Thursday, May 17, 2007

Daniel rahsiakan pengislaman selama 10 tahun


Utusan Malaysia, 17 Mei 2007


PASANGAN IDEAL...Divesh Kumar Daniel Kakulal dan isteri meraih kemenangan hadiah utama program ‘Cari Menantu’ yang diraikan pada majlis persandingan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, baru-baru ini.

Di zaman persekolahannya, para pelajar Melayu menjadi pilihan Divesh Kumar Daniel Kakulal, 28, untuk belajar dan mentelaah ilmu pengetahuan.

Pergaulan mereka bukan setakat itu sahaja malah rutin harian yang dijalankan seolah seperti adik-beradik yang sukar dipisahkan. Boleh dikatakan di mana ada rakan Melayu sekelasnya, di situ mesti ada Daniel.

Malah persahabatan yang wujud itu tidak pernah membuatkan Daniel merasa tersisih. Sebaliknya, keakraban itu merupakan satu hikmah membawa pengislaman dirinya untuk memahami ajaran Islam dengan lebih mendalam.

Setiap kali waktu pelajaran Pendidikan Moral diajarkan, Daniel akan membawa dirinya mengikuti kelas Agama Islam bersama dengan rakan-rakan Melayu. Ketika itu tiada tentangan daripada guru agama yang mengajar malahan memberi galakan kepada Daniel untuk mempelajari ilmu itu. Namun hatinya masih belum terdetik untuk berbicara panjang mengenai Islam.

Namun, sokongan, pandangan serta nasihat abang dan kakak yang sudah sekian lama memeluk Islam menjadi pembakar semangat untuk anak muda ini menjadi Muslim sejati dan memilih agama ini sebagai pegangan hidup.

“Bayangkan saya merahsiakan perkara ini hampir 10 tahun daripada ibu. Namun akhirnya diketahui mengenai pengislaman saya ketika dimaklumkan oleh salah seorang jiran tetangga mengenai saya melalui penyertaan dalam sebuah program rancangan realiti iaitu ‘Cari Menantu’ dengan tertera menggunakan nama Islam pada episod yang kedua. “Ketika itu, ibu saya kurang senang dengan berita tersebut dan berlaku perselisihan faham antara saya dan ibu. Saya tidak dibenarkan pulang ke rumah lalu saya menetap di rumah abang saya. Namun naluri sebagai anak terhadap ibu tersayang membuatkan diri saya terus beriltizam dan berusaha untuk bersemuka dan menerangkan mengenai tindakan saya ini,” jelasnya.

Tambah Daniel, tujuan sebenar merahsiakan dalam tempoh yang lama ini kerana tidak mahu menyakiti hati ibu.

Walaupun memeluk Islam dengan kerelaan hati tetapi beliau memahami perasaan seorang ibu yang mudah tersinggung dan kecil hati lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan soal agama.

“Ibu adalah orang yang paling saya sayangi dan hormati di dunia ini. Namun kehendak saya memilih untuk mendalami agama Islam membuatkan saya serba salah untuk mengatakan perkara yang sebenar.

“Namun akhirnya Tuhan memberi hidayah setelah saya menyertai program ‘Cari Menantu’,” jelasnya.

Kata Daniel, selepas menyertai program realiti itu, dia berasakan ia adalah masa yang paling sesuai untuk menyuarakan rahsia yang terbuku di hati kepada ibu.

“Alhamdulillah program ‘Cari Menantu’ telah menyatukan hati saya bersama ibu tercinta dan atas alasan itu juga akhirnya masalah saya dapat diselesaikan.

“Ibu menerima saya kembali dan pada masa yang sama menerima isteri saya, Engku Rabaal Adawiyah sebagai menantu,” tambahnya.

Daniel yang merupakan penceramah bebas di Yayasan Perkhidmatan Informasi Islam (IISF) dan Pegawai Pemasaran, di Islamic Sabha Group diumumkan sebagai pemenang rancangan ‘Cari Menantu’ bersama pasangannya. Sekali gus menjadi peserta pertama yang mengukir nama dalam program realiti istimewa itu.

Daripada ratusan pasangan semasa uji bakat diadakan Semenanjung Malaysia, 10 pasangan telah dipilih dan tiga telah dipilih sehingga ke peringkat akhir.

Program realiti yang membimbing para peserta tentang kehidupan berumah tangga disiarkan selama 13 minggu berturut-turut bermula pada 28 Disember 2006, menerusi TV9.

Menurut Daniel, soalan-soalan yang ditimbulkan oleh para juri memang sukar dijawab tetapi dengan ilmu yang dipelajari daripada seorang ustaz dan abangnya, beliau dapat menjawab dengan baik.

“Saya dan isteri membuat persiapan awal dari segi emosi terutama mengenai soalan-soalan fikah. Ia juga menguji daripada persoalan agama sehingga kepada penampilan diri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Daniel dan isterinya bersyukur dengan kejayaan mereka serta menyifatkan ia sebagai rezeki dan hadiah perkahwinan.

“Kami menyertai program ini bukan untuk sasaran hadiah tetapi untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dalam konteks hubungan suami isteri dan alam rumahtangga,” katanya.

Sementara itu, Daniel berpendapat, kebanyakan masyarakat bukan Islam sering melihat perkara negatif tentang Islam.

“Persepsi masyarakat bukan Islam amat berbeza kerana ia melihat perilaku masalah melibatkan umat Islam yang melibatkan agama,” jelasnya.

Mengenai isu mualaf dan isu bin Abdullah, Daniel berkata, isu itu sebenarnya menyusahkan masyarakat bukan Islam untuk mendalami Islam. Ini kerana tanggapan mereka apabila masuk Islam bermakna kena tukar nama bapa kepada Abdullah.

“Bagi mereka, perkara ini seolah-olah terpaksa membuang ayah dan keluarga.

“Bagi saya dengan mengekalkan nama keluarga, saya yakin lebih ramai orang bukan Islam berminat untuk menganuti agama ini,” katanya.

1 comment:

  1. The titanium fidget spinner. - Tioga Art
    The titanium chi titanium flat irons fidget spinner is a perfect handcrafted nipple piercing jewelry titanium spinner for those of titanium 3d printer us who enjoy the titanium chain craftmanship required, enjoy the titanium camping cookware comfort of our craft.

    ReplyDelete