Berita Harian, 6 Mac 2007
Oleh Hasnira Hassan
KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM500 juta khusus bagi pinjaman melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana.
Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Zulkefli A Hasan, berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat khas ahli Lembaga PTPTN, minggu lalu.
“Dana ini disediakan kerana kita tidak mahu hasrat mereka yang berminat menyambung pengajian ke peringkat sarjana, terbantut disebabkan masalah kewangan,” katanya.
Beliau memberitahu pemberita demikian selepas mewakili Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed pada Konvokesyen ke-16 Kolej Universiti Binary, di sini, semalam.
Zulkefli yang juga Ahli Lembaga PTPTN berkata, maklumat terperinci berhubung pengagihan dana itu sedang diperhalusi bagi membolehkannya dilaksanakan secepat mungkin.
Kali terakhir PTPTN menyediakan pinjaman bagi program sarjana pada 26 Ogos 2003 melalui peruntukan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebanyak RM40 juta mengikuti Program Siswazah Menganggur.
Skim itu dihentikan selepas PTPTN, yang ditubuhkan April 2003, selesai mengagihkan wang berkenaan kepada 1,952 pelajar yang berkelayakan.
Bagaimanapun, bulan lalu, Mustapa mengumumkan PTPTN memperluaskan skop pinjaman sedia ada kepada pengajian peringkat Sarjana, Doktor Falsafah (PhD) dan beberapa kursus peringkat profesional.
Selain itu, kadar pinjaman maksimum untuk pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda Perubatan di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM30,000 setahun, manakala peringkat diploma di IPTS daripada RM5,000 kepada RM8,000 setahun.
Dalam perkembangan lain, Zulkefli berharap Lembaga Kelayakan Malaysia (MQA) yang dijangka ditubuhkan pada pertengahan tahun ini hasil gabungan Bahagian Jaminan Kualiti (BKT) bagi menggantikan Lembaga Akreditasi Negara (LAN), dapat menjamin kualiti pendidikan tinggi tempatan.
Beliau berkata, MQA akan menyediakan garis panduan sistem kualiti Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) bagi memantau pengurusan dan pentadbiran institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta IPTS.
“Ini bertujuan memastikan graduan IPTA dan IPTS tempatan diiktiraf di seluruh dunia,” katanya.
Menerusi sistem itu, kelayakan individu bukan hanya dinilai dari segi akademik tetapi turut mengambil kira keupayaan kokurikulum serta akreditasi lain termasuk pengalaman kerja.
FAKTA NOMBOR
Program siswazah menganggur
RM40j - Pinjaman pelajar sarjana melalui peruntukan MTEN pada 2003
1,952 - Pelajar
No comments:
Post a Comment