Thursday, June 07, 2007

Penceramah turun padang rawat akhlak belia

Berita Harian, 7 jun 2007

Personaliti Oleh Azrul Affandi Sobry

"PENGALAMAN berada dalam situasi remaja dan menjalani kehidupan harian sebagai orang muda yang sentiasa suka berhibur, melepak di jalanan sambil menyanyi dan memetik gitar membuatkan saya cukup mengenali perasaan dan keinginan anak muda serta kaedah sesuai untuk mendekati mereka."

Demikian luahan Timbalan Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Kedah, Hafiz Mustafa Lubis, 35, yang juga Pengerusi Sekretariat Teras Pengajian dan Penghayatan Islam (Sehati) Kebangsaan.

Beliau yang sepanjang temubual membahasakan dirinya dengan panggilan 'ana' berkata, kebanyakan masyarakat terutama belia dan pendakwah sering membuat tanggapan salah mengenai kaedah penyampaian ilmu agama.

"Generasi muda sebenarnya cukup teringin dan suka untuk mendekati agama tetapi sering beranggapan sukar diterima ‘warga masjid’, manakala pendakwah pula beranggapan mereka tidak berminat untuk didekati.

"Kesalahan dalam membuat tafsiran inilah menyebabkan hubungan kedua-dua pihak ini menjadi renggang dan semakin sukar dirapatkan. Perkara ini perlu segera diatasi kerana hakikat yang sebenarnya, generasi belia berpotensi untuk menerima dakwah jika betul cara penyampaiannya," katanya.

Ustaz muda yang menerima pendidikan sekular sejak kecil hingga menamatkan alam persekolahan itu cukup percaya bahawa kaedah terbaik menyampaikan ilmu agama adalah menggalakkan pendakwah ‘turun padang’.

Baginya, pendakwah tidak wajar menunggu masyarakat mencari mereka tetapi pendekatan lama itu perlu ditukar dengan cara pendakwah pula perlu menemui khalayak supaya penyampaian ilmu itu menjadi lebih berkesan.

Bagi membuktikan komitmennya dalam melaksanakan kaedah itu, Hafiz memulakan siri jelajah ceramah di kawasan medan selera dan pada 2006, beliau berjaya mendapat tempat untuk menyampaikan ceramah di Medan Selera Baling.

"Itu hanya permulaan. Abim Kedah merangka untuk menjadikan siri ceramah sebegitu sebagai aktiviti tetap dan akan menjelajah ke lebih banyak kawasan terbuka seperti medan selera dan kawasan kunjungan ramai.

"Ini secara tidak langsung mampu membuktikan bahawa kaedah penyampaian dakwah secara terbuka mampu mendekatkan masyarakat kepada agama kerana untuk mengajak masyarakat ke masjid bukan perkara mudah. Justeru, pendakwah perlu turun padang," katanya.

Menceritakan latar belakang hidupnya, beliau sebenarnya tidak pernah menerima pengajaran formal dalam aliran agama ketika alam persekolahan, malah pada peringkat sekolah rendah beliau dihantar ke sekolah Inggeris sebelum menyambung pengajian ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Ayer Itam dan Sekolah Menengah Teknik Jalan Stadium, Alor Star.

Malah, selepas itu beliau menyambung pula pengajian di Institut Teknologi Mara (kini UiTM) Shah Alam selama tiga tahun bermula 1991 dalam bidang Pengajian Perniagaan sebelum menceburi bidang kerjaya di sebuah bank tempatan selama setahun.

Namun, siapa sangka hatinya terbuka untuk mendalami ilmu agama dengan memasuki Maahad Tarbiyah Islamiah Derang, Kedah pada 1995 hingga kini dilantik bekerja di situ sebagai Pendaftar. Itupun, kemasukannya ke situ selepas hampir tiga tahun membabitkan diri dengan Abim.

Hafiz berkata, beliau cukup meminati untuk menyertai Abim pada peringkat awal keaktifan dalam bidang dakwah kerana merasakan kaedah keterbukaan dan kesederhanaan diamalkan Abim cukup praktikal baginya.

"Di Abim, tiada perbezaan fahaman politik, tiada pengkhususan dalam pemakaian, tiada istilah taraf dan darjat, malah kaedah pendekatan kepada belia di Abim cukup bersantun.

"Namun, untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan ilmu agama, saya memasuki Maahad dan Alhamdulillah selepas beberapa tahun di sana, banyak yang saya pelajari dan dapat disampaikan pula kepada masyarakat," katanya.

Dengan merendah diri beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang pendakwah kini banyak didorong tunjuk ajar beberapa tokoh terkenal di Maahad Derang seperti Allahyarham Syeikh Niamat Yusof (bekas Tokoh Maal Hijrah Kedah), Syeikh Abu Bakar Awang, Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Annadwi dan Syeikh Abdul Majid Abu Bakar Annadwi.

Selain menggunakan pendekatan mendekati belia, beliau juga menggunakan kaedah teknologi terkini untuk menjadikan penyampaian dakwahnya lebih mudah difahami dan menarik untuk dipelajari semua peringkat masyarakat.

Antaranya, konsep penyampaian ceramah oleh Sehati menggunakan beberapa kitab terkenal seperti Fizilalil Quran dan Risalah Al-Mustarshidin yang biasanya disampaikan penceramah lain secara kuliah konvensional di masjid, namun Sehati menyampaikannya di dewan terbuka dan menggunakan tayangan slaid menerusi program komputer.

"Dengan cara ini kelompok yang menghadiri ceramah dapat mengaplikasikan deria mata dan telinga sekali gus di samping dapat belajar dalam suasana lebih selesa dan jelas kerana segala yang disampaikan dipertontonkan pula melalui slaid.

"Alhamdulillah, sehingga kini, Sehati sudah mempunyai tiga cawangan kuliah tetap iaitu di Kedah, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang menyampaikan ceramah secara percuma serta lebih menjurus kepada kelompok muda," katanya.

Anak bongsu daripada enam beradik itu juga menggunakan isu semasa dalam setiap ceramah mingguan dan bulanan yang disampaikannya secara individu kerana baginya, pendekatan itu membolehkan penyampaian ceramah menjadi lebih menarik dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Beliau juga berulang kali menyatakan hatinya lebih cenderung mendekati kelompok belia terutama penagih dadah dan remaja bermasalah. Baginya, golongan itu pada hakikatnya boleh dilentur jika diberi perhatian sewajarnya.

"Boleh dikatakan, saya sudah pernah menyampaikan ceramah di hampir semua sekolah di Kedah. Biasanya, saya akan mengenalpasti remaja bermasalah, mengambil nombor telefon mereka dan menghubungi atau menghantar SMS untuk menunjukkan keprihatinan kepada mereka.

"Insya-Allah, jika selalu didekati dan diambil berat kebajikan mereka, lama kelamaan kelompok bermasalah ini akan berubah dan menerima apa saja yang hendak disampaikan kepada mereka," katanya.

Ketika ditanya apakah impiannya dalam menyebarkan dakwah, beliau berkata, azamnya pada satu hari nanti ialah untuk membuka sebuah pusat pembentukan akhlak yang sama konsep dengan satu pusat di Indonesia, di mana belia bermasalah berpeluang dipulihkan dengan memberi peluang belajar ilmu kemahiran dan kehidupan secara lebih holistik.

"Di pusat itu penyampaian dakwah tidak disampaikan secara menekan dan itu secara langsung tidak menjauhkan mereka yang bermasalah daripada proses pemulihan kerana mereka berasa selesa dengan apa yang disampaikan," katanya.

No comments:

Post a Comment