Utusan Malaysia, 2 november 2006
Oleh: ZUARIDA MOHYIN JURUTERA Sistem Teknikal di Vallent Software System (Malaysia), Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor, Muhammad Ibrahim Ravi bin Gobi, 36, dibesarkan dalam keluarga Hindu yang sederhana. Ayahnya seorang pengurus ladang, manakala ibunya, suri rumah beserta dua adik perempuan. Akui Muhammad Ibrahim, sejak kecil beliau percaya kewujudan Tuhan dan yakin Tuhan itu Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Adil dan amat menyayangi ciptaan-Nya. Malah beliau juga percaya semua perkara dalam penciptaan-Nya adalah logik (dapat diterima akal) dan rasional (wajar). Lantaran itu, timbul pelbagai persoalan yang mendesaknya untuk mengkaji tentang agama Hindu, Kristian dan Islam. Ikuti pengakuan beliau bagaimana hidayah Illahi menerpa sehingga bertapak kukuh dalam hatinya pada pertemuan yang dirancang sebelum Syawal lalu. “Saya selalu tertanya-tanya, Tuhan dikatakan satu tetapi kenapa ada banyak agama dan amalan yang bercanggah. Apa lagi, dalam agama Hindu banyak amalannya bercanggah sesama sendiri dan ini mengelirukan. Jika ditanya, jawapannya tidak memuaskan. “Situasi ini membuat saya kurang selesa dan jarang pergi ke kuil. Bila ditanya, saya jawab, Tuhan ada di mana-mana, tak perlu saya pergi ke kuil untuk sembahyang. Selalunya, saya memandang ke langit bila berdoa kepada Tuhan kerana saya percaya Tuhan ada di atas sana,” katanya. Pada usia 18 tahun, keinginan mengetahui perbezaan agama-agama lain tercetus. Saya mula mencari dan membaca. Bermula dengan Hinduism dengan membaca majalah Hinduism Today (bukan satu punca agama Hindu yang betul), satu usaha yang tanpa arah dan memakan masa kerana saya langsung tidak mengetahui tentang kitab-kitab dalam agama. Alhamdulillah, peluang mengkaji lebih terbuka apabila saya melanjutkan pengajian ke United Kingdom (UK) dalam bidang Kejuruteraan Electronik di University of Brighton. Semuanya dilakukan menerusi Internet dan buku-buku. Baru saya sedar agama-agama ini mempunyai kitab mereka sendiri dan mereka mengaku kitab itu adalah wahyu atau khabar yang dinyatakan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa. Kitab agama Hindu yang terkenal dalam bahasa Sanskrit adalah Veda (Rigveda, Samaveda, Yajurveda dan Atharaveda), Upanishad, Purana, Manusmriti, Ramayana dan Bhagavad Gita manakala kitab Hindu yang terkenal dalam bahasa Tamil adalah Thirumurai (Thevaram), Thirukural dan Thirumantira. Sementara itu, dengan bantuan paderi gereja Angelican di universiti, beliau mempelajari agama Kristian menggunakan kitab Bible. Begitu juga dengan agama Islam melalui Islamic Propagation Center International (IPCI) di UK serta melalui buku-buku dan video Allahyarham Sheikh Ahmed Deedat, Dr. Zakir Naik, Gary Miller (Abdullah Ahad Omar) dan Harun Yahya. Walaupun pada awalnya saya kurang memahami serta agak keliru kerana tidak faham konsep Tuhan sebagai pencipta dan makhluk sebagai ciptaan Tuhan, konsep wahyu (revelation) dan proses penurunan wahyu dan pesuruh atau Nabi Tuhan. Sekarang, setelah mengkaji kitab pelbagai agama, saya mula memahami bahawa kitab-kitab agama lain juga diwahyukan oleh Tuhan yang Satu cuma tidak semua kitab dipelihara oleh Tuhan dan hanya al-Quran sahaja terpelihara. Al-Quran juga memberitahu bahawa Tuhan mencipta manusia sebagai khalifah, satu jawatan yang dikhususkan untuk mengawal agama Tuhan dan mentadbir dengannya. Sehubungan itu, saya berpendapat Tuhan asalnya memberi tanggungjawab pemeliharaan kitab kepada manusia tetapi manusia gagal memelihara kitab-kitab kerana nafsu dan godaan syaitan. Oleh itu, al-Quran adalah kitab yang terakhir dan memeliharanya. Seperkara lagi yang saya keliru pada awalnya ialah tentang Tuhan dan makhluk ciptaan Tuhan. Saya ingatkan setiap agama mempunyai Tuhan masing-masing dan Tuhan mereka mencipta kaum-kaum mereka. Jawapannya saya temui dalam surah al-Hujurat ayat 13 bermaksud: Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada sepasang lelaki dan perempuan, dan menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu saling kenal-mengenal. Kebenaran ini dapat dilihat melalui kisah Adam di dalam kitab, Thasmad Adama naamaasou Pathnee Havyavathee smritha (Sanskrit) bermaksud: “Manusia bernama Adama (Adam) ingin bertemu dengan isterinya Havyavati (Hava)" [Bhavishya Purana, Prathisarga Parva 4:28] “Adam menamakan isterinya Hawa, kerana perempuan itu menjadi ibu seluruh umat manusia.” [Bible, Old Testament, Genesis 3:20] Dan Kami berfirman: Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu di syurga ini. (Al-Baqarah: 35) Tuhan begitu teliti dalam penyusunan ayat supaya manusia dapat perkhabaran-Nya dan keadilan ditegakkan. Firman Allah, Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarah. (Al-Nisa’: 40) Memang benar kata Tuhan, nama-nama tersebut merujuk kepada Tuhan yang Satu. Perkataan Allah datang dari dua perkataan asas bahasa Arab, iaitu Al dan ilah yang bermaksud satu-satunya dan yang patut disembah. Maka, Allah bermaksud satu-satunya yang patut disembah, Tuhan kepada semua makhluk, manusia (Islam dan bukan Islam), jin (Islam dan bukan Islam), malaikat, binatang dan seluruh alam ini. Nama Allah juga disebut di dalam Allo Upanishad dan Bible. Tuhan (Allah) juga menjelaskan bahawa Dialah juga telah menghantar nabi-nabi-Nya kepada semua kaum, menyeru mereka menyembah Tuhan yang satu. Firman Allah: Dan bagi tiap-tiap kaum (yang lalu) ada Nabi yang memberi petunjuk ke jalan yang benar. (Al-Ra’d: 7) Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya seorang Nabi pemberi ingatan dan amaran. (Fatir: 24) Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyeru): Sembah Allah (sahaja) dan jauhilah Taghut (yang disembah selain dari Allah). (Al-Nahl: 36) Allah memberi pengakuan Rasul (Nabi) yang dihantar oleh-Nya akan menyeru menyembah Tuhan yang satu, itulah kriteria untuk mengenal Nabi Allah. Bukti kebenaran kenyataan Tuhan di dalam al-Quran boleh ditemui di dalam kitab Hindu dan Bible seperti berikut; “Ekam evad vitiyam” (Sanskrit) dan “Dia hanya Satu dan bukan dua.” [Chandogya Upanishad 6:2:1]. Nabi Musa berkata: “Saudara-saudara, ingatlah! Hanya TUHAN, dan TUHAN saja Allah kita!” [Bible, Old Testament, Deuteronomy 6:4] Akulah TUHAN, tak ada lainnya, Aku Allah Yang Maha Esa (Satu). [Bible, Old Testament, Isaiah 45:5] Dan al-Quran mengulangi kebenaran, Katakanlah: Dialah Allah, Yang Maha Esa (Satu). (Al-Ikhlas: 1) dan Dan Tuhanmu adalah Tuhan yang Maha Esa (Satu), tidak ada Tuhan melainkan Dia. (Al-Baqarah: 163) Selepas menghayati kebenaran Allah, saya tertanya, mungkinkah Krishna, Rama, Buddha adalah Nabi-nabi Allah dan kenapa nama-nama mereka tidak disebut di dalam al-Quran. Sekali lagi, saya temui jawapannya: Dan (Kami telah mengutuskan) Rasul-rasul yang telah Kami ceritakan tentang mereka kepadamu dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan tentang mereka kepadamu. (Al-Nisa’: 164) Dan sesungguhnya telah Kami utus beberapa orang Rasul sebelum kamu, di antara mereka ada yang Kami ceritakan kepadamu dan di antara mereka ada yang tidak Kami ceritakan kepadamu. (Ghafir: 78) Allah juga mengaku bahawa Dia mengelar pengikut nabi-nabi dahulu sebagai Muslim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang Islam (Muslim) dari dahulu. (Al-Hajj: 78) Maha suci Allah tidak jemu memberi tunjuk ajar kepada manusia. Walaupun jarak di antara kitab-kitab ini beratus dan beribu tahun bezanya tetapi Tuhan mengulangi kebenaran supaya manusia terselamat. Saya sedar betapa sayangnya Tuhan kepada kita. Bila dikaji sejarah, kuil Hindu pertama dibina 2000 tahun selepas wahyu diturunkan. Sama juga dengan Buddha, patung pertama dibuat selepas 500 tahun pemergian Buddha. Konsep Tuhan 3 dalam satu di dalam Bible wujud selepas 325 pemergian Nabi Isa (Jesus). Maka dalam tempoh sebelum penyelewengan, manusia memang beribadat dengan cara yang betul. Terlalu banyak persamaan antara agama dari segi hukum seperti pengharaman arak, tidak boleh makan babi, wanita kena pakai penutup kepala, puasa, zakat dan sebagainya tetapi kenapa amalan mereka terpesong? Setelah mengkaji, saya dapati punca utamanya adalah tidak faham proses wahyu. Saya ketahui melalui kajian saya bahawa Allah menurunkan wahyu melalui nabi-nabi-Nya. Pada waktu itu, bukan nabi yang berkata tetapi Tuhan yang Maha Esa yang berkata. Manusia pada masa tersebut faham perkara ini, sebab itulah mereka tidak menyembah nabi dan tidak membuat patung berhala untuk nabi. Selepas beberapa waktu, apabila mereka membaca kitab dengan tiada ilmu mengenai proses penurunan wahyu, mereka menyalah anggap dan menyangka Nabi itu mengaku Tuhan. Sebenarnya ada ayat-ayat yang lain di dalam kitab yang menerangkan bahawa nabi itu bukan Tuhan, tetapi sebab mereka keliru tentang ayat yang bercanggah ini, maka mereka meninggalkannya. Beginilah proses wahyu diturunkan, ada ayat-ayat yang menjelaskan satu sama lain. Bila dikaji, jelas semua mereka adalah manusia, utusan Tuhan yang Maha Tinggi. Benarlah kitab-kitab lain tidak terpelihara sebagaimana al-Quran. Maka wajarlah untuk kita mengikutinya. Allah juga memberi jaminan bahawa al-Quran adalah petunjuk, dan Dia tidak memaksa sesiapa tetapi menggalakkan manusia mengkaji kitab-Nya. Dia juga sediakan banyak fakta sains yang boleh kita kaji dan pastikan kebenarannya, supaya boleh kita percaya kepada wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ini terbukti dalam firman Allah bermaksud: Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa. (Al-Baqarah: 2) Hal ini diperkukuhkan lagi dengan firman Allah yang bermaksud: Tidak ada paksaan dalam agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah. [Al-Baqarah: 256] Proses mencari kebenaran ini mengambil masa sekitar sembilan tahun sehingga saya tidak ada lagi timbul keraguan. Sekembali dari UK, saya teruskan kehidupan dengan agama asal sehinggalah pada 23 September 2003 saya melafazkan syahadah di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). Itupun selepas mendalami Islam dari segi amal ibadat kira-kira enam bulan sebelum pengislaman. Pada waktu itu kegembiraannya sukar digambarkan dengan kata-kata dan semacam perasaan terselamat. Keyakinan saya bertambah kuat apabila sesuatu yang mustahil berlaku itu dimakbulkan Allah. Namun, sebagai manusia kita perlu sentiasa beringat dan menerima setiap ujian-Nya kerana kejayaan mengharunginya, menjadi kemanisan Islam. Saya mengambil masa dua tahun untuk memberitahu keluarga dan apabila semuanya terlerai, ia menjadi kejutan besar buat mereka. Saya melihat kini tidak ramai daripada kalangan mualaf yang menjadi pendakwah. Oleh itu, ruang inilah perlu diisi dan ada keperluannya. Labels: saudara baru |