Utusan Malaysia, 9 november 2006
Oleh: ZUNAIDAH ZAINON | PERKAHWINANNYA dengan Dr. Latiffah Hassan dikurniakan dua cahaya mata, Maryam Jameelah (berbaju merah) dan Mohd. Adam Firdaus (tiada dalam gambar). |
PENGALAMAN hidup yang dilalui oleh setiap individu adalah berbeza. Dalam melayari kehidupan juga, banyak persoalan timbul tetapi gagal untuk mencari jawapan yang sering berlegar-legar di fikiran. Begitulah kembara hidup yang ditempuh Dr. Abdul Lateef Abdullah atau Steven Eric Krauss dalam perjalanannya menyahut seruan Islam. Pensyarah berusia 34 tahun ini yang bertugas di Jabatan Pembangunan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), menyifatkan Cikgu Sulaiman sebagai individu terpenting yang membawanya menyelami agama Islam. Menurut beliau, Islam memberinya jawapan kepada persoalan mengenai kewujudan Tuhan yang dicari-carinya selama 26 tahun menjadi penganut Kristian Protestan. “Jiwa saya lebih tertarik kepada pembinaan rohani dan mula mencari-cari sesuatu yang bermakna dalam hidup. Ketika itu, saya menyedari bahawa terdapat banyak persoalan yang tidak mampu dijawab seperti Tuhan dan sebagainya,” cerita Lateef yang memperoleh ijazah Sarjana Muda Sains Politik dan Ekonomi dari Universiti Delaware, Amerika Syarikat (AS). Jalan menuju keislaman bermula ketika beliau menuntut di Universiti Columbia New York pada 1998 bagi mengikuti pengajian peringkat sarjana. Lateef tinggal sebilik dengan rakannya, Seth yang beragama Yahudi. Seth mengikuti kelas silat gayung iaitu seni mempertahankan diri orang Melayu yang berasaskan kepada ajaran Islam. Setiap kali pulang dari kelas, Seth menceritakan keunikan silat hingga pada suatu masa ia menarik perhatian Lateef untuk turut sama menyertainya. Atas dasar ingin tahu, beliau mula mengikuti kelas silat bersama-sama dengan Seth di bawah tunjuk ajar Cikgu Sulaiman. Tanpa diketahui, jiwa halusnya disuntik riak-riak keislaman sejak mengikuti kelas tersebut buat pertama kalinya pada 28 Februari 1998. Akui Lateef, beliau cukup tertarik dengan pendekatan Cikgu Sulaiman mengajar silat yang mengaitkannya dengan konsep mengenali Allah dan mengagumi kebesaran-Nya. Silat juga banyak berkait dengan pembinaan kekuatan dalaman dan spiritual. “Ia bukan sahaja berkaitan dengan silat tetapi cara Cikgu Sulaiman mengajar dan falsafahnya begitu menarik. Bagi Cikgu Sulaiman, apa sahaja agama dan kepercayaan yang dianuti, kita perlu menjadi pengikut yang baik dengan mengikut setiap perintah dan amalannya. Maksudnya, kalau anda seorang Yahudi atau Kristian jadilah penganut yang baik. “Sejak mengikuti kelas silat, Seth banyak berubah dan menjadi seorang yang alim walaupun sebelum itu dia tidak mementingkan agama,” cerita Lateef mengenai keistimewaan Cikgu Sulaiman. Untuk mendalami Islam, beliau dan Seth pernah tinggal selama dua bulan bersama-sama Cikgu Sulaiman dan keluarganya. Dalam tempoh tersebut, Lateef berpeluang melihat kehidupan dan amalan sebagai orang Islam seperti mendirikan solat, berdoa dan berzikir. Walaupun Seth berminat dengan Islam tetapi hingga kini difahamkan masih belum memeluk Islam. Berbanding dengan Lateef, beliau menemui jawapan yang dicari-carinya selepas mengenali Islam melalui Cikgu Sulaiman. “Sejak belajar silat, saya merasakan kesempurnaan jiwa, minda dan pemikiran. Apabila kemahiran silat semakin bertambah, ilmu pengetahuan mengenai Islam juga semakin meningkat. Tambahan pula, ketika itu, saya sedang tercari-cari sinar baru dalam hidup setelah merasakan agama dianuti tidak mampu memberi jawapan kepada persoalan saya mengenai ketuhanan dan spiritual,” ujarnya yang mengambil keputusan melafazkan syahadah pada 30 Julai 1999. Buat pertama kali Lateef menemui ketenangan jiwa dan panduan yang akan membawanya ke arah jalan yang benar dengan berpaksikan kepada kebesaran Allah s.w.t. dan kitab suci al-Quran. “Saya percaya kepada kewujudan Tuhan semasa menjadi penganut agama Kristian tetapi setelah memeluk Islam, saya melihat kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t. dalam pelbagai aspek kehidupan. Ia amat berkait rapat dengan setiap perkara yang kita lakukan seperti memandu kereta, makan dan bekerja. “Allah s.w.t. sentiasa melihat apa yang kita lakukan. Ini membuatkan saya merasakan agama Islam sangat unik. Tidak dinafikan, sebagai orang Barat, mereka juga mencari persoalan yang sama iaitu tentang kewujudan Tuhan. Dan Islam adalah jawapan kepada pencarian saya selama ini,” tambahnya. Lebih manis, selepas empat bulan memeluk Islam, atas ketentuan Allah, beliau dipertemukan dengan Dr. Latiffah Hassan, 35, yang ketika itu menuntut di Universiti Cornell, AS pada peringkat Doktor Falsafah (PhD). Enam bulan kemudian iaitu pada Jun 2000, mereka berkahwin. Sejurus Latiffah tamat pengajiannya, mereka kembali ke Malaysia pada 2001. Perkahwinan dengan pensyarah di Fakulti Perubatan dan Veterinar, UPM itu yang telah mencecah usia enam tahun mengurniakan mereka dua cahaya mata, Maryam Jameelah, 4, dan Mohd. Adam Firdaus, tiga bulan. “Sekali lagi Cikgu Sulaiman membantu saya dalam urusan perkahwinan termasuklah menghubungi bapa Latifah untuk mewalikan hakim isteri saya kerana beliau tidak dapat hadir. “Kami juga menempuh pengalaman yang cukup menarik apabila diraikan dalam satu majlis perkahwinan tradisional Melayu lengkap berpakaian songket dan persembahan silat,” jelasnya. Kata Lateef, ibu mertua Cikgu Sulaiman yang datang ke New York turut membawa kelengkapan perkahwinan termasuklah perhiasan dan sebagainya. “Lebih menarik kerana ia turut dihadiri oleh tetamu berbilang agama seperti Yahudi serta Kristian,” tambahnya yang menyifatkan Latiffah sebagai wanita yang sangat istimewa dalam segala aspek. Selepas bergelar Muslim, pandangan Lateef terhadap prospek kehidupan semakin berkembang luas terutama menjaga hubungan yang baik dengan ahli keluarga. Katanya, di AS, ibu bapa yang telah tua selalunya menjadi beban kepada anak-anak tetapi Islam mengajar agar setiap umatnya bertanggungjawab kepada ibu bapa walaupun mereka sudah tua. Secara tidak langsung Islam mendidiknya supaya menjadi anak yang lebih bertanggungjawab kepada keluarga dan ayahnya sudah meninggal dunia pada 2002. Kini, ibu dan kakaknya menetap di Pennsylvania, AS. Banyak nilai dalam hidupnya sudah berubah dalam usaha meningkatkan kualiti hidup. Menurut Lateef, Cikgu Sulaiman kini berada di Bayan Baru, Pulau Pinang dan masih mengajar silat gayung kepada anak muridnya. Malah hubungan baik yang terbina antara Lateef dan Cikgu Sulaiman masih diteruskan hingga ke hari ini. Beliau menggambarkan Cikgu Sulaiman sebagai lelaki yang dinamik dan pernah merantau ke beberapa buah negara. Cikgu Sulaiman pernah menetap di Jerman selama tujuh tahun dan kemudiannya di AS selama 13 tahun. Malah dia dan isterinya mempunyai restoran di Philadelphia dan sekolah berasrama penuh yang mempunyai 30 pelajar Islam AS. Semua orang mengenali mereka dan sekolah tersebut. *Disoal siasat “Bagaimanapun, secara tiba-tiba semua keadaan tersebut berubah selepas peristiwa 11 September 2001. Orang Islam tidak kira berasal dari negara mana menjadi suspek dan disoal siasat. “Keadaan ini menyebabkan Cikgu Sulaiman dan keluarganya mengambil keputusan pulang ke Malaysia dan menetap di Pulau Pinang,” ujar Lateef mengenai kesan peristiwa tersebut ke atas masyarakat Islam di AS. Beliau yang memperoleh PhD dari UPM pada tahun lalu dan merupakan penulis jemputan untuk islamonline.net berpendapat, wujud banyak perbezaan dari aspek pembangunan dan pendidikan Islam di AS dan Malaysia. Jelasnya, Islam di negara ini mempunyai susur galur sejarahnya tersendiri yang tidak boleh dipisahkan dengan budaya. Berbanding di AS, hampir 70 peratus penduduknya masih menganggap Islam adalah perkara baru bagi mereka. Situasi ini menyebabkan masyarakat Islam termasuk saudara baru sukar untuk mempraktikkan agama itu. Selain itu, cabaran utama yang perlu dihadapi saudara baru ialah kekurangan guru agama walaupun ramai yang berminat mendalami Islam. “Ketika di AS, saya tidak terlepas berhadapan dengan masalah ini. Keadaan ini amat sukar kerana sebagai saudara baru, kita memerlukan panduan dan bukannya hanya belajar dari buku-buku dan Internet. Bahkan sokongan keluarga juga amat diperlukan,” katanya. Selain Cikgu Sulaiman, beliau turut belajar mengaji daripada Ustaz Johari yang ketika itu berkhidmat di Kedutaan Malaysia di Washington. Lateef bekerja di Washington selama tiga tahun selepas menamatkan pengajian peringkat sarjana. Labels: saudara baru |