Thursday, March 08, 2007

Islam di Kemboja berkembang dalam kepayahan

Utusan Malaysia, 8 mac 2007


Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK.

Kanak-kanak Islam Sekolah Agama Nurul Yakin, Kemboja ini terpaksa berkongsi tempat semata-mata untuk mendalami ilmu agama Islam.

Melayu Champa merupakan kaum minoriti dengan jumlah penduduk 500,000 daripada 13 juta rakyat Kemboja. Pengislaman orang Cham bermula sejak tahun 1000 Masihi.

Umat Islam di Kemboja masih berada pada tahap kemiskinan dan ekonomi yang rendah terutama peluang mendapatkan pendidikan serta pekerjaan yang sempurna. Bahkan peluang yang ada pun terhad kerana jumlah penduduknya melebihi jumlah permintaan pasaran tenaga kerja sedia ada.

Tahap ekonomi yang rendah di samping penawaran buruh yang tinggi menyebabkan ramai rakyat Kemboja menganggur. Kebanyakan masyarakat Melayu-Champa terlibat dengan aktiviti pertanian dan perikanan yang menjadi sumber utama pendapatan diri dan keluarga.

Mengikut sejarah, Empayar Champa merangkumi kawasan pertengahan dan selatan Vietnam. Namun akibat peperangan antara golongan Champa dan Vietnam yang berlaku ratusan tahun lamanya, berlaku penghijrahan orang Champa ke Kemboja, Patani, Semenanjung Malaysia dan Borneo. Malah kebanyakan mereka menetap di timur Kemboja, bersebelahan dengan Vietnam. Islam datang ke Kemboja melalui jalan laut, dibawa oleh pedagang dan pelayar Islam. Kebanyakan umat Islam di Kemboja berasal dari Thailand, daripada sebuah kerajaan yang dimusnahkan dalam peperangan dan kebangkitan. Bagaimanapun, sehingga tahun 1975, masih terdapat kira-kira 75 masjid yang bersejarah di negara ini.

Paling menyayat hati semasa pemerintahan rejim komunis Pol Pot pada tahun 1975 hingga 1979 di Kemboja. Waktu itu, dianggarkan seramai 2 juta rakyat Kemboja termasuk golongan Melayu Champa dan para alim ulama dibunuh serta diseksa. Bangsa Melayu-Champa yang keseluruhannya beragama Islam, bertutur dalam bahasa Cham serta mempunyai adat resam dan sejarah yang dapat menjadi iktibar akan keperitan yang mereka alami di bumi Kemboja.

Seperti di semua negara-negara komunis yang lain, polisi kejam yang menindas umat Islam telah diwujudkan. Perang telah diisytiharkan ke atas nilai-nilai keagamaan rakyat dan rejim terbabit melakukan kezaliman dalam usaha mereka memalingkan rakyat dari agama yang dianuti.

Beratus-ratus ribu umat Islam dibunuh. Statistik berikut sudah cukup untuk membuktikan kira-kira 200,000 umat Islam hidup di Kemboja pada hari ini. Sebelum revolusi komunis, angkanya adalah 800,000 orang, iaitu umat Islam mewakili seramai tujuh peratus daripada keseluruhan. Kini walaupun negara itu telah bebas daripada cengkaman peperangan, ia masih dibelenggu dengan masalah kemiskinan ekonomi.

Di Kemboja terdapat 370 kampung Islam dengan jumlah penduduk 1,600 keluarga dengan tahap pendidikan yang rendah.

Masyarakat Islamnya mendapat pendidikan secara tidak formal seperti mengaji di sekolah-sekolah pondok yang kebanyakan dikelolakan oleh pertubuhan-pertubuhan Islam dan individu tertentu. Kedaifan masyarakat Kemboja cukup malang apabila kanak-kanak Islam di sana menghadiri kelas pengajian al-Quran dengan kemudahan yang amat menyedihkan.

Biarpun kanak-kanak hanya berkaki ayam atau selipar berselut lumpur tetapi ia tidak mematikan semangat mereka mendalami ilmu agama. Kebanyakan mereka sanggup hadir ke kelas mengaji al-Quran dan muqaddam semata-mata untuk mempelajari ilmu-ilmu asas iaitu ilmu mengurus diri seperti akidah, akhlak, tilawah, hadis dan tafsir.

Kesanggupan mereka wajar dipuji kerana walaupun hidup serba kekurangan namun hati mereka tetap reda dengan ketentuan ilahi. Kepayahan hidup lantaran kemiskinan masyarakat Islam di sini membelenggu setiap ahli keluarga yang menyebabkan mereka terpaksa meminjam kitab al-Quran dan muqaddam yang lusuh dan sering bertukar tangan.

Itulah gambaran yang menyentuh perasaan setiap insan yang melihat kemiskinan hidup yang mereka lalui. Malahan bukan itu sahaja, lantai bilik yang hanya beralaskan tanah, kerusi meja yang hampir reput dimakan anai-anai, dinding bilik yang tidak bersimen, tiada kipas dan kemudahan asas lain. Namun bagi mereka, itu bukan penghalang bagi mentelaah ilmu agama.

Betapa beruntung kanak-kanak Islam di Malaysia yang mendapat pendidikan yang baik dan sempurna, namun menjadi alasan sesetengah ibu bapa di zaman serba moden ini tidak menghantar anak-anak ke sekolah agama atas alasan lebih mementingkan ilmu duniawi semata-mata.

Keringat

Menghayati perjuangan kanak-kanak Islam Kemboja mengajak masyarakat Malaysia mengambil iktibar. Ini kerana ia bukan lakonan atau dibuat-buat tetapi itulah realiti yang terpaksa mereka hadapi dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Malahan sifat pengorbanan para alim ulama di Kemboja menjadi penyumbang di atas usaha meningkatkan syiar Islam dan agama yang suci ini. Mereka mengetepikan soal wang dan keringat semata-mata bagi mencurahkan ilmu agama agar terus subur di dalam jiwa dan sanubari anak-anak muda Islam Kemboja.

Mereka tidak dibayar gaji tetapi sekadar menerima sumbangan orang ramai yang menghulurkan bantuan derma ikhlas daripada pihak tertentu dan individu. Keperitan dan kesusahan mereka seharusnya menjadi pegangan dan pengajaran oleh rakyat Malaysia supaya mensyukuri nikmat Allah s.w.t.

Ini kerana, kita di Malaysia dikurniakan rahmat dan rezeki yang secukupnya, Bahkan dapat menjalani kehidupan dengan sempurna dan selesa.

Berbanding masyarakat Islam Kemboja, di mana umat Islamnya kurang bernasib baik. Mereka sering dihina dan dicap sebagai mundur dan daif. Dalam keadaan ini kita perlu sama-sama renungi dan menginsafi kesusahan umat Islam di Kemboja.

Rakyat Malaysia hendaklah bersyukur kerana kita masih lagi mewah dalam makan minum dan keamanan yang membolehkan kita beribadat dalam keadaan tenang, tanpa rasa takut dan terancam. Sebagai sebuah negara Islam kita digalak prihatin atau membantu orang lain yang hidup susah dan menderita.

No comments:

Post a Comment