Utusan Malaysia, 14 Mei 2007Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
ZAHARAH Bidin (kiri) menerima jambangan bunga daripada anaknya Norazleen Abu Bakar pada majlis penganugerahan Ibuku Inspirasiku AVON di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
HARTA dan wang ringgit bukanlah ukuran kepada pengorbanan seorang ibu terhadap anak-anak. Begitu juga ilmu pendidikan tinggi, bukan jaminan kejayaan.
Sebaliknya setiap apa yang dilakukan oleh ibu adalah berlandaskan kasih sayang dan tanggungjawab terhadap keluarganya.
Zahrah Bidin, 65, membuktikan tanpa pelajaran tinggi dia mampu meraih kejayaan dalam hidup.
Berbekalkan ingatan yang kukuh Zahrah memulakan kerjayanya sebagai pengedar produk Avon. Setiap temphan pelanggan diingat dengan teliti jangan sampai tersalah.
Hari ke hari itulah rutin hidupnya. Dengan wang itulah dia membesarkan anak-anak. Namun selagi usaha pasti ada kejayaan. Tuhan sentiasa memberi jalan kepada hamba-Nya untuk mencipta kejayaan jika terus berusaha. Demikian kejayaan yang diraih Zahrah dalam membina kebahagiaan keluarganya khususnya memenuhi tanggungjawabnya sebagai ibu.
Zahrah berkata, pengorbanan seorang ibu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit atau harta benda. Sukar dan digambarkan dengan kata-kata.
Pendapat ibu kepada enam anak berusia 34 hingga 22 tahun ini turut diakui oleh anaknya, Norazleen Abu Bakar, 31 yang kagum dengan kecekalan ibunya bangun setiap pagi menyiapkan mereka ke sekolah, kemudian berjalan kaki dari rumah ke rumah untuk menjual barangan AVON.
Lebih membanggakan lagi, tahun ini Norazleen dan adik-beradiknya berpeluang meraikan ibunya yang mendapat anugerah Ibu Inspirasi Wakil Avon 2007 sempena sambutan Hari Ibu di Hotel Sheraton Imperial, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Bagi Norazleen, ibunya tidak pernah berasa berputus asa atau serik membesarkan anak-anaknya walaupun bapanya, Abu Bakar, 61, yang bertugas sebagai anggota tentera mempunyai pendapatan yang tetap setiap bulan.
Katanya, pengalaman ibunya membesarkan anak-anak seramai enam orang memberikan seribu kekuatan dalam dirinya agar lebih tabah dan sabar dalam menghadapi cabaran yang datang.
“Apabila mengenangkan pengorbanan ibu, memang kami adik-beradik tidak mampu membalasnya. Bayangkan ibu saya yang tidak tahu membaca dan menulis mampu menjual barangan Avon sekurang-kurangnya ke enam buah rumah sehari.
“Ibu cuma menghafal dan mengingat produk yang dikehendaki oleh pelanggan.
“Berkat kesabaran ibu dan dorongan kuat suami dan anak-anak, ibu berjaya menjadi wakil jualan Avon yang berjaya,’’ katanya yang pernah melanjutkan pelajaran di Ireland.
Menurut Zahrah, dia dan suami bukanlah berasal daripada keluarga senang.
“Namun saya bersyukur kerana kami berupaya membesarkan anak-anak dengan kudrat kami.
“Niat saya ingin membantu suami dan memberi kesenangan kepada anak-anak,’’ katanya yang sudah 24 tahun menjadi wakil jualan Avon.
Sepanjang menjual barang-barangan Avon, Zahrah tidak pernah melakukan kesilapan walaupun buta huruf kerana setiap katalog dan produk Avon telah pun dihafalnya.
Tambahnya, sikap ramah dan mesra yang dihulurkan kepada pelanggan menjadi kunci kejayaannya.
Ditanya harapan seorang ibu terhadap anak-anaknya yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang, Zahrah berkata dia tidak mengharapkan balasan terhadap apa yang dilakukan kepada anak-anaknya selama ini.
Sebaliknya anak kelahiran Kelantan ini hanya berharap kesemua anak- anaknya akan menjadi manusia berguna bukan sahaja kepada keluarga tetapi juga kepada agama dan bangsa.
Kini anak-anaknya telah pun berjaya dalam kerjaya masing-masing, Sararuzana, 34; bidang perkapalan di Johor Bahru, Esmee Mahani, 33; membantu Zahrah di kedai Avon, Norazleen, 31; Perunding Senior di Aftaas Corporate Advisory Services Sdn. Bhd, Kuala Lumpur, Amirul, 28 pegawai penjara, Azahary, 26 ; pembantu makmal dan Nurul Hanizan, 22; jururawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
Norazleen juga melahirkan rasa terharu dan besar hati terhadap pengorbanan ibunya itu.
Tambahnya, pengorbanan ibunya dalam membesarkan mereka adik beradik sukar untuk dibalas.
“Kasih sayang dan pengorbanan yang ibu curahkan kepada kami adik beradik selama ini rasanya sukar untuk dinilai dan terbalas sampai bila-bila,’’ ujarnya.
Norazleen memberitahu, selagi hayat ibunya masih ada dia mahu membahagiakannya dengan melakukan apa yang disukainya.
“Insya-Allah, sempena Hari Ibu ini saya akan menghadiahkan ibu sesuatu yang istimewa buatnya. Biarpun kecil sekurang-kurangnya saya mahu melihat ibu gembira,’’ katanya.
Bagi seorang suami dan bapa, Abu Bakar mengakui cukup terharu dengan segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh isterinya.
Isterinya telah menjaga keperluan sehariannya dan dalam pada masa yang sama mendidik dan membesarkannya anak-anaknya.
Katanya, pengorbanan isterinya sesuatu yang cukup memberi kesan mendalam dalam dirinya.
“Walaupun dalam tempoh tertentu saya akan berjauhan dengan keluarga disebabkan kerja, isteri saya tetap menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.
“Bagi mereka yang masih lagi mempunyai ibu, lakukan sesuatu yang boleh membahagiakan hati mereka.
“Melihat kerja keras isteri, saya tahu menjadi seorang ibu bukan tugas yang boleh dianggap yang mudah tetapi ia menuntut pengorbanan yang besar dari segi masa, tenaga dan wang ringgit.
“Saya akan sentiasa mendorong dan membantu segala usaha yang isteri saya lakukan.
“Buat isteri tersayang, abang sentiasa mendoakan yang terbaik buat keluarga kita,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment