Gems Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Raja Rezza Shah, berkata penganjuran majlis tilawah al-Quran khusus untuk saudara baru bertujuan memberi peluang mereka mempamerkan kebolehan menguasai ilmu membaca al-Quran.

Beliau berkata, majlis tilawah yang mula diperkenalkan tiga tahun lalu itu diteruskan kerana tanggungjawab memenuhi permintaan saudara baru supaya diberi pendedahan dan peluang menguji bacaan mereka dalam satu majlis besar yang disertai ramai peserta.

Katanya, majlis itu juga secara tidak langsung menggalakkan saudara baru yang baru berjinak dengan al-Quran untuk mempertingkat mutu bacaan dengan menghadiri kelas al-Quran dan mendapatkan khidmat guru yang mahir.

“Inilah objektif utama penganjuran majlis tilawah ini tiga tahun lalu. Melihat kepada sambutan serta semangat yang ditunjukkan daripada tahun pertama, kedua dan tahun ini, saya rasa seolah-olah sudah menjadi tanggungjawab untuk meneruskan majlis tilawah untuk saudara baru.

“Saya bersyukur diberi kemampuan untuk mengadakan majlis besar bagi masyarakat saudara baru dan berharap aspirasi saya menggalakkan lagi saudara kita mendekati serta menguasai ilmu pembacaan al-Quran mendapat sokongan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, tidak dinafikan sukar untuk mendapat tajaan bagi menganjurkan majlis tilawah al-Quran untuk saudara baru itu tetapi tetap berazam meneruskan usaha sebagai sumbangan kepada saudara seagama.

Bagaimanapun, beliau berharap supaya lebih banyak pihak tampil menyumbang dan menyokong usaha memartabatkan ilmu al-Quran terutama kepada mereka yang baru memeluk Islam serta berminat mendalami ilmu al-Quran.

Majlis penyampaian hadiah Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007 diadakan malam Isnin lalu di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) diserikan dengan keberangkatan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Hadir sama, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung bersama Majlis Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007.

Tiga kategori dipertandingkan iaitu kategori terbuka bagi mereka yang memeluk Islam sebelum 2002, kategori millenium (untuk saudara baru yang memeluk Islam pada 2002 hingga 2007) dan kategori golongan kurang upaya (OKU) yang diperkenalkan tahun lalu untuk peserta cacat penglihatan. Kategori lain turut dipertandingkan ialah azan untuk kanak-kanak dan remaja.

Raja Rezza berkata, beliau juga bangga kerana berjaya menarik minat golongan cacat penglihatan untuk menyertai tilawah kerana di sebalik kekurangan itu mereka mempunyai keazaman kuat mempelajari kaedah membaca al-Quran dengan tajwid yang betul dan berlagu.

Katanya, semangat golongan istimewa itu sewajarnya menyedarkan mereka yang celik untuk bersama membantu dan sekali gus berkongsi semangat belajar al-Quran terutama di kalangan generasi muda hari ini.

“Jika mereka yang cacat penglihatan boleh membaca dengan baik, pasti kita yang dapat melihat mempunyai kelebihan menguasai ilmu itu dengan mudah. Sewajarnya kita semua berkongsi semangat mereka,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini jawatankuasa penganjur memperkenalkan Anugerah Tokoh Mualaf bagi menghargai pengorbanan serta sumbangan mereka dalam menyebarkan syiar Islam di kalangan saudara baru serta masyarakat.

Bagi anugerah itu, dua tokoh lelaki dan wanita yang terbabit secara aktif dalam aktiviti dakwah memberi kefahaman serta mendalami Islam akan diberi pengiktirafan di atas usaha mereka itu. Tokoh Mualaf menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi.

“Bagi saya sudah tiba masanya kita menghargai usaha yang dilakukan saudara baru kerana mereka juga sebenarnya baru saja mengenali Islam tetapi tetap tidak melupakan saudara lain yang baru hendak mendalami Islam.

“Sewajarnya usaha mereka beramal membawa saudara baru ke jalan yang diredai Allah diberi pengiktirafan. Bukan untuk mereka saja, tetapi pengiktirafan ini untuk semua pihak yang melakukan kerja amal demi agama,” katanya.

Labels:


Baca Lagi...
posted by Weblog Master @ 7:33 AM   0 comments
About Me

Name: Weblog Master
Home: Selangor, Malaysia
About Me:
See my complete profile
Kunjungan

website analyzer

Pengunjung Dari Negara Online
Previous Post
Archives
Links
Tarbiyyah
  • Uslub Dakwah
  • Sasaran Dakwah
  • Pengurusan Tanzim
  • Memahami Perjuangan Islam
  • Tarbiyyah : Satu Keperluan Harakah
  • Cabaran dan Persiapan Tarbiyyah
  • Prinsip dan Matlamat Tarbiyyah Islamiyyah
  • Akhlak dan Adab Berjemaah
  • Tahaluf Dalam Islam
  • Al Murabitun
  • Usrah dan Kepentingannya dalam Tarbiyyah Islamiyyah
  • Maudhu' dakwah
  • Persiapan para da'ie
  • Halangan dan rintangan dalam perjuangan
  • Semakan Daftar Pemilih SPR
  • Semak Status Anda Di sini
  • Powered by

    Free Blogger Templates

    BLOGGER

    © 2006 Koleksi Artikel 2 .Template by Isnaini Dot Com