
Utusan Malaysia, 24 mei 2007
Oleh: ABD. HALIM HADI
MENTERI Di Pejabat Ketua Menteri Sarawak (Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman (kanan) menyampaikan sijil penghargaan dan bantuan kepada penduduk Kampung Darul Islam Belimbing dekat Kuching, baru-baru ini.
SUASANA di Kampung Belimbing, Padawan, dekat Kuching, tidak banyak berbeza daripada perkampungan Bidayuh lain di Sarawak kecuali mempunyai sebuah bangunan yang menjadi tumpuan penduduk lima kali sehari setiap kali tiba waktunya.
Surau bersaiz sederhana yang diimarahkan setiap waktu sembahyang itu menjadi saksi penerimaan Islam oleh masyarakat Bidayuh di situ suatu ketika dahulu.
Kini, selepas 28 tahun kampung yang dahulunya mempunyai majoriti penduduk beragama Kristian bertukar nama kepada Kampung Darul Islam Belimbing.
Bukan hanya pada nama, semua 688 penduduk daripada 73 keluarga yang tinggal di dua rumah panjang di situ kini mengamalkan ajaran dan cara hidup Islam sepenuhnya.
Penerimaan Islam oleh penduduk kampung berkenaan walaupun melalui beberapa peringkat dan kumpulan merupakan antara proses pengislaman terbesar di negeri ini. Walaupun berbeza kepercayaan, hubungan dengan masyarakat sekeliling yang berpegang kepada ajaran agama lain masih dikekalkan malah tidak pernah renggang sejak dahulu.
Mendekati penduduk kampung itu, terserlah sinar keimanan dan ketakwaan pada wajah mereka. Golongan wanita mengenakan tudung manakala lelaki berkopiah dan bersongkok.
Pada mata kasar, pemandangan kampung itu tidak ubah seperti kampung-kampung Melayu yang lain kecuali perbezaan raut wajah kaum Bidayuh yang jauh lebih cerah berbanding suku kaum lain.
Pada Program Berambeh Bersama Rakyat (BBR) anjuran Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) selama dua hari, penulis bertemu dengan Abdul Jalil Barieng, 82, iaitu seorang daripada lapan orang pertama yang memeluk Islam di kampung berkenaan.
Abdul Jalil berkata, penduduk Kampung Belimbing (nama lama) menerima kedatangan Islam sekitar awal tahun 80-an melalui beberapa orang pendakwah dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Ketika itu, beliau bersama tujuh rakannya masih berpegang pada ajaran Kristian seperti kebanyakan masyarakat Bidayuh di situ.
“Kami tidak menyangka bahawa daripada sambutan dan layanan baik yang diberikan kepada tetamu (pendakwah) itu, akhirnya kami menerima balasan yang jauh lebih baik, iaitu hidayah,” katanya.
Beliau sehingga sekarang masih menganggap pertemuan itu sebagai satu pengalaman yang menyeronokkan dan tidak dapat digambarkan sehingga sekarang.
Selain itu, beliau menyifatkan tugas tanggungjawab menyediakan pendidikan kepada anak-anaknya selepas memeluk agama Islam lebih mencabar.
“Sebelum itu, saya hanya tumpukan pendidikan sekolah tetapi selepas masuk Islam saya ditambah dengan satu lagi tugas iaitu pendidikan,” katanya.
Berkat kesyukuran dan ketakwaannya kepada tanggungjawab agama dan keluarga, tiga daripada anaknya kini berjaya menjadi manusia yang berguna.
“Saya begitu bersyukur kerana tanggungjawab saya membesar dan mendidik anak sudah selesai. Sekarang mereka sudah bekerja dan mempunyai keluarga masing-masing,” katanya.
Bagi penduduk baru di kampung itu, Norazlina Abdullah, beliau tidak menyangka perkenalan dengan teman lelakinya, Azman Rahman membuka ruang untuk menerima hidayah daripada Allah.
Selepas memeluk Islam dan mendirikan rumah tangga kira-kira enam tahun lalu, beliau yang berasal dari Serian, mengikut suaminya untuk menetap di situ.
“Sekarang saya sedar dan percaya bahawa ketentuan seseorang itu telah ditetapkan dan saya tidak menyangka bahawa kehidupan selepas Islam lebih tenang tambah pula di samping suami dan anak-anak,” katanya.
Kata Norazlina, ajaran agama dan penerapan nilai-nilai Islam memberi makna dan sangat sempurna dijadikan panduan hidup khususnya dalam pembentukan keluarga.
“Saya sangat kagum dengan prinsip Islam yang menyuruh umatnya hormat menghormati tanpa mengira pangkat dan kedudukan.
“Perasaan hormat antara satu sama lain itu juga membolehkan saya mendekati kawan dan saudara Islam yang lain untuk mempelajari cara bersolat dan amalan lain,” jelasnya.
Selain itu, hobi membacanya juga banyak membantu memberi kefahaman melalui pembacaan buku berkenaan agama Islam.
Norazlina memberitahu, selepas menukar agama, beliau masih beridentiti dan mengamalkan adat-adat kaum Bidayuh yang tidak bertentangan dengan Islam selain menjaga hubungan dengan ahli keluarga yang berbeza kepercayaan.
Bagi remaja, Rauf Abdul Ghani, 17, walaupun dilahirkan sebagai seorang Islam, pencarian ilmu berkaitan agama masih diteruskan kerana dia percaya bimbingan daripada ibu bapa sahaja tidak mencukupi.
Setiap minggu dia akan menghadiri kelas bimbingan agama dan ceramah di Surau Darul Islam tidak jauh dari rumahnya bersama kawan-kawan untuk mendalami ilmu agama.
“Sebagai umat Islam, saya tahu bahawa tuntutan kepada pelajaran sangat penting dan mencarinya juga adalah satu ibadah.
“Walaupun di sekolah kami diajar oleh guru-guru melalui mata pelajaran agama, suasana ceramah di surau kampung sangat berbeza,” katanya.
Selain itu katanya, penghayatan kepada Islam juga bertambah setiap kali tiba bulan Ramadan kerana ia menguji ketahanan dan iman seseorang.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Saji Ahim, 54, berkata, pelbagai program keagamaan dianjurkan untuk memberi peluang kepada penduduk kampung mendalami ilmu agama.
“Setiap Isnin, Rabu dan Jumaat kita adakah ceramah, kuliah subuh, bacaan dan terjemahan al-Quran.
“Kita berbangga kerana tenaga pengajar terdiri daripada ustaz yang dilantik daripada kalangan kami sendiri, selain daripada Jabatan Agama Islam dan penceramah bebas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kaum, Hussein Bnyak berkata, walaupun hampir 30 tahun kaum Bidayuh menganut Islam, mereka masih mengekalkan adat-adat peninggalan nenek moyang mereka, selagi perkara itu tidak menyalahi ajaran agama Islam.
“Selepas kita diajar mengenal Allah dan beramal kepadanya, perkara-perkara yang salah dibetulkan secara berperingkat-peringkat.
“Daripada cara menutup aurat hinggalah cara mengkebumikan jenazah. Dan hasil dakwah daripada saudara Islam, sekarang kita sudah mengamalkan cara hidup Islam yang sebenarnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment