Thursday, April 05, 2007

Abd. Latif Lawrence mahu istiqamah dalam ibadat



Oleh: ZUARIDA MOHYIN

HUBUNGAN mesra sesama rakan sekerja sentiasa dijaga oleh Mohd. Abd. Latif A. Lawrence Augustin (kiri).

GENGGAM bara api biar sampai jadi arang, pepatah Melayu ini paling sesuai dengan prinsip yang menjadi pegangan Pengurus Pembelian di sebuah hotel di Subang Jaya, Selangor, Mohd. Abd. Latif A. Lawrence Augustin, 35, sejurus mengambil keputusan memeluk Islam lebih 10 tahun lalu di Pejabat Agama Islam Perlis.

Pilihan pengurus muda yang dibesarkan di Behrang Ulu, Tanjung Malim, Perak itu untuk bertukar agama diakui sememangnya mengguris hati kedua-dua ibu bapanya, apatah lagi bila mengetahui bahawa keputusan itu turut disebabkan oleh faktor perkahwinan.

Namun jauh di sudut hatinya, apa yang dilakukan itu tidak sama sekali bertujuan untuk menconteng arang ke muka mereka atau mahu bergelar anak derhaka. Inilah yang dikatakan qadak dan qadar Tuhan.

“Pun begitu hidayah yang diterima ini kalau tidak dihargai penerimanya, ia tidak ke mana. Mengapa saya katakan demikian? Ini kerana minat dan rasa cinta saya kepada Islam hadir selepas menganuti Islam. Umpama jatuh cinta atau bercinta selepas berkahwin. “Sungguhpun cabaran berhadapan dengan keluarga agak hebat, alhamdulillah.., sokongan dan galakan daripada masyarakat sekeliling sewaktu berkerja di Pulau Langkawi hingga kini, banyak menimbulkan rasa kecintaan dan minat mendalami ilmu Allah yang cukup luas dan sempurna.

“Perkenalan dengan imam di masjid Kuala Triang, Pulau Langkawi, Abang Rocky, Zahari, Ustaz Imran iaitu Imam Masjid Subang Jaya, isteri serta pihak pengurusan hotel adalah antara mereka yang banyak memainkan peranan dan membawa perubahan dalam kehidupan saya,’’ cerita anak sulung daripada empat adik-beradik ini sewaktu ditemui, baru-baru ini.

Tambah beliau, perubahan yang dialami ini bukan omong kosong tetapi ia dapat dirasai oleh dirinya sendiri. Lebih-lebih lagi bagi seorang yang tergolong sebagai mualaf.

Akui Abd. Latif, kalau sebelum ini membaca surah-surah lazim langsung tidak diketahui, kini semakin berjaya dikuasai. Malah lebih membanggakan, kelas mengaji yang dihadiri sejak tiga tahun lalu semakin menampakkan perubahan.

Abd. Latif menyifatkan dirinya bertuah kerana ramai yang inginkan Islam masih belum menerima hidayah. Malah katanya, apabila kita dapat mempraktikkan perintah Allah dalam kehidupan seharian, ketenangan yang wujud tiada tolok bandingannya.

“Saya berazam memperbaiki dan menaiktaraf ibadah dan amalan harian seperti melakukan solat dhuha, tahajud secara perlahan-lahan. Saya juga cuba memperuntukkan sedikit masa dalam sehari itu untuk membaca al-Quran biarpun sebaris ayat.

Saya berharap dapat membaca al-Quran dengan tajwid yang betul, mengamalkannya dan mampu mengepalai sesebuah majlis,” katanya.

Kalau orang kata, ‘berdikit-dikit lama-kelamaan menjadi bukit’ begitu jugalah kita sebagai umat-Nya.

“Janganlah kita melakukan sesuatu itu berlebih-lebihan kemudian langsung meninggalkannya umpama, hangat-hangat tahi ayam. Bagi saya apa yang lebih baik, ikutlah pepatah yang pertama itu tadi.

“Saya tidaklah mengatakan diri saya baik tetapi itulah yang cuba saya lakukan sebelum saya boleh bergerak lebih jauh. Malah keterampilan para pendakwah mualaf sentiasa menjadi pemangkin semangat saya demi menegakkan syiar Islam,” kata Abd. Latif yang mengakui mualaf dan cabaran adalah begitu sinonim.

Pun begitu, tegas beliau, alasan cabaran tidak wajar menyekat seseorang mualaf itu untuk lari daripada tanggungjawab bergelar hamba-Nya. Seharusnya halangan-halangan seperti ketiadaan sokongan, tersisih, kesukaran mencari ilmu dan banyak lagi menjadi titik perubahan untuk menafikannya sekali gus membuktikan Islam bukannya agama mundur tetapi satu cara hidup dan amalannya menepati fitrah manusia.

Lantaran itu, selemah-lemah usaha adalah dengan berdoa kerana itulah senjata manusia. Apatah lagi banyak ayat al-Quran dan hadis yang menjelaskan banyak berkaitan doa.

Sebenarnya, Islam itu mudah tetapi apa yang berlaku umatnya yang

menyusahkannya. Dalam mempraktikkan ibadat solat contohnya, aspek kemampuan diri mualaf menjadi keutamaan dan pada masa yang sama berusaha untuk memperbaikinya.

Di samping itu, kata Abd. Latif, melihat anak-anak membesar mengujanya untuk memenuhi ilmu di dada terutamanya yang bersangkutan pendidikan agama Islam.

“Saya selalu terfikir, bagaimana hendak berdepan dengan situasi anak-anak yang sentiasa meminta tunjuk ajar bapa mereka. Sekarang pun, saya mengalaminya. Kadang-kadang ada masanya saya ajar mereka tetapi tidak kurang juga, kita belajar daripada anak-anak,” jelasnya.

Sebab itulah dalam kes-kes mualaf, orang sekeliling kena memainkan peranan yang penting. Janganlah menjadi punca golongan ini hilang keyakinan dan putus asa.

Kata Abd. Latif, jika tidak dapat membantu dari segi kewangan maka bantulah mereka ini dari segi lain.

“Kita mestilah sentiasa beringat bahawa kehidupan ini bukan sahaja bermatlamat dunia tetapi akhirat itu adalah lebih kekal.

“Lantaran itu, imbuhan di dunia tidak bermakna seandainya aset akhirat kosong belaka. Malah saya cukup terluka dengan sikap segelintir umat Islam yang suka mempertikaikan pengislaman seseorang mualaf itu,” jelas Abd. Latif.

Berkongsi pengalaman menarik sewaktu berada beberapa bulan di sebuah hotel di Beijing, China, cerita beliau, toleransi agama yang diamalkan di sana amat membanggakan dan wajar dicontohi rakyat Malaysia.

Manakan tidak, sungguhpun hanya mempunyai 30 kakitangan beragama Islam, pihak hotel di situ mengambil inisiatif menyediakan tempat makan dan dapur memasak yang berasingan dengan kakitangan bukan Islam.

Ujar Abd. Latif, beliau sentiasa menitikberatkan soal pembelajaran asas, sentiasa mengikut al-Quran dan sunah, berusaha mendalami ilmu, menjaga imej dan penampilan serta membina kerjaya bagi membuktikan kesyumulan Islam.

Kesemua ini penting demi memartabatkan umat Islam dan memberi gambaran jelas Islam kepada bukan Islam.

Malah sekiranya kita menguasai perkara-perkara di atas, ia turut menyumbang kepada usaha dakwah Islamiyah. Akui Abd. Latif berdakwah tidaklah susah, bermula dengan diri sendiri sudah cukup memadai.

Beliau bersyukur hubungan kekeluargaan yang renggang suatu masa dahulu, telah menampakkan sinar perubahan, lebih-lebih lagi selepas berpeluang berpelukan dan mencium tangan bapa.

Malah Abd. Latif juga berazam untuk berjaya dalam hidup dan lebih mendekati Allah tahun demi tahun.

“Saya amat berharap agar suatu ketika nanti orang akan memberitahu kepada bapa perkara-perkara baik tentang saya. Itu lebih mendatangkan kepuasan.

“Kini saya bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan dan dalam masa yang saya terus berusaha memperbaiki kehidupan dan kerjaya,” tambahnya.

Apabila kita berjaya lebih banyak yang boleh disumbangkan kepada agama. Dengan adanya kekuatan dari segi ekonomi, banyak bantuan boleh disalurkan demi memajukan umat Islam.

“Sesungguhnya dunia ini adalah sementara, yang kekal adalah akhirat, lantaran itu apa yang dilakukan kenalah selaras dengan kehendak Islam agar menjamin kehidupan kita di dunia dan akhirat,” kata Abd. Latif yang berhasrat memanjangkan sumbangannya kepada golongan mualaf yang lain.

Perkahwinan Abd. Latif dengan Noorli Mohd. Noor, 35 dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Farah Azwani, 14, Fatin Ilyana, 9, dan Mohammad Adam Nasrullah, 6.

No comments:

Post a Comment