Utusan Malaysia, 23 Februari 2007
Oleh: OTHMAN YAHAYA | DALILAH Letchumy Abdullah menunjukkan hasil karyanya 'Dari Kuil Ke Pangkuan Islam' di Sungai Petani, Kedah. |
MEMANG sukar membuat perubahan besar dalam hidup. Lebih-lebih lagi melibatkan agama, tradisi dan budaya. Namun melalui hidayah Allah beserta kesabaran dan kekuatan semuanya dapat diharungi biarpun terpaksa berendam air mata selama berpuluh tahun. Demikian yang berlaku terhadap seorang ibu tunggal yang dulu dikenali sebagai P. Letchumy. Dia terpaksa merasai pahit maung meniti hidup yang penuh berliku ini dalam usahanya mencari kebenaran berkaitan agama yang harus dianutinya. Benarlah ketetapan qada dan qadar yang menjadi hak mutlak Tuhan tidak dapat diduga kerana jika sudah tertulis sejak azali lagi. Namun, sesuatu yang akan berlaku itu tetap akan terjadi. Hanya masa dan ketikanya sahaja sebagai penentu segala. Namun sebagai hambanya kita perlu selalu memohon ihsan-Nya bagi memudahkan segala kemungkinan yang mendatang. Kini setelah diberi sedikit kesenangan dan kelapangan, Letchumy atau nama Islamnya, Dalilah Abdullah, 50, cuba mengajak anggota masyarakat mendekatinya bagi sama-sama mengimbau pahit manis, suka duka perjalanan hidupnya yang diabadikan dalam buku yang berjudul Dari Kuil Ke Pangkuan Islam. Menurut Dalilah, sejak kecil dia diasuh dan dididik dengan penuh adat tatasusila agama hindu hinggakan dia seakan-akan terpilih sebagai seorang calon untuk menjadi sami wanita di kalangan kaum keluarganya. “Setiap kali masa lapang saya diarah menghabiskannya di kuil dengan melakukan kerja-kerja, bermula dari menyapu sampah hinggalah ketika membunyikan loceng.” “Saya tidak pernah dimarahi ibu atau ayah jika tidak membuat kerja rumah atau kerja sekolah kerana mereka lebih suka saya belajar dan menimba pengalaman di kuil berdekatan rumah,” katanya. Keadaan itu berlarutan hinggalah pada suatu ketika jiwanya mula memberontak kerana terasakan seperti hilang nikmat hidup. Dia juga tidak sebebas remaja lain kerana terpaksa mengikut arahan bermula seawal pagi hinggalah di kala melelapkan mata. “Saya terpaksa mencari kerja di luar kampung kerana inginkan kebebasan dan enggan dikongkong dengan adat yang keterlaluan. “Tanpa sempat menghabiskan tingkatan empat, saya mula bekerja di sebuah kilang di kawasan Bakar Arang, Kedah dan disinilah sebenarnya kehidupan saya bermula,” katanya. Hijrah pertamanya dari kampung walau dalam kadar beberapa belas kilometer dari rumah dengan bekerja sebagai operator kilang menjadi detik permulaannya untuk bergelar seorang muslimah. Tambahnya, sejak mengenali Salmah, rakan sekerja di kilang papan itu, hati dan perasaannya asyik berdetik kuat bagai mengajaknya berkunjung ke rumah Salmah di Pengkalan Lebai Man. “Rupa-rupanya di atas tangga rumah Salmahlah saya mendapat hidayah Allah untuk lebih mengenali Islam secara dekat. “Melihat ibu Salmah membersihkan diri, berwuduk dan kemudiannya bersembahyang menjadikan saya terpengaruh,” jelasnya. Dengan tajuk buku yang menarik, Dari Kuil Ke Pangkuan Islam, keresahannya selama 31 tahun sejak mula bergelar muslimat pada usia 18 tahun merungkai segala catatan duka seorang gadis yang begitu kuat semangatnya untuk meneruskan hidup. Anak ketujuh dari 21 beradik yang kini bergelar usahawan jualan langsung yang cukup berjaya itu berharap buku pertamanya yang dijangka dilancarkan sedikit masa lagi akan memberi impak kepada minda seluruh masyarakat tentang agama Islam yang indah ini. “Menjadi seorang Islam tidak bererti memutuskan ikatan darah daging antara ibu bapa dan adik-beradik, cumanya terdapat sedikit ruang kerenggangan dalam urusan seharian. “Dan manusia tidak boleh menghukum sesama sendiri jika muncul perkara yang berlawanan dengan fitrah kerana selagi kita boleh berfikir tentu ada penyelesaiannya,” katanya. Menurut Dalilah, pendahuluan bukunya ini menceritakan bagaimana kehidupannya berada dalam satu keluarga yang besar dan tahap sosial kehidupan serta pendidikan keluarga India dalam suasana estet. Dengan adik beradik yang ramai, ibu sibuk mencari rezeki sebagai penoreh getah dan keluar rumah awal dan pulang sesudah senja, bapanya peniaga todi, Dalilah seakan-akan terasing dengan dunianya sendiri. “Saya terpaksa menjadi pemandu folklift, mengayuh basikal berpuluh-puluh kilometer, menjadikan ruang dapur rumah orang sebagai tempat berteduh serta menerima ugutan bunuh kerana menjadi muslimat. “Kamus merempat dalam hidup saya terlalu sukar untuk difahami orang kerana mereka tidak merasa getirnya apa yang saya lalui,” katanya. Buku setebal 94 muka surat itu akan dijual pada harga RM17 di Semenanjung Malaysia dan RM19.60 bagi Sabah dan Sarawak. Dengan susunan kata terpilih, cerita yang menarik mengikut kronologinya dan perasaan sedih terbuai bersama ayat-ayat terpilih yang dipaparkan oleh ibu tunggal tiga beranak ini, diharap buku Dari Kuil Ke Pangkuan Islam menjadi sebahagian sejarah yang akan dikenang sampai bila-bila oleh pembacanya. Dalilah mengakui kini hidupnya lebih selesa sejak mendekatkan diri dengan Allah apabila turut terpilih menjejakkan kaki ke tanah suci pada tahun 2005. Matlamat hidupnya selain berbakti kepada Allah ialah ingin membantu golongan yang kurang berkemampuan. Labels: saudara baru |