Saturday, August 04, 2007

Kesungguhan peserta wajar dipuji

Berita Harian, 4 ogos 2007

KESUNGGUHAN serta semangat saudara baru mempelajari dan menghayati ilmu membaca al-Quran terserlah pada Majlis Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007 yang berlangsung pada 28 dan 29 Ogos di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Penyertaan kira-kira 120 peserta terdiri daripada qari dan qariah membuktikan saudara baru juga berminat untuk mempamerkan kebolehan mereka mengalunkan ayat suci al-Quran untuk diuji tahap kemampuan mereka.

Majlis Tilawah Saudara Kita 2007 yang masuk kali ketiga dianjurkan Nusantara Gems Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Raja Rezza Shah, berkata penganjuran majlis tilawah al-Quran khusus untuk saudara baru bertujuan memberi peluang mereka mempamerkan kebolehan menguasai ilmu membaca al-Quran.

Beliau berkata, majlis tilawah yang mula diperkenalkan tiga tahun lalu itu diteruskan kerana tanggungjawab memenuhi permintaan saudara baru supaya diberi pendedahan dan peluang menguji bacaan mereka dalam satu majlis besar yang disertai ramai peserta.

Katanya, majlis itu juga secara tidak langsung menggalakkan saudara baru yang baru berjinak dengan al-Quran untuk mempertingkat mutu bacaan dengan menghadiri kelas al-Quran dan mendapatkan khidmat guru yang mahir.

“Inilah objektif utama penganjuran majlis tilawah ini tiga tahun lalu. Melihat kepada sambutan serta semangat yang ditunjukkan daripada tahun pertama, kedua dan tahun ini, saya rasa seolah-olah sudah menjadi tanggungjawab untuk meneruskan majlis tilawah untuk saudara baru.

“Saya bersyukur diberi kemampuan untuk mengadakan majlis besar bagi masyarakat saudara baru dan berharap aspirasi saya menggalakkan lagi saudara kita mendekati serta menguasai ilmu pembacaan al-Quran mendapat sokongan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, tidak dinafikan sukar untuk mendapat tajaan bagi menganjurkan majlis tilawah al-Quran untuk saudara baru itu tetapi tetap berazam meneruskan usaha sebagai sumbangan kepada saudara seagama.

Bagaimanapun, beliau berharap supaya lebih banyak pihak tampil menyumbang dan menyokong usaha memartabatkan ilmu al-Quran terutama kepada mereka yang baru memeluk Islam serta berminat mendalami ilmu al-Quran.

Majlis penyampaian hadiah Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007 diadakan malam Isnin lalu di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) diserikan dengan keberangkatan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Hadir sama, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung bersama Majlis Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007.

Tiga kategori dipertandingkan iaitu kategori terbuka bagi mereka yang memeluk Islam sebelum 2002, kategori millenium (untuk saudara baru yang memeluk Islam pada 2002 hingga 2007) dan kategori golongan kurang upaya (OKU) yang diperkenalkan tahun lalu untuk peserta cacat penglihatan. Kategori lain turut dipertandingkan ialah azan untuk kanak-kanak dan remaja.

Raja Rezza berkata, beliau juga bangga kerana berjaya menarik minat golongan cacat penglihatan untuk menyertai tilawah kerana di sebalik kekurangan itu mereka mempunyai keazaman kuat mempelajari kaedah membaca al-Quran dengan tajwid yang betul dan berlagu.

Katanya, semangat golongan istimewa itu sewajarnya menyedarkan mereka yang celik untuk bersama membantu dan sekali gus berkongsi semangat belajar al-Quran terutama di kalangan generasi muda hari ini.

“Jika mereka yang cacat penglihatan boleh membaca dengan baik, pasti kita yang dapat melihat mempunyai kelebihan menguasai ilmu itu dengan mudah. Sewajarnya kita semua berkongsi semangat mereka,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini jawatankuasa penganjur memperkenalkan Anugerah Tokoh Mualaf bagi menghargai pengorbanan serta sumbangan mereka dalam menyebarkan syiar Islam di kalangan saudara baru serta masyarakat.

Bagi anugerah itu, dua tokoh lelaki dan wanita yang terbabit secara aktif dalam aktiviti dakwah memberi kefahaman serta mendalami Islam akan diberi pengiktirafan di atas usaha mereka itu. Tokoh Mualaf menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi.

“Bagi saya sudah tiba masanya kita menghargai usaha yang dilakukan saudara baru kerana mereka juga sebenarnya baru saja mengenali Islam tetapi tetap tidak melupakan saudara lain yang baru hendak mendalami Islam.

“Sewajarnya usaha mereka beramal membawa saudara baru ke jalan yang diredai Allah diberi pengiktirafan. Bukan untuk mereka saja, tetapi pengiktirafan ini untuk semua pihak yang melakukan kerja amal demi agama,” katanya.

No comments:

Post a Comment