Thursday, June 07, 2007

Rogayah bantu pulihkan imej mualaf Orang Asli

Utusan Malaysia, 7 jun 2007


Oleh: ZUARIDA MOHYIN

SEIRING sejalan...Mohd. Shahbi Burok Abdullah dan Rogayah Mohamed bergandingan membangunkan imej mualaf Orang Asli.

“KALAU awak nak teruskan niat untuk berdakwah kepada masyarakat Orang Asli, saya tidak halang. Tetapi jangan sekali-kali awak pandai menabur janji-janji manis tetapi tidak berusaha mengotakannya dan tak usahlah mengejar kuantiti dan kemudian, mengabaikan mereka tanpa bimbingan.

“Dua perkara ini kalau awak jaga, insya-Allah mereka akan menerima dan mempercayai awak.”

Itulah nasihat Mohd. Shahbi Burok Abdullah kepada Rogayah Mohamed, 41, apabila menyedari minat mendalam isterinya dalam berdakwah serta menjaga hal ehwal mualaf Orang Asli sejak mereka mendirikan rumah tangga kira-kira 25 tahun lalu.

Akui Mohd. Shahbi dari suku Temuan di Bukit Lanjan, Damansara, Kuala Lumpur ini, luahan ikhlasnya itu bukanlah bermaksud menakut-nakutkan Rogayah. Sejak dahulu hingga kini, itulah realiti yang berlaku ke atas masyarakat Orang Asli terutamanya yang sudah memeluk agama Islam.

“Saya amat sedih apabila mendapati mereka yang sudah memeluk Islam ini bagai layang-layang putus tali. Ini kerana pihak yang bertanggungjawab membawa mereka kepada Islam sekadar memastikan mereka mengucap syahadah. Selepas itu, hilang entah ke mana. Akibatnya, ramai yang sudah memeluk Islam, kembali kepada cara hidup asal.
“Kadang-kadang saya akui tidak boleh nak salahkan satu pihak sahaja sebab ada juga segelintir orang Asli yang memeluk Islam kerana kepentingan tertentu. Sebab itulah, awal-awal dulu saya selalu ingatkan isteri tentang dua perkara di atas serta sentiasa ikhlas setiap kali keluar berkhidmat kepada masyarakat Orang Asli,” cerita Mohd. Shahbi sewaktu ditemui di lot banglo di Desa Temuan, Damansara Perdana, Kuala Lumpur.

Menurut bapa kepada enam anak ini, sebelum beliau memeluk Islam, ibunya telah mengucap syahadah iaitu semasa usia Mohd. Shahbi belasan tahun. Pada masa yang sama, beliau banyak bergaul dengan teman-teman Melayu di kejiranan berhampiran.

“Apabila masuk waktu sembahyang, saya tinggal seorang sebab kawan-kawan lain pergi menunaikan solat sama ada di surau atau masjid. Jadi bila melihat emak dah Islam ditambah pula majoriti kawan beragama Islam, jadi saya mengambil keputusan memeluk agama Islam.

“Bagi saya, saya tidak akan rugi apa-apa. Apatah lagi, Islam adalah agama yang lebih baik dan setiap manusia ada peranan mereka di muka bumi ini. Kalau sebelum ini kehidupan saya sekadar memenuhi hari-hari mendatang, tetapi bergelar Muslim, apa yang kita lakukan setiap hari itu ada matlamat dan tujuannya,” terang Mohd. Shahbi.

Beliau mengucap dua kalimah syahadah di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Petaling Jaya, Selangor pada 1979.

Sebelum berkenalan dengan Mohd. Shahbi, penulis telah mengenali Rogayah. Kami bertemu pada majlis perkahwinan beramai-ramai yang berlangsung di Perkampungan Orang Asli Ulu Kuang, Gombak Barat, Selangor, awal Mei lalu.

Biarpun pada masa itu, tidak berkesempatan berbual lebih lama kerana kesibukan Rogayah menguruskan sembilan pengantin perempuan, beliau masih sempat memberikan kerjasama. Malah permintaan untuk diwawancara bersama suami dan keluarga pada lain ketika, disambut mesra.

Rogayah yang sebelum ini merupakan Penggerak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semenjak 1995 hingga 2004, mengakui minatnya secara serius tercetus daripada sikapnya yang memang suka bergaul tanpa mengira perbezaan ras budaya sesuatu kaum.

Pada awal perkahwinan, beliau tinggal dengan ibu mentua. Secara tidak langsung mendekatkannya dengan masyarakat Orang Asli serta memberi peluang memahami dan mempelajari adat budaya mereka dengan lebih rapat.

“Malah saya tidak menjadikan alasan tentangan keluarga kandung sebagai halangan untuk membina keluarga seterusnya menyumbang tenaga dan berdakwah sekadar kemampuan. Saya tidak menyalahkan mereka kerana mungkin minda mereka masih beranggapan negatif.

Kini, masyarakat Orang Asli sudah jauh berbeza. Mereka juga tidak terlepas dalam usaha pembangunan negara sama ada dari segi perkembangan infrastruktur dan pendidikan.

“Malah usaha dakwah secara berterusan dan pemantauan yang teratur sedikit sebanyak membawa perubahan pemikiran dan hala tuju masyarakat Islam Orang Asli,” kata wanita berjiwa waja yang berasal dari Segamat, Johor ini.

Anak sulung daripada lima adik-beradik ini juga adalah panel dakwah daerah Gombak Barat, ahli Badan Dakwah daerah Petaling dan aktif mengajar masyarakat Orang Asli di Sungai Buloh dan Bukit Lagong.

Kata Rogayah, semenjak bersara sebagai Penggerak Jakim, curahan baktinya kepada masyarakat Orang Asli tidak pernah pudar malah semakin bertambah tanpa mengira waktu. Akui wanita ini lagi, perbezaan bangsa bukan halangan penerimaan selagi apa yang diusahakan berniat ikhlas dan kerana menegakkan syiar Allah.

Malah, beliau kini sedang berusaha membentuk beberapa anak muda mualaf Orang Asli, dengan harapan mereka menjadi pelapis dan dapat menyumbang semula kepada masyarakat setempat.

“Alhamdulillah ada beberapa orang belia Orang Asli yang sedang menyambung pengajian di beberapa institusi manakala yang berada di perkampungan ini, saya sentiasa membawa mereka ke mana-mana mesyuarat, supaya mereka mendapat pendedahan.

“Apa yang saya lakukan ini juga sentiasa mendapat restu dan sokongan suami serta ahli keluarga yang lain. Ini terbukti apabila, keluarga reda apabila kami terpaksa memendekkan tempoh percutian kerana berlaku kematian di sebuah kampung Orang Asli,” kata Rogayah yang pernah menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada 2006.

Menceritakan cabaran selama terlibat dengan hal ehwal Orang Asli, prinsip Rogayah berusaha sekadar kemampuan sedikit sebanyak menguatkan semangatnya untuk terus menyumbang demi kebaikan umat Islam Orang Asli.

“Kesukaran akan dihadapi sekiranya individu itu masuk Islam bersebab bukan kerana memahami kebenaran Islam. Di samping itu, faktor kesabaran sangat penting kerana walaupun sudah lama memeluk Islam, tidak semestinya mereka sudah mantap dalaman.

“Sebab itulah dengan Orang Asli ini kita tidak boleh lepaskan sebaik sahaja mereka bergelar Muslim. Bimbingan berterusan perlu serta menunjukkan contoh sama ada dari segi penampilan ataupun kemantapan ekonomi diri tidak boleh dipandang remeh kerana itulah salah satu cara dakwah yang tidak kurang peranannya,” kata Rogayah sambil disokong Mohd. Shahbi.

No comments:

Post a Comment