Berita Harian, 4 ogos 2007
ASAS teknik membaca al-Quran penting bukan saja bagi menghasilkan bacaan dengan hukum yang betul dan sedap didengar, malah bagi memastikan maksud daripada wahyu Allah itu disampaikan dengan tepat.
Pengerusi jemaah hakim Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007, Datuk Syaikh Ismail Muhammad al-Hafiz, berkata perkara itu perlu diberi tumpuan semua umat Islam yang belajar serta mengajar al-Quran.
Beliau berkata, lebih-lebih lagi kepada qari dan qariah yang ingin memperdengarkan bacaan kepada umum, mereka perlu menguasai ilmu pembacaan al-Quran dengan baik kerana selain membaca, mereka turut memikul tanggungjawab menjaga kesucian al-Quran.
Justeru, beliau menasihatkan saudara baru yang ingin meningkatkan mutu bacaan al-Quran supaya mendalami ilmu asas membaca al-Quran dan membuat banyak latihan melalui pembacaan secara berterusan.
“Saya tidak menyatakan mereka tidak bagus kerana ada peserta yang bacaan mereka memang baik tetapi majoriti masih dalam proses belajar. Oleh itu mereka perlu lebih banyak membaca serta memahami kaedah betul dari segi hukum tajwid dan kefasihan,” katanya ketika diminta memberi ulasan mengenai pencapaian peserta Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007.
Beliau berkata, dari sudut bacaan peserta, jemaah hakim tetap memberi perhatian kepada hukum tajwid dan sebutan dengan betul.
Katanya, selain dua perkara itu, peserta juga hendaklah memberi tumpuan kepada mahraj huruf, sifat huruf dan dengung selain mempertingkatkan usaha mendalami ilmu taranum.
Syaikh Ismail berkata, semangat serta kesungguhan saudara baru mendalami al-Quran perlu dipandu oleh pihak berkaitan supaya mereka mendapat ilmu yang betul dan boleh dimanfaatkan untuk diri sendiri serta orang lain.
Beliau mencadangkan kepada penganjur supaya peserta yang ingin menyertai tilawah melalui proses saringan supaya hanya mereka yang benar-benar layak dan boleh membaca dengan baik diketengahkan pada majlis tilawah al-Quran.
“Saya faham maksud penganjur adalah untuk memberi peluang semua saudara baru menyertai tilawah tetapi perlu diambil kira matlamat keseluruhan. Selain boleh membaca kita juga mahu mereka memahami hukum-hakam membabitkan al-Quran.
“Hukum tajwid ada panjang dan pendek. Begitu juga sebutan kerana ayat al-Quran mempunyai maksud. Apabila salah sebut, salah maknanya dan maka salahlah maksudnya. Sebaiknya peserta diberi kursus dan latihan terlebih dulu,” katanya.
Katanya, jika peserta yang diketengahkan pada majlis Tilawah al-Quran Saudara Kita itu dapat menyampaikan bacaan dengan baik, ini akan membuka mata pihak yang mendengar mengenai kemampuan saudara baru selain menaikkan imej majlis tilawah itu sendiri.
Seramai kira-kira 120 peserta terdiri daripada qari dan qariah memperdengarkan bacaan masing-masing untuk tiga kategori dipertandingkan iaitu kategori terbuka, millenium dan orang kurang upaya (untuk peserta cacat penglihatan).
Selain Syaikh Ismail, peserta diadili barisan hakim, Othman Muda, Abdul Karim Zakaria, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad dan Muhammad Isa Mohamed, Lukman Mohd Hosni, Abdul Aziz Mohd Nor, Hasan Fadhli Abdul Rahman dan Abdullah Awang. Setiausaha hakim ialah Muhammad Khalid Osman.
No comments:
Post a Comment