Thursday, April 19, 2007

Yusuf Ong perkasakan Unit Saudara Baru

Utusan Malaysia, 19 April 2007

Oleh: ZUARIDA MOHYIN


MUHAMMAD Yusuf Ong Abdullah sentiasa cuba meluangkan masa bersama isteri, Siti Khatijah Sui Abdullah dan anak-anak yang semakin membesar. Anak keempat tiada dalam gambar.

RAUT wajahnya agak serius tetapi sejurus mengukir senyum ketika menyambut kunjungan penulis dan jurufoto, memberi jawapan spontan bahawa anak kelahiran Bruas, Perak ini seorang yang peramah dan mudah mesra.

Malah keterbukaannya berkongsi kisah pengislaman dan pengalaman dengan kerja-kerja dakwah dan membantu golongan mualaf, memperkukuhkan lagi telahan penulis.

Begitulah gerangannya Ketua Penolong Pegawai Dakwah, Bahagian Pembangunan Insan, Majlis Agama Islam Malaysia (MAIS), Muhammad Yusuf Ong Abdullah, 42, sepanjang pertemuan di pejabatnya di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Pengalaman lebih 15 tahun mengendalikan hal ehwal saudara kita, akui Yusuf Ong sarat dengan pelbagai insiden dari yang mudah sehinggalah yang melibatkan keselamatan nyawa beliau sekeluarga. Namun, semua itu tidak mematahkan semangat Yusuf Ong yang sebelum ini merupakan Pegawai Mubaligh di Bangunan SUK, Shah Alam sejak 1991.

Katanya, pengalaman diserang sekumpulan gangster yang bersenjata api adalah antara insiden yang masih terkesan hingga hari ini. Apa tidaknya, masa itu baru beberapa tahun bekerja dan ia berlaku pada lewat tengah malam di sebuah rumah perlindungan mualaf di Shah Alam.

“Kami dituduh melarikan anak mereka, sedangkan pengislaman yang dilakukan adalah atas kerelaan dan kehendak saudara baru itu sendiri dan tiada unsur paksaan.

“Oleh kerana itu, keluarga asal mualaf berkenaan sanggup menggunakan apa cara sekalipun agar dapat mengembalikan mereka kepada agama asal,” katanya.

Menurut Yusuf Ong lagi, kalau setakat cacian, makian, debat dan ugutan itu semua lumrah dihadapi setiap kali berhadapan dengan golongan yang tidak memahami ajaran Islam yang sebenar serta melihat Islam dari sudut yang kurang berapa tepat.

Bagaimanapun, baginya, apa yang dilalui dahulu masih baru malah beliau belum puas malah tidak pernah jemu untuk terus membantu golongan mualaf biarpun sudah 17 tahun melibatkan diri dalam bidang tersebut.

Kata Yusuf Ong yang memeluk Islam 22 tahun lalu, masih banyak perkara yang hendak disumbangkan demi memantapkan diri seseorang mualaf terutamanya di negeri Selangor.

“Sebenarnya banyak rancangan yang sedang dan bakal dirangka. Antaranya pengukuhan fahaman dan akidah. Kami akan melihat semula modul bimbingan serta menyediakan modul agar keberkesanannya lebih kemas dan efektif.

“Kedua, menerusi rancangan jangka masa panjang iaitu melahirkan kader-kader dakwah sebagai pelapis dakwah. Ia dilakukan menerusi latihan atau kursus perkaderan kepada mualaf yang berpotensi,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, pihaknya juga ada menaja para pelajar sama ada ke Institut Dakwah Islamiah Perkim atau Pondok Pasir Tumbuh di Kelantan malah hingga ke luar negara. “Sebenarnya, di negeri Selangor ramai daripada mereka ini telah dibentuk untuk berkhidmat semula,” tegas Yusuf Ong.

Pun begitu, semua usaha ini perlu kepada kerjasama semua pihak untuk memastikan kejayaannya. Apa yang beliau dapati, saudara baru di negeri Selangor peratusan pemahaman dan penghayatan Islam masih agak rendah.

Lantaran itu, Yusuf Ong merasakan perlu kajian yang khusus seperti kaji selidik tentang apa sebenarnya harapan mereka (saudara baru) selepas memeluk Islam. Usaha ini bertujuan membuat perencanaan bagi mengenalpasti hala tuju mereka, apatah lagi banyak kekangan yang terpaksa dihadapi.

Di samping itu, beliau turut berharap agar usaha mewujudkan Pusat Latihan Saudara Kita dipandang serius. Ramai yang beranggapan Institut Latihan Dakwah berkait rapat dengan program saudara baru tetapi pusat ini sebenarnya adalah untuk pusat latihan dalaman bagi kakitangan.

Katanya, jika di Kedah dan Negeri Sembilan sudah mempunyai pusat latihan khas untuk saudara baru sendiri, sudah tepat masanya negeri Selangor juga mengikut langkah sama. Ini supaya Unit Dakwah Saudara Kita, Jabatan Agama Islam Selangor boleh diperkasakan.

“Untuk makluman ramai juga, di negeri Selangor terdapat lebih 17,000 saudara baru yang terdapat dalam data kami. Berbanding kurang 40 orang tenaga manusia untuk mengendalikan kumpulan ini.

“Pastinya melihat kepada perbezaan besar nisbah ini, menyedarkan kita masih banyak yang perlu dilakukan seperti penubuhan sukarelawan untuk menjadi panel dakwah dan bagaimana hebat pun usaha dilakukan, tentunya masih ada lagi kekurangannya yang terlepas pandang,” akui Yusuf Ong.

Dalam berdakwah, beliau menggunakan pendekatan sentiasa mengawal diri dan sentiasa memberi senyuman sebagai senjata paling berkesan apabila berhadapan dengan pelbagai situasi yang tidak diduga.

Selain itu, Yusuf Ong sentiasa mencuba sedaya upaya membantu golongan mualaf yang datang meminta pertolongan mengikut kemampuan beliau. Malah seboleh-bolehnya, beliau tidak mahu menghampakan dan mengecualikan mereka. Sikapnya yang sentiasa berprasangka baik bertujuan membibitkan rasa selesa yang akhirnya membawa kepada keyakinan saudara baru itu.

Terang Yusuf Ong, golongan sebegini cukup sensitif jiwa dan perasaan. Oleh itu, masyarakat Islam bukan sahaja perlu prihatin apabila berhadapan dengan golongan ini tetapi diharap dapat menyediakan satu keadaan yang kondusif. Nampak macam keterlaluan tetapi ia penting bagi melahirkan rasa diperlukan, dihargai dan diterima.

Bagi beliau, selagi mana apa yang dilakukan itu tidak bertentangan dengan syariat Islam, ia tidak menimbulkan masalah dan Islam membenarkannya. Kebiasaan yang berlaku, kekeliruan di antara adat dan agama.

Berkongsi kisah yang membawa kepada pengislaman beliau, cerita anak ketiga daripada enam adik-beradik ini, ketika di bangku sekolah rendah lagi tiga persoalan yang sering berlegar di mindanya iaitu asal kejadian manusia, tujuan dihidupkan dan kehidupan selepas mati.

“Apabila berada di dalam darjah enam dan peringkat sekolah menengah, saya pernah bertanyakan kepada kawan-kawan tetapi tidaklah secara serius.

“Kemudian apabila berada di tingkatan enam, saya mengikut teman ke ceramah bertajuk ‘Hari Kebangkitan’ oleh Ustaz Harussani Zakaria (kini Mufti Perak). Menerusi ceramahnya itulah ketiga-tiga persoalan yang sekian lama dicari terjawab. Saya tidak tahu pada masa itu apa yang diterangkan itu adalah agama Islam,” jelasnya.

“Pada masa yang sama, saya menyertai Persatuan Pelajar Islam di Sekolah Tinggi Methodist (MHS) dan turut aktif mengikuti aktiviti Persatuan Kristian di sekolah yang sama. Dari situ saya membuat perbandingan. Akhirnya, selepas menamatkan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) saya mengambil keputusan memeluk agam Islam,” katanya bermulalah cabaran bergelar mualaf.

Sambung Yusuf Ong, beliau dibenarkan tinggal dengan keluarga dengan beberapa syarat antaranya, tidak dibenarkan menyebut apa sahaja tentang Islam kepada adik-beradik yang lain dan menyediakan makan dan minum sendiri.

Keyakinan sepenuhnya kepada agama pilihannya itu menyebabkan Yusuf Ong tidak sedikitpun tergugat jika dibandingkan kesungguhannya berpuasa sebulan penuh setahun sebelum memeluk Islam.

Biarpun diugut gangster kampung, dibawa berubat, terpaksa mengayuh basikal sejauh satu kilometer serta dikejar anjing kerana hendak bersembahyang di masjid kampung sebelah, ia sedikitpun tidak menggugat keimanan beliau.

“Namun, apabila keluarga mengambil keputusan berpindah ke Kuala Lumpur tanpa memberitahu saya terlebih dahulu, barulah terasa tetapi tidaklah sehingga menimbulkan putus asa.

“Alhamdulillah saya tinggal dengan sebuah keluarga angkat (keluarga teman sekelas) di Pasir Panjang, meringankan bebanan kewangan pada masa itu. Saya menjadi guru sandaran di dua buah sekolah dalam tempoh dua tahun sebelum menerima tawaran mengikuti pengajian di maktab.

“Lama-kelamaan, saya terfikir mahu menambah ilmu agama dan mengambil keputusan berhenti sebelum meneruskan pengajian di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan selama dua tahun dan kemudian ke Institut Dakwah Islamiyah Perkim di Petaling Jaya, Selangor,” cerita Yusuf Ong ketika di Petaling Jaya inilah beliau berkenalan dengan isteri yang berdarah kacukan Cina Siam dari Kedah, Siti Khatijah Sui Abdullah, 39, dan kini dikurniakan empat cahaya mata.

Akui Yusuf lagi, tiga bulan selepas pengislaman merupakan tempoh penuh cabaran. Alhamdulillah, kini dua adik-beradik perempuannya turut mengikut jejaknya bergelar Muslim. Semasa hayat ibu dan bapanya, kata Yusuf Ong mereka turut mengakui kebaikan Islam. Ini kerana biarpun berbeza agama, beliau tetap menjaga hubungan sekeluarga terutamanya tanggungjawab sebagai anak lelaki kepada kedua-dua ibu bapa mereka.

Yusuf Ong bersyukur mendapat maklumat yang tepat sepanjang pencariannya itu. Malah beliau berpesan agar umat Islam khususnya golongan mualaf agar sentiasa berpegang kepada al-Quran, hadis dan kata ulama.

Katanya, selagi hayatnya masih ada, beliau akan meneruskan perjuangan amar makruf nahi mungkar secara istiqamah.

No comments:

Post a Comment