Harakahdaily, 13 Mac 2007
Azamin Amin
Tue | Mar 13, 07 | 11:38:25 AM
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Hrkh) - Media arus perdana semakin diragui kejujuran apabila terbukti salah satu beritanya yang menyiarkan laporan tidak tepat berhubung keputusan SPM seorang pelajar cemerlang baru-baru ini. Pada 4 Mac lalu, negara dikejutkan dengan pengumuman 'Nadiah Amirah peroleh 19 1A SPM 2006' oleh salah sebuah akhbar yang disifatkan mendahului laporan rasmi Kementerian Pelajaran yang mengumumkan keputusan SPM semalam yang jauh berbeza dan keputusan sebenarnya ialah memperolehi 14A1.
Ahli Jawatankuasa PAS dan Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar, Mahfuz Omar berkata, media dalam keghairahan mendapatkan maklumat dan ingin menjuarai berita sensasi,adakalanya tersilap langkah melaporkan berita yang tidak tepat yang akhirnya memberi kesan yang sangat besar kepada masyarakat.
Walaupun begitu beliau tetap mengucapkan sekalung tahniah di atas kejayaan Nadiah yang memperoleh 14 A1 dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah,Geografi, Sains, Matematik, Perdagangan, Prinsip Akaun, Fizik, Kimia, Tasawur Islam, Pendidikan al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah di samping memperoleh 4 A2 dalam mata pelajaran Matematik Tambahan, Ekonomi Asas, Kesusasteraan Melayu dan Biologi serta B3 dalam English For Science & Technology (EST).
"Kesan daripada 'manipulate' dan eksploitasi media, mengakibatkan rakyat semakin kurang mempercayai dan meragui berita yang disiarkan dalam media arus perdana baik di akhbar, radio dan tv," kata Mahfuz yang dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
"Ini baru keputusan SPM, bagaimana pula dengan isu-isu politik, ekonomi dan adakah laporannya juga tidak tepat dan berunsur spekulatif?"soalnya.
Beliau menyelar sikap sesetengah media menyiarkan berita dan melaporkan sesuatu perkara melalui sumber kaki lima dan natijahnya menyebabkan maruah seseorang semakin tercemar tanpa bersandarkan fakta dan maklumat yang tepat.
Beliau turut menyatakan sewajarnya Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) memberi amaran kepada akhbar terbabit kerana menyiarkan laporan spekulatif dan di samping menyiarkan permohonan maaf secara terbuka ekoran laporan itu.
Sebelum ini KKDN menghantar surat amaran kepada akhbar Harakah baru-baru ini yang didakwa menyiarkan laporan berbentuk spekulatif.
"Saya suka melihat kes demi kes, bukan semua media dan semua perkara tetapi kekerapan melaporkan berita 'half truth' ini menyebabkan rakyat mula sangsi dengan kredibiliti media arus perdana," katanya.
"Ditambah pula media tidak memberi ruang kepada ahli-ahli poltik tertentu seperti Tun Mahathir dan pemimpin pembangkang menyuarakan pandangan mereka menyebabkan rakyat mula beralih kepada media alternatif yang lain seperti Harakah, internet dan blog," katanya.
Malah katanya ramai yang berpendapat media alternatif lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat dan menyiarkan berita yang benar.
Dalam masa yang sama Naib Pemuda PAS, Mazlan Aliman turut mempersoalkan bagaimana kebocoran maklumat boleh berlaku sedangkan laporan rasmi daripada Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) belum lagi dikeluarkan dan ini mengugat kepercayaan orang ramai terhadap kewibawaan MPM.
"Lima hari lebih awal keputusan telah bocor dan ini tidak pernah terjadi sebelum ini apatah lagi laporannya pula salah.Adakah ada agenda politik dan berkepentingan orang-orang yang tertentu?" katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
"Akibatnya keluarga dan seluruh rakyat Johor menanggung malu kerana telah membuat persiapan untuk menyambut keputusan Nadiah yang dijangka memperoleh 19A1," katanya selain merujuk kepada puluhan banting yang memaparkan wajah Nadiah di tiang-tiang elektrik di Renggit, Johor.
Justeru katanya, Mazlan meminta pihak-pihak yang terbabit khususnya Majlis Peperiksaan Malaysia tampil untuk memberi penjelasan tentang perkara itu dan memohon maaf kerana melaporkan berita yang tidak tepat, di samping media juga perlu berhati-hati dalam mensensasikan sesuatu berita yang memberi kesan buruk kepada sesetengah pihak.
Keputusan keseluruhan ialah pelajar paling cemerlang ialah pelajar Sekolah Agama Maahad Muhammadi Perempuan,Kelantan, Siti Fatimah Mukhtar, 17, yang memperoleh 17 1A dan satu 2A; manakala seorang pelajar berusia 15 tahun Melisa Sia Yin Ying mencatat sejarah apabila menjadi calon termuda memperoleh 17 1A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam. - mr/mks.
No comments:
Post a Comment